Sunday, December 19, 2010

Pencari Cinta - 44

UNTUNG


Suara kecoh dan kelam kabut membuatkan Iman terjaga. Di buka matanya perlahan-lahan ternyata berat sekali. Dia cuba menggerakkan tangannya tapi tidak berdaya. Kemudian dia menggerakkan jarinya secara perlahan-lahan dan ianya bergerak sedikit. Kemudian dia pun menutup kembali matanya, dia rasakan badannya terlalu lemah.

Dia tahu ada dua orang sedang menyusung katilnya tapi dia tidak tahu kemana arah yang akan dibawa. Dari butir perbualan yang didengarnya dalam suasana yang berbalam-balam itu, mereka berkata bahawa dia sangat beruntung kerana telah dipindahkan kekelas pertama oleh seorang perempuan cantik anak datok. Seketika kemudian segalanya hilang kembali.

" Dah dua hari awak tak sedar. " Iman agak terperanjat bila Mukhriz berkata begitu.

" Ha, dua hari?! Aduh. " Iman mengaduh kesakitan bilamana dia cuba bangun dari tempat pembaringannya. Baru dia sedar badannya kini berbalut. Dan kesakitan terasa datang dari belakangnya.

" Berehat Man, jangan banyak bergerak. "

" Saya sebenarnya kenapa bang Mukhriz? "

" Doktor kata awak sebenarnya telah kehilangan banyak darah. "

" Oh... Ya, sekarang baru saya ingat. Eh, abang Mukhriz datang sorang je ke? "

" Hmm... Eh, Man awak nak minum tak? "

" Boleh juga. Tolong buatkan air milo. " Mukhriz pun membuatkan Iman air milo.

" Bila saya boleh keluar agaknya bang Mukhriz? " Mukhriz tenang mengambil kerusi dan duduk di sebelah katil Iman. Kemudian dia mengambil satu alat lalu menekannya. Katil Iman naik perlahan-lahan hingga Iman dapat duduk dengan selesa. Dia pun memberikan air milo kepada Iman.

" Mungkin lagi dua hari lagi. "

" Macamana saya nak sembahyang ni bang. Apa saya nak buat n? " Wajah Iman seperti putus asa.

" Tenang.., sebab tu Pak Su suruh abang ke mari... "

" Iya? " Iman kembali ceria. " Pak Su cakap apa bang? "

" Pak Su suruh abang datang sini sampaikan pesanan. Dia kata awak akan terjaga hari ni. "

" Eh, macamana Pak Su boleh tahu saya akan bangun hari ni? " Iman seakan kehairanan.

" Entah. Bila abang masuk tadi abang tengok awak dah bangun. "

" Sebenarnya saya baru je sedar, tiba-tiba ada orang masuk. Rupanya abang. "

" Hmm.., tapi tu semua tak penting. Ada perkara yang lebih penting yang perlu abang sampaikan. Yang pertama, Pak Su pesan.., dia suruh ingatkan awak supaya sentiasa berbaik sangka dengan Tuhan diatas setiap musibah yang diberi terutamanya sakit. Setiap penyakit itu merupakan kifarah dosa atau peningkatan darjat bagi orang-orang yang beriman. Manakala yang kedua pula, ialah cara bagaimana awak nak sembahyang dalam keadaan yang macam ni. "

" Ha, macamana bang? "

" Pak Su pesan suruh awak bertenang... Yang dua hari awak tak sedar tu.., awak kena ganti selama mana yang telah awak tinggalkan. Kemudian sekarang ni bila awak dah sedar tapi tak mampu juga untuk bangun, awak kena juga sembahyang hormat waktu bila setiap kali masuk waktu. Caranya.., kalau awak tak boleh bangun.., awak duduk, kalau tak boleh duduk, awak baring, kemudian guna isyarat tangan, kalau tak boleh juga, guna isyarat mata kepada setiap pertukaran rukun ke rukun. "

" Kalau mata tak boleh juga..? "

" Gunakanlah hatimu. "

" Jadi apa pun yang terjadi.., selagi kita mampu untuk sembahyang kita kena buat walau dengan cara apa sekalipun?"

" Hmm... "

" Selagi kita sedar... "

" Hmm... "

" Kalau kita tak sedar, kita dimaafkan tapi kena ganti balik. "

" Ya, kerana salah satu perkara yang mewajibkan seseorang itu sembahyang ialah berakal, tidak wajib bagi orang yang tidak sedar atau tidak waras."

" Tapi sekarang ni saya betul-betul tak boleh geraklah bang. "

" Takpa, buat masa sekarang ni awak hanya sembahyang hormat waktu sahaja. Nanti kalau dah boleh bergerak.., barulah awak ganti balik, o.k? "

" O.k. "

" Hmm, kalau macam tu.. abang kena minta diri dululah ya Iman. Nanti kalau ada kelapangan abang datang balik. Nah, kalau awak nak lagi faham baca buku ni.” Mukhriz memberikan sebuah buku panduan sembahyang yang lengkap. “Wah.., untungnya awak dapat kelas pertama kan. "

Iman hanya mengukir wajah kehairanan. Pelik dia dengan kata-kata abang Mukhriz yang terkhir itu. Dia pandang Mukhriz hingga kepintu, kemudian Mukhriz pun keluar. Dia lihat lagi Mukhriz dari celah-celah tingkap hospital, hinggalah Mukhriz berselisih dengan seorang perempuan dan dia seolah-olah kenal akan perempuan itu.

" Eh, Latifah. Alamak macamana ni? "

Latifah membuka pintu perlahan. Dia lihat Iman masih lagi belum terjaga. Dia datang bersama dengan Mak Nak dan dua orang adiknya seorang peremuan dan seorang lelaki. Iman pula membuka matanya perlahan, dia lihat Latifah meletakkan sejambak bunga yang baru kedalam pasu. Kemudian dia membuka tirai langsir dan barulah terasa suasana bilik yang baru dan bersemangat dengan cahaya sinaran matahari yang masuk kedalam bilik itu. Kemudian Latifah mengemas serba sedikit menjadikan bilik itu bertambah menarik. Setelah selesai Latifah pun duduk diatas kerusi berdekatan dengan Mukhriz. Sementara itu Mak Nab melayan adik-adiknya melihat suasana indah di luar tingkap. Latifah pun bercakap perlahan tapi jelas ditelinga Iman.

" Iman... Saya tahu awak masih lagi belum sedar. Di atas kesempatan ini saya ingin memberitahu awak yang saya.., nak minta maaf kerana telah memarahi awak tempohari. Saya harap sangat yang awak faham kenapa saya terlalu ambil berat tentang awak. Saya tak bermaksud nak memarahi awak dan bukannya saya benci. Saya masih tak mampu lagi memberitahu awak sebenarnya sebab.., saya malu. Saya malu nak beritahu awak yang saya terlalu sukakan awak. Saya pun tahu yang awak pun sukakan saya. Mungkin belum masanya lagi kita saling berterus terang, kerana ada banyak lagi urusan kita yang perlu kita usahakan memandangkan usia kita yang masih muda... Tapi percayalah Iman, hanya awaklah orang yang saya tunggu, cuma takdir yang akan menentukan dan hanya Tuhan sahaja yang dapat memisahkan kita. Percayalah.., saya akan sabar menunggu. "

Iman agak terkejut dengan keterangan itu. Dia seolah-olah tidak percaya. Sungguh berterus-terang. Ingin rasanya dia menjerit kesukaan, tapi dia terpaksa kawal. Dia tidak tahu apa yang sedang berlaku kerana dia terpaksa teruskan lakonannya sebagai orang yang masih lagi koma dan tidak sedar. Memang lakonannya berhasil. Memang Latifah tidak tahu yang dia sebenarnya telah pun sedar hingga menyebabkan dia meluahkan segala isi hatinya.

" Iman.., saya harap lepas habis cuti sekolah ni.. awak kembali semula ke 'study group'. Saya harap sangat... " Itulah kata-kata Latifah yang terakhir. Tidak lama kemudian Iman terdengar bunyi pintu tertutup. Iman yakin yang Latifah telah pergi meninggalkan biliknya.

" Yes! Aduh!!! " Iman bangun tiba-tiba kerana tidak dapat mengawal kegembiraan tetapi kesakitan kerana terlupa yang badannya masih lagi berbalut.

" Eii.., kelakar betullah, dia mesti tak sedar yang aku dah tahu yang dia suka aku. Eh, tapi.., aku rasa tak patut betullah. Tapi.., aku bukannya sengaja. Mana aku tahu dia akan luahkan perasaan dia sampai macam tu sekali... Aku pura-pura pengsan tadi tu sebab aku malu.., dan aku pun tak sangka yang dia akan datang. Tapi.., kan elok kalau masa dia tengah cakap tu aku bangun. Ha, bangun? Kau ni gila ke Iman. Kalau kau bangun masa dia tengah cakap.., dah tentulah dia malu, mungkin lepas tu dia langsung tak nak juma kau lagi. Pandai betullah kau ni. Ish, tapi.., betul ke yang aku dengar ni? Macam tak percaya pulak. Sebab apa pula aku yang dia pilih? Pelik pulak aku... Betullah kata Pak Su.., kerja Tuhan ni memang pelik. Kadangkala yang berlaku itu diluar lojik akal. Hmm, sekarang ni untuk menjaga rahsia ini.., aku terpaksa berlakon. Aku kena anggap yang perkara ni tak pernah terjadi. Ya Allah, Kau selamatkanlah aku ini, sesungguhnya Kau Maha Hebat. "

Iman mengelamun seorang diri. Kali ini dia bukan lagi bermimpi. Kali ini dia tidak lagi berangan. Ini adalah realiti. Dia terasa kebesaran Tuhan sedang berlaku keatasnya. Dia seperti tidak percaya yang Latifah pun ada hati pada dia. Dia terasa peliknya kerja Tuhan, tetapi.., dalam masa yang sama dia tidak sedar yang Latifah juga sedang mengalami situasi yang sama dan sedang berkongsi rasa. Iman tak tahu yang Latifah pun sudah dapat menjangka isi hati Iman yang sebenar terhadap dirinya. Dua-dua sudah tahu, tetapi dalam masa yang sama dua-dua pun tak tahu yang kedua-duanya sudah pun tahu. Ironinya.., dua-dua sedang berlakon watak yang sama. Pelik sungguh kerja Tuhan.

Hari berganti hari, pejam, celik kini tibalah hari pembebasan Iman dari hospital. Dua orang kawan baiknya telah datang menjenguknya dan secara kebetulan pula Iman dalam masa untuk beredar dari situ, oleh itu dia akan diiringi kepulangannya bersama Razif dan Salim. Sedang mereka berbual Iman telah menyatakan hasrat hatinya untuk kembali ke 'study group' bila sahaja sekolah dibuka semula. Hasratnya mendapat sambutan dari kedua rakannya.

" Eh, elok sangatlah tu... Memang kita orang tengah tunggu kau pun. " Jawapan positif daripada Razif.

" Apa Man, kau nak masuk balik? Kau nak belajar sungguh-sungguh? Eh, apakah dunia ni dah nak terbalik? Tolong.....! " Salim seperti biasa dengan jawapannya kemudian dia pun gelakkan Iman.

" Eh, aku rasa elok kau pun masuk hospital jugalah. Pergi daftar sendiri kat wad sakit otak. " Razif mententeramkan keadaan.

" Jadi doktor ke pesakit? He... " Salim cuba melawak.

Keadaan Iman semakin pulih. Dia kini boleh berjalan. Salim membawakan beg sementara Razif pula mengawasi perjalanan Iman yang masih lagi agak kekok kerana belakangnya masih lagi bertampal. Akhirnya mereka pun tiba di pintu luar.

" Wah, Iman.., aku macam tak percaya pulak kau dapat masuk wad 'first class'. Banyaknya dut kau. Kau tahu tak tempat yang kau duduk tu.. datuk-datuk je yang duduk situ. Mahal tu... "

" Entah, aku mana tahu apa-apa, yang aku tahu duduk je... Pakcik aku kut yang bayar. "

" Banyaknya duit pakcik kau. "

" Eleh, duit ayah kau lagi banyak. Dah sekarang kau belanja kami naik teksi, aku dengar ayah kau baru dapat projek baru. " Razif mencelah.

" Eh, tapi aku ingat aku nak berjalanlah... "

" Fuh, selamat duit aku. "

" Eh, kau boleh ke Man? "

" Bolehlah. tapi.., agak-agak kau jauh tak? "

" Macam ni, kita naik teksi dulu.., lepas tu kita jalan, aku nak tunjukkan kau satu tempat. Amacam? "

" 'Orite'. "

" Aduh, keluar duit lagi aku ni... Eh, apasal korang tengok aku? "

No comments:

Post a Comment