Friday, December 10, 2010

Pencari Cinta - 37

PAGI


Kicauan burung menambahkan seri pagi itu. Kesejukannya bertukar menjadi segar serta udara yang nyaman. Mentari baru sahaja menampakkkan wajahnya, naik perlahan-lahan dari ufuk barat. Cahayanya menerjah ke dinding-dinding bangunan sekolah hingga terserlah warna dan kegagahannya.

Seekor burung pipit dari sebatang ranting pokok yang mana embunnya masih lagi jelas jatuh satu persatu, terbang melintasi langit yang masih lagi kabur birunya. Si Pipit terbang pula melintasi sang awan yang wajahnya kelihatan putih berseri membayangkan kesejukan salju dengan gerak gaya si pipit yang terbang sambil mendepangkan sayapnya seolah-olah sedang menikmati kesegaran udara pagi itu.

Si pipit membiarkan dirinya dijamah cahaya matahari, melayangkan badannya melintasi bangunan sekolah hingga akhirnya mendarat disebuah taman cantik di mana di dalamnya terdapat puteri-puteri yang cantik manis sedang melemparkan beberapa genggam bijirin untuk santapan burung-burung di pagi itu.

Latifah hanya duduk memerhatikan kawan-kawannya memberikan makanan kepada burung-burung. Sesekali mereka tergelak-gelak dengan keletah burung tersebut. Ternyata mereka sungguh terhibur dengan apa yang mereka lakukan.

" Ish, mana dia pergi semalam kan? Kenapa dia tak datang 'study group'? Mungkin dia terasa dengan sikap aku agaknya. Tapi mana mungkin. Sebab.., dia tu selamba, takkan dia terasa dengan aku. Tapi kalau dia terasa pun.., sebab apa? Mungkin dia pun suka aku agaknya... Ish, tak adalah. Baru satu hari dia tak datang aku rasa lain. Kenapa aku terlalu sunyi kalau dia tak ada? Kenapa dia menghiburkan aku... Eh, apa kena dengan aku ni? Aku tak pernah ada perasaan macam ni sebelum ni. Kenapa pula aku minat dengan budak bodoh macam tu? Tapi.., kenapa aku mesti tipu perasaan aku... Suka? Eh, apa aku ni. Aku bukan suka tapi aku ambil berat. Ya, ambil berat. Sebab semua orang suka pelecehkan dia. Aku nak buktikan yang dia sebenarnya boleh berjaya. Tapi... Kenapa dia tak tahu perkara ni, kenapa dia tak sedar yang aku bertungkus lumus nak dia berjaya... Aku benci dia! Benci! Benci! Aku.., sebenarnya bukan benci dengan dia... Sebenarnya aku benci sikap dia. Eh, mana satu ni. Benci ke suka? Apa aku ni. Hai.., bila lah nak habis sekolah ni... Ah, takpa.., nanti rehat boleh aku jumpa dia. "

Latifah masih lagi menongkatkan dagunya. Pandangan matanya kearah kumpulan kawannya tetapi fikirannya menerawang ke tempat lain. Jiwanya berperang mencari satu kepastian. Suka atau benci.., atau benci tetapi dalamnya suka. Dia pun keliru. Tapi jauh disudut hati masih ada lagi yang belum dia cungkil... Sengaja dia simpan.

" Eh, Ifa jom lah. Awak kenapa macam tak sihat je. "

" Dari tadi kami lihat awak asyik duduk termenung je, kenapa? "

" Kalau ada masaalah bagitahu kat kami... "

" Bukannya apa.. kesian burung-burung ni Ifa, dari tadi tanya kami " mana mak kami ", kami pun tak tahu nak jawab apa? " Mereka semua tergelak melihatkan Latifah akhirnya tersenyum.

" A'ah la Ifa.., kan selalunya awak yang bagi makan kat burung-burung ni... Tapi hari terbalik pula, kami yang bagi.., tapi awak pula yang duduk tengok. "

" Tak ada apa-apalah.., awak semua janganlah risau, saya tak ada apa-apa. " Latifah cuba mengukir senyuman. Dia pun tak sedar yang kawan-kawannya nampak akan perubahan pada dirinya.

Kelas Lima Enggang merupakan kelas yang terbaik didalam sekolah. Semua murid-muridnya terdiri daripada murid-murid yang terpilih. Mereka dipilih berdasarkan keputusan peperiksaan mereka yang cemerlang. Mereka merupakan murid-murid yang mempunyai 'I.Q' yang tinggi. Berada didalam kelas Enggang merupakan satu impian murid-murid di sekolah itu. Berada di sekolah itu pula merupakan impian bagi kebanyakkan murid yang berada didaerah itu.

Ketiadaan guru didalam kelas merupakan suasana yang ditunggu oleh kebanyakkan semua murid disemua sekolah. Di masa itulah peluang mereka untuk meluahkan sesuatu yang mereka pendam semasa keberadaan guru didalam kelas. Bising, itulah yang setiap kali berlaku didalam kelas semasa ketiadaan guru atau semasa pertukaran masa kelas ke kelas. Ada yang berlari, berkejar-kejaran, berbual, bergurau senda, merancang, mengusik dan lain-lain.

Tetapi ada sedikit kelainan yang berlaku di sekolah ini. Sekolah ini juga mengambil peluang yang sama, tetapi dengan cara yang berbeza. Semasa ketiadaan guru, hampir semua mereka menggunakan kesempatan ini untuk bercakap tentang pelajaran dan hanya segelintir sahaja yang menggunakan masa keemasan ini untuk tujuan yang lain. Ternyata mereka memang serius dengan pelajaran. Apa pun gurauan atau perbualan yang berlaku.. semuanya berkisarkan pelajaran walaupun dalam keadaan yang agak bising. Tetapi bisingnya mereka bukanlah bising yang kosong dan sia-sia. Tetapi bising tetap bising. Bising tetap menganggu.

Tetapi didalam keadaan yang agak bising itu.., Latifah tetap dimejanya. Semua orang kesana kemari tetapi dia tetap dimejanya dengan buku yang masih diatas meja tetapi fokusnya ke lain. Kebisingan yang berlaku sikit pun tidak menjejaskan keadaan Latifah. Sesekali matanya melirik kearah jam didinding sambil itu hatinya berdialog.

" Hai.., bilalah nak rehat ni. Kenapa aku rasakan hari ini masa terlalu panjang.., padahal baru je habis satu waktu. Tapi selalu tak pula macam ni. "

Hinggalah tiba waktu rehat. Masa yang ditunggu-tunggu. Tapi tetap juga Iman tak muncul-muncul. 'Study Group' pun Iman tak ada. Sehari, dua hari, kini dah sampai tiga hari.. Iman tidak juga kelihatan. Kelibatnya ada, itupun dari jauh. Persoalan meyelubungi, kemanakah perginya Iman?

" Aku pun tak tahu lah kemana dia pergi. Tapi itu hari dia ada cakap dengan kami, dia nak 'rilex' sekejap... Mungkin dia kecewa dengan kegagalan dia tempohari agaknya. " Selamba je Salim membuat andaian kemudian disambung kembali makanannya. Razif disebelah hanya menjeling.

" Besok dah mula cuti sekolah... Tapi saya tak tahu macamana keadaan dia sekarang ni. Saya risaulah... Maksud saya pelajaran dia. " Cekap sungguh Latifah melarikan tajuk selepas dia perasan semua mata memandangnya semacam. Mukanya berubah kemerah-merahan.

" Tapi betul. Sebenarnya.. " Muka Salim berubah dengan mimik kesedihan secara tiba-tiba " aku pun rindu kat dia... Wa.., ampunkan abang Iman. Abang janji abang tak akan gelakkan Iman lagi.., wa.., wa... " Salim terus memeluk Razif disebelahnya.

" Woi! Lepaskan akulah woi. Tak guna punya budak. Pergi menangis kat tepi longkang sana. " Razif agak terperanjat. Dia cuba melepaskan pelukan Salim. Kawan-kawan Latifah yang lain hanya tergelak melihat gelagat mereka.

" Kau ni memanglah Razif. Tak kisah langsung dengan nasib kawan. Kau ni memang orang yang pentingkan diri. Eh, tapi.., semenjak dia tak ada kau dah banyak berubah Latifah, kau lebih banyak berdiam diri dan bersendiri. Begitu juga aku. Aku pun dah tak ada bahan untuk digelakkan. Jadi untuk pengetahuan semua.., aku pun dah banyak mendiamkan diri sama macam Latifah. Jadi.. kalau inilah jodoh kami... "

" Dah lah.., kau jangan nak merepek pulak. 'Samdol' punya budak. " Mereka semua menahan gelak dengan keletah Salim yang merepek-repek. Kemudian Razif pun menyambung.

" Hari tu aku ada jumpa dia.., dia sekarang ni banyak habiskan masa kat perpustakaan. Jadi sekarang ni kalau kita jumpa dia.. dia ada kat perpustakaan. "

" Tapi kenapa dia tak datang 'study group'? " Kawan Latifah mencelah.

" Macam ni.., sebenarnya masa kita 'study group' dia ada dekat sekitar kita, cuma kita je yang tak perasan. Petang ni datang aku tunjukkan kat 'korang'. " Loceng berbunyi menandakan waktu rehat telah pun tamat.


No comments:

Post a Comment