Tuesday, December 7, 2010

Pencari Cinta - 34

DILEMA

Latifah sedang menaip sesuatu didalam biliknya. Tetapi tiba-tiba dia menutup komputer ribanya. Seketika kemudian dibukanya kembali komputernya kemudian disambung balik penulisannya. Tidak sampai beberapa saat ditutupnya kembali, kemudian tidak lama selepas itu dibuka kembali hinggalah sampai ke satu tahap dibuka kemudian ditutup kembali tanpa sebarang sebab.

Tidak lama kemudian ditutup dan terus diletakkan ke tepi meja bersebelahan dengannya. Direnungnya komputer ribanya yang berwarna putih itu, ditengahnya ada lambang sebiji epal yang telah digigit. Tapi ternyata pemikirannya sedang menerawang ke tempat lain walaupun pandangannya tepat ke komputernya.

Kemudian dia beralih pada penulisan secara manual. Diambilnya pen dan buku. Setiap kali dia ingin mula menulis tiba-tiba dia berhenti. Dia cuba lagi kemudian dia berhenti lagi. Dia seperti orang yang sedang kehilangan idea.

" Apa kena dengan aku ni? Kenapa hari ni aku rasa lain? Baru satu hari dia tak ada tapi aku rasa cukup berbeza.., sunyi. Ah..! Perasaan aku sahaja mungkin. " Latifah cuba juga menulis sesuatu didalam bukunya diatas meja. Dia buat seperti biasa. Seperti ingin menyambung apa yang baru ditulisnya sebentar tadi. Tetapi dia sendiri tak tahu apa yang hendak ditulis.
" Pen, kertas, eh, apa yang sebenarnya yang aku nak tulis ni? Eh, kenapa dengan aku ni? " Latifah meletakkan pennya. Dia pun duduk menenangkan fikirannya. " Kenapa dengan aku ni. Kenapa perasaan aku.., ah! Tak mungkin. Tapi kenapa aku mesti bohong diriku sendiri? Kenapa aku nak lawan perasaan ini? Kenapa aku memang tak mahu mengaku yang aku memang sedang memikirkannya? Mungkin aku terlalu risaukan dia, kemana dia pergi? Apa yang yang terjadi padanya.., tapi kenapa pula aku mesti nak tahu, eh, biarlah dia, lantak dialah, pasal apa pula aku nak risaukan dia, kenapa aku pergi mengada-ngada sibuk-sibukkan hal dia ni? Tapi.., kalau tak ada apa-apa kenapa pula wujud pertikaian perasaan dalam diri aku? Kenapa aku mesti melawan perasaan ini? Kenapa aku takut dia gagal? Kenapa aku terlalu risaukan dia? Kenapa tiap kali aku cuba mengalihkan pemikiran ini tapi aku tetap... Ya Allah.., apa dah jadi kat aku ni..? Kenapa aku macam ni..? Ya Allah berikanlah aku kekuatan.., selamatkanlah dia. Eh... Tapi kenapa mesti dia? Tapi.., kenapa mesti dia.., kenapa?! "







ADIL


" Ha, Man.., macamana dah dapat dah jawapan tadi, apa makna adil? " Pak Su terus membuka bicara bilamana kereta mula bergerak.

" Hmm.., saya akan jawab Pak Su, Pak Su dengar ni... Bilamana seseorang tu dilantik menjadi seorang pemimpin.., dia mestilah adil dalam menggunakan kuasanya, dia mestilah kena berlaku adil kepada semua kaum. Tiada wujud diskriminasi, pilih kasih, berat sebelah dan sebagainya. Dan yang paling utama dia mestilah mengutamakan perpaduan dalam masyarakat. Betul tak Pak Su? "

" Itu aspek keadilan.., makna adil? "

" Hmm.., o.k, seorang pemimpin itu mestilah menegakkan sistem pemerintahan Islam yang tulen sepertimana yang pernah dilagangkan oleh Rasulullah pada suatu masa dahulu. Ini kerana hanya sistem pemerintahan Islam yang tulen sahaja yang dapat memberi keselamatan kepada semua makhluk termasuklah haiwan. Secara tak langsung juga kita akan dapat mengekalkan keamanan keseluruh dunia manakala sistem yang kita bawa juga akan menjadi model keseluruh negara-negara yang lain secara diplomasi. " Iman memandang pakciknya. Pak Su hanya tersenyum.

" Itupun sebenarnya salah satu dari aspek keadilan. Yang pertama tadi aspek keadilan untuk sebuah masyarakat, yang kedua ni pula aspek keadilan bagi sebuah negara. Iman, Iman.., makna sebenar 'adil' ialah.., 'meletakkan sesuatu pada tempatnya'. Itulah makna adil. "

" Meletakkan sesuatu pada tempatnya? Macamana tu pak Su? "

" Awak makan menggunakan mulut, boleh tak awak makan guna hidung pula? "

" Mana boleh. "

" Jadi kalau awak buat juga maknanya awak tidak berlaku adil pada mulut, kerana awak tidak meletakkan 'sesuatu itu pada tempatnya'. Faham? Boleh tak awak jalan tanpa kasut sedangkan awak mempunyai kasut? "

" Tak boleh. "

" Sebab apa? "

" Sebab saya tidak berlaku adil ada kaki saya, saya menzalimi dia. "

" Hmm.., pandai pun. Bagus. Baiklah Iman, untuk pengetahuan awak kebanyakkan manusia pada hari ini bukan sahaja dia tidak adil pada diri sendiri, tetapi yang paling dahsyat ialah dia tidak berlaku adil dengan Tuhan. "

" Macamana tu Pak Su? "

" Baiklah, Tuhan telah menganugerahkan akal pada kita dengan tujuan kita menggunakan akal tersebut untuk Tuhan. Tetapi apa yang berlaku pada hari ini ialah.., kita telah menggunakan akal fikiran kita untuk tujuan selain mendapatkan Tuhan. Ini sangatlah tidak adil. Ada yang guna untuk mencuri, menipu, untuk mendapatkan harta, ilmu yang tidak memberi manfaat dan lain-lain. "

" Oh.., begitu ya Pak Su. Kalau macam tu sebenarnya bukan sahaja dengan akal kita tidak berlaku adil, dengan mata... "

" Sebab apa? "

" Sebab kita tengok maksiat. "

" Lagi? "

" Mulut. "

" Sebab apa? "

" Sebab cakap lucah yang tidak membawa pada Tuhan. "

" Sepatutnya..? "

" Apa sahaja yang telah Tuhan anugerahkan pada kita termasuklah harta, benda, masa, dan segalanya.., kita mesti jadikannya alat untuk mendapatkan Tuhan. Betul tak Pak Su? " Pak Su hanya mengangguk sambil tersenyum.

" Jadi apakah makna adil yang sebenarnya? " Sengaja Pak Su membuat soalan.

" Meletakkan sesuatu pada tempatnya. "

" Kalau Pak Su kata salah..? "

" Pak Su tak adil... " Pak Su tersenyum lebar, Iman tergelak dengan lawak pakciknya itu. " Pak Su ni kelakarlah... " Kereta terus meluncur laju menuju ke rumah.


No comments:

Post a Comment