Saturday, February 12, 2011

Pencari Cinta - 69

SIAPA


Razif kini duduk di sebuah batu besar. Dia duduk bersebelahan air yang sedang terjun laju menjunam ke bawah. Tingginya kira-kira sepuluh kaki. Razif duduk membaca ayat-ayat yang telah diajarkan kepadanya seperti yang diarah. Duduknya bersimpuh sambil tangannya memegang tasbih dan mulutnya terkumat kamit. Setelah habis membaca dia pun duduk bersila dan meletakkan tasbih di sebelahnya. Fikirannya pun menerawang memikirkan peristiwa tadi.

“Bunyi harimau tadi macam bukan bunyi harimau biasa. Tapi tadi hidung aku jelas menangkap bau badan harimau. Tapi.., kata orang kalau bunyi harimau itu perlahan.., itu tandanya harimau itu dekat dengan kita, kalau bunyinya kuat.., itu tandanya harimau itu berada jauh. Tapi tadi bunyi kuat, kenap aku boleh bau badan dia?” Itu menunjukkan dia ada dekat. Kalau betullah ada harimau..., aduh, satu masalah baru ni buat aku. Tadi makhluk halus, kini makhluk kasar pula. Hmm, apa maksud atok aku ni sebenarnnya ya..? Kenapa dia buat aku macam ni? Dia kata nak bagi aku ilmu baru, tapi nampak gaya.., ini macam satu hukuman. Dia nak bagi aku ilmu ke, dia nak hokum aku secara halus? Eh, kenapa aku ni… Takkanlah atok aku nak bunuh aku? Ish, aku ni dah buruk sangka. Aku dah buat dosa… Astaghfirullahala’dzim… Tak apalah.., kalau dia kata dia nak bagi aku ilmu, aku kena percaya. Biadaplah aku kalau aku buruk sangka dengan Tok Guru, itu derhaka namanya.” Kemudian Razif terkenangkan kisah silam. Kisah arwah ayahnya dengan datoknya.

Suatu masa dahulu ayah Razif merupakan seorang yang suka berfoya-foya. Hidupnya penuh dengan maksiat. Semua orang kampong tidak suka dan takut dengannya kerana dia juga adalah seorang yang gagah dan pandai bersilat. Dia mempunyai penguikut yang agak ramai dan sama buas sepertinya. Setiap hari ibu Rzif pasti menjadi mangsa kegansan ayahnya. Razif membesar dalam suasana yang penuh ketakutan, penzaliman dan kurang kasih sayang.

Datok Razif pula merupakan seorang alim yang sangat penyabar. Selalu sahaja dia menasihati ayah Razif namun ayahnya sering memaki datoknya. Ayah Razif sering mencabar datoknya untuk bertanding dengannya namun datok Razif tetap menolak dengan baik.

Satu malam Razif telah menyaksikan satu oertarungan yang hebat antara datoknya dan ayahnya. Tiada seorang pun yang menyaksikan pertarungan tersebut melainkan beliau, itupun secara tak sengaja dan curi-curi. Ayah Razif seperti orang yang telah hilang akal membelasah datoknya. Namun yang menghairankan datoknya sedikit pun tidak melawan. Akhirnya ayah Razif telah kepenatan namun datok Razif seperti biasa, masih kuat dan seperti orang yang tidak mengalami sebarang kecederaan atau kesakitan langsung walaupun telah dibelasah teruk oleh ayahnya.

Dalam keadaan letih dan tidak bermaya itu Razif lihat datuknya berjalan menghmpiri ayahnya. Dia telah menekan bahu ayahnya hingga ayahnya meraung kesakitan. Kemudian datuknya pergi meninggalkan ayahnya bersendirian. Semenjak daripada itu Razif lihat ayahnya telah berubah. Dia telah bertukar menjadi orang yang baik dan warak. Dia sentiasa menangis ketiaka lepas sembahyang. Dua minggu lepas kejadian itu ayahnya telah meninggal dunia dia tas tikar sembahyang. Razif yakin ini semua berpunca dari datuknya.

Razif yakin ayahnya meninggal disebabkan oleh datuknya yang telah membuat sesuatu kepada ayahnya kerana malam itu dia telah menyaksikan semua pertarungan itu. Razif menyalahkan datuknya kerana meragut kebahagiaannya yang sekejap. Kerana pada Razif dua minggu perubahan ayahnya itu adalah saat paling indah pernah dikecapinya.

Pada suatu malam Razif telah pergi ke rumah datuknya dan mencabar datuknya supaya bertarung dengannya. Datuk Razif keluar, dia pun turun berhadapan dengan Razif. Saat razif berhadapan dengan datuknya ada satu kelainan yang dirasakan. Dia pun terus terasa kebenaran yang dibawa oleh datuknya. Dia jadi lemah bila memandang wajah datuknya yang tenang dan penuh kesabaran itu. Dia dapat rasakan datuknya pasti tidak akan melawan jika dia menyerang. Akhirnya Razif jatuh melutut ke bumi, menangis terisak-isak, memohon ampun kepada datuknya. Tetapi Pak Tua hanya membiarkannya sahaja.

Keesokan harinya Razif datang bertemu datuknya menyatakan hasrat untuk berguru dengannya. Semenjak hari itu Pak Tua pun mengambil Razif sebagai muridnya dan Razif pun belajar mengaji. Agak lama juga Razif belajar mengaji dengan Pak Tua dan Pak Tua tak pernah mengajar Razif silat seperti pemuda-pemuda yang lain. Razif hanya dapat melihat sahaja rakan-rakan sebayanya belajar silat, namun Pak Tua tak pernah mempelawanya belajar silat seperti yang lain. Hinggalah pada satu malam Pak Tua telah membawa Razif ke air terjun lalu dia telah mengajar Razif satu jurus. Jurus itu tidak bernama cuma Pak Tua ada meninggalkan pesan.

“Sekuat mana pun kita, segagah mana pun kudrat kita ini.., tapi ingatlah satu.., kita tidak mungkin boleh menongkat langit… Larilah jauh-jauh, pergilah manapun.., tapi ingatlah.., jangan biar diri merasa ‘tuan’.. kerana kita ada Tuhan… Biarlah jasad bersama manusia tapi hati kekal bersama Tuhan. Jika juruslah syarat untuk bertemu Tuhan, nescaya atuk akan bagi Ajip jurus-jurus yang lebih hbat daripada ni. Tapi oleh kerana hati adalah syarat untuk bertemu Tuhan maka atuk akan beri Ajip ilmu yang lebih hebat daripada ilmu ni…” Hingga sekarang Razif tidak lupa walau sebutir pun kata-kata datuknya itu.

No comments:

Post a Comment