Saturday, November 6, 2010

Masih Jua Kupendamkan Perasaan Ini - 12

"Berapa lama Datul cuti?", suara umi segera memecahkan ingatanku pada masa lalu. Aku hanya memandang umi yang hanya memandang jalan di hadapan kami, menyuluh jalan yang agak gelap dengan lampu suluh berkuasa tinggi yang sengaja ku beli untuk kegunaan umi.

"Lagi empat hari Datul di kampung. Kalau boleh nak cuti sebulan, tapi cuti tak banyak. Raya nanti nak bercuti lagi....". Terkeluar keluhan kecil apabila mengingati cuti rehat yang kurasakan sering tidak mencukupi untuk dihabiskan bersama umi, tapi bila mengingatkan jumlah cuti yang kuperolehi lebih daripada kawan-kawan lain yang bekerja di syarikat-syarikat swasta terutamanya, segera lafaz syukur aku lahirkan. Takkanlah hendak bermesra dengan umi sahaja, mahu dapat gaji tapi sedikit kerja pun tidak aku lakukan. Dah tentu tidak adil untuk orang lain yang bekerja dengan agak teruk tetapi mendapat imbuhan yang lebih kecil dari apa yang aku perolehi setiap bulan.

"Mak Long Timah nak pesan barang untuk abang Amirul kau. Nanti ingatkan umi ya....". Aku hanya menganggukkan kepala mendengar kata-kata umi. Walau bertentangan dengan kehendak hatiku, takkanlah aku hendak menolak permintaan seorang ibu. Tidak wajar menghukum Mak Long Timah, sedangkan orang yang patut menerima hukuman tidak mendapat hukuman yang setimpal.

Pun, rasa terkilanku dengan sikap abang Amirul agaknya yang menjadikan aku hendak menjauhkan diri darinya. Walhal kalau hendak diikutkan, aku tidak wajar mengatakan yang bukan-bukan untuk abang Amirul, terlebih aku dan dia bukannya ada hubungan intim yang terikat dengan pelbagai syarat untuk menjalinkan hubungan dengan orang lain. Aku sahaja yang terasa hati, kerana aku benar-benar merinduinya, sedangkan dia sendiri tidak pernah menyatakan yang dia juga rasakan apa yang aku rasakan untuknya. Ahhh, peduli dengan hati, dia sedikit
pun tidak sukakan aku, dan serasa air mataku mahu mengalir tika itu. Sedih, pilu dan sayu terkurung dalam diriku, mencari ruang untuk diluahkan, tapi, pada siapa?

Malam itu, lenaku terganggu dengan pelbagai bayangan yang agak mengerikan menghantui pemikiranku. Ditambah dengan sepucuk surat tanpa nama pengirim yang lengkap menjadikan aku seorang pemikir semula. Hari-hari yang dilalui cukup tenang, tapi fikiranku asyik memikirkan tuntutan minda yang tidak usai untuk disia-siakan sewenang-wenangnya.

Di saat bersalaman dan berpelukan dengan umi sewaktu hendak bertolak semula ke bandar pun, air mataku serasa hendak luruh sederas-derasnya. Hatiku jadi cuak, suasana bandar ditambah pelbagai masalah yang belum mampu untuk difikirkan dengan lebih serius akan mewujudkan tekanan yang cukup hebat dalam diriku. Entah bila semuanya akan tamat, aku sendiri tidak pasti.

Apapun, aku perlu redha, akur pada kuasaNya, pada ketentuanNya, pada kasih sayangNya yang tidak pernah putus untuk menghadiahkan sebuah ingatan yang cukup indah untuk disematkan di hati dan mindaku agar tidak sesaat pun terlalai dari mengingatiNya. Semua ketentuanNya, menjadi ujian dalam diri, kurniaanNya untuk melihat ketabahanku mengharungi segala pemberianNya dengan segala kesabaran yang dipupuk berdasarkan keimanan hakiki yang telah dianugerahkanNya untukku.

Alhamdulillah, dan buat kesekian kalinya, kesyukuran itu kupanjatkan untukNya yang tidak pernah aku lupakan. Aku tahu, Allah sentiasa di sisiku ketika aku memerlukanNya, dan aku tidak akan mengabaikan yang Esa itu hanya semata-mata untuk mengejar nikmat keduniaan yang hanya sementara ini. Aku akur, aku hanya seorang musafir di sini. Aku akan kembali padaNya apabila dipanggil nanti. Tabahlah Nadratul Hidayah, segalanya akan indah, andainya kau melihatnya dari sudut yang positif. Ingatan itu menyemarakkan pemikiranku semula, tega untuk
berhadapan dengan kemelut diri yang bakal muncul. Semoga Allah sentiasa meredhai dan merahmatiku, InsyaAllah.

Kesepian membalut keseluruhan diri sewaktu aku tiba di bandar. Terbayang saat-saat di kampung, rasa rindu membuak-buak dan keinginan untuk pulang semula masih segar. Hebatnya perasaan itu, sehingga aku tersalah simpang jalan yang hendak ku masuki, sebaliknya masuk ke arah lain yang pastinya menghala arah ke kampungku. Terhambur juga tawaku, memikirkan kealpaan diri yang terkadang hadir.

Sebaik sahaja menerima line pula, telefon bimbitku segera memaparkan beberapa pesanan yang bertanyakan perihal diriku. Antaranya dari Marina dan Linda, menanyakan waktu ketibaanku. Terselit juga pesanan dari Aqil menyatakan yang ibu bapanya sudah pulang dari Korea dan bertanyakan perihal diriku yang sudah lama tidak berjaya dihubungi. Aku hanya tersenyum memikirkan anak muda tersebut. Paling kurang pun, dalam dua hari atau tiga hari, pasti ada sekali dia akan
menghubungiku. Cakapnya tidak lama, tapi penuh makna dan nasihat yang sukar untuk aku abaikan.

Khaizan pula, tiba-tiba sahaja terpamer pesanan darinya, sesuatu yang tidak pernah aku jangkakan. Kalau difikir-fikirkan, banyak benar lakunya yang di luar dugaanku. Sikapnya sukar diterka, tiba-tiba sahaja ia muncul tanpa dapat diduga. Bimbang juga aku dengan lakunya, takut aku terikat tanpa sedar dengan keintiman yang mula wujud dalam hubungan kami berdua. Namun, keresahan itu aku abaikan. Membaca mesejnya yang bertanyakan perihal diri dan umi di kampung
membangkitkan suatu rasa halus yang amat menyentuh hati.

Dan, tiba-tiba pula telefon bimbitku berbunyi, mengalunkan irama nasyid kumpulan UNIC yang baru saja ku setkan sewaktu di kampung. Punat kecil pada handsfree segera ku tekan, menyerlahkan panggilan salam di hujung talian tersebut. Suara itu samar-samar di pendengaranku, namun kujawab salam tersebut dengan bersahaja, walaupun sedikit terkejut dengan panggilannya yang sungguh tidak
disangka-sangka.


"Lamanya Datul di kampung.....", di hujung ayat itu, ada gelak halus yang dihamburkan. Ingatan pada lelaki itu segera menyerbu, membangkitkan rasa rindu yang cuba aku abaikan. Abang Amirul! Apa perlunya dia menghubungiku tika ini? Pun, terbayang senyumannya yang sentiasa menenangkan jiwa. Dan, saat itu, serasa tercuit juga hatiku, mengingati diri yang sering merinduinya.

"Macam mana kampung, seronok? Datul ada kat mana sekarang ni?".

Aku sedikit terkesima. Suaranya kedengaran begitu ceria, dan terfikir aku untuk bersahaja menjawab soalan-soalan yang diajukannya.

"On the way nak balik rumah. Kampung, macam biasa memang menyeronokkan, rasa macam tak nak balik lagi ke sini. Mak Long ada pesan something untuk abang...", aku juga bernada ceria, cuba menyamakannya dengan suasana yang sedang menguliti jiwa abang Amirul tika itu.

"Makanan ke? Iskk, bestnya...dah nak tiba waktu berbuka pun ni. Boleh abang jumpa Datul sekarang?", tersentak aku mendengar cadangannya. Baru saja tiba di sini, belum pun sempat menyesuaikan diri dengan suasana persekitaran, aku sudah diusulkan supaya berjumpa dengannya. Namun, terfikir pula, bila lagi masa yang ada untuk aku menyerahkan pesanan Mak Long Timah pada anak terunanya itu. Hendak menyerahkannya di pejabat, terbayang pula Khaizan dan kenalan sepejabat yang memang cukup kenal dengan abang Amirul.

Lantas, selepas solat Asar di sebuah surau di sebuah pasaraya, aku mula mengatur langkah, bertemu dengannya yang sedang menantiku di sebuah ruang taman untuk merehatkan diri. Tidak sukar untuk mencarinya, tambahan pula pesanan Mak Long Timah bukanlah berat sangat untuk aku menjinjingnya dengan hanya sebelah tangan sahaja. Dia hanya tersenyum sebaik sahaja aku tiba di sisinya.

"Amboi...susahnya nak jumpa Datul. Kalau emak tak ada pesan apa-apa pada abang, belum tentu Datul nak jumpa dengan abang kan...?", faham sungguh dia dengan sikapku. Bukan sewenangnya aku mahu berjumpa dengan sesiapa tanpa tujuan yang pasti. Kalau ada pun, di saat ingatan dan gerak hati tidak selari, barulah pertemuan itu diwujudkan, seperti pertemuanku dengan Aqil dalam tiga bulan terdahulu.

Aku lebih gemar bersantai di rumah, ke rumah Pak Uda bermain dengan Fikri, atau saja mengambil cuti dua tiga hari untuk bertemu umi di kampung. Malah, bukan mudah pula untuk mencariku, kerana aku lebih gemar menyibukkan diri, mencipta pelbagai alasan supaya pertemuan-
pertemuan itu dapat dielakkan. Kedengaran agak kurang sopan, tapi itulah sikapku, walau sesekali terfikir juga untuk mengubahnya, cuma belum tiba masanya lagi agaknya.

"Macam mana dengan kerja? Kalau di pejabat, susah betul nak bercakap dengan Datul. Nanti apa pula kata Khaizan....", terfikir aku, kenapa dia merahsiakan hubungan kami berdua daripada anak muda itu. Lainlah kalau aku dan Khaizan berhubungan intim yang akan menimbulkan anggapan lain di hatinya, tapi tidak pula begitu. Aku dan Khaizan hanyalah dua sahabat yang menguruskan projek yang sama, sementelah abang Amirul pula kenalan lama di zaman persekolahan.

Terdetik di fikiranku, tidak bersalahan langsung jika Khaizan tahu tentang hubungan kami berdua. Apapun, aku tidak mahu ambil kisah hal tersebut. Mungkin ada alasannya yang tersendiri yang menyebabkan dia tidak mahu menghebahkan hal tersebut. Selebihnya, aku sendiri tidak suka bertanya, maka hal itu kudiamkan begitu sahaja.

Kami hanya berbual tentang perkara-perkara biasa, namun tiba-tiba sahaja perbualan itu menyimpang jauh dari tujuan sebenarnya. Tiba-tiba dia menyebut tentang hal hubungan kami, hubungan hampir tujuh tahun lepas yang tidak pernah terungkap oleh rasa dan debaran hati yang tidak pernah ditunjukkan di hadapannya. Aku sedikit terkejut mendengar kata-katanya, namun hanya kudiamkan tanpa membalas apa-apa.

"Abang sentiasa ingatkan Datul...kenapa sepucuk pun Datul tak balas surat-surat abang tu?", pertanyaan itu membuatkan aku berfikir panjang. Puas memikir ayat yang sesuai untuk menerangkan hal tersebut, sepatah pun aku tidak berjumpa dengan ayat yang dirasakan tidak akan menerbitkan rasa tidak puas hati di hatinya. Sudahnya, aku hanya tunduk, terdiam tanpa sepatah kata. Dia pula, menyandarkan tubuh di kerusi, sebelum melepaskan keluhan panjang yang sedikit sebanyak mencuit hati wanitaku untuk menatap wajahnya yang kian keruh. Dahinya berkerut, namun wajahnya yang memang tenang sedikit menenangkan mindaku yang sedang berkecamuk tika itu.

"Abang ada buat silap apa-apa ke pada Datul sampaikan Datul buat macam tu pada abang? Cuma, selepas abang Hakimi bagitau abang yang Datul dah masuk universiti, sengaja abang stop hantar surat-surat tu...abang tau, Datul dah besar dan dah tak perlukan abang lagi...", kata-kata itu menghantui seharian masaku selepas berjumpa dengan abang Amirul hari itu. Entah apa mahunya dia membangkitkan persoalan itu padaku, aku tidak mahu ambil tahu. Saat itu, terasa diri terlalu kerdil untuk menghadapi kemelut di dunia yang sementara ini.

No comments:

Post a Comment