Sunday, December 19, 2010

Bintang Hati - 14

Benjamin Alif mundar mandir di hadapan deretan kerusi tempat menantinya pesawat untuk berlepas. Dia resah sendirian. Jam di tangan kirinya di jeling sekali lagi. Masih ada dua jam lagi masa untuk pesawatnya berlepas. Masih ada banyak masa tapi dia bimbang jika orang yang ditunggunya tidak kunjung tiba.


Letih berdiri dia kembali melabuhkan punggungnya di atas kerusi yang tersedia di belakangnya. Majalah yang dibelinya sebentar tadi, dibelek beberapa kali. Cuba menghilang keresahan yang menguasai jiwanya. Namun ternyata dia gagal membuang jauh resahnya.


"Ben!" Dia sedikit tersentak. Wajahnya didongak ke atas mencari arah suara itu. "Dah lama tunggu?" Soal Maisarah pendek. Benjamin Alif menguntum senyum. Lega melihat kelibat Maisarah di hadapannya. "Tak lama, baru setengah jam. Tapi sudah cukup membuatkan Ben resah" Maisarah mengerutkan keningnya tatkala mendengar bicara Benjamin Alif.


Benjamin Alif ketawa kecil melihat wajah Maisarah. "Ben bimbang, takut jika Mai tak sudi nak datang" Ujarnya dengan sisa tawa yang masih ada. Maisarah sekadar tersenyum. Pahit!


"Berapa lama Ben di Scotland ?" Soal Maisarah. Dia sebenarnya agak terkejut bila tiba-tiba mendapat panggilan telefon dari Benjamin Alif malam tadi. Benjamin Alif melepaskan nafasnya perlahan. "Mungkin 5,6 tahun atau mungkin juga akan terus menetap di sana" Maisarah sedikit tersentak. "Merajuk dengan aku ke?" Hatinya berbisik perlahan.


"Kenapa tiba-tiba buat keputusan nak balik ke Scotland?" Soal Maisarah lagi. "Kerana kau sayang! Kerana Hakim!" Mahu sahaja ayat-ayat itu dikeluarkan. Namun bagaikan ada sesuatu yang menghalang, ianya sekadar bergema di dalam hati. "Bukannya keputusan yang tiba-tiba. Dah lama sebenarnya Ben bercadang nak kembali ke Scotland. Lagipun arwah mama ada sebidang tanah di sana dan Ben satu-satunya waris dia. Biarlah Ben yang menguruskannya." Itu sahaja alasan yang mampu dia berikan. Harap-harap dapat menyembunyikan maksud sebenarnya.


Maisarah terdiam. Alasan Benjamin Alif mematikan soalannya. "Mai....Ben minta maaf kerana mengkhianati janji kita. Minta maaf kerana mempermainkan kesetiaan Mai & minta maaf untuk segala-galanya" Benjamin Alif bersuara sebak. Suaranya tersangkut-sangkut cuba menahan rasa sebak di hatinya.


"Ben cintakan Mai dan masih cintakan Mai. Dan kalaulah boleh Ben ingin menyintai Mai selama-lamanya." Kata-katanya terhenti. Benjamin Alif menarik nafasnya dalam-dalam, cuba mencari kekuatan. "Tapi Ben akur, walau sedalam mana cinta Ben terhadap Mai, tak mungkin dapat menandingi kehebatan cinta Hakim. Ben pasti kalah dengan dia" Maisarah mula sebak. Kata-kata Benjamin Alif seakan menikam-nikam hatinya.


"Selama ini, Ben hanya memberi Mai cinta tapi Hakim bukan sekadar memberi cintanya pada Mai, malah dia sanggup berkorban lakukan segala-galanya demi Mai." Suara Benjamin Alif kian sayu.


Di renungnya Maisarah yang hanya menundukkan wajahnya. Dia tahu Maisarah menangis. Maisarah yang dia kenal mudah benar mengalirkan air matanya. Mana mungkin dia lupa, pertama kali melihat Maisarah menangis. Kelam kabut dia dibuatnya. Macam-macam yang dia lakukan untuk menghentikan tangisan Maisarah.


"Mai...Jangan menangis lagi. Senyumlah! Jangan biarkan Ben tinggalkan bumi Malaysia dengan perasaan bersalah" Benjamin Alif bersuara lirih. Permintaan Benjamin Alif itu lagi menambahkan rasa sayu di hatinya. Dan mana mungkin dia mampu menguntum senyum


Maisarah bungkam sendirian di dalam bilik. Pemergian Benjamin Alif sedikit sebanyak seakan menghukum dirinya. Maisarah merenung kalendar kecil yang terletak di hujung meja tulisnya. Sudah 5 hari Hakim berada dalam keadaan koma. Masih tiada sebarang perubahan.


"Berapa lama lagi Sarah sanggup menunggu Hakim?" Pertanyaa ibu Hakim tempoh hari kembali bermain-main di fikirannya. "Mama faham jika Sarah mahu pertunangan ini diputuskan. Kita semua tak pasti sampai bila Im akan koma, mungkin akan mengambil masa yang agak lama. Janganlah sia-siakan usia Sarah hanya semata-mata kerana Im" Maisarah tidak terkata mendengar bicara ibu Hakim.


Maisarah melepaskan nafasnya agak keras. Kedua-dua tangannya diraup ke muka. "Tapi Sarah cintakan abang Im. Tak mungkin Sarah akan pergi begitu sahaja" Rintihnya sayu. Dia menangis lagi. Apa lagi yang mampu dia lakukan. Hidupnya terasa begitu kelam!


Pintu kaca biliknya ditarik perlahan-lahan. Sejak mengenali Hakim, itulah kebiasaannya. Mendongak ke langit yang kelam dan gelap, tercari-cari bintang-bintang yang bersembunyi. Dan malam itu masih tiada bintang di langit! Dan dia hampa lagi!


"Aduhai bintang, ke mana menghilang? Sudah kau curi hati ku, mengapa lari menyorok diri?" Sayu bicaranya seakan berlagu. Air matanya yang masih bersisa, dikesatnya perlahan-lahan. Balang kaca berisi bintang-bintang kertas itu direnungnya dengan perasaan bertambah sebak.


Maisarah berlari-lari anak memasuki perkarangan hospital. Panggilan telefon yang diterimanya sebentar seolah-olah menyentap tangkai jantungnya.


Tergesa-gesa pintu bilik Hakim ditolaknya. Kosong ! Dadanya berombak kian kencang. Tak mungkin Hakim sudah tiada. Tak mungkin! "Ya Allah!" Maisarah jatuh terduduk ke lantai. Dia menangis semahu-mahunya. Tidak dihiraukan lagi jika tangisannya menganggu orang lain. Hatinya begitu hiba! Mengapa orang yang dia sayang, semuanya berlalu pergi?


"Sarah !" Maisarah tersentak. Suara itu! Cepat-cepat dia menoleh. "Abang!" Hampir terjerit dia tatkala melihat kelibat Hakim yang berkerusi roda di hadapannya. "Sarah ingat abang....." Kata-katanya terhenti. Ayat terakhir itu tidak mampu untuk dia lafazkan. Takut!


"Kenapa? Sarah ingat abang dah tak ada?" Soal Hakim sambil ketawa kecil. Halimah yang berada di sisi Hakim turut ketawa. "Tapi tadi mama kata Abang....Sarah ingatkan ada sesuatu yang berlaku" Ujar Maisarah tersangkut-sangkut. Halimah ketawa lagi. "Apa tidaknya, mama belum habis cakap lagi, Sarah dah putuskan talian. Macam mana mama nak beritahu" Berderai lagi tawa di bibirnya.


"Tak nak peluk abang ke?" Hakim mengusik. Sebuah cubitan hinggap di lengan Hakim. Berkeriut wajahnya menahan sakit. "Abang ingat nak koma lagi dua tiga hari, tapi tak bolehlah!" Maisarah mengerutkan keningnya tatkala mendengar bicara Hakim


"Sarah asyik menangis kat telinga abang. Manalah abang boleh tahan!" Hakim mengusik lagi. Maisarah mengetap bibirnya menahan geram Saat-saat macam ni pun dia masih sempat bergurau lagi. Namun di hatinya berbunga riang.


["Abi, kenapa bintang-bintang kat langit tu kecil sangat? Pastu kenapa abi suka tengok bintang ?" Senget-senget mulut kecil Aleeya bertanya. Anak kecil berusia 3 tahun itu petah berbicara. Wajah Hakim ditatapnya dengan manja.


Hakim tersengeh. Tubuh kecil itu diangkat, diletak di atas ribaannya. "Bintang-bintang tu nampak kecil sebab dia duduk nun tinggi di langit. Sebab itu Aleeya nampak kecil dari bawah" Hakim memandang wajah Aleeya yang masih menanti jawapan darinya.


"Abi suka tengok bintang sebab bintang macam umi Aleeya. Cantik dan bersinar-sinar. Sejuk hati abi bila memandangnya" Aleeya mengerutkan keningnya. Masih tidak faham dengan jawapan Hakim.


"Macam mana umi boleh bertukar jadi bintang ?" Soalan Aleeya itu disambut dengan deraian ketawa Hakim. "Sayang abi masih terlalu kecil untuk memahami kisah cinta antara abi dan umi. Tapi umi adalah satu-satunya bintang di hati abi. Sentiasa berkelip=kelip dan sinarnya tidak pernah padam!" Hakim berbisik lembut di telinga Aleeya.]


TUAI PADI ANTARA MASAK
ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN
ADINDA BINTANG TINGGI DI PUNCAK
DI MATA KEKANDA JADI TUMPUAN

No comments:

Post a Comment