Wednesday, February 23, 2011

Pencari Cinta - 78

MENGANTUK

“Eh, Zif aku bercakap dengan kau ni.., kau dengar tak?” Razif tersentak. Dia mengangkat sedikit cermin matanya lalu menggosok-gosok matanya. Kemudian dia pun memalingkan wajahnya menghadap Salim.

“Eh, sorry.., apa kau cakap tadi..?”

“Ya, Allah kau ni biar betul… Dah lah mata merah macam lampu ‘brek’ belakang kereta… Kau ni kenapa Zif, sejak dua, tiga hari ni aku tengo kau macam tak cukup tidur je…”

“Aku belajarlah…”

“Oh.., patutlah. Aku ingatkan kau ambil dadah.., rupanya belajar. Padanlah mata merah dan kurang tidur. Ish, apalah aku ni… Aku minta maaf Zif.” Salim memegang tangan Razif dan mengusap-ngusapnya lembut.

“Woi, apa ni..!” Razif sangat terkejut lalu menarik kembali tangannya.

“Tak.., aku nak minta maaf kat kau sebab salah sangka… Itu je… Takkanlah itu pun tak boleh.” Salim berdalih sambil tersenyum. Dia memang sengaja berbuat demikian dengan niat dia ingin mendengki Razif yang masih lagi kelihatan mamai. Tapi nampaknya sekarang mata Razif kelihatan lebih cerah dari sebelumnya kerana terkejut.

“Aku ingat kau ni ada masaalah otak lah… Kalau ya pun nak mintak maaf, tak payah lah raba tangan aku… Geli kau tahu tak..!”

“Geli kau tahu tak..?” Salim mengajuk kata-kata Razif dengan mimik mukanya yang mengejek. “Eleh geli konon… Aww…” Sekali lagi Salim mencucuk pinggang Razif.

“Woi, apa ni..!”

“Woi, apa ni… Bangunlah… Kau tahu tak semua orang dah turun makan...?! Kau nak tinggal kebulur kat sini sorang-sorang ke..? Aku ni nak tolong kau... Kalau kau tak nak.. tak apa lah, aku pergi dulu.”

“Eh, dah rehat heh..?” Baru razif sedar hanya tinggal mereka berdua sahaja dalam kelas itu.

“Eh, dah rehat heh… Ha, tu lah tidur lagi. Sampai waktu makan pun dah tak ingat.” Razif bangun dengan tersipu-sipu diiringi oleh Salim rakan baiknya. Mereka pun keluar kelas berjalan menuju ke kantin bersama-sama. Sambil berjalan mereka berbual.

“Engkau malam-malam belajar apa Zif?”

“Eh, kau pernah jumpa ular tak..?” Razif cuba mengubah tajuk perbualan.

“Pernah.”

“Err.., harimau?”

“Pernah… Eh, kenapa Zif? Ada apa cerita? Lain macam je kau ni..?”

“Tak ada apa-apa… Samalah.., aku pun pernah jumpa jugak.”

“Hek, eleh… Sengal punya budak. Kau ni Iman betullah. Sekarang ni Iman dah tak ada kau ganti dia tahu tak.” Razif gelakkan Salim yang terkena.


Malam itu Pak Tua mengajar Razif cara menggunakan ilmu barunya itu, hinggalah beberapa malam berturut-turut. Kini Razif semakin mahir menggunakan ilmu tersebut. Pada suatu hari ketika cuti minggu persekolahan Pak Tua ingin mencuba kefahaman Razif dengan ilmu barunya.

“Baiklah pagi ni Atok nak Ajip masuk hutan… Tapi jangan pergi ke air terjun…”

“Habis tu pergi mana Tok?”

“Ajip pergi cari ular yang pernah cari Ajip dulu. Kemudian Ajip bunuh dia… Sebelum bunuh cari dulu mata akupunturnya yang utama kerana pagi ni umurnya bertambah lagi setahun. Mata ular kurang awas waktu malam, jadi sesuailah waktu ini Ajip membunuhya.”

“Ular…” Agak terkedu Razif sambil menelan air liurnya bila sahaja menerima arahan dari datuknya.

“Ular besar itu akan mengancam penduduk kawasan ni. Sudah pergi, jangan buang masa. Lagi cepat Ajip pergi lebih cepat selesainya…” Pak Tua mengeluarkan arahan lagi. Razif pun bangkit dan memberanikan diri.

Kali ni Razif masuk hutan tanpa andang dan tanpa cermin mata. Dengan sahaja Razif melangkah. Semua orang yang sedang berlatih tidak perasan akan kelibatnya. Dia pun mengaktifkan deria keenamnya dalam keadaan gelap. Kini dia nampak semua hidupan-hidupan disekitarnya. Dia pun masuk lagi ke dalam hutan. Dari jauh dia lihat kelibat ular itu sedang melingkar tidur agaknya di rumpun-rumpun buluh yang tebal.

Razif pun membuat satu bunyi memanggil ular tersebut. Ular itu tersentak, lidah terjelir-jelir mengesan bau Razif. Razif pun datang kearah ular itu, ular itu juga datang kea rah Razif.

Kini mereka bersua muka. Ular itu berhenti tegak berdiri sambil mengembangkan kepalanya. Razif mendongak untuk memandangnya. Jantung Razif agak berdebar. Inilah ujian ilmu baru dia yang pertama. Ular itu sungguh besar. Razif tetap membatukan diri. Ular itu juga membatukan diri. Masing-masing sedang bersedia dan menunggu siapa yang akan memulakan serangan. Razif mendalamkan pandangan matanya. Segala isi kandung organ dalaman ular itu terlihat. Razif lihat warna cahaya menyerang dari dalam badan ular itu.

Razif juga dapat melihat sejauh mana kekuatan ular itu dan juga tempat-tempat kelemahannya. Segala titik-titik akapunturnya jelas kelihatan, namun dia masih lagi mencari satu lagi mata akupunturnya. Razif tidak ada pilihan lain dia terpaksa juga bergerak kerana titik utama ular itu masih lagi belum jelas kelihatan.

Bilamana Razif berganjak sedikit ular itu terus menjunamkan kepalanya mencari ubun-ubun kepalanya, tetapi dengan pantas Razif mengelak. Ular itu cuba mematuknya lagi tapi kali ini Razif telah berjaya mengaktifkan bara api dari kedua tapak tangannya. Sambaran api yang timbul itu berjaya memeranjatkan ular itu, dia pun terkejut lalu membelakangkan dirinya. Dia betul tidak menyangka tangan Razif boleh mengeluarkan api. Oleh kerana terlalu marah dia pun menyemburkan bisanya. Serentak dengan itu juga Razif terus mengaktifkan apinya dengan sedaya upaya untuk membakar semua bias-bisa yang berada disekelilingnya.

“Gila, alangkan gajah pun mati.., lagi lah aku manusia. Aku kena musnahkan semua bias-bisa ni walaupun setitis.” Seluruh badan Razif dipenuhi api yang marak.

Ular itu bertambah terkejut lalu melarikan diri. Razif pun mengejar ular itu. Dia memang bertekad untuk menghapuskan ular itu malam ni juga. Kini badan Razif tidak lagi berapi. Oleh kerana itu ular itu pun berhenti juga lalu kembali bersedia untuk memakan Razif. Kedua-dua mereka saling ingin berbunuh-bunuhan antara satu sama lain. Tiba-tiba Razif tersenyum, dia sudah terlihat satu titik kecil yang bergerak-gerak secara berpusar.

“Hah, aku sudah jumpa.. kali ini kau tidak akan terlepas..!” Razif terus meluru ke arah ular itu.

Ular itu juga melayangkan kepalanya yang terbuka luas, kelihatan kedua bilah taring bisanya terkeluar tajam sedang menuju ke arah Razif. Bila saat kepala ular itu terlalu hampir ingin membaham Razif.. tiba-tiba razif pun mengelak sambil meluru dan memusingkan badannya. Tumitnya yang dijadikan senjata telah tepat mengenai mata akupuntur utama di badan ular tersebut.

Tiba-tiba sahaja ular itu rebah. Kedua belah kepak kepalanya tidak mengembang lagi. Namun begitu dia masih lagi mampu menggerakkan badannya tapi tidak setangkas sebelumnya. Razif telah menyaksikan satu keberhasilan. Ular itu tetap bergerak lemah kerana ingin melarikan diri.

“Sudah cukup… Sekarang Ajip serang jantungnya.” Tiba-tiba Razif tersentak. Dia lihat datuknya muncul dari balik rimbunan pohon-pohon kayu hutan bersama dengan pengawal-pengawal peribadinya yang seramai tujuh ekor.

Razif pun pergi mendapatkan ular itu lalu menyerang jantungnya. Hanya dengan sekali serang sahaja ular itu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

“Macamana dengan bangkai dia Tok?”

“Itu Ajip jangan risau. Hutan tebal ni luas. Mari kita pergi ke air terjun.” Mereka berdua pun berjalan menuju ke air terjun.

Razif sempat mengerling ke arah bangkai ular tadi. Dia perasan harimau-harimau itu seperti menarik-narik bangkai ular tadi masuk kedalam hutan. Razif terus berjalan bersama datuknya. Satu pertarungan sengit sudah pun berakhir.

“Agaknya selama ni.. bukanlah atuk aku tinggalkan aku sorang. Aku tahu dia sentiasa mengawasi aku. Walaupun aku tak nampak dia, tapi sebenarnya dia ada disekitar aku.” Razif teringat kembali saat mula-mula dia bertemu dengan lembaga putih yang menghalang perjalanannya. Dia terdengar bunyi ngauman harimau di tengah hutan sehingga ilmu yang dia sedang guna juga terbatal dan lembaga itu pun seperti kelam kabut melarikan diri. “Kini terjawab sudah semua persoalan yang timbul dalam hati aku. Cuma.. ada satu lagi.” Hati Razif masih lagi meninggalkan persoalan. Sedang berjalan dia pun tiba-tiba bertanya Pak Tua…

“Err, Tok, sekarang ni boleh ke Ajip gunakan ilmu ni..?”

“Hmm, boleh. Tapi syaratnya sama juga macam dulu. Ingat semua yang Atok dah pesan pada awak. Jangan sesekali tersasul dalam menggunakannya.. atau lebih baik diam dari berkata-kata.”

“Atok, Encik Sulaiman tu siapa..?” Razif bertanyakan hubungan antara datuknya dengan pakcik Iman.

“Ilmu yang atuk sampaikan pada kamu ni.., kamu kena simpan elok-elok.., sebab masanya dah tak sesuai untuk zaman sekarang. Jika awak guna juga dia akan meninggalkan banyak kesan sampingan terhadap penggunanya. Jika awak cuba dedahkan ilmu ni di khalayak ramai ia akan jadi lebih kepada hiburan bukan bantuan. Ilmu yang bermanfaat itu ibarat kawan yang setia. Orang yang paling baik dikalangan kamu adalah orang yang paling banyak memberikan manfaat kepada orang lain. Ilmu Atok dengan ilmu pakcik Sulaiman berbeza. Ilmu yang Atok guna ni sesuai untuk lima ratus tahun lepas, tetapi ilmu yang pakcik Sulaiman gunakan sekarang memang sesuai untuk zaman ini. Setiap ilmu yang kami miliki tujuannya adalah untuk keselamatan diri dan menyelamatkan orang lain. Kemuncak keselamatan ialah berjaya melepaskan diri dari titian Sirat di akhirat kelak. Kami saling kenal mengenali antara satu sama lain dan sentiasa berhubung tetapi melalui cara kami.”

“Apa maksud Atok..?”

“Jika kamu boleh berurusan melalui gelombang, di dunia tempat kami berhubung juga begitu malahan lebih hebat lagi. Gelombang telefon tak sama seperti gelombang roh. Gelombang telefon dapat dikesan.. tetapi perhubungan roh tak dapat dikesan. Cara roh bekerja berbanding cara fizikal dan akal bekerja juga lain. Jika seseorang itu bekerja menggunakan akal atau fizikalnya.. dia akan terasa letih.., berbeza dengan cara roh bekerja. Roh boleh melepasi tujuh lapis gunung tanpa had masa, tidak kenal erti penat malah dia boleh bergerak dalam sekelip mata dan boleh berada di banyak tempat dalam satu masa… Ajip, ada sesuatu yang atuk tahu tapi Ajip masih belum faham lagi. Banyak lagi yang atuk kena belajar dan Ajip juga kena belajar. Bila tiba masanya.. kita semua adalah sama di hadapan Tuhan.”

“Dia belajar dari man Tok?”

“Guru dia hebat.. kerana dia tuan zaman ini…” Mereka sudah pun tiba di gigi air terjun. “Sekarang ni kita sembahyang sunat taubat…”

“Err.., tuk.. sekarang ni Ajip dah boleh guna ke ilmu ni..?” Razif memandang datuknya dengan pandangan yang inginkan kepastian.. tetapi Pak Tua hanya tersenyum sahaja memandangnya.

No comments:

Post a Comment