Tuesday, February 22, 2011

Pencari Cinta - 77

KEENAM

Kini diam tak diam sudah genap seminggu Razif bertapa di air terjun didalam hutan. Walaupun air terjun itu terletak dipinggir hutan, namun hutan iu merupakan hutan tua yang tebal. Bermacam-macam jenis makhluk hidup didalamnya. Gajah, harimau, ular besar dan bermacam-macam lagi jenis haiwan-haiwan liar yang berbisa. Kebanyakkan pokok-pokok yang hidup didalamnya pula berusia beratus-ratus tahun dan besar-besar. Namun sebelum masuk kedalam hutan Razif akan menempuh dahulu sebuah kebun getah. Dari para-para penoreh lah mereka mendapat pelbagai cerita. Ada cerita hantu, harimau, ular, gajah dan bermacam-macam lagi. Namun bagi Pak Tua air terjun itu merupakan gelanggangnya untuk membuat latihan. Tiada siapa yang tahu kecuali Razif seorang.

Pelbagai pengalaman yang ditempuh oleh Razif selama seminggu berlalu. Bermacam jenis makhluk yang menakutkan telah ditemuinya. Selama seminggu jugalah Razif sering tertidur atau pengsan kerana terlalu terkejut. Bilamana dia sedar dia lihat Pak Tua sudah pun berada disampingnya.

Pada satu malam Razif lihat sejenis makhluk sedang bermain air dan terbang kesana ke mari melintasi air terjun. Asalnya muncul seorang perempuan muda yang cantik, serta berbau harum secara tiba-tiba entah dari mana. Tapi selang beberapa lama kemudian dia bertukar menjadi makhluk yang sangat menyeramkan. Suara hilaiannya sangat meremangkan tengkuk kepada sesiapa yang mendengar. Bajunya putih, rambutnya panjang mengerbang, manakala giginya taringnya yang putih jelas terkeluar. Wajahnya agak gelap tapi Razif terperasan banyak darah memenuhi wajahnya. Memang mengerikan bagi sesiapa yang melihatnya.

Razif tetap juga membaca ayat-ayat yang telah datuknya ajarkan. Dia terpaksa bertahan buat seperti dia tidak takut. Perasaannya dikawal, namun begitu peluhnya semakin banyak yang keluar. Bau wangi kini bertukar menjadi bau busuk seperti bau bangkai. Hanyir dan meloyakan sesiapa yang menghidunya. Itu juga tidak mematahkan semangat Razif dan Razif tetap bertahan.

“Aku mesti kuat. Malam ni aku tak akan tidur atau pengsan. Aku nak tunggu atuk aku hingga dia sampai. Aku nak tengok sendiri apa yang dia buat tiap-tiap malam. Aku tahu dia berlatih, tapi sekarang ni aku nak tengok peningkatannya.” Razif menanam tekad didalam hatinya.

Tidak berapa lama kemudian tiba-tiba hutan dikejutkan dengan ngauman bunyi harimau. Lembaga yang mengilai tadi pun tiba-tiba bergegas terbang meninggalkan air terjun. Kelam kabut dia seperti ketakutan dan melarikan diri. Sekali lagi Razif mendengar suara harimau mengaum tapi dari arah yang berlainan.

“Eh, ada berapa ekor harimau ni sebenarnya..? Nasib baik malam ni aku tak pengsan, kalau tidak.., mampus aku kena makan. Kalau dia datang.., aku nekad terjun masuk dalam air terjun…”

Dari jauh Mukhriz lihat kelibat harimau sedang berjalan tapi macam ada orang yang sedang menunggang harimau yang besar itu. Mukhriz nampak jelas memang ada orang diatas belakang harimau, semakin lama semakin jelas dan semakin lama semakin jelas orang itu membawa tongkat dan tak lain dan tak bukan orang itu adalah datuknya.

Harimau itu berhenti Pak Tua pun turun. Tidak berapa lama beberapa ekor lagi harimau keluar dari celah-celah rumpun semak dari arah yang berlainan dan duduk mengelilingi air terjun. Jumlah kesemua harimau itu ada tujuh ekor semuanya. Razif agak terkejut, namun dia memberanikan diri dan diam tanpa membuka mulut kerana dia ingin melihat apa yang Pak Tua ingin lakukan.

Pak Tua berjalan tenang kearah tebing. Kain di bahunya di lempar ke atas dan mendarat kemas dan tepat di sebelah Razif. Namun Razif tetap tidak berganjak. Dia lihat Pak Tua berjalan terapung diatas air dan setiap langkahnya akan mengeluarkan asap seolah-olah kakinya seperti terlalu panas. Pak Tua sampai ke tengah kolam air terjun. Tiba-tiba dia terapung sedikit ke udara dan keliling badannya mengeluarkan api. Cahaya api yang terpancar menunjukkan betapa besarnya kolam itu. Besarnya lebih kurang lima puluh kaki, bulat dan lebar. Pak Tua masuk kedalam kolam. Namun api dibadannya tidak terpadam. Cahaya yang terpancar dari badannya kelihatan semakin mengecil dari situ Razif dapat mengagak kedalaman kolam tersebut.., memang dalam.

Selama ini kolam itu tak ada seorang pun yang berani terjun kedalamnya. Melihatkan warna airnya yang gelap sahaja sudah cukup untuk meninggalkan satu perasaan misteri dan tanda tanya kepada diri seseorang. Apakah yang ada didalamnya? Berapa dalamnya? Disamping itu juga bermacam-macam cerita yang pernah didengar dari mulut orang yang kebanyakkannya terdiri dari kaki-kaki pancing.

Ada yang kata pernah ternampak ular besarlah.., ikan besar, makhluk aneh dan bermacam-macam lagi. Sementelahan pula ada juga orang yang pernah terkorban didalam kolam itu samaada secara kebetulan ajalnya memang disitu ataupun memang wujud makhluk-makhluk yang dimaksudkan.

Tapi bagi datuknya tak pernah pula Razif mendengar sebarang komen. Memang pernah seorang bomoh yang mencari seorang penduduk yang hilang mengesahkan bahawa dia telah ditelan oleh seekor ular yang mendiami dasar kolam tersebut. Mungkin berdekatan kolam itu ada sebuah gua atau tempat tinggalnya. Razif pun tak pasti. Tapi yang pastinya selang beberapa hari kemudian mayat orang itu dijumpai didalam kolam tersebut. Memang sudah reput dan tulangnya juga patah-patah seperti dibelit sesuatu. Bomoh tu kata ular itu telah memuntahkan mayatnya kembali.

Tetapi memang tak ada yang mustahil malah apa yang didakwa semua ada lojiknya kerana hutan itu merupakan sebuah hutan ‘tua’. Usianya melebihi ribuan tahun. Jadi generasi yang mendiami hutan itu juga pastinya mempunyai saiznya yang tersendiri.

Razif lihat cahaya didalam air bergerak ke sana dan kesini. Sungguh pantas, lebih laju dari gerak ikan didalam air.

“Wah, hebatnya atuk aku sekarang, dia boleh bergerak tangkas dalam air. Mustahil orang boleh bergerak dalam air setangkas ini. Lagi pun bergerak didalam air memerlukan tenaga yang berkali ganda dari berbanding pergerakan diatas darat. Ternyata ilmunya semakin maju sekarang.” Tiba-tiba Razif terkejut kerana air berkocak kuat seperti bunyi letupan bom dari dalam air. “Wah aku kenal jurus ni. Tenaga yang dikeluarkan dapat menempuh air yang sedalam tiga puluh kaki dalam masa yang sama melawan arus gravity. Ini bermakna atuk aku mampu menumbangkan sebuah pokok balak dengan tangan kosongnya. Dahsyat… Tak salah lah kenapa harimau pun boleh tunduk dengannya.” Beberapa lagi letupan berlaku. Ada yang kuat, ada yang biasa tapi bulatannya besar.

Razif lihat cahaya semakin berkurangan. Lama juga datuknya didalam air lebih kurang sejam. Perlahan-lahan dia naik ke permukaan air. Selepas dia timbul dia terus berdiri diatas air seperti berdiri diatas tanah. Dia mengambil nafas beberapa lama kemudian dia duduk. Seperti orang yang sedang bertafakur.

“Kalau dia boleh berpencak diatas tanah.. itu perkara biasa, tapi kalau dia boleh berpencak dalam air.., aku rasa tak ada orang yang boleh buat macam dia… Ilmu apa yang dia pakai..? Nampaknya ilmu inilah yang bakal diwariskan pada aku suatu hari nanti. Hmm, nak sampai tahap macam dia memang lama. Tapi zaman sekarang ni mana ada orang minat lagi ilmu-ilmu purba ni… Sebenarnya ak pun tak minat sangat. Sekarang ni zaman cyber. Tapi kenapa dia nak wariskan juga pada aku..? Tak apalah sekurang-kurangnya aku boleh jadi perpustakaan. Satu aset yang berusia beratus-ratus tahun. Tak pernah pulak Tok cerita asal usul ilmu ni datang. Mungkin belum masa agaknya. Hmm, kalaulah aku cerita pada mereka yang kat sekolah.., mesti diorang ingat aku gila.. atau mungkin sebab ini lah atuk aku wariskan ilmu ni pada aku, sebab aku boleh simpan rahsia. Satu amanah yang mesti aku jaga.” Kemudian Razif terbayang kembali peristiwa semasa dia menyelamatkan Iman tempohari. Memang dia ada membuka pencak tersebut, “Tapi.., kenapa atuk aku tak jadi hukum aku ya… Atau dia ada hubungan dengan pakcik Iman. Hmm, musykil aku. Sepetutnya aku menerima hukuman sekalipun atas alasan membantu orang… Sebab ini ikrar pendekar. Ah.., tak apa lah, buat apa aku nak pening-pening kepala. Satu hari nanti aku akan serahkan ilmu ini pada yang hak.” Pak Tua berjalan menuju ke darat.

Harimau-harimau tadi masih lagi tidak berganjak. Duduk menunggu seperti pengawal peribadi. Badan Pak Tua berasap. Dia mencapai tongkatnya tenang kemudian berjalan menuju ke arah Razif.

“Baiklah hari ini genaplah seminggu Ajip di sini. Sekarang ni atuk nak tengok sama ada Ajip punya ilmu ni jadi ke tak. Sekarang ni buka cermin mata…” Razif pun membuka seperti yang diarah. “Renung ke dalam air.., dalamkan pandangan Ajip…” Mula-mula Razif hanya melihat gelap permukaan air, kemudian bila sahaja menambahkan lagi kedalaman pandangannya tiba-tiba dia terkejut. Lantas dia seperti sedikit terlompat ke belakang.

“Tok, Ajip nampak…”

“Betul, itulah deria Ajip yan keenam. Jadi hari ini Atok nak bagi Ajip panduan cara menggunakannya. Sekarang pandangan Ajip bukan lagi pandangan biasa. Ajip dapat pandang tembus. Tapi jangan lupa, ini baru sedikit ilmu.., ada banyak lagi yang perlu Ajip belajar.” Sekali lagi Razif mencuba pandangan barunya. Razif melihat banyak ikan yang bergerak-gerak.

Pandangannya bertukar menjadi satu pandangan yang lain. Walaupun pandangannya berupa warna, namun dia yakin itu adalah ikan. Mereka berenang ke sana kemari, ada berbagai-bagai saiz, yang paling besar sebesar badan orang. Namun tinggalnya di bahagian dasar kolam. Semakin dalam pandangan itu dia dapat lihat bahagian dalaman ikan itu. Seperti sebuah mesin x-ray. Tiba-tiba datuknya memanggil sesuatu dari balik pokok.

“Ha, keluar kau.” Tiba-tiba lembaga yang tanpa kepala tempohari keluar. “Cuba Ajip tengok benda ni betul-betul. Ajip pun memandang lembaga tersebut. Mula-mula dia lihat lembaga itu tanpa kepala tapi bilamana dia mendalamkan pandangannya dia dapati lembaga itu hanyalah jelmaan dan badannya yang sebenar adalah kecil sepanjang lengan, bentuknya pula masih lagi seperti manusia namun terdapat sedilit kelainan dari segi rupanya.

“Eh, kenapa jadi macam ni Tok?”

“Inilah rupa dia yang sebenar, tadi tu cuma jelmaannya sahaja. Berbeza tak?”

“Beza Tok…”

“Baiklah sekarang ni cuba Ajip tengok pada harimau tu pulak.” Kali ni pandangannya bertukar warna merah. Di dalamkan lagi pandangannya dan terlihatlah dalaman harimau itu, jantung, paru-paru dan lain-lain.

“Kenapa warna merah Tok?”

“Sebab dia berdarah.”

“Eh, bukan ke harimau ni juga jelmaan…” Datuknya tersenyum.

“Bukan.., itu harimu betul.”

“Hah?!” Razif terkejut. Dia sangkakan harimau yang datuknya tunggu merupakan khadam atau jin peliharaan. Rupanya itu adalah harimau betul yang besar.

“Itu bukan jin ke Tok..?!”

“Atok tak pernah bela jin…”

“Habis tu macamana Atok boleh tunggang harimau tu..?” Pak Tua hanya tersenyum melihat gelagat cucunya yang semakin panik dan kehairanan.

“Apa yang nak dihairankan… Ilmu Tuhan ni kan luas… Lagi pun ilmu yang Atok ada ni pun belum tentu dapat menjamin keselamatan Atok di akhirat…” Razif mengangguk, ringkas, jelas dan padat. “Baiklah, sekarang ni kita nak lihat mata akupuntur yang ada di badan harimau, sebelum ni Atok ada ajar Ajip titik-titik akupuntur yang terdapat di badan manusia. Tapi sekarang dengan ilmu yang baru Ajip dapat ni.. Ajip akan melihat dengan lebih jelas di mana terletaknya mata akupuntur tersebut. Sekarang dalamkan pandangan Ajip.” Razif pun mendalamkan lagi pandangan matanya.

“Eh, nampak titik-titik tu ada cahaya lah Tok.”

“Itulah dia mata akupuntur.”

“Tapi kenapa yang satu tu seperti bergerak aktif?”

“Salah satru dari mata akupuntur itu akan aktif bilamana tibanya tarikh lahir dia. Ini bermakna usia harimau ini telah bertambah lagi setahun dan hari ini adalah ulang tahun kelahirannya.” Razif mengangguk kerana faham dengan penerangan atuknya.

“Manusia pun sama juga ke Tok?”

“Hmm, sama. Bila tiba tarikh lahirnya salah satu dari mata akupunturnya akan aktif.”

“Apa maksud disebaliknya Tok?”

“Ada banyak.., kalau dalam ilmu persilatan, titik yang aktif itu adalah antara punca. Jika kita berjaya menekan dan memusingkannya mengikut kiraan yang betul.. maka segala ilmu seseorang akan terbatal.”

“Kenapa jadi macam tu Tok?”

“Kerana tenaga dalamannya telah terkunci. Selagi tidak dibuka selama itulah dia tidak dapat mengaktifkan tenaga dalamannya.”

“Adakah itu yang berlaku pada arwah ayah Tok?”

“Memang… Tapi arwah ayah meninggal bukan sebab mata uratnya dikunci.., tetapi memang sudah tiba masa ajalnya sampai. Mujurlah diakhir hayatnya dia sempat bertaubat. Semoga taubatnya diterima Tuhan.” Pak Tua tenang menerangkannya kepada Razif. Razif pula memang sudah lama menerimanya dengan hati yang terbuka. Kini dia redha dengan pemergian ayahnya.

Kini dia dapat melihat titik mata akupntur dengan lebih jelas. Selama ini dia hanya belajar secara rasa, ada tempat-tempat maut dan ada juga tempat-tempat mengunci. Tapi baru hari ini dia tahu rupanya ada lagi satu rahsia tentang mata akupuntur, iaitu tempat mengunci tenaga dalaman. Razif mengamati semua saluran darah, urat, saraf, otak, jantung dan lain-lain yang berada di badan harimau itu. Walaupun pandangannya tidaklah sejelas pandangan mata, namun dia sangat faham semuanya melalui warna-warna serta bentuknya.

“Tok, kenapa jantungnya dalam dia cahaya merah tapi kelilingnya biru? Tapi tadi saya lihat dalam badan jin tadi tu semuanya bercahaya merah…”

“Itu lagi satu tanda bahawa harimau ini tidak mempunyai maksud yang jahat atau ingin mencederakan sesiapa… Tapi makhluk tadi tu ada maksud disebaliknya.. dan memanglah perangai makhluk halus begitu, janganlah Ajip hairan pula…”

“Oh, macam tu…”

“Sekarang ni kita bersiap untuk pergi ke surau. Besok malam Atok akan ajarkan cara bagaimana hendak mengawal dan menggunakannya dengan lebih tepat lagi. Tapi ingat, selagi atuk tak suruh Ajip guna ilmu ni, jangan sesekali Ajip guna… Faham?!” Agak tegas juga Pak Tua mengingatkan cucunya.

“Faham Tok…” Razif mengangguk.

“Ilmu yang Ajip belajar sekarang ni kalau tidak dikawal dia akan mengawal. Sekali dia sudah kawal kita, amat susah untuk kita kawal dia balik. Arwah ayahmu adalah satu teladan yang baik untuk dijadikan iktibar. Ilmu yang sedikit itu telah mengawalnya hingga dia hilang kawalan…” Sekali Razif menganggukkan kepalanya. Kini dia lebih jelas kenapa selama ini datuknya sangat berhati-hati terhadap ilmu-ilmu yang telah diturunkan kepadanya.

No comments:

Post a Comment