Sunday, December 5, 2010

Bintang Hati - 1

Maisarah membenamkan wajahnya di birai katil. Esak tangisnya mula jelas kedengaran. Panggilan umi nya di luar bilik langsung tidak diendahkannya. Balang kaca yang terletak di hujung katilnya, direnung penuh sayu. Bintang-bintang yang diperbuat daripada kertas berwarna-warni itu kelihatan bercahaya dipanahi sinaran matahari yang masuk melalui tingkap biliknya. Hatinya kian sebak.


"Bintang-bintang ni, Ben buat sendiri untuk Mai. Berwarna-warni, cantik dan indah. Istimewa untuk Mai.....kerana Mai adalah bintang hati Ben" Suara itu masih lagi tergiang-giang di cuping telinganya. Hiba di hatinya kian hebat. Air matanya masih deras mengalir.


Kenangan silam sewaktu dibangku persekolahan mula mengimbau di benak fikirannya. Benjamin Alif, sepupunya yang dulu menetap di Scotland, berpindah semula ke kampung. Sejak kematian isterinya yang berbangsa Scotland, Pak Lang telah mengambil keputusan untuk kembali semula ke kampung. Benjamin Alif adalah satu-satu anak tunggalnya. Dan sejak Benjamin Alif menjadi salah seorang penghuni di sekolahnya, namanya sentiasa menjadi sebutan. Bukan sahaja kerana orangnya, bahkan sikap dan kehebatannya sentiasa menjadi perhatian. Sejak hadirnya dia, hati Maisarah sentiasa sakit. Apa tidaknya, dia pula secara tiba-tiba terpaksa menjadi posmen tidak bergaji. Tukang sampaikan surat, tukang menyampaikan salam perkenalan dan adakalanya diminta merisik-risik pula pasal Benjamin Alif. Hati mana yang tidak sakit.


"Mai! Mai! Tunggulah dulu! Awak ni jalan cepat sangat" Suaranya kedengaran termengah-mengah. Kakinya terasa letih mengejar langkah Maisarah yang begitu laju. "Awak ni Alif! Dah berapa kali saya beritahu. Jangan panggil nama saya Mai! Panggil Sarah" Sakit benar hatinya bila dipanggil sedemikian rupa. "Awak pun apa kurangnya. Asyik panggil nama saya Alif. Lain kali panggil nama saya Ben!"
Pertengkaran demi pertengkaran antara mereka selama ini rupa-rupanya telah menyuburkan bibit-bibit cinta.


Rasa perit panas matahari yang terkena wajahnya, menyentakkan dia ke alam nyata. Air mata yang masih bersisa di pipinya dikesat perlahan-lahan. "Sarah! Sarah! Buka lah pintu ni nak. Janganlah buat umi bimbang" Suara lembut umi nya mula kedengaran. Tersentuh dengan perhatian yang diberikan oleh umi nya, Maisarah memaksa dirinya untuk melangkah bangun. Sebaik sahaja wajah Solehah umi nya tersembul di muka pintu, Maisarah memeluknya penuh erat. Melepaskan segala sisa tangisnya di bahu umi kesayangannya. Solehah melepaskan sebuah keluhan. Air matanya sudah lama bergenang di kelopak, namun ditahannya juga supaya tidak tumpah. Dia perlu kuat supaya dapat menenangkan hati anak kesayangannya ini.


"Sabarlah nak, dah tak ada jodoh Sarah dengan dia nak buat macam mana." Solehah bersuara lembut. Rambut Maisarah yang terurai lembut hingga ke paras pinggang di usapnya dengan penuh kasih sayang. Dia tahu hati Maisarah benar-benar terluka. Berita hangat yang terpangpang di dada akbar pagi tadi betul-betul menyentak hatinya. Sebenarnya dia sendiri tidak pernah peduli atau ambil kisah bila membaca di dada-dada akbar tentang kisah ramai artis ditangkap basah kerana berkhalwat. Tetapi yang menjadi kisahnya bila lelaki yang ditangkap bersama artis wanita itu adalah Benjamin Alif peguam yang di kenali di seluruh Malaysia dan juga bakal tunang anak perempuannya. Solehah mengeluh lagi bila melihat tangisan Maisarah masih belum berhenti.


"Sudahlah tu! Tak baik asyik menyesali takdir. Cubalah ingat Allah banyak-banyak" Lebai Hashim yang entah dari mana munculnya tiba-tiba bersuara. Kopiah putih yang sentiasa tersarung di kepalanya, dibetulkan beberapa kali. Maisarah mengangkat mukanya. Wajah tua Lebai Hashim ditatapnya dengan mata yang berkaca-kaca "Ayah....Sarah bukannya menangis kerana menyesali takdir, tapi Sarah sedih kerana kasih Sarah dipermainkan" Maisarah bersuara lirih. Lebai Hashim duduk bersila di hujung kaki Maisarah. Jari jemari anaknya digenggam dengan penuh kasih sayang. "Kita masih tak tahu cerita sebenarnya. Baru tadi Pak Lang kamu telefon beritahu yang Alif cuma diperangkap oleh pihak tertentu. Majlis pertunangan yang akan dibuat hujung bulan ni akan tetap diteruskan. Alif sendiri yang minta berbuat demikian" Bait-bait ayat yang keluar dari bibir ayahnya, masih belum dapat meyakinkan hatinya.


Sebelum ni sudah beberapa kali dia menerima sms yang entah siapa pengirimnya menceritakan tentang Benjamin Alif ada hubungan dengan wanita lain. Pernah sekali dia mendapat kiriman gambar-gambar kekasih hatinya begitu intim menikmati makan malam dengan seorang wanita. Namun kerana rasa percayanya yang begitu tinggi, semua itu tidak pernah dia ambil peduli. Tetapi kali ini, hatinya tidak dapat menerima lagi. kepercayaannnya kian goyah.


Wajah yang suci dan bersih milik umi dan ayahnya, dipandang silih berganti. "Sarah tak mahu lagi bertunang dengan Alif " Keputusan yang tidak di duga dari bibir Maisarah benar-benar mengejutkan kedua orang tuanya. "Sarah, kenapa ni nak? Kenapa cepat sangat Sarah buat keputusan ? Fikirlah baik-baik dulu. Umi tahu Sarah sayangkan Alif kan!" Solehah bersuara perlahan. Cuba mengawal suaranya yang sudah mula tidak keruan. Sesekali matanya menjeling ke arah suaminya yang hanya diam membisu mendengar keputusan Maisarah.

Maisarah melangkah masuk ke perkarangan sekolah yang agak riuh rendah dengan suara para pelajar yang memulakan persekolahan untuk sesi pagi. Sesekali kepalanya dianggukkan beberapa kali menjawab salam pelajar-pelajar yang melintasi di tepinya. "Assalamualaikum ustazah!" Langkah Maisarah terhenti. Dia menoleh mencari empunya suara yang memberi salam. Maisarah menguntum senyum tatkala matanya bertembung dengan kelibat seorang lelaki. Azahar guru Bahasa Inggeris yang mengajar Tingkatan 3 melangkah menghampirinya. "Waalaikumsalam. Cikgu Azahar rupanya, terkejut saya. Ingatkan siapalah tadi" Azahar tersengeh cuma. "Tengah mengelamunlah agaknya tu. Dah banyak kali saya panggil ustazah tadi" Azahar tersenyum lagi. Bujang terlajak yang masih belum berkahwin ini memang tidak lokek dengan senyumannya.


"Maafkan saya. Saya betul-betul tak dengar tadi." Maisarah bersuara dengan nada yang agak kesal. Terlalu memikirkan Benjamin Alif, tidak keruan dia jadinya. "Saya cuma nak menyampaikan pesan. Lepas perhimpunan nanti, Tuan Pengetua nak jumpa. Dari tadi dia asyik cari ustazah, tapi ustazah belum datang lagi" Kata-kata yang keluar dari mulut Azahar itu membuatkannya agak resah. Buku-buku latihan yang dipegangnya sebentar tadi, dipeluk rapat ke dada.

No comments:

Post a Comment