Sunday, January 23, 2011

Pencari Cinta - 59

ALAM


“Alam ni luas Man, ada alam barzakh, alam akhirat, alam malukud, jabarut, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain. Malah masa antara alam-alam tersebut pun berbeza. Kalau kita kaji badan kita ni pun kita dah tahu jawapannya.” Kata-kata Pak Su itu terngiang-ngiang dalam kepala Iman. Dia masih lagi tidak dapat melelapkan matanya. Dia pun duduk dan megkaji kata-kata tersebut.

“Alam, badan, masa… Dalam badan aku, ada darah.., badan aku juga merupakan sebuah kerajaan yang rajanya adalah aku sendiri. Jadi badan aku ni satu alam yang lain, masa pergerakannya juga berbeza. Hmm.., neuron, dendrit, akson.” Tiba-tiba sahaja Iman teringat ilmu sains yang pernah dipelajarinya disekolah. Lalu dia pun terbayangkan gambarajah bagaima caranya neuron, dendrit dan akson itu berhubung dengan satu sama lain. Kemudian dia pun bangun dan mengambil satu pin. Dia memejamkan mata dan mencocok mata pin itu ke hujung salah satu jarinya.

“Aduh, sakit. Wow, maknanya air merupakan salah satu alat penyampai maklumat yang sangat cepat. Patutlah Pak Su kata kalau setitis najis jatuh ke dalam air, maka seluruh air itu juga akan menjadi najis, kecuali kalau air itu melebihi dua kolah, itu pun sekiranya ia tidak merubah warna dan rasa. Air itu juga tidak akan menjadi najis sekiranya air itu mengalir contohnya air sungai. Tapi kalau air longkang..? Eh, air longkang tentulah najis, sebab berbau dan rasanya pun lain, apalah aku ni. Hmm, kalau aku letakkan arus elektrik ke dalam sebuah sebuah air yang bertakung, bermakna seluruh air itu akan mengalami arus elektrik dan sesiapa yang menggunakannya akan mengalami kejutan. Tapi.., kalau air tu terlalu banyak.., mungkin arus elektrik tidak akan dapat menguasai seluruhnya… Tapi kena air yang berapa banyak?” Iman berfikir sejenak. Kemudian dia teringat pelajaran yang dia pernah pelajari dari pakciknya tentang cara menyukat air sebanyak dua kolah.

“Pak Su cakap air dua kolah itu mestilah dalamnya sepanjang sebelah tangan dan lebarnya juga sebelah tangan. O.k.., jadi bermakna kalau air itu melebihi dua kolah mungkin arus elektrik tidak dapat menguasainya kecuali arus elektrik itu terlalu banyak. Kerana hanya najis yang banyak sahaja dapat merubah warna dan rasa air dua kolah tu. Yes!” Kemudian Iman tersenyum sendirian.

“Patutlah mereka guna selipar dalam bilik air, sebab air dalam tu semuanya najis. Hai.., lemah betullah aku ni, dah besar baru aku nak faham.”

Iman mula berbaring sambil melelapkan matanya. Hari ini antara hari yang mendebarkan dan penu pengalaman baru. Bunyi cengkerik malam di sebuah kawasan perkampungan menyerlahkan lagi malam yang semakin gelap. Lampu mentol menerangkan serambi rumah Pak Tua yang mengajar anak cucunya mengaji, sementara itu di halaman rumahnya pula sibuk anak-anak muridnya belajar pencak silat. Razif adalah orang yang terakhir sekali belajar mengaji. Semua orang sudah pun beransur tetapi dia ditahan Pak Tua.

“Atuk dapat alamat.., Ajip gunakan jurus siang tadi.” Razif hanya diam, kepalanya tunduk menghadap lantai, kakinya bersimpuh dan mukanya pucat.

“Ajip tak sengaja Tuk.”

“Sengaja atau tidak bukan masaalahnya… Niat itulah yang utama. Atuk ajarkan sesuatu yang berbentuk amanah, Ajip adalah orang yang sudah pun layak dan sanggup untuk memikul amanah ini… Ajip mesti bertanggungjawab terhadap apa yang Ajip dah buat, Ajip mesti bersedia menerima hukumannya!” Tongkatnya dihentak ke lantai, mukanya serius. Badan Razif mula menggigil, Razif seolah ketakutan dan dia pun menangis.”

“Ampunkan Ajip Tok.., Ajip tak sengaja.”

“Bersedialah lagi tiga hari…” Razif tahu lagi tiga hari keputusannya akan diumumkan, samaada dia bersalah atau tidak.

No comments:

Post a Comment