Sunday, December 12, 2010

Pencari Cinta - 39

KAIL SEJENGKAL


Malam itu bulan mengambang penuh. Kesibukan bandar yang penuh dengan cahaya dan yang ditemani oleh bunyi-bunyian tidak berapa terasa akan kehadirannya. Begitu juga dengan taman-taman perumahan. Lampu-lampu jalan membatasi sang rembulan daripada memancarkan keaslian warnanya. Kemudian cahaya itu membawa diri ke kawasan yang agak terperosok keadaannya yang mana kawasan itu hanya ditemani oleh bunyi-bunyian semulajadi.

Kawasan perkampungan yang agak jauh dari suasana bandar seperti sedang berpesta cahaya. Hampir ke setiap pelusok dan penjuru dilimpahi dengan cahaya rembulan yang unik hasil pantulan sang mentari hingga terpancar kebumi. Pelbagai bunyi-bunyian menemani malam itu ibarat pesta yang sedang berlangsung. Malam itu juga dikenali sebagai malam Jumaat Kliwon.

Di sebuah hutan kecil yang agak jauh dari kawasan sebuah kampung kelihatan ramai manusia datang berbondong-bondong. Selepas Isya' semua orang sudah sedia menunggu. Kawasan itu merupakan sebuah gelanggang silat. Mereka berkumpul hanya sekali dalam setahun dan setiap tahun mereka akan berkumpul di gelanggang yang sama. Gelanggang itu ialah milik Tuan Guru Lutfi dan beliau ialah ayah Dino.

Pelbagai persatuan dari pelusok daerah yang berhampiran datang menghadiri majlis itu. Tuan Guru mereka hadir dengan sejumlah murid yang hanya terpilih sahaja. Murid Tuan Guru Lutfi ialah yang paling ramai jumlahnya iaitu seramai 70 orang Ada persatuan silat yang datang dengan 30 orang muridnya, ada yang 20 orang dan yang paling sedikit bilangannya hanya tiga orang. Ada sepuluh persatuan silat yang hadir. Mereka semuanya dari berlainan aliran dan jenis silat.

Upacara dimulakan dengan acara berkumpulan. Semua persatuan menghantar wakil, mereka mempamerkan seni silat masing-masing. Setiap persatuan bebas mempamerkan apa sahaja kehebatan seni silat yang mereka ada. Berbagai-bagai demonstrasi yang dibuat. Ada yang bermain dengan senjata, api dan juga buah pukul. Ada juga yang mempamerkan teknik mengunci, membuka kunci dan lain-lain. Atas nama persahabatan, mereka juga dibenarkan untuk bertarung sesama mereka selepas mendapat keizinan dari guru masing-masing.

Suasana semakin lama semakin hebat. Aksi semakin lama semakin menarik. Majlis itu bukan sahaja mengumpulkan pakar-pakar seni silat, malah mereka yang mahir dalam ilmu perubatan tradisional juga turut hadir. Ini terbukti bilamana salah seorang dari peserta yang mengalami kecederaan, mereka akan diurus oleh pakar berkenaan hingga kecederaan mereka pulih dalam sekejap masa.

Agak lama juga majlis berlangsung kini tibalah masa untuk individu-individu dari semua persatuan mempamerkan kehebatan masing-masing. Berbagai aksi dan gaya dipertunjukkan. Semuanya mempunyai kehebatan dan keunikan masing-masing. Kini tibalah masa Dino untuk beraksi. Dino pun melompat ke tengah gelanggang. Selepas membuka tirai, mata Dino pun ditutup dengan kain hitam.

Lima orang datang mengepung Dino, masing-masing membawa sebiji buah kelapa kering ditangannya. Mereka mengelilingi Dino dalam jarak lima meter. Mereka mula berjalan mengelilingi Dino. Dino pula masih tegak berdiri. Tiba-tiba salah seorang dari mereka melemparkan buah kelapa ke arah Dino. Tanpa membuka langkah Dino mengelak. Dia hanya menundukkan kepalanya sahaja. Tiba pula lemparan buah yang kedua, kali ini Dino menepis menggunakan tangannya. Disusuli pula dengan buah yang ketiga dan keempat dilempar secara serentak dan tiba-tiba. Dino menangkapnya dengan memusingkan badan dan buah itu melekat di kedua-dua belah tangannya. Kemudian dilempar kembali buah itu, mujur mereka dapat mengelak. Kini tibalah buah yang terakhir. Buah pun dilempar dengan sekuat hati. Dino pergi meluru ke arah buah itu lalu menangkap dan memulasnya seperti dia menangkap dan memulas kepala orang. Buah itu jatuh tergolek dengan sabut yang terkupas.

Kemudian muncul pula seorang lagi di tengah gelanggang dengan tiga batang tombak ditangannya. Dino seolah tahu akan kehadiran orang itu dari jauh. Bilamana orang itu mengangkat tombak, Dino pun meluru kearahnya. Jarak diantara mereka ialah sepanjang empat puluh meter. Tombak yang pertama pun dilepaskan, Dino dapat menangkap dan mematahkannya sambil berlari. Tombak yang kedua pula dilepaskan, Dino dapat juga mematahkannya dengan mudah. Tombak ketiga pula dilepaskan.. Dino menangkapnya tetapi dilontar kembali kepada orang itu. Orang itu pun mengeluarkan goloknya lalu menghayunkannya untuk menangkis tombak tersebut, tombak itu berjaya di tangkis dan patah dua. Dalam masa yang sama Dino terbang menuju kearahnya tetapi kini lawannya teraksa akur kerana Dino telah datang lalu menguncinya.

Dari kejauhan mereka menyaksikan Dino beraksi. Kawan-kawan Dino semuanya gembira melihat pertunjukan tersebut. Seolah-olah mereka terasa akan kehebatan seni silat mereka sendiri. Kini mereka menyaksikan Dino bermain dengan 'buah pukul'. Di situ juga kelihatan ayah Dino dan abangnya menyaksikan pertunjukan tersebut. Ayah Dino hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Abang Dino kehairanan lalu bertanya.

" Kenapa ayah. "

" Seseorang yang dikatakan pendekar itu.., dia mempunyai jiwa yang memaafkan orang sekalipun musuhnya. Dia bertindak penuh tanggungjawab bukan dengan perasaan. Adik kau mempunyai kekuatan lahir, tetapi jiwanya kacau. Itu merupakan satu kelemahan yang paling utama perlu dibaiki. " Abang Dino mengangguk seolah-olah memahami apa yang ayahnya katakan.

" Tetapi jika jiwanya lemah, mustahil dia dapat mempertahankan serangan-serangan tadi. "

" Orang yang kenal dirinya dia akan kenal Tuhannya, orang yang kenal Tuhannya mustahil dia akan sombong. Jiwanya masih kasar, Dia perlu selami erti kasih sayang. Dalam keras ada lembutnya, dalam lembut ada kerasnya.., bukankah setiap kehidupan itu berpasang-pasang. Kita akan rosak jika salah memilih pasangan. " Tuan Guru Lutfi pun beredar dari situ.

Persembahan Dino mengakhiri persembahan bagi kategori murid-murid. Ramai dikalangan mereka yang merungut, kenapa persatuan silat yang sedikit bilangannya tidak memasuki sebarang acara langsung. Apa guna dia datang. Ada yang beranggapan mereka adalah sebuah persatuan yang lemah, mereka berkata begitu kerana melihatkan bilangan ahlinya yang sedikit, hanya tiga orang sahaja yang hadir. Tuan gurunya pula kelihatan sudah agak tua dan uzur. Abang Dino memasang telinga mendengar semua perbualan yang kebanyakkannya datang dari Dino dan kawan-kawannya.

Kini tibalah masa yang ditunggu-tunggu, persembahan dari tuan-tuan guru persatuan silat. Mereka semua berkumpul di hadapan sebuah kolam yang agak besar. Didalamnya terdapat banyak buah-buah kelapa kering yang terapung-apung. Kolam itu dibina menggunakan simen yang tingginya separas pinggang tetapi masih jelas melihat permukaan kolam yang luas itu. Ada yang menyaksikan dari atas bukit berdekatan, katanya dari situ lebih jelas lagi.

Tuan guru pertama dari kejauhan datang sambil berlari, semakin lama semakin laju, semakin lama kakinya seolah-olah tidak jejak ke bumi. Terus terbang naik ke atas kolam dan berlari lagi sambil kakinya memijak buah-buah kelapa itu tanpa tenggelam dan tiba-tiba berhenti di tengah kolam sambil menjerit kuat dan terus membuka pencak. Orang ramai yang menyaksikannya berasa kagum kerana beliau sedikit pun tidak tenggelam malah terapung diatas buah-buah kelapa. Orang tua itu melompat dan membuka jurus tanpa sedikit pun rasa kekok seperti dia sudah biasa dengan keadaan itu.

Peserta yang kedua juga begitu, terapung sambil membuka pencaknya tanpa sedikit pun tenggelam. Kakinya seperti sedang memijak tanah di bumi, badannya seolah-olah seringan kapas tetapi setiap jurus yang dilepaskan pula sekeras teras pokok kayu balak, berbunyi anginnya setiap kali pukulan dilepaskan. Jelas setiap pukulannya berat.

Corak permainan bertukar bilamana peserta ketiga dan keempat masuk serentak dan bertarung. Masing-masing mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Tidak ada seorang pun yang jatuh tenggelam ke dalam air. Begitu juga dengan peserta-peserta yang seterusnya, masing-masing mempamerkan kehebatan masing-masing.

Tuan Guru Lutfi merupakan orang yang kesembilan mempamerkan seni silatnya. Beliau naik ke atas tebing kolam. Dia menunggu air kolam sehingga benar-benar tenang dari kocakan. Beliau seperti sedang membaca sesuatu. Tiba-tiba beliau menjerit sambil tangannya menepuk ke permukaan air, air pun berkocak tetapi tidak ada apa-apa yang berlaku. Dia mengelilingi lagi kolam itu sementara menunuggu air tenang kembali.Tetapi secara tiba-tiba dia menjerit lagi, tapi kali ini jeritannya lebih kuat dan serentak dengan itu tangannya juga menepuk air kolam hingga terasa bergoncang seluruh kolam. Dengan tidak semena-mena buah-buah kelapa yang berada didalam air semuanya naik melambung ke udara, Dalam masa yang sama mereka dapat melihat Tuan Guru Lutfi terbang dan berlari sambil memijak buah-buah kelapa yang terapung di udara sampailah buah kelapa semuanya jatuh kembali Tuan Guru Lutfi sudah ada di seberang sana. Cukup tangkas. Beliau menggunakan kelapa yang terapung sebagai bahan imbangan. Selepas itu barulah dia bermain pencak seperti biasa sepertimana tuan-tuan guru yang lain.

Peserta yang kesepuluh merupakan kumpulan yang paling sedikit. Hanya tiga orang sahaja anak buahnya yang hadir. Orangnya sudah berumur. Rambut dan janggut semuanya sudah berwarna keputihan. Jalannya perlahan dan tenang. Semasa dia menghampiri kolam, anak-anak buahnya jalan mengiringinya hingga ketebing kolam. Semua tuan-tuan guru menundukkan kepala semasa beliau melintasi dihadapan mereka, seolah-olah mereka terlalu menghormatinya. Dia naik ke atas tebing kolam tidak seperti tuan-tuan guru yang lain, salah seorang dari anak buahnya mengambil sebuah bangku lalu beliau pun menjadikan bangku tersebut sebagai tangga. Agak terkial-kial juga orang tua itu dalam persembahannya.

Tiba di tebing kolam beliau mengamati air kolam itu. Suasana menjadi tenang sebagaimana air kolam yang telah kembali tenang, senyap dan cahaya bulan menyinari suasana dimalam itu hingga seluruh keadaan menjadi jelas. Orang tua itu mengamati lagi air kolam, kemudian dia pun membongkok dan menghayunkan tangannya masuk kedalam kolam. Diamati air kolam tersebut menggunakan tangannya kemudian dia pun bangun dan menadah tangan seperti berdoa. Selesai berdoa dia pun menanggalkan selipar dan tiba-tiba masuk kedalam kolam perlahan-lahan. Kemudian dia berjalan mengharungi air kolam tersebut yang tingginya lebih sedikit dari paras pinggangnya. Sambil itu tangannya dihayun-hayunkan seperti orang yang sedang jalan berlenggang. Sesekali air berkocak kerana tangan yang dihayun terkeluar ke permukaan air. Ramai orang mencebikkan bibir melihat telatah orang tua itu.

Abang Dino yang berada disebelah ayahnya hanya mendiamkan diri kerana melihat ayahnya begitu meneliti setiap perbuatan orang tua itu. Disebelahnya pula berkumpul Dino dan kawan-kawannya.

" Alamak kalau macam ni.. aku pun boleh buat. "

" Ntah, kau lagi baik dari dia Dino. "

" Ntah apa-apalah orang tua ni.., setakat nak mandi lebih baik balik rumah. "

" Jomlah kita gerak dulu. Hei, cakap ayah, aku balik dulu. " Dino menegur abangnya yang berada disebelah. Abang Dino hanya mengangguk, baru sahaja dia memalingkan muka menghadap ayahnya, dia lihat ayahnya meletakkan jari di mulut tanda isyarat diam. Dia lihat ayahnya begitu khusyuk melihat orang tua yang didalam kolam itu. Dia pun tak tahu kenapa.

Akhirnya orang tua itu pun selesai berpencak. Dia pun naik ke tebing. Agak susah juga dia hendak naik ketebing hingga dibantu oleh anak-anak buahnya. Akhirnya dia pun dapat juga naik keluar dari kolam tersebut. Semua tuan-tuan guru pergi mendapatkannya sambil salam dan mencium tangannya. Abang Dino mengikuti ayahnya dari belakang. Dia bertambah hairan kenapa ayahnya juga salam dan mencium tangan orang itu.

" Aku minta maaf dengan kau awal-awal.., terima kasih kerana benarkan aku menggunakan kolam kau. "

" Tak mengapa Pak Tua, tak mengapa... Terima kasih banyak Pak Tua kerana sudi datang. "

" Aku balik dulu ya. Assalamua'laikum... "

" Wa'laikummussalam... " Abang Dino semakin hairan melihat telatah ayahnya yang begitu menghormati orang yang digelar Pak Tua itu.

Pak Tua pergi dengan diiringi oleh anak-anak buahnya. Majlis malam itu selesai dengan persembahan Pak Tua sebagai penutup.

" Kau mungkin tertanya-tanya siapa orang itu kan? "

" Siapa dia ayah? Kenapa semua orang macam terlalu hormatkan dia? Padahal pencak orang lain semuanya lebih hebat dari dia. "

" Hmm.., hanya jauhari yang mengenal manikam. Lihat ni. Ini aku dapat lima belas tahun dulu dengan orang tua tu. Ini aku panggil salam perkenalan. " Tuan Guru Lutfi menunjukkan bekas tapak tangan di atas bahu sebelah kiri ayahnya seolah-olah seseorang telah memegang ayahnya dengan tangan yang sedang panas membara hingga meninggalkan kesan.

" Sehingga sekarang parut ini tidak hilang. Aku bersyukur dia tidak meletakkannya di jantung aku. Baiklah, kau mesti nak tahu siapa dia sebenarnya kan? "

Abang Dino hanya mengangguk. Tuan Guru Lutfi pun menceritakan siapa sebenarnya Pak Tua dalam arena ilmu persilatan ini dan kenapa dia tidak suka menonjolkan dirinya. Dalam mereka bercerita tiba-tiba kabus menyelubungi kawasan itu, seolah-olah embun sudah pun turun. Tetapi kabus itu terasa hangat menyebabkan suasana yang sejuk bertukar suam dan selesa sekali. Tuan Guru Lutfi bercerita dengan panjang lebar dengan anaknya.

" Tapi ayah, kenapa jurus dan pencaknya macam orang biasa. "

" Jangan silap tafsir. Aku tengok dia sekarang ni bertambah hebat. Kalau dulu hanya tangan dia sahaja yang berbisa.. tapi kini seluruh anggota badannya juga boleh mengundang maut kepada pencabarnya. Kalau kau tak percaya pergi ke kolam, lihat apa yang dah terjadi... " Abang Dino pun menuju ke kolam seperti yang diarahkan.

" Ya Allah. " Terperanjat dia melihat air dalam kolam kering seperti disejat. Termasuklah buah-buah kelapa tadi pun turut hancur seolah-olah dibakar sesuatu. Manakala tebing kolam menjadi panas membara seperti bara api dan tidak boleh disentuh langsung. Kini baru dia kenal siapa orang tua itu sebenarnya dan mengapa mereka terlalu memuliakannya.

" Kami cium tangannya kerana akhlaknya, bukan kekuatannya. Kekuatan lahir mudah dicari, tetapi kekuatan dalaman tidak semua ada. Inilah kekuatan yang sebenar, sumber keselamatan di akhirat. "

" Itu tadi semua anak murid dia ke? "

" Dia hanya ada seorang sahaja pewaris. "

" Siapa ayah? "

" Cucu dia... "

" Cucu..? "

" Perangai mereka hampir sama, merendah diri ketara sekali kerana mereka sedar.., tak mungkin manusia boleh menongkat langit. "

" Saya teringin nak jumpa dengan cucu dia ayah. "

" Keris laksamana tiada berhulu, besi disepuh dibuat parang, carilah aku dakaplah aku, aku berada didalam terang. " Tuan Guru Lutfi memegang bahu anaknya sambil tersenyum kemudian meninggalkannya dalam keadaan terpinga-pinga.

No comments:

Post a Comment