Wednesday, January 19, 2011

Pencari cinta - 55

PENAT


Hari itu Iman pulang agak lewat. Dia juga tidak pergi ke masjid seperti biasa dan hanya bersembahyang jemaah dengan Mak Su di rumah. Iman lebih banyak mengelamun hingga terbawa ke makan malam.

“Aku hairan betullah, macamana sakit aku boleh sembuh semuanya dalam sekelip mata ya… Apa yang dibaca Razif masa dia bagi daun tu kat aku? Seumur hidup aku lah, inilah pertama kali aku jumpa ilmu yang macam tu. Selama ni aku hanya melojikkan semua benda yang ada didepan mata aku… Aku teringin nak kaji dan belajar ilmu yang macam tu. Tapi, bukankah Pak Su ada bagitahu, ilmu yang macam tu adalah ilmu-ilmu yang biasa… Oh, ya sekarang baru aku sedar sesuatu, kehebatan Razif adalah pada akhlaknya, dia sangat merendah diri. Tapi itu ke yang dinamakan rendah diri? Patutlah selama ni dia biar sahaja orang belasah dia, sebab dia tak nak menunjukkan ilmu yang dia ada. Patutlah dia cakap ilmu Tuhan tu luas, ada yang kena keluarkan, ada yang kena simpan. Kalau dia keluarkan semua ilmu yang dia ada.., aku ingat porak-peranda orang semua kena belasah. Ish, betul juga dia cakap. Hai.., pelik betullah orang Malaysia ni, cukup misteri. Tapi yang paling misteri ialah Pak Su.” Iman memandang Pak Su.

“Manusia ni memang ada bermacam-macam Man, ada yang misteri dan ada yang tidak. Tapi manusia yang ada nilaian disisi Tuhan ialah orang yang dapat memberi manfaat pada orang lain. Kalau dia tak tahu bersilat pun tidak mengapa.” Iman tercengang dan tersentak, padahal dia hanya berkata didalam hatinya. Mak Su hanya tersenyum melihat gelagat Iman yang serba salah.

“Err, Pak Su, tadi saya jumpa satu orang tu dia ada ilmu boleh menghilangkan bengkak-bengkak yang kronik hanya menggunakan daun dan jampi. Err, itu ilmu hitam ke Pak Su?”

“Orangnya macamana? Sembahyang tak?”

“Sembahyang Pak Su, sembahyang sebelah saya lagi tu.”

“Hmm, kalau begitu itu bukanlah dinamakan sihir, tapi ilmu batin. Mungkin dia menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran.”

“Tapi peliklah Pak Su, macamana boleh sembuh?”

“Ilmu Tuhan tu kan luas Man. Pak Su rasa alat perubatan di Australia lagi canggih, betul tak? Jadi apa yang nak di hairankan. Yang pelik dan mustahil ialah.., bila kita tak sedar yang menjadikan itu semua adalah Tuhan. Kita rasa manusia dan alat-alat yang hebat, bukannya Tuhan.., kan pelik tu.”

“Pak Su.., boleh tak Iman belajar ilmu yang macam tu?”

“Isilah akal dengan ilmu sebanyak-banyaknya, tapi ingat.., kalau dia tidak ditunjang dengan iman, ia tidak disuluh dengan syariat.., dia boleh membawa sesat.” Ringkas tapi berisi kata-kata Pak Su membuatkan Iman terangguk-angguk tanda faham. Apa guna kalau berilmu banyak kalau kesudahannya neraka. Oleh itu kata-kata Pak Su merupakan panduan kepadanya. Malam itu Iman telah mendapat dua kekenyangan, pertama makan malam, kedua makanan rohani.

Seperti biasa selepas makan Iman menolong Mak Su mengemas meja dan membasuh pinggan. Semasa sedang bekerja Iman pun mengemukakan soalan pada Mak Su.

“Mak Su, Mak Su…”

“Ya, Man…”

“Tahu tak ilmu hitam tu apa?”

“Sihir.” Ringkas sahaja jawapan Mak Su sambil tangannya membasuh pinggan.

“Ilmu batin dengan sihir tu tak sama ke Mak Su?”

“Lain, ilmu sihir tu hanya digunakan oleh orang yang bukan Islam. Kalau orang Islam guna sihir.., dia boleh jatuh syirik. Ilmu kebatinan pula kebanyakannya diguna bersama ayat-ayat suci Al-Quran, tapi.., kalau disalah guna pun boleh merosakkan aqidah dan tergolong menjadi ilmu sihir.”

“Tapi macamana pula ayat-ayat Al-Quran dapat menyembuhkan luka atau bengkak dalam sekelip mata? Sedangkan kalau mengikut ilmu perubatan.., ia pasti mengambil masa paling kurang seminggu untuk sembuh dan pulih seperti biasa?”

“Iman pernah dengar tak tentang tentera Tuhan?”

“Tak pernah pun.”

“Maha Suci Tuhan yang mempunyai tentera yang banyak. Ada yang dapat dilihat, ada pula yang sebaliknya. Mereka itu ada dimana-mana, angina, air, gunung-ganang, nyamuk, semut malah virus juga adalah tentera Tuhan. Mereka ini sangat patuh mengikut arahan. Bila diarah, mereka akan segera bertindak. Tidak kenal usia, pangkat atau sesiapa sahaja.”

“Oh.., baru saya faham…” Mak Su tersenyum.

“Baiklah apa yang awak faham?” Sesi ujian pun bermula.

“Darah merupakan salah satu tentera Tuhan.”

“Sebab?”

“Sebab darah juga jenis air.”

“Ha, tahu pun. Ada berapa banyak air dalam badan kita?”

“Ada 70%.”

“Tapi ingat, dia hanya akan bertindak mengikut arahan.”

“ Patutlah badan bengkak di badan saya, eh, dibadan orang yang saya nampak tadi tu boleh sembuh dengan cepat. Rupanya kerajaan dalam diri ni luas kan Mak Su. Tapi saya ada ramai kawan-kawan yang tak percaya Tuhan tau Mak Su. Macamana saya nak terangkan pada mereka tentang ilmu ni.?” Iman cuba mengalihkan pandangan kerana dia telah tersasul tadi.

“Katakan pada mereka, kalau mereka betul-betul tak perlukan Tuhan dalam hidup mereka, suruh pulang balik barang-barang milik Tuhan.”

“Apa dia Mak Su?”

“Tangan, kaki, kepala, hidung, mulut dan semua anggota badan hinggalah kepada nyawa. Kerana setiap barang-barang tu ada tuan punya, bukan ibu bapa mereka yang beri.” Iman tersengih keran apa yang dikatakan oleh Mak Su itu betul.

“Baiklah Mak Su, apakah beza antara mukjizat dan karomah?”

“Eh, mana awak tahu benda-benda tu?”

“Bacalah Mak Su.”

“O.k, pergi air panas dulu.” Iman bergegas pergi mengambil air. Sambil itu Mak Su menyiapkan kopi. Iman hanya melihat sahaja mak Su membancuh kopi sambil menunggu jawapan. Selesai membancuh dia pun mengambil beberapa keping biskut lalu diisi ke dalam pinggan namun Iman masih lagi menunggu jawapan dan Mak Su masih lagi membisu.

“O.k, siap. Jom kita pergi tanya Pak Su.”

No comments:

Post a Comment