Monday, March 7, 2011

Pencari Cinta - 86

Rancangan 5

Tercantum dalam banyak riwayat, bahawa Ummu Salamah di kemudian hari mengisahkan pengalamannya sendiri mengenai kunjungan Sayyidina Ali r.a kepada Nabi Muhammad SAW itu: “Aku berdiri cepat-cepat menuju ke pintu, sampai kakiku terhantuk-hantuk. Setelah pintu kubuka, ternyata orang yang datang itu ialah Ali bin Abi Thalib. Aku lalu kembali ke tempatku semula. Dia masuk, kemudian mengucapkan salam dan dijawab oleh Rasulullah SAW. Ia dipersilakan duduk di depan baginda. Ali bin Abi Thalib menundukkan kepala, seolah-olah mempunyai maksud tetapi malu hendak mengutarakannya.

Rasulullah mendahului berkata, “Wahai Ali, nampaknya engkau mempunyai suatu keperluan. Katakanlah apa yang ada dalam fikiranmu. Apa saja yang engkau perlukan, akan kau peroleh dariku!”

Mendengar kata-kata Rasulullah SAW itu, lahir keberanian Ali bin Abi Thalib untuk berkata, “Maafkanlah aku, ya Rasulullah. Engkau tentu ingat bahawa engkau telah mengambil aku dari bapa saudara engkau, Abu Thalib dan ibu saudara engkau, Fatimah binti Asad, ketika aku masih kanak-kanak dan belum mengerti apa-apa. Sesungguhnya Allah telah memberi hidayah kepadaku melalui engkau juga. Dan engkau, ya Rasulullah, adalah tempat aku bernaung dan engkau jugalah yang menjadi wasilahku di dunia dan Akhirat. Setelah Allah membesarkan aku dan sekarang menjadi dewasa, aku ingin berumah tangga, hidup bersama seorang isteri. Sekarang aku datang menghadap untuk melamar puteri engkau, Fatimah. Ya Rasulullah, apakah engkau berkenan menyetujui untuk menikahkan diriku dengannya?”

Ummu Salamah meneruskan kisahnya, “Ketika itu kulihat wajah Rasulullah nampak berseri-seri. Sambil tersenyum baginda berkata kepada Ali bin Abi Talib, “Wahai Ali, apakah engkau mempunyai suatu bekal mas kahwin?”

“Demi Allah,” jawab Ali bin Abi Talib dengan terus terang, “Engkau sendiri mengetahui bagaimana keadaanku, tak ada sesuatu tentang diriku yang tidak engkau ketahui. Aku tidak mempunyai apa-apa selain sebuah baju besi, sebilah pedang dan seekor unta.”

“Tentang pedangmu itu,” kata Rasulullah menanggapi jawapan Ali bin Abi Talib, “Engkau tetap memerlukannya untuk meneruskan perjuangan di jalan Allah. Dan untamu itu engkau juga perlu untuk keperluan mengambil air bagi keluargamu dan juga engkau memerlukannya dalam perjalanan jauh. Oleh kerana itu aku hendak menikahkan engkau hanya atas dasar mas kahwin sebuah baju besi saja. Aku puas menerima barang itu dari tanganmu. Wahai Ali, engkau wajib bergembira, sebab Allah Azza wa Jalla sebenarnya sudah lebih dahulu menikahkan engkau di langit sebelum aku menikahkan engkau di bumi!” Demikianlah riwayat yang diceritakan Ummu Salamah r.a.

Setelah segala-galanya siap, dengan perasaan puas dan hati gembira, dengan disaksikan oleh para Sahabat, Rasulullah mengucapkan kata-kata ijab kabul pernikahan puterinya: “Bahawasanya Allah SWT memerintahkan aku supaya menikahkan engkau Fatimah atas mas kahwin 400 dirham (nilai sebuah baju besi). Mudah-mudahan engkau dapat menerima hal itu.”

“Ya, Rasulullah, itu kuterima dengan baik, “ jawab Ali bin Abi Tali r.a dalam pernikahan itu.

Demikianlah berlakunya pernikahan antara dua orang yang sangat dicintai oleh Rasulullah SAW yakni puterinya, Siti Fatimah dan Sahabat yang jua merupakan sepupu baginda yakni Sayyidina Ali. Rasulullah SAW mendoakan keberkatan atas perkahwinan itu.

Sejarah menyaksikan bahawa Fatimah puteri Rasulullah adalah seorang wanita mulia yang menempuh berbagai ujian yang memerlukan pengorbanan yang cukup besar dalam hidupnya. Walaupun beliau adalah puteri Rasulullah, namun hidupnya bukannya disaluti kemewahan dan kesenangan, tetapi kemiskinan dan kesusahan. Apabila berkahwin dengan Saidina Ali, kehidupannya tetap susah. Walaupun Rasulullah pemilik kepada seluruh kekayaan di muka bumi tapi baginda tidak pernah mendidik anaknya dengan kemewahan.

Sewaktu menjadi isteri Sayyidina Ali, Siti Fatimah menguruskan sendiri keperluan rumahtangganya. Sayyidina Ali sering tiada kerana keluar berjuang bersama Rasulullah SAW. Setiap hari, Siti Fatimah mengangkut air dari sebuah perigi yang jauhnya dua batu dari rumahnya. Beliau mengisar tepung untuk keperluan makanan keluarganya. Dalam serba susah dan miskin, beliau tetap ingin bersedekah walaupun hanya dengan sebelah biji kurma. Siti Fatimah tidak pernah mengeluh atau menyalahkan suaminya terhadap kesusahan yang terpaksa dihadapinya. Bahkan dikatakan bahawa seluruh kesusahan wanita di dunia ini telah ditanggung oleh beliau sehingga beliau tidak perlu dipologamikan. Wanita mulia ini sangat pemalu dan sangat menjaga maruah dirinya.

Sewaktu Rasulullah SAW hampir wafat, dia menemani ayahanda kesayangannya itu. Ketika itu Rasulullah SAW telah berbisik ke telinga kanannya. Rasulullah memberitahu Siti Fatimah bahawa sudah sampai masanya untuk baginda mengadap Tuhan. Siti Fatimah sungguh sedih kerana akan berpisah dengan ayah yang sangat dikasihinya. Kemudian baginda berbisik ke telinga kirinya pula. Siti Fatimah tersenyum gembira. Rupa-rupanya, Rasulullah SAW menyatakan bahawa Siti Fatimah adalah orang yang pertama yang akan menyusuli baginda.

Siti Fatimah meninggal di usia 28 tahun, lebih kurang lima bulan selepas wafatnya Rasulullah SAW.

Begitulah kisah salah satu dari kisah salah seorang insan yang menjadi kecintaan Rasulullah SAW. Sehingga kini beliau merupakan salah seorang serikandi dan tokoh yang utama dalam sejarah kebangkitan Islam kali pertama dahulu.” Pak Su sekali lagi mengesat air matanya yang berlinangan.

“Pak Su kan seronok kalau kita dapat hidup sezaman dengan Rasulullah kan..?” Pak Su seperti terkejut sedikit dengan kata-kata Iman.

“Belum tentu seronok Man…”

“Kenapa pulak Pak Su..?”

“Sebab belum tentu kita akan beriman dengannya.”

“Sebab apa..?”

“Rasulullah tu sebelum hanyalah seorang pengembala kambing. Seperti orang kebanyakkan, tidak ada pangkat atau jawatan tinggi, beliau juga bukanlah seorang yang terkenal. Kalau zaman sekarang ni, boleh ke kita terima orang yang tidak mempunyai kelulusan atau sijil sebagai pemimpin kita..? Tentu susah kan? Sekali pun orang yang dilantik itu merupakan lantikan dari Tuhan.. kita akan tetap juga susah menerimanya kerana otak kita hari ni telah ‘didoktrinkan’ dengan pengenalan sijil adalah ‘prioriti’ atau sumber rezeki. Hari ini sijil menjadi kayu ukur manusia sebenarnya, bukan taqwa... Iman rasa kalau kita dizaman Rasulullah, pasti ke kita akan beriman dengannya? Atau kita adalah antara penentang…”

“Pak Su.., cerita tentang mujaddid…” Pak Su tersentak. Sekali lagi dialihkan pandangannya pada Mukhriz dan sekali lagi Mukhriz mengangkat bahunya. Tapi kali ini lebih tinggi sedikit dari yang tadi.

“Hmm, nanti Pak Su bagi awak buku untuk awak baca sendiri. Sekarang ni Pak Su ada urusan.., jadi kita kena bertolak sekarang.

“Ha.., o.k. Buku pun boleh jugak.., sebab saya memang suka membaca.”


No comments:

Post a Comment