Saturday, March 5, 2011

Pencari Cinta - 84

RANCANGAN 3

Perang Uhud mula berkobar dengan tampilnya Sayyidina Ali r.a ke depan menghadapi tentangan Talhah bin Abi Talhah yang mencabar dengan suara lantang, “Siapakah yang akan ke depan berlawan satu dengan satu?”

Seperti api disiram dengan minyak, semangat Sayyidina Ali r.a membara. Dengan hayunan langkah tegap dan tenang, serta sambil mengetap giginya, beliau mara dengan pedang terhunus. Baru saja Talhah bin Abi Talhah menggerakkan tangan hendak menghayun pedang, secepat kilat pedang Sayyidina Ali r.a “Dzul Fikar” menyambarnya hingga terbelah dua. Betapa bangga Rasulullah SAW menyaksikan ketangkasan putera bapa saudaranya itu. Ketika itu kaum muslimin yang menyaksikan ketangkasan Sayyidina Ali r.a, mengumandangkan takbir masing-masing.

Dengan tewasnya Talhah bin Abi Talhah, pertarungan sengit berkecamuk antara dua pasukan. Sekarang Abu Dujanah tampil dengan memakai ikatan maut di kepala dan pedang terhunus di tangan kanan yang baru saja diserahkan oleh Rasulullah SAW kepadanya. Dia seorang yang sangat berani. Laksana harimau keluar dari semak belukar ia maju menyerang musuh dan membunuh siapa saja dari kaum musyrikin yang berani mendekatinya. Bersama Abu Dujanah, Sayyidina Ali r.a menghuru-harakan barisan musuh.

Dalam pertempuran ini, Hamzah bin Abdul Mutalib tidak kalah semangat berbanding dengan putera saudaranya sendiri, Sayyidina Ali r.a dan Abu Dujanah. Hamzah begitu lincah dan tangkas menerobos pasukan musyrikin dan menewaskan setiap orang yang berani menghampiri. Ia terkenal sebagai pahlawan besar dalam menghadapi musuh. Sama seperti dalam perang Badar, dalam perang Uhud ini, Hamzah benar-benar menjadi singa dan merupakan pedang Allah yang sangat ampuh. Banyak musuh yang mati di hujung pedangnya.

Dalam pertempuran antara 700 pasukan muslimin melawan 3000 pasukan musyrikin itu, kita saksikan gabungan kekuatan rohaniah dan lahiriah Sayyidina Ali r.a, Hamzah dan Abu Dujanah. Suatu kekuatan yang membuat pasukan Quraisy menderita.

Sayang seribu kali sayang. Ketika tentera Muslimin hampir menang, mereka tergoda dengan harta rampasan perang yang banyak. Pasukan memanah terlupakan pesanan Rasulullah SAW agar tidak meninggalkan posisi mereka. Mereka turun dari bukit untuk mengambil harta-harta yang ditinggalkan tentera musyrikin. Waktu itulah pihak musuh kembali menyusun barisan dan memulakan serang ke atas tentera Islam yang sedang terleka.

Keadaan kembali gawat. Barisan tentera Islam telah bercerai-berai, terpisah dari pimpinan Rasulullah SAW. Di saat-saat genting itu, Sayyidina Ali r.a dan para Sahabat lainnya segera melindungi Rasulullah SAW. Dengan segenap kekuatan yang ada, mereka menangkis setiap serangan yang datang demi menyelamatkan Rasulullah SAW. Semua sudah bertekad untuk mati syahid, lebih-lebih lagi setelah melihat Rasulullah SAW terkena lemparan batu besar yang dicampakkan oleh Utbah bin Abi Waqash. Akibat lemparan batu itu, geraham Rasulullah SAW patah, wajahnya pecah-pecah, bibirnya luka parah dan dua kepingan rantai topi besi melindungi wajah baginda menembus pipinya.

Setelah dapat menguasai diri kembali, Rasulullah SAW berjalan perlahan-lahan dikelilingi oleh sejumlah Sahabat. Tiba-tiba baginda terperosok ke dalam sebuah liang yang sengaja digali oleh Abu Amir untuk menjebak pasukan muslimin. Sayyidina Ali r.a bersama beberapa orang Sahabat lainnya cepat-cepat mengangkat baginda. Kemudian dibawa naik ke gunung Uhud untuk diselamatkan dari diburu musuh. Di celah-celah bukit, Sayyidina Ali r.a mengambil air untuk membasuh wajah Rasulullah SAW dan menyirami kepala baginda. Dua buah kepingan rantai besi yang menancap dan menembusi pipi baginda dicabut oleh Abu Ubaidah bin Al Jarrah dengan giginya, sehingga dua batang gigi depannya tertanggal.

“Dia cabut guna gigi dia sendiri sampai tertanggal Pak Su..?” Iman tercengang dan terperanjat. Dia tak sangka sikap para sahabat sampai begitu sekali.

“Demikianlah sebahagian rentetan perjuangan Sayyidina Ali yang turut terjun ke medan peperangan bersama Rasulullah SAW. Sayyidina Ali terkenal sebagai seorang yang sangat pemurah. Sewaktu hidupnya, beliau yang miskin, sangat suka membantu janda-janda dan anak-anak yatim tanpa pengetahuan mereka. Beliau selalu meletakkan makanan di pintu-pintu rumah mereka di waktu malam. Setelah beliau meninggal, barulah mereka tahu bahawa selama ini mereka mendapat makanan dari Sayyidina Ali kerana setelah beliau tiada maka mereka tidak lagi mendapat makanan di pintu rumah mereka.

Sayyidina Ali adalah seorang Sahabat Rasulullah SAW yang sangat cerdik dan luas ilmunya. Rasulullah SAW pernah menyebut bahawa Sayyidina Ali adalah gudang ilmu. Setelah kewafatan Khalifah ketiga yakni Khalifah Uthman Ibnu Affan maka Sayyidina Ali dilantik sebagai Khalifah yang keempat. Kata Sayyidina Ali: “Allah SWT mengetahui betapa aku tidak suka memimpin pemerintahan atau memegang kekuasaan di kalangan umat Nabi Muhammad SAW sebab aku mendengar sendiri baginda bersabda : Tidak ada seorang penguasa pun yang memerintah umatku, yang kelak tidak akan dihadapkan kepada rakyatnya, untuk diperlihatkan catatan-catatan perbuatanya. Jika dia seorang yang adil, maka selamatlah. Tapi jika dia seorang yang berlaku zalim, akan tergelincirlah ke dalam Neraka.”

Allah SWT mentakdirkan Sayyidina Ali meninggal dunia pada 17 Ramadhan tahun 40 Hijrah. Ketika beliau sedang berjalan menuju ke masjid untuk sembahyang Subuh, tiba-tiba muncul Abdul Rahman bin Muljam dengan pedang terhunus. Pedang itu telah mencederakan Sayyidina Ali dengan parah hingga beliau rebah. Sayyidina Ali kemudiannya telah diusung pulang ke rumahnya oleh Sahabat. Ketika itu ramai yang ingin membalas dendam tetapi Sayyidina Ali sendiri dengan lapang dada dan ikhlas langsung tidak menyebut tentang balas dendam. Umat Islam merasa sedih melihat keadaan sayyidina Ali yang semakin lemah. Sayyidina Ali tahu bahawa sudah hampir masanya untuk beliau menyusuli Rasulullah SAW dan tiga orang Khalifah baginda sebelum ini. Dalam keadaan sangat yang sungguh berat itu, Sayyidina Ali sempat berwasiat: “Ku wasiatkan kepada kalian supaya tetap bertaqwa kepada Allah. Janganlah kalian mengejar-ngejar dunia walau dunia mengejar kalian dan janganlah menyesal jika ada sebahagian dunia itu terlepas darimu. Hendaklah kalian mengatur baik-baik urusan kalian dan jagalah hubungan persaudaraan antara kalian. Ketahuilah, pertengkaran itu merosakkan agama dan ingatlah bahawa tidak ada kekuatan apa pun selain atas perkenan Allah. Perhatikan anak-anak yatim agar jangan sampai mereka kelaparan dan jangan sampai kehilangan hak. Perhatikan Al Quran, jangan sampai kalian mendahulukan orang lain dalam mengamalkannya. Perhatikan tetangga kalian sebab mereka adalah wasiat Nabi kalian.” Kemudian air mata Pak Su mengalir perlahan, ternyata kisahnya akan terhenti di sini. “Begitulah Man kisah salah seorang daripada Sahabat Rasulullah yang juga merupakan anak saudara Rasulullah sendiri.”

“Saya rasa kagum betullah Pak Su. Saya memang tak tahu selama ni kisah-kisah para Sahabat. Rupanya mereka ini adalah manusia yang sangat hebat. Saya bangga jadi orang Islam.”

“Para Sahabat itu laksana bintang-bintang di langit, Rasulullah kata kalau kita mengikut salah satu daripadanya Insyaallah kita akan mendapat petunjuk.”

“Pak Su, ada tak tokoh dari kalangan wanita..?”

“Ada, ramai… Islam ni melahirkan ramai tokoh yang hebat-hebat Man. Cuma ramai orang sekarang yang malu untuk mengamalkan Islam yang sebenar.”

“Pak Su cerita Pak Su…” Pak Su tersenyum dengan gelagat anak saudaranya. Pak Su menjamah air diatas meja sebelum memulakan bicara.

“Baiklah, nama beliau ialah Siti Fatimah, beliau adalah anak kandung perempuan kepada Rasululullah sendiri. Lahirnya Siti Fatimah Az Zahra r.a merupakan rahmat yang telah dilimpahkan Ilahi kepada Nabi Muhammad SAW. Ia telah menjadi wadah suatu keturunan yang suci. Ia laksana benih yang akan menumbuhkan pohon besar penyambung keturunan Rasulullah SAW. Ia satu-satunya yang menjadi sumber keturunan paling mulia yang dikenali umat Islam di seluruh dunia. Siti Fatimah Az Zahra r.a dilahirkan di Makkah, pada hari Jumaat, 20 Jamadil Akhir, lebih kurang lima tahun sebelum Rasulullah SAW di angkat menjadi Rasul.

Siti Fatimah Az Zahra r.a membesar di bawah naungan wahyu Ilahi, di tengah kancah pertarungan sengit antara Islam dan jahiliyah, di kala sedang hebatnya perjuangan para perintis iman melawan penyembah berhala.

Ketika masih kanak-kanak, Siti Fatimah Az Zahra r.a sudah mengalami penderitaan, merasakan kehausan dan kelaparan. Dia berkenalan dengan pahit getirnya perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan. Lebih dari tiga tahun, dia bersama ayah bondanya hidup menderita dibuang daerah akibat pemboikotan orang-orang kafir Quraisy terhadap keluarga Bani Hasyim.

Setelah bebas penderitaan setelah 3 tahun diboikot, datang pula ujian berat atas diri Siti Fatimah Az Zahra r.a, apabila wafatnya bonda tercinta, Siti Khadijah r.a. Perasaan sedih selalu sahaja menyelubingi hidup sehari-harinya dengan putusnya sumber kecintaan dan kasih sayang ibu.

Rasulullah SAW sangat mencintai puterinya ini. Siti Fatimah Az Zahra r.a adalah puteri bongsu yang paling disayang dan dikasihani junjungan kita Rasulullah SAW. Nabi Muhammad SAW merasa tidak ada seorang pun di dunia, yang paling berkenan di hati baginda dan yang paling dekat di sisinya selain puteri bongsunya itu.

Demikian besar rasa cinta Rasulullah SAW kepada puteri bongsunya itu dibuktikan dengan Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas. Menurut Hadis tersebut, Rasulullah SAW berkata kepada Sayyidina Ali r.a demikian:

“Wahai Ali, sesungguhnya Fatimah adalah bahagian dari aku. Dia adalah cahaya mataku dan buah hatiku. Barang siapa menyusahkan dia, ia menyusahkan aku, dan siapa yang menyenangkan dia, ia menyenangkan aku…”

Penyataan baginda itu bukan sekadar cetusan emosi, melainkan suatu penegasan bagi umatnya, bahawa puteri baginda itu merupakan lambang keagungan peribadi yang ditinggalkan di tengah umatnya.

Ketika masih kanak-kanak, Siti Fatimah Az Zahra r.a menyaksikan sendiri ujian-uijian getir yang dialami oleh ayah bondanya, baik berupa gangguan-gangguan, mahupun penganiayaan-penganiayaan yang dilakukan orang-orang kafir Quraisy. Siti Fatimah hidup di udara Makkah yang penuh dengan debu perlawanan orang-orang kafir terhadap keluarga Nubuwah, keluarga yang menjadi pusat iman, hidayah dan keutamaan. Dia menyaksikan keteguhan dan ketegasan orang-orang mukmin dalam perjuangan gagah berani menghadapi komplot-komplot Quraisy. Suasana perjuangan itu membekas sedalam-dalamnya pada jiwa Siti Fatimah Az Zahra r.a dan memainkan peranan penting dalam pembentukan peribadinya, serta mempersiapkan kekuatan rohaniah bagi menghadapi kesukaran-kesukaran di masa depan.

Setelah ibunya wafat, Siti Fatimah Az Zahra r.a hidup bersama ayahandanya. Satu-satunya orang yang paling dicintai. Dialah yang meringankan penderitaan Rasulullah SAW ketika ditinggal wafat isteri baginda, Siti Khadijah. Pada suatu hari Siti Fatimah Az Zahra r.a menyaksikan ayahnya pulang dengan kepala dan tubuh penuh pasir, yang baru saja dilemparkan oleh orang-orang Quraisy, di saat ayahandanya sedang sujud. Dengan hati remuk-redam laksana disayat sembilu, Siti Fatimah r.a segera membersihkan kepala dan tubuh ayahandanya. Kemudian diambilnya air untuk mencucinya. Dia menangis tersedu-sedu menyaksikan kekejaman orang-orang Quraisy terhadap ayahnya.

Kesedihan hati puterinya itu dirasakan benar oleh Nabi Muhammad SAW. Untuk menguatkan hati puterinya dan meringankan rasa sedihnya, maka Nabi Muhammad SAW sambil membelai-belai kepala puteri bongsunya itu, berkata, “Jangan menangis…, Allah melindungi ayahmu dan akan memenangkannya dari musuh-musuh agama dan risalah-Nya.”


No comments:

Post a Comment