Wednesday, January 12, 2011

Pencari Cinta - 53

TERKENA


“ Eh, Ifa awak nak pergi mana? “

“ Perpustakaan. “

“ Eh, awak tak balik dulu ke? “

“ Tak… Eh, awak semua ni nak pergi mana? “

“ Perpustakaanlah. “

“ Awak semua tak balik dulu ke? “

“ Tak..! “ Mereka menjawab serentak.

Semua pelajar berduyun-duyun turun tangga untuk balik, tapi mereka pula sibuk melawan arus untuk pergi ke perpustakaan. Oleh itu perjalanan menaiki tangga agak meletihkan berbanding biasa kerana mereka terpaksa menempuh orang ramai yang sedang berjalan turun. Akhirnya mereka berjaya juga tiba ke atas. Tiba-tiba salahh seorang dari mereka terperasan sesuatu.

“ Eh, Ifa awak tengok tu… “ Semua orang memandang ke bawah. Kelihatan Dino dan Ain sedang bersembang.

“ Jomlah. “ Tiba-tiba Latifah mengajak mereka pergi. Mereka semua serba salah.

“ Eh, Ifa awak o.k? “

“ Saya o.k je.., tak ada apa-apa pun, kenapa? “

“ Saya minta maaf ya Ifa kerana tak sengaja, err… “

“ Jangan risaulah saya tak ada apa-apa. “ Latifah mula tersenyum.

“ Awak tak cemburu ke Ifa? “

“ Cemburu? Tak adalah, nak cemburu buat apa pulak? “

“ Takkanlah awak tak cemburu tengok Dino dan Ain tadi? “

“ Tak langsung. “

“ Kenapa pula Ifa? “

“ Sebab saya memang tak ada hati dengan dia. “

“ Ei.., Latifah ruginya, satu sekolah rebutkan dia, awak pula boleh tolak dia, mustahillah. “

“ Iyalah Ifa, dia kan ‘handsome’, gagah, badan dia sasa, tinggi macam model, berpengaruh, pendek kata dia merupakan impian bagi setiap wanita tahu tak? “

“ Hm.., entahlah. Pada saya dia biasa je. “

“ Takkan awak nak biar Ain rampas dia daripada awak? “

“ Mana Awak tahu dia suka saya? “

“ Hei, satu sekolah dah tahu yang dia suka awak. “

“ Yelah Ifa, awak tahu tak awak dengan dia ibarat pasangan merpati dua sejoli tahu tak? “

“ Cewah… “

“ Untuk makluman awak semua, saya memang tak ada hati dengan dia. Kalau Ain nakkan dia, silakan. Saya pun tak ‘heran’. Sekarang ni saya nak tumpukan pelajaran saya dan itulah keutamaan saya sekarang. “

“ Eh, betullah apa yang awak cakapkan tu Ifa. Malu pula saya, sepatutnya kita mestilah lebih tumpukan pada pelajaran kita, apalah saya ni. “

“ Patutlah awak beria-ia nak ke perpustakaan. “

“ Ke sebab awak nak jumpa Fauzi..? “

“ Oh.., awak ada hati dengan Fauzi ya… “ Latifah hanya tersengih, dia pun dah malas nak layan kerenah kawan-kawannya itu.

“ Iyalah tu… Diam tandanya.. “

“ Setuju..! “ Mereka menjerit serentak.

“ Suka hati ‘korang’lah… “ Latifah berkata didalam hatinya. Ternyata dia pandai berahsia.

Iman baru sahaja habis solat Zohor di surau sekolah. Dia pun menyarungkan kasutnya. Cuaca panas dan terik. Tiba-tiba perut Iman berbunyi, kemudian dia tersenyum sendirian.

“ Mana aku ada duit, lepak perpustakaan jelah. “

Iman berjalan menyusuri lorong belakang sekolah. Tiba-tiba dia dihampiri oleh dua orang budak perempuan. Dengan kasar dia menyoal Iman. “

“ Hei, mana Razif kawan kau?! “

“ Razif, entah. Tapi petang nanti dia datanglah. “ Kemudian Iman terus berlalu. Budak perempuan itu masih lagi menunggu seperti berbincang sesuatu.

“ Eh, kenapa kau biar dia pergi. “

“ La.., kan kita nak cari Razif. “

“ Hei, kau dah lupa ke, ‘target’ kita sebenarnya Iman. “

“ Eh, ya tak ya juga. Kalau begitu senang sikitlah kerja kita. “ Mereka berdua terus mengejar Iman kembali.

“ Hei, Man. “ Iman menoleh. Ternyata budak perempuan tadi datang kepadanya.

“ Ya, ada apa-apa yang boleh saya tolong? “

“ Ada, sila pergi ke Blok C sekarang, ada orang nak jumpa kau. “

“ Oh, ye ke. Hmm, o.k. “ Iman pun berlalu meninggalkan kedua budak perempuan itu. Mereka melihat Iman pergi sambil tersenyum jahat.

Blok C merupakan sebuah dewan yang jarang digunakan dan terletak dikawasan yang agak terpencil dan jauh sedikit dari kelibat orang ramai. Iman menghampiri bangunan tersebut, tiba-tiba telinganya menangkap sesuatu bunyi, bunyi seperti orang yang sedang bergaduh. Iman ke belakang dan terkejut melihat adik Razif sedang dibelasah oleh Ain dan kawan-kawannya.

“ Hoi, lepaskan dia! “ Suara Iman tidak diendahkan mereka.

“ Iman tolong! “ Suara adik Razif lemah meminta tolong.

“ Hoi, lepaskan dia, kalau tidak… “ Iman mula menanggalkan kasut. Dia pun melemparkannya kearah Ain yang sedang rancak membelasah adik Razif. Kasutnya tepat mengenai kepala Ain.

“ Aduh! “ Ain mengerang, dia pun memandang ke arah Iman. Tiba-tiba kasut Iman yang kedua pun sampai tepat mengenai mata Ain. Ain pun meraung dengan kuat. Entah dari mana ‘Black’ dan kawan-kawannya muncul dan mengepung Iman. Adik Razif mengambil kesempatan ini untuk melarikan diri. Iman agak keliru, apa sebenarnya yang sedang terjadi.

“ Berani kau pukul perempuan ya, hari ni aku akan buat kau menyesal kerana bersekolah disini. Aku nak kau pindah ke sekolah lain. “ Satu penumbuk singgah ke perut Iman. Kemudian beberapa penumbuk lagi menyusul kemudian. Iman ibarat lauk di dalam talam. Tapi bukan sahaja penumbuk yang disajikan, malah sepak terajang.

“ Hoi! “ Mereka berhenti dan menoleh kebelakang. Razif muncul tiba-tiba.

“ Bagus, aku akan satukan kau berdua. “ ‘Black’ meluru sambil menggenggam penumbuknya. Tapi sayang hanya dengan satu elakkan sahaja ‘Black’ telah jatuh tergolek kerana tersadung ‘kuda-kuda’ kaki Razif. Momentum badannya yang laju telah membuatkan ‘Black’ pengsan kerana terhantuk ke dinding. Manakala Razif sedikit pun tidak berganjak.

Yang lain panik, tapi cuba juga menyerang Razif. Hanya menggunakan jari telunjuk sahaja Razif menekan titik akupuntur mereka menyebabkan mereka tidak dapat bergerak dan terpaku. Sungguh pantas pergerakan Razif. Mereka tidak dapat menyentuh Razif sedikit pun. Razif menghampiri Iman yang pengsan.

“ Maafkan aku kawan. Aku tak sangka perkara begini akan berlaku. Aku pernah berjanji, yang aku tidak akan membenarkan sesiapa pun menyentuh kau, tapi aku terlewat… “ Razif pun bangun dan mengambil beberapa helai daun yang dipilih dari belukar berhampiran. Dia pun meramas daun-daun itu kemudian dia menampalkannya ke tempat bengkak-bengkak di badan dan muka Iman. Kemudian diramasnya lagi beberapa helai daun, selepas itu dibacakan sesuatu lalu dihembuskan ke daun tersebut. Daun itu kemudiannya diletakkan ke hidung Iman. Iman pun tersedar, dia melihat Razif sedang memandangnya sambil tersenyum.

“ Aduh, sakitnya kepala aku. “ Tiba-tiba Iman mengerang kesakitan sambil tangannya memegang kepala.

“ Nah, kau cium ni. Biasalah, lelaki kenalah tahan sakit. “ Razif menghulurkan daun yang baru dijampinya sebentar tadi. Razif pergi lagi memilih dan memetik beberapa helai daun, di asingkan daun itu kepada dua, kemudian diramas dan sekali lagi dibacakan sesuatu lalu dihembus kearah daun itu. Iman melihat semua gelagat Razif dengan riak muka yang penuh tanda tanya.

“ Nah, yang ni kau cium. “ Iman pun mengambil dan mencium daun itu.

“ Wah, segarnya.., hilang terus aku punya sakit kepala. Tapi.., badan aku pula sakit. “

“ Kat mana? “

“ Satu badanlah. Eh..? “ Iman terpandang ‘Black’ dan kawan-kawannya.

“ Dah, kau jangan risau mereka tak boleh gerak selama lima belas minit. Mari aku ubat kau dulu. Lepas ni kita boleh pergi. “ Razif mengubat Iman menggunakan tenaga batin. Satu pengalaman baru buat Iman. Ternyata kesemua kesakitannya hilang begitu sahaja dalam sekejap masa. Badannya dirasakan seperti baru dan segar.

“ O.k sekarang kau dah boleh jalan, mari kita pergi. “

“ Eh, Zif.., aku masih tak percayalah, macamana badan aku boleh sembuh? “ Iman mula bertanya semasa mereka berjalan meninggalkan tempat itu.

“ Itulah yang dikatakan rahsia alam. Ilmu Tuhan tu kan luas. “

“ Seumur hidup aku, tak pernah pun aku jumpa ilmu yang macam ni. Dari mana kau belajar ni semua? “

“ Man, kita ikut jalan luar, aku rasa tak sedap. “ Tiba-tiba Razif menukar haluan. Iman tahu jalan mana yang dimaksudkan Razif, jadi dia pun hanya mengikut sahaja dari belakang. Mereka keluar dan menuruni tangga.

“ Man, aku nak pesan sesuatu pada kau. Tolong jangan cerita tentang apa yang kau nampak hari ni dengan sesiapa pun. “

“ Sekarang ni kita nak pergi mana? “

“ ‘Study group’, mungkin mereka dah menunggu kita lama. “

“ Habis aku nak cakap apa pasal baju aku yang koyak ni? “ Iman pun menunjukkan bajunya yang koyak.

“ Terpulanglah, tapi tolong jangan cerita sikit pun tenang aku faham? “ Iman faham maksud Razif.

“ Zif, nil ah kali pertama aku tengok kau belasah orang. “

“ Kau ada nampak aku belasah orang ke? “

“ Tak adalah.., tapi, “ Tiba-tiba Razif berhenti. Iman pun terpaksa juga berhenti. Razif senayp seperti sedang menunggu sesuatu.

Ada sesuatu benda laju sedang menuju tepat kekepala Iman, tetapi Iman tak perasan. Hampir sahaja benda itu sampai kekepala, Razif berjaya menangkapnya dengan kemas. Iman terkejut tetapi dia selamat. Benda itu adalah sebiji batu sebesar separuh penumbuk.

“ Serahkan budak itu pada aku kalau kau nak selamat! “ Dino memberi amaran dari atas namun masih lagi berada didalam pagar kawasan sekolah. Dia bersama beberapa lagi kawan-kawannya. Pagar besi merupakan penghalang mereka untuk keluar, disitu Iman berasa sedikit lega.

“ Langkah mayat aku dulu! “ Razif menjerit tegas. Dino dan kawan-kawannya pun memanjat dan melompat turun hingga jejak kebumi. Iman terkejut, kerana tempat itu berbukit dan mereka berjaya sampai ke bawah dengan cukup kemas dan tangkas. Mereka pun mengepung Razif dan Iman.

“ Eh, aku rasa tak perlulah kau susah-susah, sebab Dino bukan nak kau, tapi dia nak aku. “

“Oh, ye ke..? Lembu dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji, aku harap kau hormati pendirian aku.“ Razif terus mencucuk belakang tengkuk Iman menggunakan jari telunjuknya menyebabkan Iman pengsan. Kini Razif mengalihkan tumpuannya pada Dino dan kawan-kawannya.

“Sekarang ni tak payahlah kau usik lagi budak ni, kau maafkan je lah dia. Kan elok kita bermaafan dan berbaik-baik sahaja...” Razif cuba tawar menawar.

“Cis, tak guna.., berani kau buang masa aku!” Dino mula marah, dia pun memberikan isyarat kepada kawan-kawannya supaya menyerang Razif.

Razif langsung tidak melawan. Dia hanya membiarkan sahaja badannya dipukul beramai-ramai hingga jatuh kebumi. Melihatkan Razif tidak berdaya, salah seorang dari mereka cuba menghampiri Iman.

Dia pun menarik leher baju Iman, Iman masih lagi pengsan. Kini Iman dalam posisi terlentang. Tiba-tiba sahaja Razif bangun dan terus menuju kearah budak itu. Baru sahaja dia sedang meghayunkan penumbuknya kearah muka Iman, Razif pun menangkap penumbuknya itu dengan sepantas kilat. Dia cuba menarik kembali penumbuknya tetapi tangannya langsung tidak bergerak, seolah-olah tangannya itu telah melekat. Dia cuba melayangkan penumbuknya yang satu lagi kearah Iman…

“Kau memang berani!” Sejurus selepas Razif menghabiskan kata-katanya dia pun menolak penumbuk yang ditangkapnya tepat ke dada budak itu. Budak itu pun melambung seperti laying-layang yang terputus talinya.

Kawan-kawannya yang menyaksikan peristiwa tersebut seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku. Mereka seperti tidak puas hati lalu menyerang Razif sekali lagi. Tetapi sayang, kali ini Razif seperti tidak memberi mereka peluang lalu kesemua mereka jatuh menyembah bumi kerana terkena kehebatan pukulan Razif. Mereka tidak dapat menjamah badan Razif walaupun sedikit. Razif hanya menggunakan tapak tangannya sebagai senjata dan ternyata mereka semua bukanlah tandingan Razif.

“Tak ku sangka, aku ditipu selama ini!” Dino yang menyaksikan kehebatan Razif mula bersuara.

“Aku tak berniat pun nak mencederakan sesiapa, niat aku cuma nak mempertahankan Iman, itu saja.”

“Cis! Banyak cakap, berani kau memperbodoh-bodohkan aku ya!”

“Percayalah, kalau kau nak pukul aku, pukullah… Tapi tolong jangan apa-apakan Iman.”

“Bodoh, padahal Imanlah sasaran aku!”

“Kalau begitu aku tidak ada pilihan.”

“Bagus kalau begitu bersedialah!” Dino pun membuka pencaknya. Dia pun menyerang Razif.

Setiap pukulan yang diberikan dapat disambut oleh Razif dengan begitu tenang sekali. Ternyata Dino menggunakan teknik pukulan keras manakala Razif pula menggunakan teknik yang begitu lembut sekali dalam mempertahankan dirinya.

Dino semakin berang, setiap pukulannya dirasakan seperti terkena angin walaupun ada juga pukulannya yang terlepas ke badan Razif, namun dirasakan lembutnya seperti kapas. Ini membuatkan Dino semakin tertekan kerana setiap pukulan yang dilepaskan tidak berhasil malah mengakibatkan dia kehilangan tenaga sedangkan tidak ada langsung tanda-tanda keletihan pada Razif kerana perbezaan teknik yang digunakan.

“Cis, kau mungkin belum kenal lagi siapa aku.” Dino berhenti dan cuba mengubah taktik. Dia pun mengenakan penutup matanya. Sejurus selepas itu dia pun melompat dan mengenakan satu tendangan kearah Razif.

Kali ini Dino pukulan Dino benar-benar berubah. Walaupun matanya tertutup namun setiap pergerakan Razif dapat dibaca. Cekap menepis dan menyerang. Razif semakin kelam kabut. Kali ini Razif dalam keadaan tertekan, namun dia tetap tenang kerana menang bukanlah matlamat asalnya. Dia seboleh-boleh cuba mengelakkan sebarang pertarungan. Tendangan Dino yang terakhir telah membuatkan Razif tercampak dan terbaring seolah-olah tidak lagi berdaya. Tapi ternyata inilah lawan Dino yang sangat mencabar kewibawaannya dan dia merupakan seorang lawan yang tidak disangka-sangka. Setelah agak yakin yang Razif tidak berdaya untuk bangun lagi, Dino pun berjalan menuju ke arah Iman.

“Berhenti, jangan kau cuba hampiri dia.” Dino terdengar Razif memberikan amaran. Tapi tidak diendahkannya.

“Jangan kau berani bergerak selangkah lagi.” Sekali lagi Razif memberi amaran melihatkan Dino tetap melangkah degil.

“Ini amaran aku yang terakhir!”

“Cis, barangkali kau memang dah bosan dengan hidup kau!” Dino melompat dan cuba memijak Razif, tetapi sepantas kilat Razif bangun dan terus menegak tanpa menggunakan tangan untuk membantunya bangun. Kini Razif memjamkan matanya, kedua tangannya diangkat seperti sedang berdoa. Setiap pukulan Dino tidak dielak namun setiap kali terjatuh dia terus bangun dan menyambung doanya kembali. Begitulah seterusnya hingga beberapa kali. Dino bertambah geram kerana mustahil setiap pukulannya yang berat itu tidak memberi kesan apa-apa kepada Razif. Dia pun membuka tutup matanya.

“Aku akan menunjukkan kepada kau jurus aku yang sebenar, bersedialah!” Dino pun membuka satu jurus maut. Baru sahaja dia hendak menyerang, tiba-tiba serangannya ditahan oleh satu tangan menyebabkan serangannya tersasar.

“Berhenti! Kau bukan lawannya!” Rupanya yang menahan serangan tadi adalah abang Dino sendiri. Dengan masih lagi berbaju pengawas, dia bersungguh menyuruh Dino menghentikan serangannya.

“Ah..! Kau jangan cuba masuk campur. Ini bukan urusan kau!”

“Kau yang bodoh, aku kata berhenti, berhentilah! Apa kau dah lama hidup?!”

“Kau jangan halang aku!” Dino tidak peduli, dia tetap juga menyerang. Tapi abangnya dengan mudah mematahkan setiap serangannya. Ternyata abang Dino lebih handal darinya. Dino semakin tertekan, dia pun cuba membuka jurusnya yang terakhir lalu dia pun membuat serangan.

“Berhenti!” Dino terkejut melihat wajah abangnya tiba-tiba sahaja berubah menjadi seperti harimau. Serangannya terhenti. Badannya terasa lemah dan menggigil.

“Kau bernasib baik kerana ayah telah mengajar kau menggunakan jurus ini, tapi ingat.., ada ubi ada batas. Satu hari nanti aku pasti akan mengajar kau!” Mukanya pucat lalu dia pun melarikan diri bersama kawan-kawannya yang lain. Manakala Razif masih lagi memejamkan mata, namun doanya sudah pun selesai. Tangannya dilunjurkan kebawah dengan kedua belah tapak tangannya dibuka luas. Abang Dino menghampirinya seraya berkata.

“Tolonglah maafkan adik aku, sesungguhnya dia tidak mengetahui.” Tiba-tiba sahaja Razif membuka kelopak matanya. Terkejut abang Dino kerana melihatkan mata Razif yang merah menyala. Kemudian ditutup kembali dan dia pun membongkok dan meletakkan kedua telapak tangannya ke bumi. Setelah itu dia pun menghampiri Iman. Setelah mengenakan daun yang diramas tadi, Iman pun bangun. Mereka berdua pun beredar meninggalkan tempat itu. Abang Dino masih lagi berada ditempat kejadian. Beberapa orang pengawas datang menghampirinya.

“Oleh kerana kejadian ini berlaku di luar kawasan sekolah, eloklah kita tidak memperpanjangkannya lagi.” Salah seorang memberikan saranan, manakala yang lain hanya mengangguk tanda setuju. Kemudian mereka pun beredar hanya abang Dino sahaja yang masih disitu. Dia kemudiannya menghampiri ke tempat Razif meletakkan telapak tangannya sebentar tadi. Ternyata ia meninggalkan kesan tapak tangan yang agak dalam dan sedang berasap. Abang Dino pun meletakkan jarinya untuk merasa.

“Aduh, panasnya.” Tangannya ditarik tiba-tiba. Kemudian fikirannya teringat kembali semasa kejadian digelanggang. Sebelum Pak Tua masuk kedalam kolam, dia ada berdoa seperti Razif berdoa. Itu yang menyebabkan dia kenal sungguh jurus maut yang sedang Razif buka.

“Hmm, nasib baik aku cepat. Kalau tidak aku pun tak tahu apa yang akan jadi pada Dino. Sungguh budak itu memang tak tahu apa-apa.” Tiba-tiba dia pun teringat kembali pantun yang pernah diberikan oleh ayahnya.

“’Keris laksamana tidak berhulu, emas disepuh dibuat parang, carilah aku dakaplah aku, aku berada dibalik terang.’ Hmm, terima kasih ayah.” Dia pun tersenyum puas kerana barang yang dicari telah ditemuinya.


No comments:

Post a Comment