Thursday, December 16, 2010

Bintang Hati - 11

Selesai solat Zuhur di surau sekolah, dia tergesa-gesa kembali ke mejanya. Dua hari lagi perayaan hari guru akan di rayakan. Telah banyak program yang pihak sekolah rancangkan. Dan dia juga perlu membuat banyak persediaan.


"Ustazah!" Hartini, pelajar tingkatan 5 yang juga merupakan AJK pelajar tersenyum memandangnya. "Kamu rupanya Tini. Terkejut ustazah. Ingatkan siapalah tadi. Masuklah!" Hartini ketawa kecil mendengar kata-kata Maisarah. "Tak apalah ustazah! Saya nak ke dewan besar sekarang ni. Saya cuma nak beritahu, barang-barang yang ustazah belikan semalam, dah saya letakkan kat dalam dewan. Nanti ustazah datang ye!" Bagaikan bertih jagung suaranya kedengaran di telinga Maisarah. Pemidato peringkat daerah, siapa yang berani berbahas dengannya.


Maisarah sekadar tersenyum sambil menganggukkan kepalanya. Baru dia teringat tugasan yang diamanahkan kepadanya. Dia bertanggung jawab menghias dewan besar tempat di mana perayaan hari guru dilangsungkan. Maisarah tergesa-gesa bangun. Kelam kabut langkah diaturnya.


Dia tersenyum tatkala melangkah masuk ke dewan. Gembira melihat pelajar-pelajar yang ringan tulang sibuk membantunya. Senyuman yang terukir di bibirnya tiba-tiba terhenti. Bintang kertas! Dan memang benarlah, bintang kertas inilah yang diterimanya saban hari.


Dadanya makin kuat berdegup. Sekumpulan pelajar perempuan yang sedang sibuk menyusun bintang-bintang kertas untuk dijadikan hiasan, dihampirinya. "Siapa yang buatkan ni?" Soalnya tersekat-sekat. "Bintang kertas ni ke ustazah?" Maisarah sekadar menganggukkan kepalanya. "Cantikkan! Tapi bukan kita orang yang buat" Maisarah benar-benar hampa tatkala mendengarnya.


Nafasnya yang bagaikan tertahan-tahan sejak tadi, dilepaskannya agak keras. Dia melangkah malas menuju ke penjuru dewan. Langkahnya tiba-tiba terhenti. Lama dia terpaku di situ memerhati tingkah Hakim yang begitu asyik membentuk kertas berwarna-warni itu menjadi bintang. Dadanya kembali berombak kencang.


"Hakim? Abang Im? Mungkinkah orang yang sama?" Dia mula berteka teki di dalam hati. Dikuatkan semangatnya. Langkahnya yang tadi terhenti disambung kembali.


"Abang Im?" Soal Maisarah dengan suara yang bergetar. Puas sudah dia cuba mengawal nada suaranya. Namun ternyata usahanya gagal juga. Hakim benar-benar tersentak. Bintang kertas di dalam genggamannya jatuh ke lantai.
"Abang Im?" Soalnya lagi tatkala melihat Hakim masih tidak menoleh ke arahnya.

Lambat-lambat Hakim menoleh memandangnya. Sebuah senyuman sudah terukir di bibirnya. "Sarah memang bijak! Sekejap saja dah dapat cari abang" Maisarah terdiam tidak terkata mendengar bicara Hakim. Aduh! Rasanya saat itu mahu sahaja dia jatuh terjelepok ke lantai.


Hakim menarik nafasnya dalam-dalam. Renungan Maisarah yang seolah-olah meminta penjelasan lanjut darinya, begitu menyesakkan!


"Maafkan abang! Sungguh! Abang tidak bermaksud membuat Sarah tertanya-tanya. Dan bukan niat abang juga nak permainkan hati Sarah." Hakim menelan air liurnya. Kelat!


"Abang cintakan Sarah! Sejak dulu lagi! Sejak melihat gambar Sarah yang Benjamin tunjukkan pada abang. Dan apabila Ben bertanyakan pada abang, hadiah apa yang perlu diberikan pada Sarah, abang hanya teringatkan bintang kertas ni saja. Sarah cantik bersinar bagaikan bintang. Duduknya tinggi di langit, terlalu sukar untuk abang petik" Kata-kata Hakim terhenti. Kali ini nafasnya pula dilepaskan keluar. Wajah kesayangannya ini di tatap dengan perasaan yang bersalah. Maisarah masih terdiam. Terpegun bagaikan patung. Air matanya mula mengalir turun!


"Setiap waktu abang perhatikan Sarah. Cuma Sarah yang tidak perasan. Abang tidak pernah meletakkan sebarang harapan bila meminta mama meminang Sarah. Dan keputusan yang Sarah berikan benar-benar mengejutkan abang" kata-kata Hakim terhenti lagi. Sukarnya untuk dia meneruskan bicara tatkala melihat air jernih yang mengalir di pipi Maisarah.


Hakim melangkah rapat menghampiri Maisarah. Perlahan-lahan mengesat air mata Maisarah yang mengalir turun."Maafkan abang sayang.....Abang yang bersalah mengambil kesempatan di atas hubungan Sarah dan Benjamin yang bercelaru. Kalau tidak kerana abang mungkin semua ini masih dapat diselamatkan. Abang faham kenapa Sarah menerima pinangan abang. Dan sebab itu sengaja abang merahsiakan identiti abang, mungkin dengan cara itu Sarah tidak akan bertambah terluka" Nafasnya terasa semakin sesak. Orang yang dicintai di depan mata, namun sayang terpaksa dilepaskan.


"Kau tu yang buat aku gila Hakim! Aku anggap kau kawan aku, tapi kau tikam aku dari belakang! Kau rampas hak aku!" Kata-kata Benjamin Alif tempoh hari kembali bermain di telinganya. Perasaan bersalah di hatinya bertambah sarat.


"Abang tahu Benjamin masih cintakan Sarah. Dan mungkin juga masih tersimpan rasa cinta di hati Sarah terhadapnya. Abang yang benar-benar bersalah, mengkhianati kawan baik sendiri dan seolah-olah mempermainkan perasaan Sarah." Sendu Maisarah semakin parah. Air matanya pula seakan-akan enggan berhenti. Terus turun membasahi pipinya.


"Pertunangan kita ini, anggap sahaja tidak pernah berlaku." Hakim terdiam seketika. Sukarnya untuk dia meneruskan kata. Tangan Maisarah digenggamnya erat. Sejuk tangan Maisarah terasa hingga ka hatinya. Bintang-bintang kertas yang sentiasa tersimpan di dalam kocek seluarnya dikeluarkan. Perlahan-lahan diletakkan di dalam tangan Maisarah.


"Ini bintang terakhir dari abang. Abang sayangkan Sarah. Berjuta bintang di langit pun tak mungkin sama seperti Sarah" Hakim bersuara sebak. Air mata Maisarah dikesatnya sekali lagi sebelum berlalu pergi.


Maisarah masih terpegun di situ. Kaku seperti patung. Ingin dia menjerit memanggil nama Hakim tapi suaranya enggan keluar. Tersangkut di kerongkong. Perit! Pedih! Sakit! Tudungnya sudah basah. Basah dengan air mata terlalu sukar untuk berhenti!

Ustazah! Ustazah tak apa-apa ke?" Maisarah yang sedari tadi terpaku di sudut dewan, tersentak. Hartini yang berdiri di sebelahnya dipandang dengan mata yang berkaca-kaca. "Ustazah kenapa ? Ustazah menangis?" Soal Hartini lagi. Pelik dia. Dari tadi melihat Maisarah berdiri tidak bergerak-gerak. Maisarah sekadar mengeleng-ngelengkan kepalanya sambil berusaha untuk menguntum senyum.


Hartini yang masih tertanya-tanya, dibiarkan begitu sahaja. Langkahnya dipercepatkan mencari kelibat Hakim. Namun hatinya betul-betul hampa, puas di cari tetapi tidak berjumpa. Bilik guru yang agak lengang itu, dimasukinya dengan perasaan yang kecewa.

No comments:

Post a Comment