Sunday, December 12, 2010

Bintang Hati - 7

Lama Maisarah berdiri terpacak di situ. Terpegun melihat banglo 2 tingkat yang tersergam indah di hadapannya. Beberapa kali jari telunjuknya di arahkan ke butang loceng, tetapi dijatuhkan kembali. Dia mula terasa serba salah. Datang tanpa diundang.


"Cik mahu cari siapa?" Seorang wanita dengan loghat bahasa indonesia menyapanya. Mungkin dia perasaan sejak tadi Maisarah asyik tercangak-cangak di depan pintu pagar.


"Errr...Saya nak jumpa dengan Puan Halimah" Teragak-agak dia menjawab. "Oooo... Mahu jumpa sama ibu Halimah ya! Dia ada di dalam. Silakan masuk" Ramah sekali dia berbicara. Maisarah menguntum senyum. Karamahan wanita indonesia yang berumur lewat 40-an itu sedikit sebanyak menghilangkan resah di hatinya.


Halimah yang begitu asyik membelek akbar di ruang tamunya agak tersentak tatkala melihat Maisarah sudah berdiri di depannya. "Sarah?" Soalnya memohon kepastian. "Maafkan saya puan. Kedatangan saya ni tanpa diundang" Bicara Maisarah agak bergetar.


"Eh tak adalah. Mama tak kisah bila-bila masa pun Sarah nak ke mari." Halimah menjawab ramah. "Tapi jangan panggil mama puan lagi. Panggil mama ya. Sarah bakal isteri Im dan mama dah anggap seperti anak mama sendiri" Halimah bersuara mesra. Jari jemari Maisarah digenggamnya penuh erat.


Maisarah menghela nafas lega. Dia benar-benar bersyukur bila kehadirannya dialu-alukan. Seorang anak gadis sunti, berlari-lari mendapatkannya. "Kak Sarah kan? Memang dah lama Amy nak kenal dengan kakak. Abang Im tu kedekut sangat dengan Amy" Anak gadis yang membahasakan dirinya Amy itu bersuara mesra. Tubuh Maisarah dipeluknya penuh manja.


"Amy ni....." Maisarah sedikit tertanya-tanya. Sangkaannya Im adalah anak tunggal. "Amy adik Abang Im. Kami cuma dua beradik je kak" Amy bersuara ramah. Sifatnya yang agak keanak-anakkan itu begitu menyenangkan Maisarah.


"Mama tak sangka Sarah akan datang ke sini." Halimah yang tadi hanya memerhati sahaja tingkah Amy dan Maisarah mula bersuara. Maisarah terdiam seketika. Dia teragak-agak untuk menjawab. "Sarah nak jumpa abang Im" Perlahan suara Maisarah. Halimah dan Amy berpandangan sesama sendiri tatkala mendengar penjelasan Maisarah.


"Sarah.....Maafkan mama. Im lansung tak benarkan kami perkenalkan dia pada Sarah. Habis semua gambarnya di dalam rumah ni disimpan. " Ujar Halimah serba salah. Kesian pula melihat Maisarah yang asyik tertanya tentang anak lelakinya ini. "Dan seperkara lagi, Im tidak tinggal di sini. Dia menyewa rumah berhampiran dengan tempat kerjanya. Tapi kalau Sarah nak tahu apa-apa tentang Im, mama bileh ceritakan" Halimah kembali menyambung bicara bila melihat Maisarah hanya diam membisu.


"Kak Sarah, jom Amy tunjukkan bilik Abang Im. Mungkin dari situ kakak boleh mengenalinya dengan lebih dekat." Ujar Amy sambil bingkas bangun. Tanpa menanti jawapan, tangan Maisarah diraihnya. Maisarah sedikit teragak-agak, namun langkah Amy tetap diturutinya.


"Amy kesiankan Kak Sarah. Tapi nak buat macam mana kami semua dah berjanji dengan Abang Im." Bicara Amy sedikit mendatar. Maisarah masih membisu seribu bahasa. Dengan perasaan yang berdebar-debar, bilik itu dimasukinya.


Kemas dan teratur. Puas dicarinya, tetapi memang benar tiada sekeping pun gambar milik tunangnya di situ. Mata Maisarah terpaku memandang sesuatu. Botol kaca yang berisi bintang-bintang kertas itu direnung lama-lama. "Abang Im sukakan bintang kertas tu. Arwah ayah yang ajar abang Im buat semua tu. Kalau ada masa terluang je Amy selalu nampak Abang Im buat bintang-bintang kertas" Ujar Amy bila melihat Maisarah tidak berkelip-kelip memandang botol kaca yang terletak di kepala katil.


Maisarah melangkah rapat menuju ke katil milik Im. Jantungnya bagaikan tiba-tiba terhenti. Sekeping gambar yang terletak berhampiran botol kaca itu bagaikan merentap nyawanya. Gambarnya bersama Benjamin Alif sewaktu di alam persekolahan. Terketar-ketar tangannya menyentuh gambar itu.


"Itu gambar akak kan? Gambar akak dengan Abang Ben. Abang Im dan Abang Ben memang berkawan baik" Maisarah mengurut dadanya beberapa kali tatkala mendengar kata-kata Amy. "Amy kenal Benjamin?" Amy mengangguk sambil tersenyum. "Apa pulak tak kenalnya. Dulu kami sekeluarga pun menetap di Scotland. Tapi bila arwah ayah meninggal, kami semua pulang ke Malaysia. Dan tak lama lepas tu Abang Ben dan papanya pun pulang juga ke Malaysia."Kata-kata Amy terhenti. Dia menelan air liurnya beberapa kali. "Dulu Abang Ben selalu datang ke mari, tapi sejak dah bekerja ni langsung tak nampak muka" Wajah Amy sedikit mencuka.


Maisarah mula tertanya-tanya. Rasanya kalau dia tidak kuat semangat, mungkin saat itu dia sudah jatuh terjelepok ke lantai."Ya Allah! Apakah semua ini? Kebetulan atau memang sudah ditakdirkan oleh-Mu" Maisarah merintih sayu

No comments:

Post a Comment