Tuesday, December 7, 2010

Bintang hati - 2

Hatinya semakin resah sebaik sahaja kaki terhenti di bilik pengetua sekolah. Lama dia termanggu di situ, serba salah untuk melangkah masuk. Maisarah mengetuk pintu bilik dengan berhati-hati. "Masuk!" Suara garau di dalam bilik itu membuatkan dirinya rasa semakin kecut.


"Cikgu nak jumpa saya ke?" Soal Maisarah agak bergetar. Cuba di tahan rasa gugup di hatinya. "Hah Ustazah Maisarah! Dari tadi saya asyik mencari ustazah. Duduklah dulu" Haji Basri, pengetua Sekolah Menengah Tanjung Ara berbicara sambil tersenyum. Surat yang terletak di atas mejanya dibelek beberapa kali. " Saya terima surat ni semalam dari Kementerian Pendidikan. Ustazah akan ditukarkan ke Sekolah Menengah Ampang Putri di KL bermula bulan depan" Suara garau Haji Basri itu benar-benar mengejutkannya. Dia terdiam seketika. "Ustazah tak apa-apa ke?" Soal Haji Basri agak hairan bila melihat tiada sebarang reaksi daripada Maisarah.


"Tapi saya tidak pernah pun memohon untuk dibuat pertukaran. Kenapa pula saya perlu bertukar" Lama terdiam Maisarah membuka bicara. Sudah 3 tahun dia mengajar di sini. Malah dahulu pun di sinilah dia belajar. Terlalu banyak perkara yang dia sayang di sini. Bagaimana hendak ditinggalkan begitu sahaja. Haji Basri terbatuk-batuk kecil. Sejak kebelakangan ini kesihatannya memang tidak begitu baik.


"Memang betul ustazah tidak pernah memohon untuk bertukar. Tetapi ini adalah arahan dari Kementerian Pendidikan. Kat bandar seperti KL sekarang ni, terlalu kekurangan guru agama macam ustazah ni." Kata-katanya terhenti seketika. Fail yang sememangnya sedia ada di atas mejanya diselak beberapa kali membaca data peribadi Maisarah. "Lagipun ustazah sudah 3 tahun mengajar di sini. Saya tahu ustazah anak jati kampung ni dan mahu berbakti kepada anak-anak kampung ni. Tetapi ini adalah peluang untuk ustazah menimba pengalaman dan pengetahuan yang baru. Saya percaya ustazah akan lebih berjaya di sana" Panjang lebar nasihat yang Haji Basri berikan. Bukan dia menghalau atau tidak suka Maisarah terus menabur baktinya di sini, dia suka malah terlalu suka. Gadis yang berkulit putih kemerah-merahan ini terlalu baik orangnya. Lemah lembut dan bersopan. Ramai pelajar-pelajar yang suka kepadanya, malah guru-guru di sini pun begitu mengagumi dan menghormatinya. Tetapi dia cuma mahu melihat Maisarah menjadi guru yang lebih berjaya. Mudah-mudahan rezekinya lebih baik di sana.


Maisarah mula terasa sebak. Dan rasanya semakin parah kerana sejak semalam hatinya dilanda duka. "Terlalu sukar untuk saya meninggalkan sekolah ni cikgu" Maisarah bersuara pilu. Air matanya mula bergenang di kelopak. Wajahnya ditundukkan merenung ke bawah. Tidak berani untuk menatap wajah Haji Basri, bimbang jika riak wajahnya yang mula bertukar dapat dilihat. "Saya faham perasaan ustazah. Itu adalah perasaan biasa yang akan kita alami bila kita akan meninggalkan sesuatu yg telah lama sebati dgn diri kita" Haji Basri cuba sebaik mungkin menenangkan hati Maisarah. Meskipun tidak melihat wajah Maisarah, namun dia seolah-olah boleh nampak kekeruhan di hati Maisarah. "Tidak! Ini bukan perasaan biasa. Cikgu tak akan faham semua ni" Mahu sahaja di hemburkan kata-kata itu keluar. Namun terasa tersangkut pula di kerongkong.


Lama dia termenung di mejanya, hinggakan deringan loceng menandakan waktu makan tengah hari pun tidak kedengaran oleh telinganya. Jadual pembelajaran yang terletak di kiri meja, direnungnya dengan perasaan yang sebal. Selepas waktu makan tengah hari ada kelas Pendidikan Agama Islam buat pelajar-pelajar tingkatan 4. Bagaimanalah hendak dia mengajar sebentar nanti jika perasaan gundah gulana ini enggan hilang dari hatinya.


Cuaca panas yang melanda negara sejak beberap bulan ini benar-benar merimaskannya. Kulitnya yang putih sudah merah menyala dibakar dek terik panas matahari. "Mai ni macam Puteri Lilin, tak boleh langsung kena panas. Baru berpeluh sikit, dah gelabah satu badan" Suara Benjamin Alif datang lagi.


"Kenapalah kau muncul lagi " Hati kecilnya berbisik sayu. Langkahnya tadi yang begitu ligat diatur tiba-tiba terhenti. Dari jauh kelihatan Lebai Hashim yang begitu asyik memandang ke sana ke mari mencari kelibatnya. Kening Maisarah sedikit berkerut, hairan melihat kedatangan ayahnya. Sudah menjadi kebiasaannya pulang sendiri selepas sesi persekolah berakhir. Ayahnya yang menjadi imam di masjid, biasanya agak sibuk di waktu tengah hari.


"Ayah tak ke masjid ke?" Soal Maisarah sebaik sahaja menghampiri ayahnya. Lebai Hashim mengeleng-ngelengkan kepalanya beberapa kali. "Hari ni ayah tak pergi. Ustaz Salleh tolong gantikan ayah di masjid. Ada tetamu datang kat rumah kita" Ujar Lebai Hashim sambil menghidupkan enjin motorsikal buruknya.


"Tetamu ? Siapa tu ayah?" Soal Maisarah tidak sabar. Setahunya tiada sesiapa pun yang akan datang ke rumah. Kalau saudara-mara sebelah umi dan ayahnya, kebiasaannya mereka semua akan menelefon dahulu sebelum datang. Dan selalunya umi tidak pernah lupa memberitahunya. Maklumlah kalau ada orang hendak bertandang, perlulah dikemaskan sedikit kawasan rumah.


"Kita balik rumah dululah baru cerita. Mereka semua tengah menunggu Sarah pulang" Sekali lagi tanda tanya bermain di benak fikirannya "Tunggu aku? Kenapa?" Desisnya perlahan

No comments:

Post a Comment