Sunday, February 13, 2011

Kasihku Untukmu - 13

Perjalanan ke dusun Tok Ayah mengambil masa 30 minit dari rumah Tok Ayah.
“Banyaknya buah.Menjadi juga dusun ni.” Sarah Saffya bersuara sambil mendongak melihat buah-buahan di dusun Tok Ayah.
“Kamu nak makan, makan hari ni, Sarah. Esok kemungkinan besar kita akan berpuasa.Tu buah rambutan tu, nanti Tok Ayah suruh budak Amin tu panjat dan ambilkan untuk Sarah” Kata Atok Ayah lagi.
“Esok jadi ke kita berpuasa ni?”
“InsyAllah Sarah.” Sambung nek Su pula.

Sarah Saffya pulang ke kampung Tok Ayah kerana ingin menyambut bulan puasa bersama datuk dan nenek angkatnya itu. Sudah lama dia tidak pulang ke kampung itu.
“Sarah…” Nek Su memanggil Sarah dengan lembut.
“Raya nanti, Sarah jangan lupa datang sini. Nek Su buat lemang dengan serunding ayam kegemaran Sarah tu. Tiap-tiap tahun nek su buat, tunggu Sarah tapi….”
“Sudahlah tu! Awak ni tak habis-habis lagi? Bukankah dia dah datang.” cepat-cepat Tok Ayah memotong ayat nek su.

Begitulah nenek su dan tok ayah, mereka hidup berdua sahaja. Anak-anak mereka berada di kota besar dan sudah melupakan mereka berdua. Nenek Su selalu bercerita tentang dua orang anaknya yang sudah tidak menghiraukan mereka apabila berkahwin dengan orang Bandar. Dia juga berkali-kali menyatakan bahawa dia rindu untuk melihat anak-anak dan cucu-cucunya. Sarah Saffya masih ingat bagaimana dia berkenalan dengan mereka berdua.

Semuanya berlaku apabila dia dan rakan-rakannya membuat perancangan untuk camping. Salah seorang rakannya di kolej telah mencadangkan agar mereka memilih kaki gunung Ledang Asahan disempadan Johor-Melaka. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke kaki gunung ledang Asahan mengambil masa lebih kurang dua setengah jam.Berdekatan dengan kaki gunung terdapatnya dusun buah-buahan. Disitulah mereka berkenalan dengan Nenek Su dan Tok Ayah. Sejak berkenalan dengan Nenek Su dan Tok Ayah, Sarah selalu juga berkunjung ke situ.Malah mereka telah mengambilnya sebagai cucu angkat. Sarah Saffya merasa gembira sekali bersama Nenek Su dan Tok Ayah. Pengalaman yang baru bersama mereka di kawasan perkampungan merupakan pengalaman yang tidak mudah dilupakannya.

No comments:

Post a Comment