Thursday, March 3, 2011

Pencari Cinta - 82

RANCANGAN 1

“Apa yang kau merepek ni..! Aku tak fahamlah apa yang kau cakap.” Ain tiba-tiba melenting. Beberapa orang memasang mata melihat apa yang sedang berlaku. Razif tetap tenang. Dia yang berada didepan meja Ain berundur sedikit kebelakang. Tiba-tiba dua orang budak perempuan datang menghampiri mereka.

“Eh, Ain apahal..?”

“Entahlah aku pun tak faham jantan ni nak apa, tiba-tiba je datang kat aku cakap yang merepek. Sepatah haram pun aku tak faham apa yang dia cakap.” Mereka semua memandang Razif dengan pandangan yang cukup serius setelah mendengar penjelasan dari Ain.

“Woi, Zif kau apa hal cari pasal pulak pagi-pagi ni.”

“Apa yang kau tak puas hati ha?! Kau nak gaduh dengan kami ya!” Dengan kasar mereka mengherdik Razif. Tetapi Razif tetap tenang.

“O.k sorry, aku minta maaf. Aku tak sengaja.” Razif kemudian memandang Ain. “Tapi tawaran ni masih terbuka…” Ain mengerutkan dahinya.

“Blah, la..!” Sekali lagi kawan Ain menengkingnya. Razif pun berundur balik ke tempat duduknya.

Razif tidak mempedulikan mata-mata yang memandangnya langsung. Mukanya tetap bersahaja. Cikgu kelas masih lagi belum tiba. Salim yang baru balik dari tandas pun duduk di mejanya. Dia memang tak tahu apa yang baru terjadi. Mungkin kesempatan ini jugalah yang sengaja Razif gunakan supaya Salim tidak tahu.. kerana mungkin Razif dapat mengagak apa yang akan berlaku sekiranya kejadian tadi Slim masuk campur.

“Satu masaalah selesai… Ada tinggal lagi beberapa masaalah lagi yang perlu ditangani. Aku harap plan aku ini berjaya.” Razif duduk sambil tersenyum. Kemudian dia pun mengeluarkan buku dari begnya dan membaca. Tidak lama kemudian cikgu pun masuk.

Didalam kelas, ketika sedang belajar Ain seperti orang yang kerisauan. Sekejap-sekejap matanya menjeling kearah Razif. Tapi ramai yang tak perasan. Razif pula tetap bersahaja berbuat seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Tapi secara Ain tidak sedar Razif juga sebenarnya sedang memerhatikannya. Razif tahu pergolakan yang berlaku didalam hati Ain sekarang ini. Melalui deria keenamnya juga dia tahu sebenarnya Ain tak sangka yang dia tahu rahsia yang dia simpan dalam hatinya. Perasaannya terhadap Dino.

Ain semakin serba salah. Namun cuba juga dia berlakon didepan kawan-kawannya mengawal perasaan serba salahnya. Perkara itu terbawa hingga ke masa rehat. Sedang orang lain menjamah makanan pandangan Ain dijelingkan ke arah Dino dan Latifah yang sedang berbual mesra. Ain tak sedar ada ‘cctv’ bergerak yang sedang mengekorinya. Ain tak sedar yang gerak gerinya sedang berada didalam monitor Razif. Sedang dia asyik menjeling ke arah Dino, tiba-tiba Razif melintas sambil tersenyum. Wajah Ain pun berubah dan dia matanya kembali ke arah kawan-kawannnya yang sedang berbual.

“Macamana pulak dia boleh tahu ya..? Pelik aku. Macamana dia boleh tahu tadi masa perhimpunan aku asyik jeling kat Dino? Tapi tu tak kisah lagi, macamana dia boleh tahu perasaan aku pada Dino masa tu? Ah.., aku tak percaya.. dia ni dah gila, mana ada orang boleh tahu, semua orang tak tahu apa yang aku buat tadi, kalau dia cerita kat orang pun mana ada orang nak percaya kat dia. Tapi.., tentang rancangan yang dia tawarkan tadi tu.., ahh..! Merepeklah dia tu… Gila!” Monolog hati Ain terhenti disitu, kemudian dia pun melayan perbualan kawan-kawannya dengan harapan kerisauan hatinya akan hilang. Dia buat-buat tak faham kerana apa yang dia faham merupakan sesuatu yang tak masuk akal, katanya…

Encik Sulaiman, Mukhriz, Iman dan beberapa orang krewnya yang lain sedang menikmati sarapan di sebuah restoran di lapangan terbang. Iman, Mukhriz dan Encik Sulaiman duduk semeja, mereka sedang bercerita tentang pengalaman dan kisah yang berlaku semasa mereka di Indonesia. Manakala krew yang lain duduk bersama di meja yang berasingan.

“Alhamdulillah lah semuanya sudah pun selamat dan selesai… Eh, awak ni semua nampak macam tak letih je..?”

“Tak, kami semua masih segar lagi, Pak Su ha.., saya ada permintaan.” Iman meminta sesuatu. Mukhriz hanya tersenyum dengan gelagat Iman.

“Hajat apa pulak Iman ni… Insyaallah, kalau tak ada apa-apa masaalah Pak Su tunaikan.”

“Pak Su ceritakan kisah tokoh Islam yang Pak Su tahu.” Pak Su memandang Mukhriz. Mukhriz hanya mengangkat bahunya.

“Eh, kan abang Mukhriz ada.., dia boleh cerita dengan awak.”

“Dah dia dah cerita banyak dah. Dia kata Pak Su lagi banyak cerita.”

“Awak minat ke nak dengar cerita-cerita macam ni Man, maklumlah bukan semua anak muda sekarang ni minat cerita-cerita macam ni.”

“Eh.., saya suka Pak Su… Suka sangat. Saya ni kan suka belajar, takkan Pak Su tak tahu, lebih-lebih lagi pasal sejarah yang memang berlaku dan terpernah saya tahu sebelum ni.., lagilah saya minat.”

“O.k, kalau macam tu kita kena order air lagi nampaknya ni…” Mereka pun memesan air baru sementara itu Pak Su pun bercerita. “Baiklah sebelum ni siapakah tokoh Islam yang awak dah tahu..?” Pak Su bertanya Iman.

“Banyak juga… Emm, Mimar Sinan, Ulugh Beg, Imam Sayuti, Imam Ghazali…”

“Hmm, kebanyakkan mereka semuanya tokoh selepas wafatnya Rasulullah. Baiklah Pak Su akan ceritakan dengan awak kisah salah seorang tokoh yang juga merupakan salah seorang sahabat yang terkemuka. Namanya ialah Sayyidina Ali bin Abu Talib. Sayyidina Ali dilahirkan pada hari Jumaat 13 haribulan Rejab, 12 tahun sebelum Rasulullah SAW menerima wahyu pertamanya. Ibunya, Fatimah, telah melahirkan Sayyidina Ali di Kaabah. Ketika itu, Fatimah dan suaminya Abu Talib sedang melakukan tawaf di keliling Kaabah. Fatimah yang sarat mengandung, tiba-tiba terasa sakit hendak bersalin. Abu Talib menyangka, Fatimah hanya keletihan maka dia membawa Fatimah berehat di dalam Kaabah sebelum meneruskan tawafnya. Di waktu itulah lahirnya Sayyidina Ali yang sangat besar jasanya sebagai Sahabat dan menantu Rasulullah, juga Amirul Mukminin bagi umat Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW. Kelahiran Sayyidina Ali hanya disaksikan oleh ayah dan ibunya sahaja.

Ketika umur Sayyidina Ali 6 tahun, Mekah sedang dilanda keadaan yang sukar. Orang-orang yang ramai anak, pasti terasa peritnya hendak memberi makan keluarganya. Di waktu itu Rasulullah SAW teringat jasa pak ciknya Abu Talib yang pernah menjaga baginda sewaktu kecil. Kini pak ciknya telah tua sedangkan anak-anaknya ramai. Maka sebagai membalas jasa pak ciknya itu, Rasulullah yang ketika itu telah berkahwin dengan Siti Khadijah, telah mengambil Sayyidina Ali tinggal bersamanya. Sejak itu Sayyidina Ali diasuh oleh baginda sendiri. Betapa besarnya kasih sayang yang dicurahkan oleh Rasulullah kepada Sayyidina Ali lantaran baginda sendiri telah kematian anak-anak lelakinya.

Berada bersama keluarga Rasulullah SAW telah memberi kesan yang sangat besar kepada pertumbuhan roh Sayyidina Ali. Beliau menyaksikan dan mengikuti perkembangan jiwa dan fikiran Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sendiri yang menjadi penghubung antara Sayyidina Ali dan Allah SWT.

Di samping perjuangannya di bidang akidah, ilmu dan pemikiran, Sayyidina Ali r.a juga terkenal sebagai seorang pemuda yang memiliki kesanggupan berkorban yang luar biasa besarnya. Ia mempunyai susunan jasmani yang sempurna dan tenaga yang sangat kuat. Sudah tentu, itu saja belum menjadi jaminan bagi seseorang untuk siap mempertaruhkan nyawanya membela kebenaran Allah dan Rasul-Nya. Imannya yang teguh laksana gunung dan kesetiaannya serta kecintaanya yang penuh kepada Allah dan Rasul-Nya, itulah yang menjadi pendorong utama.

No comments:

Post a Comment