Wednesday, November 3, 2010

Pencari cinta - 16

TANGKAP


Semua perancangan berjalan seperti yang telah dirancang. Cukup teliti mereka membuat kerja, tapi hasilnya tetap juga sama. Pak Seman dan En. Alim semakin gusar. Masyarakat semakin keliru. Kini masuk hari yang keempat. Seperti biasa selepas sembahyang Asar mereka duduk berkumpul.

" Ha, macamana malam tadi? "

" Sama je Pak Seman. "

" Pandai betul dia berlakon ya. "

" Mana ada berlakon macam tu Pak Seman... "

" Ye tak ya juga Pak Seman. Dah tiga hari berturut-turut dia bangun malam tahajjud, mana boleh itu berlakon-lakon. Kalau kita ni.. iya juga berlakon baik, sembahyang malam kalau ada program kat masjid.., kalau tidak.. jangan harap, tidur lagi baik. "

" Eh, kau dah cek betul-betul ke ni? "

" Nak cek macamana lagi Pak Seman, takkan Pak Seman tak percaya dengan saya. Video hari pertama yang Pak Seman tengok.. itulah dia yang berlaku. Dia bangun malam, sembahyang, merintih menangis. Pak Seman suruh saya tambah kamera.. saya dah tambah.., nak kata tak cukup.., nak letak kat sudut mana lagi? Takkanlah nak letak kat bilik air kut... "

" Aku agak dia tahulah yang masjid ni dah pasang kamera. "

" Pak Seman.., saya bukan nak cakap besarlah ya.., saya dah lama buat kerja ni, saya dah berpengalaman. Takkan Pak Seman nak tuduh saya tak reti buat kerja kut... "

Pak Seman terdiam. Semua orang pun hanya membisu, memikirkan langkah seterusnya. Masing-masing seolah-olah buntu, tidak tahu bagaimana hendak membuktikan bahawa Mukhriz yang mencuri duit masjid. Tiba-tiba datang seseorang dengan keadaan yang tergesa-gesa.

" Pak Seman, Pak Seman. "

" Eh, kenapa dengan kau ni.., tergesa-gesa je. Apa yang berlaku. " Semua orang menjadi panik. Kedatangan orang itu betul-betul telah mengubah suasana. Dengan termengah-mengah dia pun menyambung.

" Sebenarnya Pak Seman, duit masjid hilang lagi. "

" Ha. apa?! Berapa hilangnya? "

" Kali ni banyak Pak Seman... Lima belas ribu. "

" Apa!? Lima belas ribu! Alim mana? "

" Dia dalam perjalanan ke sini. "

" Kurang ajar budak ni. Ini dah melampau! "

" Eh, Pak Seman nak pergi mana? " Hampir semua berkata serentak.

" Aku nak ajar budak tu. Kali ni aku nak paksa dia mengaku. " Pak Seman terus sahaja berjalan menuju kearah Mukhriz yang sedang duduk bersandar sambil membaca buku ditempatnya yang biasa. Yang lain hanya mengikut. Tiba dihadapan Mukhriz Pak Seman terus menengkingnya.

" Hoi, budak! Mana pergi duit-duit tu hah! Lebih baik kau mengaku. "

" Eh, Pak Seman, sabar Pak Seman. " Kawan-kawan cuba menenangkannya. Orang ramai pun datang berkerumun untuk mengetahui apa yang terjadi. Mukhriz hanya menggelengkan kepalanya. Dia tidak mampu untuk menjawab apa-apa, ternyata badannya lemah. Dia juga tidak tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku. Pak Seman terus merampas buku ditangan Mukhriz dan terus menariknya ke tengah masjid.

" Aku tak peduli, aku nak kau mengaku juga hari ni. " Mukhriz terjatuh tapi tetap diseret oleh Pak Seman. Marah sungguh Pak Seman hingga tidak dapat ditahannya.

" Sabar Pak Seman.., bukan begini caranya. "

" Ah..! Aku tak peduli, sekarang kau mengaku.. siapa yang ambil duit-duit masjid ni semua. Cakap! " Soalan diajukan kepada Mukhriz yang sedang terduduk. Mukhriz tetap menggeleng lemah. Dia memang tak tahu menahu. Tiba-tiba Pak Imam datang dengan Tok Siak masjid.

" Ini apa ke halnya ni Man? Awak tu kan dah tua.., kenapa buat hal macam ni. Bukankah ini masjid, rumah Allah. Kenapa sanggup buat macam ni? "

" Awak tu memanglah Imam masjid. Tapi apa yang awak tahu tentang duit-duit masjid yang hilang. Hari ni awak tahu hilang berapa.., LIMA BELAS RIBU TAU! " Keras suara Pak Seman kerana menahan marahnya.

" Awak jangan ingat kami tak tahu apa-apa. " Sambil memandang ke arah Tok Siak. " Awak jangan ingat kami tak siasat hal ni. Kami pun dah dapat tahu siapa yang mencuri duit-duit masjid selama ni. " Semua orang gempar mendengarnya. Terdengar suara orang berbisik-bisik. " Kami pun dah buat laporan polis. "

Mukhriz semakin jelas akan keadaan yang sebenar. Tetapi dia tetap membisu kerana badannya memang sangat lemah ketika ini. Semua orang berkumpul mengelilinginya. Tiba-tiba salah seorang dari mereka pun bersuara.

" Siapa orangnya Pak Imam? "

" Iyalah, siapa orangnya. "

" Tak perlulah kamu semua tahu. Biar polis selesaikan hal ni. Kan negara kita ada undang-undang. Kita serahkan sahaja perkara ini pada pihak yang bertanggungjawab. "

" Mana boleh selesai begitu je Pak Imam.., kami pun ada hak juga nak tahu. " Salah seorang menyuarakan rasa hatinya. Pak Seman hanya mencebik mengejek.

" Atau kamu saja buat alasan agar budak ni terlepas. " Tiba-tiba Pak Seman menyampuk. Semua orang mengangguk setuju dengan kata-kata Pak Seman.

" Baiklah kalau kamu nak tahu sangat.., Biar kami bagitahu. " Pak Imam pun memberi isyarat kepada Tok Siak agar memberitahu perkara yang sebenar.

" Sebenarnya begini.., yang mencuri duit masjid selam ni ialah anak En. Alim tu sendiri. "

" Kurang ajar... Kau jaga mulut kau tu sikit! " Pak Seman terus menundingkan jari telunjuknya ke arah Tok Siak.

" Sabar Seman... Bawak bertenang. Kita ni nak menyelesaikan masaalah, bukannya nak bergaduh. " Pak Imam cuba mententeramkan keadaan.

" Iyalah, kalau ya pun mesti ada bukti Pak Imam.., bukan main suka-suka je tuduh orang. " Salah seorang dari mereka juga tidak berpuas hati.

" Yelah.., kan dia tengah bercerita ni. Dengarlah dulu cerita ni sampai habis. "

" Ah..! ni dah mengarutlah. Kamu jangan suka-suka nak reka-reka cerita. Kamu ingat hal ni main-main ke? Hal ni serius tahu tak! " Pak Seman pula menyambung. Tiba-tiba Tok Siak menunjukkan sehelai resit.

" Ini buktinya. " Terperanjat Pak Seman melihat resit tersebut. Secara spontan juga dia terus merampas resit tersebut.

" Eh, ni mana kamu dapat resit ni? Resit ni cuma ada dalam beg duit tabung masjid. "

" Sebenarnya.. " Tok Siak pun menyambung ceritanya kembali. " anak saya berkawan dengan anak En. Alim.., tapi bukan kawan rapat. Anak En. Alim tu sebenarnya seorang yang suka bergaul bebas dan berpoya-poya. Saya minta maaflah kerana terpaksa menceritakan hal sebenar. Jadi semalam ketika dia sedang berkhayal.., dia telah membuang resit ini didepan anak saya. Lalu anak saya pun mengambil dan menyimpannya. "

" Tapi... " Pak Seman cuba mengatakan sesuatu.

" Sudahlah Seman... Kita serahkan sahaja perkara ni pada pihak berkuasa. Tak payahlah kita masuk campur lagi akan hal ni. Yang sudah tu sudahlah... "

" Asslamua'laikum... " Tiba-tiba datang suara memberi salam pada Pak Imam.

" Wa'laikumussalam. Eh, Sulaiman. Ya Allah lamanya tak jumpa. Apa hajatnya ke mari? " Jawab Pak Imam sedikit terkejut. Dia pun terus salam dan memeluk orang itu seolah-olah dia seperti kenalan lama Pak Imam.

" Saya datang kesini sebab nak jemput anak saudara saya. " Semua orang kehairanan dan beralih pandangan. Mukhriz yang masih terduduk juga memandang orang itu, dia seolah-olah kenal dengannya. Tiba-tiba hatinya terdetik.

" Eh, ini orang yang pernah tolong aku masa kat pasar tu dulu. Dialah bagi aku duit. " Tiba-tiba pandangan Mukhriz menjadi gelap seketika, kemudian muncul semula.., tidak lama lepas tu hilang kembali, kemudian muncul tetapi agak kabur-kabur sedikit.

Mukhriz mengenggam tangannya, dirasakannya kebas. Kemudian digenggam kembali, ternyata kudratnya kini telah berkurang. Kepalanya dirasakan terlalu sakit, dadanya juga dirasakan seperti ada lembing yang sedang menembusinya. Tetapi wajahnya tetap tenang dan sempat menyimpulkan sebuah senyuman. Hatinya berbisik...

" Tuhan, Kau telah memberikan aku satu jalan untuk berubah. Tetapi didalamnya terdapat pelbagai ujian dan rintangan yang terpaksa aku tempuh. Aku tidak pasti Tuhan adakah aku berjaya atau tidak. Tetapi aku dapat rasakan yang aku sekarang berada di penghujung rancangan. Tetapi Tuhan.., Kau pun tahu apa yang aku inginkan, Kau pun tahu apa yang seorang hamba itu inginkan.., aku hanyalah seorang hamba yang inginkan Kau, kalau ditakdirkan aku masuk neraka, biarkan jiwaku tetap bersamaMu, kerana ia adalah hiburan bagiku, bahkan aku akan terasa indah walau dimana sahaja aku berada, selagi bersamaMu, walaupun didalam neraka. Aku sedar aku memang tak layak untuk ke syurga kecuali dengan pimpinanMu. Oleh itu Tuhan satu sahaja yang aku pinta.. kekalkan jiwaku sentiasa bersamaMu setiap saat dan ketika, berikan aku pimpinan bukan untuk syurga, tetapi agar aku dapat sentiasa bersamaMu. "

Mukhriz memejamkan mata. Air matanya mengalir perlahan dan menitik beberapa titis jatuh ke bumi. Tidak lama kemudian Mukhriz pun rebah dengan matanya yang tertutup rapat.

No comments:

Post a Comment