Tuesday, November 23, 2010

Pencari Cinta 28

SOALAN


" Eh, Man awak macam ada masaalah je. " Pak Su mencungkil ketika sedang memandu. " Kalau ada masaalah ceritalah. " Perjalanan ke masjid memang memakan masa. Oleh itu Iman memang sempat jika ingin menceritakan masaalahnya kepada Pak Su.

" Tak ada apalah Pak Su.., biasa je. " Iman cuba berdalih.

" Rasulullah pernah pesan.. kalau kita nak menuntut ilmu biarlah sampai..? " Pak Su cuba membuat soalan.

" Sampai bulan. "

" Salah, sampai ke negeri China. ' Tuntutlah ilmu dari buaian sampai ke? '.. "

" Dewasa. "

" Salah, sampai ke liang lahad... Ini menunjukkan bahawa ilmu itu sangat penting. Menuntut ilmu itu hukumnya wajib. Setiap apa yang kita nak buat kita kena ada ilmu, nak sembahyang kena ada ilmu, nak masuk syurga pun kena ada ilmu. ' Ilmu itu cahaya, jahil itu merbahaya '. Orang bodoh itu musuh Tuhan. Ilmu Tuhan itu sangat luas. Ilmu dalam dunia ni.. yang Tuhan beri hanya sedikit sahaja. Kalau dibuat perbandingannya, seperti mencelup sebatang pen kedalam laut, maka ilmu didunia hanya sebanyak titik air yang berada dihujung mata pen tadi. " Terbeliak mata Iman mendengar penerangan Pakciknya.

" Betul ke Pak Su? "

" Nak tak Pak Su bagi satu ilmu? "

" Ilmu apa pula Pak Su? "

" Bagaimana cara belajar melalui rasa hati. "

" Hm.., boleh juga. "

" Kalau jiwa manusia itu sentiasa hidup dan sentiasa dijaga, manusia boleh belajar dengan rasa hatinya sendiri. "

" Macamana tu Pak Su? " Iman mula tertarik.

" Macam ni, setiap manusia itu ada fitrah semulajadi, datangnya Islam hanya menguatkan sahaja. " Iman semakin tertarik. " Pak Su bagi beberapa contoh.., setiap jiwa manusia itu ingin disayangi, betul tak? " Iman hanya mengangguk. " Kalau begitu dia tentulah akan menyayangi orang lain..., kerana kemahuan manusia itu sama. "

" Lagi Pak Su?. "

" Setiap insan suka kalau orang pemurah dengannya, bukankah itu menyedarkan kita bahawa kita juga patut pemurah dengan orang lain. Kemahuan manusia itu serupa Man. Kalau Iman ditimpa kesusahan, tiba-tiba ada orang datang tolong Iman, apa perasaan Iman? "

" Suka, gembira. "

" Terhibur kan? Jadi perasaan itu sebenarnya yang mengajar kita yang kita juga patut menolong orang lain. Semua manusia itu sama sahaja Man, semua orang suka diberi kemaafan sebab tu dia juga kena memaafkan orang lain, semua orang suka diberikan keadilan.., ia menyedarkan kita bahawa setiap orang mesti menegakkan keadilan kepada manusia. Jangan memfitnah orang, jangan berlaku zalim pada orang, jangan sekali-kali susahkan orang sebab apa... "

" Sebab kita juga tak suka kalau orang buat kita. "

" Tapi realiti kehidupan hari ini tidak begitu Man... Setiap orang itu hanya suka jika dia diberikan kasih sayang dan diberi perhatian, dia suka dibantu, ditolong, diberi keadilan tapi dia sendiri tidak mahu melakukannya. Dia suka kalau dia tidak diganggu, difitnah, dizalimi dan disusahkan.., tapi dia sendiri buat pada orang lain. Mengapa jadi begitu Man? " Iman hanya menggelengkan kepalanya. " Kerana jiwa manusia sudah buta dan terlalu mementingkan diri. "

Kereta membelok perlahan ketika memasuki perkarangan masjid. Banyak kereta sudah tersusun. Petang itu Iman telah mendapat satu ilmu baru, cara belajar menggunakan hatinya.

HATI

Selepas sembahyang maghrib Iman duduk sendirian. Dia lihat semua orang sedang khusyuk dengan kerja masing-masing. Ada yang sedang sembahyang, ada yang sedang berzikir. Iman pun mula menundukkan kepalanya dengan gaya orang sedang bertafakur. Tiba-tiba dia teringat kata-kata pakciknya sebentar tadi " ' Kalau jiwa manusia itu sentiasa hidup dan sentiasa dijaga, manusia boleh belajar dengan rasa hatinya sendiri '. " Tiba-tiba timbul satu persoalan dalam fikirannya " tapi akal lebih hebat, bukankah dengan akal manusia dapat mencipta macam-macam. Ha.., lepas ni aku nak tanya Pak Su. Aku nak tengok apa jawapan dia. "

Selepas sembahyang isyak iman dan Pak Su terus melangkah pergi menuju ke kereta. Didalam kereta iman tak sabar-sabar lagi untuk bertanya soalan yang terlintas di fikirannya tadi. Iman ingin menguji Pak Sunya. Iman terus mengaju soalan kepada Pak Su.

" Pak Su, antara hati dan akal mana yang lebih hebat.? Yelah, Iman rasalah kan.. akal yang lebih hebat tau Pak Su. Sebab dari akal lah, seseorang itu boleh mencipta sesuatu. Contohnya, sekarang banyak pembangunan yang dibangunkan, seperti Putrajaya, betul tak paksu? " Pak Su tenang, dia pun menghidupkan keretanya. Dengan tenang juga dia menekan ' clucth ' dan memasukkan ' gear ' lalu kereta pun bergerak. Sementara Iman pun menyambung kata-katanya.

" Itu baru kat Malaysia Pak Su. Pak Su belum tengok lagi di Australia. Lagi canggih. Ini saya baru sebut tentang pembangunan, belum lagi saya sebut tentang roket ke, kapal selam ke, malah kereta yang kita naik ni pun kecanggihan akal juga yang menciptanya. Betul tak? Jadi Iman fikir.., mestilah akal lebih hebat dari hati. Eh, kenapa Pak Su diam? Cuba Pak Su jawab. " Iman seolah-olah memberi pakciknya satu tekanan. Pak Su masih lagi diam. Selepas kereta melepasi pagar masjid dan perjalanan agak selesa, Pak Su pun bersuara.

" Sebenarnya cara Iman menggunakan akal tu dah salah. "

" Eh, kenapa pula? Betullah apa yang Iman cakap. "

" Baiklah Pak Su cuba terangkan.., Iman dengar ni. " Iman pun memasang telinga dengan wajahnya yang seolah tidak yakin yang pakciknya dapat menjawab. Pak Su pun memulakan bicara.

" Hari ni semua hairan manusia boleh mengembara merata dunia, betul.? Kenapa manusia tidak hairan bumi yang dipijak ini ciptaan Tuhan. Iman kagum dengan ilmu yang dimiliki orang. Mengapa tidak kagum dengan akal ciptaan tuhan yang membolehkan mendapat ilmu. Kalau tidak ada akal kepunyaan tuhan.., bolehkah manusia berfikir untuk mendapatkan ilmu? Iman rasa terpesona dengan bangunan dari bahan-bahan yang ada di dunia. Kenapa Iman tidak terpesona dengan Tuhan yang mengadakan bahan-bahan itu..? Kalau tidak ada bahan-bahan itu.., Bolehkah manusia membangun..? Ramai manusia kaget dengan orang yang berkuasa di dunia.., dengan penuh keangkuhan dan kesombongan, semua manusia iri hati dengannya. Kenapa manusia tak berasa begitu dengan Tuhan yang empunya bumi? Yang menciptakan rakyat hingga mereka boleh berkuasa. Kalau tidak ada negara dan rakyat.., Bolehkah manusia berkuasa..? Lebih-lebih lagi kalau mereka tidak dijadikan. " Iman terdiam, lagaknya seperti sedang memikirkan sesuatu.

" Paksu rasa aneh cara Iman berfikir. Perkara yang tak sepatutnya iman kagumi.., Iman boleh kagum. Yang patut Iman kagumi.., Iman tidak kagum. Kebesaran manusia yang Iman nampak.., Kebesaran Tuhan yang maha hebat.., Iman tak nampak. Bagaimana cara iman berfikir..? Yang tidak hebat.., Iman rasa hebat. Yang hebat.., Iman tak rasa hebat. " Sekali lagi Iman terdiam, memang dia tak dapat nak jawab.

" Yang sebenarnya iman telah tersalah berfikir.., atau iman telah tersesat berfikir... "

" Kalau begitu hatilah yang lebih hebat ya Pak Su? " Iman cuba berbual, walaupun dia pun tak tahu apa yang nak dibualkan.

" Eh, kenapa pula? " Tiba-tiba Pak Su menyoal Iman kembali, Iman mula menggelabah.., dia terperangkapn dengan soalannya sendiri. Kemudian Pak Su pun menjawabkan untuk Iman.

" Sebab.. hati sahaja yang boleh kenal Tuhan. Akal cuma setakat tahu sahaja. " Pak Su tahu Iman memang tak dapat jawab.

" Eh, apa beza kenal dengan tahu Pak Su? " Iman menyoal balik.

" Baiklah.., apa yang akan Iman lakukan sekiranya terserempak dengan harimau? " Iman membayangkan seekor harimau yang besar, garang serta gigi dan kukunya yang tajam.

" Iman larilah. "

" Kalau budak tiga tahun terserempak dengan harimau pulak macamana? "

" Dia.., erm.. dia buat tak tahu. "

" Baiklah sebab apa Iman lari dan kenapa pula budak tiga tahun itu tak lari? Itulah bezanya kenal dan tahu. Iman lari sebab Iman kenal harimau tu. Harimau tu garang, buas, kalau tak lari dia akan makan Iman dengan cara yang sangat menakutkan, betul tak? " Iman hanya mengangguk. " Budak tu pula tak lari sebab dia belum kenal harimau tu siapa. Dia cuma tahu adanya sesuatu didepan dia, tapi dia tak tahu sifat atau perangai harimau itu yang sebenar. " Kini baru Iman tahu apa beza kenal dan tahu, hati dan akal.

No comments:

Post a Comment