Wednesday, December 8, 2010

Bintang Hati - 3

Kelihatan 3 biji kereta mewah menjalar di halaman rumahnya. Kereta milik Pak Langnya turut kelihatan ada bersama. Maisarah terbongkong-bongkok melintasi di depan beberapa orang tetamu yang begitu asyik merenungnya dari atas ke bawah, sehinggakan langkahnya terasa begitu sumbang jadinya.


Belum pun sempat dia membuka mulut untu bertanya, tangannya sudah diraih umi masuk ke bilik. Hati Maisarah kian hebat dicengkam perasaan. Persoalan demi persoalan yang bermain diminda, begitu menjerut jiwanya. Keningnya berkerut lagi bila melihat ayah dan Pak Langnya turut sama memasuki biliknya.


"Kenapa ni? Risau pulak Sarah tengok umi dengan ayah macam ada yang tak kena. Pak Lang pun ada sekali kat sini. Kenapa ni? Macam ada masalah besar je?" Bertubi-tubi soalan yang keluar dari bibirnya.


"Sarah.....Tetamu yang datang ni tujuannya untuk merisik dan meminang Sarah" Lebai Hashim membuka bicara. Kesian pula dia melihat wajah Maisarah yang terpinga-pinga kehairanan. "Tapi pinangan ini bukannya dari Alif" Pak Langnya pula tiba-tiba bersuara "Namun seperti yang telah dijanjikan, Alif akan tetap datang menghantar rombongan meminang hujung bulan ini"


Maisarah terdiam tanpa sebarang kata. Kedatangan tetamu yang tidak diundang ini betul-betul mengejutkannya. Jari jemarinya dipicit beberapa kali. "Kami semua tak akan memaksa Sarah. Terpulanglah pada Sarah sendiri mahu menerima pinangan ini atau menanti pinangan Alif" Suara lembut Solehah singgah di cuping telinganya.


"Siapa orang ni umi ? Sarah tak pernah kenal pun" Lama terdiam, Maisarah mula membuka kata. "Mereka semua dari KL. Umi dan ayah pun tak kenal mereka. Tapi nampaknya macam dari keluarga yang baik-baik" Balas Solehah sambil tangannya tidak henti-henti mengusap tubuh Maisarah.


"Sarah...Pihak lelaki ni tak bawa sekeping gambar pun untuk kita lihat siapa bakal pengantinnya. Tetapi katanya dia dah lama kenal dan sukakan Sarah." Bahu Maisarah sedikit terjungkit mendengar bicara ayahnya. "Kenal dengan aku? Tapi siapa? Rakan sekolah ke? Tak mungkin pula, ibu bapa mereka semua orang kampung ni. Mustahil pula aku tak kenal. Tapi orang-orang ni memang aku langsung tak kenal!" Dia mula berteka-teki di dalam hati.


Maisarah menjeling ke arah barang-barang hantaran yang tersusun indah di tepi dinding biliknya. Tiba-tiba anak matanya bagaikan terpaku memandang sesuatu. Maisarah bingkas bangun. Salah satu dari barang hantaran itu benar-benar menarik perhatiannya. Sebiji botol kaca yang indah bentuknya. Di sekelilingnya terikat rapi dengan sehelai reben berwarna coklat keemasan. Tetapi bukan itu yang menarik perhatiannya. Terdapat begitu banyak bintang-bintang kertas yang berwarna-warni di dalamnya. Memenuhi setiap ruang di dalam botol tersebut.


Tiada siapa pun yang tahu kesukaannya yang satu ini. Hanya Benjamin Alif yang tahu. "Kenapa selalu bagi bintang kertas ni ?" Pernah sekali soalan itu di tanya terhadap Benjamin Alif. "Sebab....Bintang-bintang kat langit tu terlalu tinggi. Tak akan mungkin mampu untuk Ben petik. Ben buat bintang-bintang kertas ni sebagai pegganti bintang-bintang kat langit tu. Tapi Biar pun bintang kat langit tu banyak dan bintang-bintang kertas yang Ben bagi ni pun banyak, hanya Mai Bintang di hati Ben" Kata-kata Benjamin Alif itu begitu indah menusuk ke hatinya saat itu. Dan sejak itu bintang-bintang kertas ini terlalu sinonim di dalam hidupnya


Hati Maisarah mula di garu kehairanan. "Betul pinangan ni bukan dari Alif" Soalnya meminta kepastian. Wajah Pak Langnya direnung tanpa berkelip. Mustahil baginya ada orang yang tahu pasal bintang kertas ini selain Benjamin Alif. Wajah Pak Langnya sedikit berkerut mendengar soalan yang diajukan.


"Pinangan ini bukan dari Alif. Pak Lang sendiri tak kenal dengan orang-orang kat luar sana tu" Dahi di wajah Maisarah kian berkerut. "Macam mana Sarah? Mereka kat luar sana tu dah lama menanti jawapan" Ujar Lebai Hashim sedikit serius.


Maisarah terdiam. Wajah Pak Lang dan bintang-bintang kertas itu di renung silih berganti. "Siapa dia?" Hatinya masih tertanya-tanya. "Betul ke mereka langsung tak bawa gambar lelaki tu ayah?" Soalnya meminta kepastian. Hatinya begitu dicarik-carik ingin benar melihat lelaki misteri tersebut. Lebai Hashim mengangguk beberapa kali kepalanya.


"Pihak lelaki beritahu ayah tadi, jika Sarah menerima pinangan ni sekalipun, Sarah tak mungkin berjumpa lelaki tu sehingga hari akad nikah nanti. Sebab tu ayah benar-benar berharap agar Sarah mempertimbangkannya dengan sebaik mungkin" Tutur Lebai Hashim satu persatu.


Maisarah menarik nafasnya dalam-dalam. Cuba mencari kekuatan agar keputusan yang bakal dibuat ini tidak akan mengundang kecewanya di kemudian hari.


"Ayah.....Umi...." Kata-kata Maisarah terhenti. Tangan umi diraihnya. Digenggam dengan kuat cuba mengumpul kekuatan. "Sarah terima pinangan ini" Pendek jawapan yang diberi oleh Maisarah namun sudah cukup membuat umi dan ayahnya terpegun sesama sendiri. Terdengar keluhan kecil dari mulut Pak Langnya.


Dia sendiri kurang pasti kenapa dia membuat keputusan menerima orang yang langsung tidak di kenali dan terlalu misteri baginya. Biarpun Benjamin Alif adalah kesayangannya namun hatinya seolah-olah lebih berat memintanya menerima pinangan ini. Mungkinkah kerana terluka dengan perlakuan Benjamin Alif atau bintang-bintang kertas itu yang mempengaruhinya.

Benjamin Alif memicit-micit kepalanya yang mula terasa berat. Perbualan telefon dengan papanya semalam, sedikit sebanyak menganggu emosinya hari ini

No comments:

Post a Comment