Tuesday, November 9, 2010

Pencari Cinta - 22

BALIK

" Macamana mulut tu boleh bengkak Man? " Semasa dalam perjalanan balik dari masjid Pak Su cuba bertanya tentang mulut Iman yang sedikit bengkak. Walaupun kurang jelas bengkaknya, tetapi Pak Su tetap juga perasan. Seperti ada sesuatu yang dia ingin tahu.

" Aduh.., macamana aku nak jawab ni. Takkan aku nak beritahu dia perkara yang sebenar. " Hati Iman mula menggelabah. " Oh, pasal bengkak ni..,T.. tadi ma.. masa nak tahan bola... entah macamana boleh te.. terkena mulut pulak. " Pak Su mula mengerutkan dahinya. Walaupun tersekat-sekat, namun dapat juga Iman menipu pakciknya. Risau betul dia jika Pak Su tahu hal yang sebenar. " Eh, Pak Su " Iman cuba mengalihkan tajuk " bukankah orang cerdik pandai tu memang hebat? " Iman kehabisan idea.

" Memang manusia kagum dengan ahli 'astronomi' kerana mereka dapat mengesan bintang-bintang, planet-planet serta perjalanannya. Kita kagum dengan ahli-ahli sains kerana dapat membuat penemuan demi penemuan baru. Kagum pula dengan filasuf-filasuf kerana dapat memikirkan hal yang seni-seni, dapat membuat penyelidikan tentang perkara yang selama ini tidak pernah difikirkan oleh manusia. Kita juga kagum dengan ahli-ahli ilmu kerana dapat mencipta berbagai-bagai rekaan untuk keperluan manusia. " Iman tak sangka Pak Su melayan soalannya. Padahal soalan tadi bertujuan untuk mengalihkan pandangan sahaja, rupa-rupanya Pak Su agak serius tentang bab ni.

" Tetapi.., bagi orang yang mata hatinya celik.. sikit pun mereka tak hairan dengan mereka-mereka ini semua, sebab apa? " Pak Su pula mengajukan soalan kepada Iman.

" Hah? " Terkejut Iman dengan soalan Pak Su. Tak sangka dia Pak Su akan mengajukan soalan kepadanya. Terkulat-kulat juga dia cuba menjawab, tapi ternyata memang dia tak boleh jawab.

" Entah. Tak tahulah Pak Su. " Walaupun berat tetapi akhirnya satu keputusan muktamad keluar dari mulut Iman.

" Sebab mereka mengesan benda-benda yang sedia ada, mereka mengetahui bahan-bahan yang memang telah Tuhan sediakan. Kalau begitu siapa lagi hebat? "

" Tuhanlah. "

" Sebab apa? "

" Kita hanya boleh jumpa bahan, tetapi Tuhanlah yang cipta bahan tersebut. "

" Tak faham, cuba jelaskan lagi. "

" Contohnya, ada seseorang dikatakan hebat kerana berjaya menemui sebuah planet baru di angkasa raya, planet itu pula boleh diduduki oleh manusia. Jadi ini merupakan satu penemuan baru dan hebat. Tetapi Tuhanlah sebenarnya yang lebih hebat kerana Tuhanlah yang menciptakan planet tersebut. "

" Jadi apa yang Iman faham? "

" Rasa kagum dengan Tuhan, bukan dengan manusia. Tapi otak manusia hari ni dah terbalik kan Pak Su... Tapi salah ke kalau kita nak jadi ahli astronomi Pak Su? "

" Nak jadi ahli 'astronomi' tak salah, nak jadi doktor pun tak salah, nak jadi raja pun boleh. Tapi yang salah.., bila jadi ahli astronomi lupa Tuhan. Kita rasa kita yang hebat bukan Tuhan. Apa pun yang kita nak jadi, jadilah asalkan tak melanggar syariat, apatah lagi yang melanggar akidah.., jangan dibuat. "

" Akidah tu apa Pak Su? "

" Akidah itu ialah sesuatu yang kita yakin dengan hati, kita sebut dengan lidah dan kita laksanakan dengan perbuatan. Akidah, tauhid dan rukun Iman, adalah benda yang sama. "

" Oh.., orang yang langgar akidah tu macam ajaran sesatlah kan Pak Su? "

" Ya. Mana Iman tahu ajaran sesat? "

" Tadi baca surat khabar, ada isu ajaran sesat muka depan. Teruk juga ajaran sesat di sini kan Pak Su? Macamana kita nak banteras kumpulan ajaran sesat ni Pak Su? "

" Tak Susah Man, yang susah nak banteras tu amalan sesat. "

" Hah, amalan sesat? Amalan sesat tu apa pula? Tak pernah dengar pun. "

" Kalau seseorang tak sembahyang.. dia sedang mengamalkan sesuatu yang sesat. Hari ini berapa ramai orang yang tak sembahyang? Berjudi, minum arak, berzina, mengumpat, memfitnah, menipu, mengadu domba dan macam-macam lagi. Apa sahaja perkara yang dilarang oleh Islam.. jika kita buat.., ertinya kita sedang mengamalkan sesuatu yang sesat. Kalau nak banteras ajaran sesat mudah, sebab ajaran sesat di sini tak banyak, boleh kira dengan jari. Tapi pengikut amalan sesat ni terlalu ramai dan paling susah nak banteras, betul tak? " Iman hanya mampu tersenyum dan mengangguk tanda setuju. Kemudian tiada lagi soalan yang keluar hingga sampai ke rumah.

No comments:

Post a Comment