Thursday, December 9, 2010

Bintang Hati - 4

"Hah! Dah puas hati kau!" Wajah Benjamin Alif sedikit berkerut. Tanpa salam tanpa berbahasa, hemburan marah pula yang keluar dari mulut papanya.


"Kenapa ni papa?" Soal Benjamin Alif meskipun dia sudah mula dapat mengagak punca kemarahan papanya


"Maisarah dah bertunang dengan orang lain. Itu yang kau nak ke? Dulu merayu-rayu dengan papa, tak sabar-sabar minta papa masuk meminang. Alih-alih, ini pula yang kau buat!" Kemarahan Hamidi sudah tidak dapat dibendung lagi.


"Bertunang dengan orang lain? Siapa?" Soalnya dengan perasaan berdebar-debar. Hatinya sedikit terusik. "Hah! Tak payahlah kau sibuk-sibuk nak tahu siapa orangnya. Maisarah sudah jadi kepunyaan orang. Nak menyesal pun dah tak berguna lagi!" Suara di hujung talian sudah tidak kedengaran lagi. Benjamin Alif terkedu. Marah benar papa padanya.


Dia sedikit tersentak bila deringan telefon di mejanya tiba-tiba berbunyi. "Encik Benjamin, perbicaraan akan bermula pukul 10 nanti. Rasanya lebih baik kita bertolak ke mahkamah sekarang" Kedengaran suara pembantunya Suzy di hujung talian. "Baiklah. Sebentar lagi saya akan keluar" Balasnya agak malas.


"Siapa pula yang berani menyunting bunga idaman aku?" Hatinya tertanya-tanya sendirian. Keratan akbar yang masih dia simpan di dalam laci mejanya, dikeluarkan semula. Terpangpang gambarnya dan Nadia di dada akbar. Dia tahu hati Maisarah pasti terluka. Dia tidak mungkin dapat menipu dirinya sendiri. Dia menyintai Maisarah namun dalam masa yang sama dia turut menyintai Nadia. Ya! Nadia, gadis lincah yang periang. Pelakon filem yang mula menempa nama di tanahair. Kedua-duanya ternyata mempunyai karektor yang berbeza. Seorang agak pemalu dan tinggi ilmu agamanya, seorang lagi agak lincah dan sosial. Namun kedua-duanya sama ayu, sama cantik.


Benjamin Alif menekup kedua-dua tangannya ke muka. Dia bungkam sendirian.
"Encik Benjamin, kita dah lewat ni!" Suzy yang tiba-tiba muncul di muka pintu, memecah khayalannya. Dia sekadar mengangguk lemah. File-file yang sedia ada di mejanya di capai sambil melangkah pergi. Pergi dengan hati yang berkecamuk!


Maisarah memerhati wajahnya di bingkai cermin. Tudung labuh berwarna coklat cair itu dibetulkannya beberapa kali. Baju kurung berkerawang keemasan itu dibeleknya pula berkali-kali. Hatinya sedikit bimbang jika penampilannya pada hari pertama tidak begitu sesuai. Sekolah di bandar mungkin tidak sama seperti sekolah di kampung. Tiada sebarang make up yang dikenakan. Sekadar calitan nipis lipstic di bibirnya dan celak mekah pemberian umi nya yang dipakai.


Belum pun sempat dia melangkah keluar, telefon bimbit di dalam tas tangannya pula berbunyi. "Assalamualaikum!" Suara lembut umi nya kedengaran sayup di hujung talian. "Waalaikumsalam umi. Amboi! Awalnya umi dah telefon Sarah" Maisarah menjawab sambil berseloroh. Kedengaran tawa kecil umi di telinganya.


"Bukannya apa, umi bimbangkan Sarah. Bukan ke hari ni, hari pertama Sarah kat sekolah baru. Umi cuma nak ucapkan selamat berjaya. Umi dan ayah kat sini sentiasa mendoakan Sarah" Maisarah menguntum senyum mendengar bicara umi nya. "Terima kasih umi. Insya-Allah, Sarah akan bekerja dengan tekun dan ikhlas. Dan Sarah akan sentiasa jaga diri Sarah baik-baik kat sini. Umi jangan bimbang ye." Maisarah bersuara lembut cuba menenengkan hati umi kesayangannya itu.


Jam di tangan kirinya dijeling beberapa kali. Kakinya kian ligat diaturkan. Bimbang benar dia jika terlewat pada hari pertama dia bertugas.


"Allah!" Maisarah terjerit. Dia benar-benar hilang kawalan. Tubuhnya terdorong ke depan lalu jatuh terjelepok di atas rumput hijau yang masih lembap dibasahi dek embun. Buku-buku yang dipegangnya turut jatuh berteraburan. Wajahnya berkeriut-riut menahan sakit.


"Maafkan saya! Maafkan saya!" Seorang lelaki tergesa-gesa membantunya untuk bangkit. "Saya nak cepat ni. Tak dapat tolong awak kutip semua buku-buku tu" Ujarnya termengah-mengah. Dia terus berlari pergi tanpa menunggu jawapan selanjutnya dari Maisarah

"Semua guru-guru kat sini dah saya perkenalkan kepada ustazah. Cuma tinggal seorang lagi yang ustazah belum jumpa. Mari saya bawa ustazah berkenalan dengan dia" Encik Anuar, pengetua Sekolah Ampang Puteri bersuara ramah.


Maisarah sekadar menganggukkan kepalanya sambil mengekori langkah Encik Anuar. Dia sedikit terpegun melihat stadium sukan yang tersergam indah. Memang jauh berbeza dengan sekolahnya yang dulu.


Suasananya agak hingar-bingar dengan pekikan para pelajar yang begitu asyik bermain bola keranjang. Sesekali sorakkan bergemar tatkala bola memasuki jaring.


"Itulah Cikgu Hakim. Dia mengajar matematik dan guru sukan sekolah ni" Ujar Encik Anuar dengan suara yang kuat cuba mengatasi kebisingan pelajar-pelajar di situ. Jari telunjuknya ditundingkan ke arah susuk tubuh seorang lelaki yang berdiri di penjuru gelanggang. Sesekali jeritannya memberi arahan bergema di sekitar gelanggang. Lengan baju kemejanya yang berwarna biru itu dilipat hingga ke siku. Ikatan tali lehernya juga sudah dilonggarkan.


Maisarah terpaku di situ. Lama dia merenung. "Ah! Lelaki ni." Desisnya perlahan. Mana mungkin dia terlupa. Kerana dialah, habis bajunya kotor pagi tadi.


"Cikgu Hakim, kenalkan ini guru baru sekolah kita, Ustazah Maisarah" Ujar Encik Anuar. "Assalamulaikum ustazah" Bicara Hakim lembut. Senyuman terukir di bibirnya. Maisarah sedikit gelabah. Renungan redup mata Hakim agak menyesakkan nafasnya.


"Waalaikumsalam cikgu" Suaranya mula bergetar. "Maafkan saya pasal kejadian pagi tadi. Saya tak patut biarkan ustazah tadi" Hakim bersuara sedikit kesal. Wajah ayu Maisarah ditatapnya puas-puas.


"Tak mengapalah" Balas Maisarah pendek. Dia sudah mula gelisah. Renungan mata Hakim seolah-seolah enggan beralih dari memandangnya.


"Eh? Ustazah dengan cikgu ni dah berkenalan ke?" Encik Anuar yang tadi hanya mendiamkan diri, bertanya kehairanan. Hakim tertawa kecil. Lucu pula dia melihat wajah Encik Anuar yang agak berkerut-kerut.


"Belum lagi cikgu. Tapi pagi tadi saya terlanggar ustazah ni" Encik Anuar mengangguk-ngangguk kepalanya tatkala mendengar penjelasan Hakim.


"Kalau macam tu, saya biarkan ustazah dengan Cikgu Hakim sajalah. Ustazah boleh start mengajar esok. Hari ni ustazah bolehlah melawat-lawat dahulu di sekitar kawasan sekolah ni" Encik Anuar mengukir senyuman sambil mengatur langkah berlalu pergi.


Seketika mereka berdua terdiam seribu bahasa. Masing-masing agak kekok untuk memulakan berbicara. "Errr...Apa kata saya perkenalkan ustazah dengan pasukan bola keranjang sekolah ni." Lama terdiam, Hakim membuka bicara. Dia perasan Maisarah agak gelisah duduk disampingnya.


"Boleh juga" Balas Maisarah pendek. Sebuah senyuman terukir di bibirnya. Hakim tiba-tiba bagaikan terpaku. "Comelnya! Rasa macam nak gigit!" Suara nakal di hatinya mula berbisik.


Masing-masing berebut-rebut ingin menyalami Maisarah. Tak menang tangan dibuatnya. Macam-macam soalan yang di tanya. Sesekali meletus ketawa kecil di bibirnya. Hakim yang berdiri tidak jauh dari situ sekadar tersenyum. Diperhatinya tingkah Maisarah dengan perasaan yang berbunga. Andai masa didalam genggamannya, sungguh! Saat-saat ini tidak mungkin dia hentikan.

No comments:

Post a Comment