Thursday, March 17, 2011

Pencari Cinta - 81

TAQWA

Petang itu hujan turun. Walaupun renyai namun ia turun dari lepas zohor tadi. Kini sudah pun masuk waktu asar. Suasana di kawasan rumah kedai dekat tempat kerja Iman yang baru agak berlainan dari biasa. Inilah pertama kali Iman melihat hujan turun di situ. Mungkin sebelum ini cuaca panas membuatkan Iman bebas kesana kemari, tapi dengan kedatangan hujan perjalanannya terbatas. Mungkin itulah perbezaannya.

Ada sebuah lot kedai atas yang dijadikan surau oleh pekerja-pekerja disitu. Sambil duduk di restoran Iman lihat gelagat mereka yang baru balik dari surau. Iman agak kehairanan sedikit kerana inilah pertama kali Iman lihat cara orang-orang disini bekerja. Bila sahaja masuk waktu sembahyang mereka semua seperti berpakat meninggalkan segala urusan-urusan mereka dan pergi ke surau bersembahyang bersama-sama walaupun mereka dari tempat kerja yang berasingan. Seolah-olah mereka ini semuanya satu.

Semua pekerja disini rata-rata mengamalkan cara hidup Islam. Ada yang berkopiah, ada juga yang tidak. Suasana disini terasa tenteram dan aman. Kasih sayang mereka terserlah dan bantu membantu seperti menjadi budaya hidup mereka. Dari siang tadi Iman saksikan cara hidup mereka. Iman mempunyai kesempatan ini kerana dia sudah pun bersembahyang jama’ dan kebetulan Mukhriz pula keluar kerana ada urusan perniagaan. Tiba-tiba Ijal turun dengan beg sandangnya dari asrama atas agaknya. Dia siap dengan pakaian kerja tapi Iman tahu dia baru turun dari surau melihatkan diatas kepalanya ada kopiah. Ijal tersenyum dari jauh bila terpandang Iman dengan secawan teh ‘o’ di atas meja.

Ijal masuk ke dalam restoran. Dia duduk berhampiran dengan tempat yang ada sumber elektrik. Dia mengeluarkan laptop dari begnya. Dia memasang sambungan elektrik untuk mengecas bateri laptop kemudian seperti biasa dia pun duduk menaip. Seorang pelayan datang menghampirinya lalu dia pun memesan air minuman. Iman lihat dia sedang duduk keseorangan lalu Iman pun membawa air minumannya dan duduk bertentangan dengan Ijal.

“Eh, Man.. kau tak ikut abang Mukhriz ke hari ni?” Sambil menaip dia menyoal Iman yang baru sahaja melabuhkan punggungnya.

“Tak, dia ada hal kena uruskan satu perniagaan baru katanya.”

“Oh, ya.. kita orang nak bukak satu lagi kilang.”

“Kita orang? Kilang..? Apa maksud abang..?”

“Kita oranglah… Kau tak tahu ke kita orang ni semua satu syarikat dan kita orang nak buat lagi satu kilang makanan halal, kilang memproses mee. Macam-macam mee ada. Mee hoon, mee besar, kuew tiow…”

“Apa maksud abang satu syarikat..?” Iman melihat papan tanda di setiap kedai-kedai yang ada, semuanya memang jelas berlainan. Ijal pun berhenti menaip sebentar.

“Oh.., kau tak tahu rupanya. Kami ni dari syarikat Rufaqa’ Corp. Sdn. Bhd.”

“Ha..?! Syarikat yang di haramkan dalam surat khabar tu ke?”

“Itulah sebab kami semua kena tukar nama lain dan semua papan tanda perniagaan kami diarah turun.”

“Habis tu Pak Su saya sebenarnya kerja dengan syarikat ni lah…”

“Eh, siapa Pak Su kau tu?”

“En. Sulaiman.”

“Ya Allah, dia tu salah seorang pengarah besar dalam syarikat kami. Sekarang ni dia ditugaskan disini. Jadi dia sekarang ni aku punya pengarah.”

“Tapi betul ke syarikat ni menyebarkan ajaran sesat..?”

“Eh, kau ni tak betul ke apa? Selama kau dengan Pak Su kau, apa yang dia ajar?”

“Pasal Tuhan..”

“Ada ke pernah abang Mukhriz ajar kau hisap rokok ke, hisap dadah ke, bagi pil khayal ke, ajak kau pergi disko ke, minum arak ke, main judi ke, atau buat apa-apa yang tak senonoh?”

“Ajak tengok wayang pun tak pernah..”

“Dah tu yang kau pergi tanya lagi buat apa.. Ni yang aku angin ni…” Ijal melawak.

“Tapi kenapa dalam surat khabar saya baca syarikat ni bawak ajaran sesat..?”

“Dalam surat khabar tu macam-macam penulis ada… Ada India, Cina, orang tak pakai tudung, tak sembahyang dan macam-macam lagi. Kalau sesuatu berita datangnya dari orang yang macam tu kau kena cek kesahihannya. Mana boleh terus percaya je…”

“Ustaz Hj, Ashaari tu siapa bang?”

“Pengerusi syarikat.” Ijal sambung menulis.

“Habis tu abang tak kisah ke kerja sini? Tak kisah ke kena tuduh sesat.” Ijal kembali berhenti menulis.

“Kau kenal tak aku dulu siapa? Kau kenal tak abang Mukhriz tu dulu siapa? Suatu masa dulu, Mukhriz tu dulu.. polis mana yang tak kenal dia kat daerah ni. Aku dulu masa zaman aku hisap dadah dulu, minum arak, main judi, kaki perempuan.., masuk penjara, keluar penjara.. tak ada pun orang kata aku sesat. Sekarang ni aku sembahyang lima waktu, sembahyang malam, makan makanan yang halal, dari sumber yang halal.., orang nak kata sekarang ni aku sesat, pastu nak suruh aku balik ke pangkal jalan macam dulu..?! Kalau kau jadi aku, kau nak patah balik ke tak nak?”

“Tak nak.”

“Kau kisah tak orang panggil kau sesat?”

“Tak.”

“Sekarang ni aku ikut kata kau.” Iman tergelak spontan, Ijal pula tersenyum. “Itu kau yang cakap, sekarang ni aku nak tanya kau, kalau kau sendiri mana satu yang kau akan pilih..?”

“Saya akan pilih.. macam abanglah.”

“Habis tu kau tak kisah ke kalau orang kata kau sesat..?”

“Saya peduli apa. Hidup saya sekarang ni pun dah banyak berubah. Saya tahu, saya sendiri lihat depan mata apa yang pakcik saya ajarkan tu semuanya betul.”

“Kau tahu tak pakcik kau belajar semua tu dari mana? Kami ni semua siapa yang didik sebenarnya..?”

“Ustaz Ashaari.”

“Jadi kalau kau tengok pakcik kau sendiri pun dah macam tu.., apatah lagi guru dia.., betul tak?”

“Ustaz Ashaari tu orangnya macamana..?”

“Dia adalah seorang yang sangat inginkan keselamatan, sangat inginkan kebaikkan, memperkenal dan memperjuangkan Tuhan, seorang guru yang sangat mendidik lahir dan batin, pemimpin yang sangat memimpin dan sangat memastikan insaniah setiap anak buahnya terbangun, sangat menitik beratkan tentang rasa bertuhan dan rasa kehambaan kepada setiap anak didiknya macam seorang ibu dengan anak-anaknya. Dia adalah seorang pemimpin yang paling ajaib dizamannya. Seorang yang sangat mengikuti jejak Rasulnya dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara. Dari cara makan, berpakaian, tidur baring, berkeluarga, cara mendidik keluarga, hinggalah membawa kepada jemaahnya. Semuanya ingin ditiru seperti Rasululullah. Sangat memperjuangkan kasih sayang, sangat mengutamakan perpaduan. Sabarnya luar biasa, tak ada ulamak yang macam dia untuk zaman sekarang ni. Dia buat dulu baru dia cakap. Mengotakan apa yang dia cakap. Arahan dan didikannya penuh hikmah, hasilnya melahirkan anak-anak buah yang sangat taat dengan perintah Tuhan dan taksub dengan Rasulnya, menghormati pemimpin dan ibu bapa. Tak pernah menyalahkan musuh malah mendoakan musuh-musuhnya. Satu-satunya orang yang mendakwa bahawa Tuhan adalah idolanya… Kalau nak diceritakan memang panjang, cuma aku je yang tak mampu. Tapi aku harap kau fahamlah apa yang dah aku sampaikan. Cuma.. aku secara peribadi menganggap dia adalah seorang yang global. Pakejnya sebagai seorang pemimpin lengkap. Bermula dari diri, keluarga, masyarakatnya dan sistem untuk memerintah sebuah Negara pun dia ada. Dia adalah seorang manusia yang luar biasa untuk zaman ini…”

“Untuk zaman ini..? Bunyi macam mujaddid je.”

“Eh, mana pulak kau tahu sebut mujaddid ni?”

“Bang cerita sikit bang tentang mujaddid.”

“Apa yang kau dah tahu tentang mujaddid?”

“Seseorang yang membawa pembaharuan dalam urusan agama tapi bukan bawa agama baru… Tapi saya kurang fahamlah bang, bang ceritalah sikit tentang mujaddid..”

“O.k, aku cerita dengan kau tentang mujaddid setakat yang aku tahu… Mujaddid ialah seorang pemimpin kebenaran. Selepas kewafatan baginda Rasulullah tiada lagi nabi selepasnya, tetapi Allah utuskan setiap awal kurun seorang mujaddid untuk memperbaharui setiap urusan agama yang telah rosak atau yang cuba dirosakkan oleh musuh dengan ini umat Rasulullah sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Tuhan.

Menjadi mujaddid bukanlah satu tugas yang ringan seperti yang kita sangkakan. Ia bukan juga satu keseronokkan macam yang kita bayangkan. Hidup mereka penuh ujian. Ujian-ujian mereka sangat berat dan tak tertanggung oleh manusia biasa macam kita ni. Tiada lagi ujian yang berat selepas nabi dan rasul melainkan ujian yang ditimpakan pada mereka. Jadi mereka ni bukan calang-calang orang. Mereka adalah wakil Tuhan yang mendapat pimpinan terus dari Rasululullah secara roh, ilham atau yakazah. Inilah juga antara salah satu daripada kasih sayang Rasulullah kepada kita kerana baginda sangat inginkan keselamatan terhadap umatnya sehingga di akhir kalam baginda pun tetap juga dia menyebut ‘ummati, ummati’.. ertinya masa baginda nak wafat pun Rasululllah tetap juga ingat kepada kita kerana terlalu risaunya akan keselamatan kita. Tapi sayang tidak ramai dikalangan umatnya yang mengingati beliau di akhir zaman ini.

Kedatangan mujaddid antara lain ialah memperkenalkan dan meletakkan Allah dan Rasul itu kembali ketempat asalnya. Iaitu yang pertama didalam hati-hati manusia menjadikan Allah dan Rasul itu cinta utama dalam hidup mereka, bukan dunia, bukan wanita, bukan wang ringgit atau bukan selainNya.

Hari ni ramai manusia yang celik sahaja matanya terus ingatkan makan minum, masaalah, percintaan dan lain-lain. Tuhan hanya dijadikan sandaran dan keperluan bermusim. Tak ikhlas. Masa susah je baru ingat Tuhan. Jarang sekali ketika senang mereka ingat Tuhan, agaknya lah… Jadi itu adalah serba sedikit kenapa ‘wajib’ perlunya mujaddid dalam hidup kita. Dia seorang pemimpin yang seperti Rasul tetapi bukan Rasul. Dia adalah pemimpin yang memimpin kita ke arah kebenaran, memperkenalkan kita kepada Tuhan agar Tuhan kembali dicintai dan ditakuti sesuai dengan fitrah setiap manusia. Membawa manusia kembali ke jalan yang lurus, berkasih sayang, bertolong bantu, hidup harmoni. Tapi bukan semua manusia yang dapat menerimanya. Itulah sebabnya mereka mempunyai cabaran yang sangat hebat berbanding manusia biasa. Mereka mendapat tentangan daripada ramai manusia yang berburuk sangka dengan niat mereka.

O.k, sekarang awak faham tak apa itu mujaddid..?”

“Bang, ceritalah lagi siapa mujaddid yang abang tahu..?” Iman masih lagi tak puas. Dia ingin mendengar lebih lanjut lagi. Dia seperti terlalu berminat untuk mengetahuinya, mungkin sebab dia tak pernah dengar ilmu seperti ini, ditambah pula dia memang suka belajar satu benda yang baru. Iman pun mengeluarkan pen dan buku kecilnya.

“Hmm, o.klah memandangkan hari ni pun hujan.., jadi aku adalah sikit masa sebab tak ada orang nak cuci kereta.. jadi aku ceritalah dengan kau antara mujaddid yang pernah ada. Tapi.., aku ingat sekarang ni masanya tak sesuai…” Tiba-tiba sahaja Ijal berubah fikiran.

“Lah.., kenapa pulak bang, cepatlah saya tengah semangat ni…”

“Oh, tidak… Memandangkan sekarang ni kami sedang dipantau jadi aku tak boleh cerita sesuatu yang boleh menimbulkan fitnah. Aku tak nak dituduh bawak ajaran sesat, nanti aku kena masuk I.S.A.., habis aku…”

“Alah.., bang jangan risaulah.. saya tak akan bagitahu siapa-siapa punya, jangan takutlah…”

“E’eh, sedap je kau cakap ya… Aku pun tak kenal kau siapa.. entah-entah pengintip ke apa ke.., mana aku tahu. Tiba-tiba je tengah aku sedap-sedap cerita, kau tangkap aku. Siapa tahu..?” Muka Iman berubah, dia kelihatan sedih. Buku catitannya di tutup kembali. Ijal kembali menaip. Tiba-tiba dia bersuara kembali. “O.k.., aku cerita dengan kau syarat-syarat taqwa…”

“Ha, o.k…” Iman kembali ceria.

“Tulis, jangan tak tulis…” Bila Ijal lihat Iman sudah bersedia dia pun memulakan bicaara. “Baiklah jika seserang itu ingin menjadi orang yang bertakwa yang pertama sekali ialah.. dia mestilah mendapatkan seorang guru mursyid atau seorang guru yang bertakwa untuk memimpin dia. Yang kedua pulak dia mesti kena ada ilmu tentang rohani dan tahu mengenainya. Yang ketiga, dia mesti kena ada tarbiah atau didikan. Yang keempat dia kena ada latihan melawan nafsu, yang kelima sanggup bermujahadah melawan nafsunya sendiri, yang keenam istiqamah bermujahadah. Yang ketujuh dia kena selalu mengenang dosa dan kelemahan diri serta berfikir tentang kebesaran Allah dan yang terkhir sekali dia kena selalu berdoa supaya Tuhan tolong dia… Jadi itulah dia cara bagaimana untuk kita mendapatkan takwa. Ada berapa syarat semuanya..?”

“Lapan bang…”

“Bagus.., buat tu dulu Insyaalah lain kali aku cerita lagi ya. Tengoklah besok, kalau aku rasa yakin dengan kau.. aku cerita tentang mujaddid yang pernah ada.”

“Yes..!” Iman kegembiraan.

“Ada apa-apa lagi soalan..?”

“Err.., bang, I.S.A tu apa..?”


No comments:

Post a Comment