Friday, December 17, 2010

Bintang hati - 12

"Cikgu Sabariah ada nampak Cikgu Hakim tak? " Soalnya tatkala melabuhkan punggung di kerusi. Cikgu Sabariah yang begitu asyik memeriksa buku latihan di mejanya, mengangkat muka. Cermin matanya yang hampir jatuh, dibetulkannya beberapa kali. "Cikgu Hakim dah balik. Tadi dia apply cuti sampai seminggu." Maisarah mengerutkan keningnya. "Seminggu?" Soalnya sekali lagi. "Ya! Seminggu dia cuti. Tak tahulah pulak kenapa" Jawapan dari mulut Cikgu Sabariah disambutnya dengan hati yang kian kecewa.


Maisarah mundar mandir di dalam biliknya. Entah mengapa, apa sahaja yang dibuatnya serba tidak kena. Letih berdiri, dia duduk. Lama duduk, dia bangun kembali. Peristiwa petang tadi masih bermain-main di matanya.
Puas sudah nombor telefon Hakim didailnya, namun hampa, tidak berbunyi. Maisarah resah sendirian.


Maisarah bingkas bangun tatkala mendengar deringan telefon bimbitnya. "Hello!" Dia menjawab dengan perasaan yang tidak sabar. "Sarah...." Maisarah menggigit bibirnya beberapa kali tatkala mendengar suara ibu Hakim di hujung talian. Debaran di dadanya mula terasa apabila suara ibu Hakim di selangi dengan tangisan. "Mama? Kenapa ni?" Soalnya kelam kabut. "Im...." Suara ibu Hakim yang terputus-putus kian menyesakkan hatinya.


"Sarah....Im dekat hospital. Dia dalam keadaan koma" Terduduk Maisarah mendengarnya. Telefon bimbitnya digenggam erat. "Macam mana boleh koma? Abang Im accident ke?" Soal Maisarah bergetar. Cuba ditahan agar tangisannya tidak pecah.


"Sarah.....Im mengidap barah hati. Penyakit sama yang telah meragut nyawa arwah ayahnya. Mama tak tahu tentang ni. Im tak pernah beritahu mama" Hiba suara ibu Hakim benar-benar menghiris jiwanya. Badannya mula terhinggut-hinggut menahan tangis yang mula meletus.


Tak mungkin Hakim sakit. Hakim begitu hebat di gelanggang. Gagah! Dia paling suka melihat aksi Hakim tatkala balingan bolanya memasuki jaring. Kegembiraan dan kepuasan yang terukir di wajahnya. Dia juga paling suka mendengar jeritan suara Hakim yang bergema sekitar gelanggang tatkala memberi arahan terhadap pelajar-pelajarnya. Dia juga suka tatkala melihat Hakim menyinsing lengan baju kemejanya hingga ke siku, melonggarkan ikatan tali lehernya dan dengusan nafasnya apabila keletihan. Dia suka! Dia suka segala-galanya tentang Hakim!


Maisarah menekup kedua tangannya ke muka. Menangis semahu-mahunya. Biarkanlah tangisannya memecah hening malam. Biarkanlah tangisannya menganggu mimpi indah orang lain. Dia tidak peduli lagi.


Dia tergesa-gesa menukar pakaiannya. Menyeka cepat-cepat sisa air mata di pipinya. Jam di tangan kirinya di jeling sepintas lalu. Pukul 11.00 malam. Dia tidak peduli. Dia tidak mahu menunggu sampai esok. Dia mahu berjumpa Hakim hari ini, sekarang!


Perkarangan hospital yang sunyi sepi itu dijejakinya dengan perasaan yang bercelaru. Puas bertanya di kauter pendaftaran, Maisarah tercangak-cangak mencari bilik Hakim.


"Sarah!" Dia segera menoleh mencari arah suara yang memanggilnya. Halimah, ibu Hakim meluru ke arahnya. Tubuh Maisarah dipeluknya dengan perasaan hiba. "Mama, macam mana boleh jadi macam ni?" Soal Maisarah dalam tangisannya yang mula pecah. "Mama tak tahu Sarah, mama tak tahu. Hakim rahsiakan segala-galanya dari mama" Halimah menjawab lirih!


"Doktor tunggu sekejap!" Maisarah menjerit tatkala melihat kelibat doktor yang keluar dari bilik Hakim. Doktor yang sudah lanjut usia itu memberhentikan langkahnya. "Doktor, macam mana keadaan dia? Macam mana dia boleh jadi macam ni?" Bertalu-talu soalan yang dikeluarkan. Sebenarnya terlalu banyak persoalan yang bermain di kepalanya.


"Dalam pukul 7 petang tadi, Encik Hakim menjalani pembedahan pemindahan hati. Pembedahan ini sebenarnya berjaya, tapi tak tahu kenapa badannya seolah-olah telah menolak hati baru ini. Berlaku komplikasi terhadap pesakit. Keadaan inilah yang membuatkan pesakit menjadi koma." Maisarah terdiam mendengar penjelasan yang panjang lebar oleh doktor tersebut.


"Boleh saya masuk tengok dia doktor" Maisarah seakan merayu. Wajah doktor tersebut sedikit berkerut. Wajah Maisarah direnungnya agak lama. "Cik ni siapa?" Soalnya pendek. "Saya tunang dia. Tolonglah doktor, benarkanlah saya masuk." Maisarah masih merayu.


"Baiklah. Tapi jangan terlalu lama" Jawapan yang diterima, benar-benar menggembirakan hatinya.


Pintu bilik Hakim dibukanya berhati-hati. Hatinya bertambah sayu tatkala melihat wayar-wayar yang berselirat di tubuh Hakim. Air matanya gugur lagi. Kali ini entah yang ke berapa dia pun sudah tak ingat lagi. Wajah Hakim yang seolah-olah sedang nyenyak tidur itu, ditatapnya penuh sendu.


"Abang.......Abang pergi cepat sangat petang tadi. Kenapa tidak menanti dahulu jawapan dari Sarah" Dia bersuara penuh lirih. Pedih! Maisarah menarik nafasnya dalam-dalam. Sebak dadanya terasa begitu sesak.


"Sarah juga cintakan abang. Biarpun cinta ini baru tumbuh di hati Sarah, tapi akar cinta ini begitu kuat dan kukuh bertapak di sini, di hati Sarah. Kerana selama ini abang telah bajai dan sirami dengan kasih sayang abang" Kata-katanya terhenti. Sukarnya nak meneruskan kata bila air mata mencurah-curah turun.


"Cepatlah bangun.....Sarah tunggu abang..." Dia sudah tidak mampu untuk terus melihat wajah Hakim. Kesedihan di hatinya bertambah parah. Dia bingkas bangun, cepat-cepat berlalu keluar. Bimbang jika tangisannya akan menganggu keadaan Hakim

No comments:

Post a Comment