Saturday, December 11, 2010

Bintang Hati - 6

Jam loceng di mejanya sudah tepat ke pukul 12 malam. Patutlah matanya terasa agak berat. Maisarah memicit-micit kepalanya yang mula berdenyut-denyut.


Terasa letih seluruh badannya, sepanjang malam memeriksa buku latihan pelajar-pelajarnya. Sesekali senyuman terukir di bibirnya bila membaca jawapan yang diberikan. Adakalanya langsung tidak logik dek akal fikiran. Masing-masing cuma pakai hentam sahaja.


Biarpun kepalanya sudah mula berdenyut-denyut, namun di usahakan juga menghabiskan segala kerja-kerjanya. Esok hari Sabtu, dan kalau boleh dia cuma mahu merehatkan badannya sahaja sepanjang hari.


Maisarah sedikit tersentak. Vibrate telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi. Dahinya berkerut-kerut kehairanan. "Siapa pula yang hantar sms malam-malam buta macam ni?" Dia tertanya-tanya sendirian.


"Assalamualaikum Bintang Hati. Masih belum tidur?" Maisarah mengigit bibirnya beberapa kali tatkala membaca sms yang diterimanya. Mustahil pula Benjamin Alif yang menghantar sms kepadanya. Sejak dia bertunang, nombor telefon sudah digantikan dengan yang baru. Jari jemarinya ligat menekan abjad-abjad di telefonnya.


"Waalaikumsalam. Siapa awak?" Lama menanti, vibrate telefonnya berbunyi lagi. "Abang Im" Mata Maisarah bulat memerhati tulisan yang tertera di skrin telefonnya. "Ah sudah! Dari mana pulak dia dapat nombor telefon aku ni?" Hatinya makin digaru kehairanan.


"Abang Im? Macam mana dapat nombor telefon Sarah?" Dia masih belum berpuas hati membaca sms yang diterimanya. "Rahsia!"Maisarah mendengus geram "Sikit-sikit rahsia! Tak habis-habis dengan rahsia! Aku ni bertunang dengan jin ke apa?" Maisarah mula membebel sendirian.


"Kenapa Abang Im tak nak tonjolkan diri abang pada Sarah. Dah penat Sarah menunggu"Sengaja dia menulis sms yang bernada sedih. Untung-untung umpannya mengena!


"Kerana abang cintakan Sarah!"Dahi Maisarah makin berkerut-kerut. "Abang cintakan Sarah? Kalau betul, kenapa
abang enggan menemui Sarah?"Matanya yang tadi terasa berat kerana mengantuk kini bagaikan bulat terbuka.


"Kerana abang takut Sarah akan menyukai abang"Aduh! Pening kepalanya menerima sms yang pelik seperti ini. "Kenapa pula abang takut Sarah akan menyukai abang? Bukankah elok jika Sarah jatuh cinta dengan tunang sendiri, lelaki yang bakal menjadi suami Sarah?"Panjang lebar sms yang ditulisnya. Sampai terasa sakit pula jari jemarinya asyik menekan butang-butang kekunci telefonnya.


"Kerana abang takut Sarah akan lebih kecewa!"Pelik! Makin pelik dia dibuatnya. "Kenapa?"Lama dia menanti, namun masih tiada balasan. Dihantarnya sekali lagi dan berkali-kali, namun masih hampa.


Maisarah memberanikan diri mendail nombor telefon yang tertera. Namun kehampaannya kian berterusan. Tiada bunyi nada dering. Bermakna telefon bimbit sudah dimatikan. Maisarah bungkam sendirian.


Seketika dia bagai teringatkan sesuatu. Laci mejanya ditarik dengan tergesa-gesa. Sekeping kertas dikeluarkan. Lama dia meneliti alamat yang tertera di atasnya. Alamat rumah bakal suaminya. "Esok aku mesti pergi ke sana. Dah penat dah asyik bermain dengan teka-teki ni!" Desisnya sendirian. Penuh semangat!

Puas dia mengereng ke kiri dan ke kanan. Namun sukarnya untuk dia melelapkan mata. Maisarah bagaikan tidak sabar-sabar untuk menanti hari esok. Entah masa bila dia terlelap pun, dia sendiri tidak pasti. Maisarah bermimpi. Bermimpi menemui tunangnya. Tetapi yang membuatkan hatinya bertambah geram, di dalam mimpi pun wajah tunangnya tidak kelihatan !

No comments:

Post a Comment