Monday, December 13, 2010

Bintang hati - 8

Pagi-pagi lagi Maisarah sudah sampai di sekolah. Sengaja dia datang awal hari ini. Ingin mengintai gerangan misteri yang menghadiahkannya bintang kertas setiap hari.


Namun hatinya benar-benar hampa tatkala melihat bintang-bintang kertas yang sudah tersusun cantik di atas mejanya. "Huh! Cepat betul orang ni! Rasanya awal aku datang hari ni, tapi rupanya dia lebih awal dari aku!" Maisarah membebel geram.


"Assalamualaikum ustazah! Awal datang hari ni" Hakim yang baru melangkah masuk menegurnya. "Waalaikumsalam!" Maisarah sekadar mengukir senyuman.


"Ustazah dah sarapan?" Soal Hakim sambil melangkah menghampirinya. "Err...Dah! Dah!" Cepat-cepat dia menjawab. Bimbang jika Hakim mengajaknya sarapan sekali. Meletus ketawa di bibir Hakim bila mendengarnya. "Betul ke ni? Awal ustazah sampai hari ni, tak mungkin dah sarapan" Balas Hakim. Maisarah sekadar tersengeh. Tetapi rasanya bagaikan tersengeh pada diri sendiri. "Memang betullah aku ni tak pandai menipu!" Gerutunya perlahan. "Pleaseeeeeee............." Hakim mula merayu sambil mempamerkan memek mukanya yang begitu sedih.


Maisarah tertawa kecil tatkala memandang wajah Hakim sedemikian rupa. Lucu! "Hah! Dah ketawa tu. Setuju lah maksudnya kan? Jomlah ustazah. Kesian kat saya. Lapar sangat ni" Meremang bulu romanya mendengar bicara Hakim yang merayu. "Ok lah! Saya ikut cikgu makan. Sakit telinga saya mendengar pujuk rayu cikgu ni" Ujar Maisarah. Dia bingkas bangun lalu mencapai tas tangan yang terletak di sisinya.


Suasana agak lengang di kantin. Masih terlalu awal, tidak ramai yang mengunjunginya. "Usatazah duduk dulu. Biar saya ambilkan makanan untuk ustazah" Ujar Hakim. Dia berlalu pergi tanpa bertanya terlebih dahulu kepada Maisarah. "Ish dia ni! Tahu ke aku nak makan apa? Tak tanya pun?" Maisarah tertanya-tanya sendirian. Kepalanya dipanjangkan mencari kelibat Hakim yang hilang di celah-celah pelajar yang mengerumuni kaunter kantin.


"Nah! Saya tahu ustazah suka makan ni. Dan ini Neslo, air kegemaran ustazah juga kan?" Ujar Hakim mesra dengan senyuman tak lekang di bibirnya. Pinggan berisi pulut dan sambal tumis ikan bilis itu, diletakkan di hadapan Maisarah. "Hah! Ini pulak kelapa parut. Memang sedap kalau makan dengan pulut" Pinggan kecil berwarna biru muda itu pula diletakkan di hadapan Maisarah.


"Eh? Biar betul dia ni. Mana pulak dia tahu aku suka makan semua ni?" Muncul lagi pertanyaan di hatinya. Berkerut-kerut keningnya. Wajah Hakim di renungnya agak lama. "Kenapa ustazah pandang saya macam tu. Macam nak makan saya je" Hakim sekadar mengusik. Dia tahu Maisarah pasti tertanya-tanya.


"Saya pernah kenal cikgu ke sebelum ni?" Soal Maisarah tiba-tiba. Hakim yang sedang enak mengunyah nasi lemak mengangkat wajahnya memandang Maisarah. "Kenapa ustazah tanya macam tu?" Hakim pula menyoal tanpa memberi jawapan kepada Maisarah. "Habis tu, macam mana cikgu tahu saya suka makan semua ni?" Maisarah bertanya sedikit keras. Geram betul dia soalannya dibiarkan tanpa jawapan.


"Maafkan saya. Hari tu saya terdengar perbualan telefon ustazah. Sebab tu saya tahu" Jawab Hakim sedikit perlahan. Maisarah terdiam. Baru dia teringat perbualan telefon dengan umi nya dua hari yang lepas. Sibuk dia meminta umi menanak pulut dan buatkan sambal tumis untuknya. Merengek-rengek minta di hantarkan kepadanya.


"Saya cakap kuat sangat agaknya. Sampai cikgu pun boleh dengar" Ujar Maisarah agak malu. "Tak adalah kuat sangat. Mungkin saya ni yang busybody nak dengar" Hakim berseloroh sambil disambut ketawa kecil Maisarah.


"Kat sini rupanya ustazah!" Serentak Maisarah dan Hakim menoleh pandang. Cikgu Sabariah, guru Bahasa Melayu tingkatan dua kelihatan termengah-mengah. "Kenapa cikgu?" Soal Maisarah hairan. "Ada panggilan telefon untuk ustazah. Saya suruh dia telefon balik sebab ustazah tak ada kat bilik tadi. Tapi dia beria-ria suruh saya panggilkan ustazah juga. Dia sanggup hold line. Penting katanya" Cikgu Sabariah yang terkenal dengan mulut becoknya itu bersuara tanpa henti.


Maisarah bingkas bangun. Dia hanya terfikirkan ayahnya di kampung sahaja. Tapi pelik juga kenapa ayah tidak menghubungi telefon bimbitnya sahaja. Tergesa-gesa dia mengeluarkan wang kertas dari dalam tas tangannya. "Tak payah ustazah! Saya belanja hari ni" Hakim cepat-cepat bersuara tatkala melihat wang kertas yang dihulurkan oleh Maisarah. "Betul ustazah! Tak payahlah. Saya belanja. Ustazah pergilah. Mungkin ada hal penting tu" Hakim bersuara lagi bila melihat Maisarah yang teragak-agak memandangnya.


Langkahnya dipercepatkan mengejar cikgu Sabariah yang mendahuluinya di hadapan. Nafasnya turun naik kepenatan. Telefon berwarna kelabu itu, kelam kabut dicapainya.


"Hello!" Agak tersangkut suaranya. Letih berlarinya masih belum hilang. "Mai..." Bunyi suara di hujung telefon itu membuatkan jantung berdegup lebih kencang. Benjamin Alif! Siapa lagi yang memanggilnya dengan panggilan yang begitu jika bukan Benjamin Alif!

"Ben?" Soal Maisarah inginkan kepastian. "Mai....Ben rindu" Kedengaran sayu suara di hujung talian. "Dah terlambat untuk semua tu" Desisnya perlahan. Lirih! "Mai....Ben nak jumpa Mai malam ni" Maisarah terdiam. Mengeluh sayu. "Mai dah jadi tunangan orang. Kenapa masih nak berjumpa?" Maisarah bersuara perlahan, Lambat-lambat.


"Please Mai...Untuk kali ni saja. Berilah peluang untuk Ben terangkan keadaan sebenar. Jangan terus menghukum Ben macam ni" Benjamin Alif bersuara lirih, bergetar menahan sebak. Maisarah membisu seribu bahasa. Terdiam tidak terkata. Air matanya sudah bergenang di kelopak. Menanti masa untuk jatuh. "Mai....Ben tunggu malam ni. Kat Hotel Hilton. Ben tunggu dekat lobby hotel. Ben akan tunggu Mai tak kira sampai pukul berapa pun!" Suara Benjamin Alif sudah tidak kedengaran lagi. Talian sudah dimatikan.


Air matanya yang mula mengalir, dikesatnya cepat-cepat. Bimbang Cikgu Sabariah yang berada di situ akan perasan. Maisarah menundukkan wajahnya. Sebak! Cuba menahan agar tangisnya tidak pecah. Dan tanpa dia sedari ada sepasang mata yang memerhatinya dengan perasaan yang penuh kecewa !

No comments:

Post a Comment