Tuesday, January 25, 2011

Pencari cinta - 61

SAKIT


Seorang lelaki umur sekitar lima puluhan berjalan disebuah lorong. Langkahnya agak lemah. Dia seperti orang yang sedang dirudung kebimbangan. Dia berlabuh sebentar di sebuah tembok tidak lama kemudian dia bangun dan berjalan semula, tapi tak lama selepas itu dia duduk kembali kemudian bangun dan jalan balik. Fikirannya menerawang ke perbualan semalam bersama isterinya.

“Bang, tolong bang, anak kita semakin teruk, dia perlu dibedah cepat, doctor kata dia sudah lama sangat duduk di wad, jadi doctor nak hantar dia balik. Kalau duit dah cukup baru datang balik…” Kemudian dia teringat kata-kata doctor beberapa bulan yang lalu. “ Anak encik perlukan pembedahan segera, jika tidak dikhuatiri akan berlaku sesuatu yang tidak diingini. Penyakit jantungnya semakin bertambah kronik, ia perlukan pembedahan segera. Kosnya agak tinggi.” Kemudian dia teringat pula ketika dia di tempat kerjanya.

“Tauke kata duit belum ada.”

“Tapi kerja sudah siap.”

“Yalah, tapi duit tak ada, apa mau bikin. Saya pun kerja makan gaji jugak. Lu sini kerja permit pun tak ada, lu jangan bikin susah. Kalau lu mau duit. Lu kena tunggu.”

“Tolonglah anak saya sakit.”

“Lu anak sakit ke, mati ke, apa saya boleh bikin?” Walaupun kata-kata itu cukup memedihkan namun dia tetap juga menunggu. Hari demi hari, namun jawapan yang sama juga dia dapat. Tapi semalam sesuatu yang cukup menyiksakan batin terjadi. Rupanya dia telah ditipu. Orang itu lesap begitu sahaja. Kerja sudah siap tapi duit tak dapat. Ingin dia buat pinjaman namun apakan daya, dia hanyalah pendatang haram.

“Tapi aku juga manusia, anak aku juga berhak hidup macam orang lain. Aku sebagai bapak mesti ikhtiar, selagi nadi aku masih berdenyut, aku mesti pastikan anak aku bernafas.”

Dia melangkah ke tengah khalayak ramai. Kini dia menguatkan azam. Dia mesti mencari duit seberapa segera demi untuk menyelamatkan anaknya. Lalu dihadapannya beberapa keluarga sedang membeli belah, anak berjalan sambil berpimpin tangan sungguh gembira. Matanya merah dan berair tapi ditahannya. Di tengah-tengah kegembiraan orang yang banyak itu terselit satu jiwa yang sedang menagih simpati. Cuma dia berbeza bangsa namun darahnya tetap merah.


Razif melangkah laju. Salim mengikutnya dari belakang dan hampir tak terkejar. Razif membelok ke belakang bangunan sekolah dan melihat sekumpulan pelajar perempuan. Adiknya berada dicelah-celah kelompok tersebut. Dia memberikan isyarat tangan dan adiknya pun datang.

“Kenapa kau menipu?! Kenapa kau berani menganiaya Iman? Apa sebenarnya yang berlaku?”

“Ah..! Abang apa tahu, abang jangan masuk campur!”

“Hei, Iman tu kawan aku! Kenapa kau buat dia macam tu? Dia tak bersalah!” Tiba-tiba Ain dan beberapa kawannya yang lain datang.

“Hei, Razif kau nak apa hah?! Sekarang adik kau dah ‘join’ kita orang, kau tak payah nak sibuk-sibuk. Sekarang ni kami jaga dia, apa-apa hal kau kena jumpa aku dulu.”

“Ah..! Kau pun sama jugak, penipu!” Razif berasa marah tapi dia cuba kawal.

“Habis tu kau nak buat apa sekarang? Kau nak pukul aku, pukullah!”

“Kurang ajar kau Ain!” Salim pula cuba masuk campur tapi ditahan Razif.

“Dah jom kita pergi.” Razif menarik tangan Salim.

“Eh, tapi… “

“Dah lah jom.” Loceng berbunyi menandakan waktu rehat sudah pun tamat. Razif berjalan sambil berbincang sesuatu dengan Salim.

“Apa sebenarnya yang berlaku ni Zif, cuba kau cerita dengan aku.” Salim cuba mengorek rahsia.

“Sebenarnya macam ni…” Razif pun menceritakan hal apa yang telah berlaku baru-baru ni kepada Salim.

“Oh, patutlah…”

“Aku hanya bagitahu kau seorang sahaja, sebab kau kawan baik aku. Tapi kalau kau pecahkan rahsia ni.., kau tak akan jumpa lagi aku sampai bila-bila.”

“Eh, jangan macam tu, o.klah aku janji aku tak akan bocor rahsia. Tapi aku tak sangka pula kau ni ada belajar silat. Dengan siapa Zif?”

“Itu rahsia.”

“Habis tu betul ke Dino pun kalah di tangan kau?”

“Bukan dia kalah dengan abang dia.”

“Eh, abang dia ada sekali? Eh, maamana pula abang dia boleh datang?

“Aku pun tak tahu, tiba-tiba je abang dia muncul.”
“Fuh, nasib baik abang dia datang, kalau tidak…” Razif hanya tersenyum. “Habis tu, apa ‘plan’ kau sekarang ni Zif?”

“Aku nak selesaikan mereka.”

“Ha? Kau biar betul.., maksud kau Dino ke?!” Razif hanya mengangguk.

No comments:

Post a Comment