Friday, November 5, 2010

Masih Jua Kupendamkan Perasaan Ini - 11

Terasa aman sedikit dunia dan mindaku. Dua hari sebelum bulan yang mulia itu muncul, aku sudah berada di kampung, menghayati penghujung Syaaban bersama umi. Setiap pagi dan petang, pusara arwah ayah menjadi tempat tumpuan utamaku bersama umi selama dua hari itu, dan ketenangan yang aku rasai seperti cukup untuk menerbitkan rasa keinsafan dan kekerdilan diri menghadapi Ramadhan yang mulia.

Pun begitu, rasa kekosongan yang wujud juga sudah mulai terisi bersama hadirnya Ramadhan yang memang ditunggu setiap tahun. Sama seperti Ramadhan sebelum ini, abang Hakimi dan keluarganya juga akan mengisi kekosongan di rumah itu untuk dua hari yang pertama. Sama juga seperti menyambut Syawal, aku dan abang Hakimi akan pulang untuk menyambut kemunculan bulan yang penuh berkah itu bersama umi di kampung. Rutin itu tidak pernah dilupakan, walau sesibuk mana kami berdua.

Ditambah dengan keletah anak saudaraku yang sudah berusia setahun dua bulan, menggamit semula keceriaan hati, melupakan keseluruhan kemelut rasa dan minda yang kualami tika berada di pusat bandar. Sungguh, kehadiran Ramadhan membawa sejuta rahmat yang amat bermakna buat diriku untuk mengharungi semula segala ujian dariNya di bulan-bulan yang lain. Aku cukup merasa ketenangan yang amat dengan mengabdikan diri padaNya, menghayati Ramadhan dalam erti kata sempurna sedaya yang mampu aku lakukan.

"Assalamualaikum...Mak Utih.....Mak Utih.....".

Terasa sedikit terganggu pembacaanku apabila mendengar laungan salam tersebut. Cepat-cepat aku melonggarkan ikatan kain sarung untuk bersolat yang sedang ku pakai dan segera menuju ke ruang hadapan rumah. Di hujung anak tangga, seorang gadis sunti berbaju t-shirt biru tua dan berseluar track hitam segera menghulurkan sepucuk surat kepadaku. Sebaik sahaja aku menyambut surat tersebut, dia segera berlari meninggalkanku.

Terkejut aku dengan tindakannya, namun cepat pula aku membaca nama yang tertera di atas sampul surat tersebut. Untuk aku, getus hatiku sambil tersenyum girang. Pelik juga, setahuku semua teman-teman rapatku tahu alamat rumah sewaku dan lebih gemar mengirimkan surat atau kad undangan perkahwinan ke alamat tersebut. Jarang yang masih mengingati alamatku di kampung. Malah, bukan mudah untuk mereka mendapatkan alamat tersebut, kerana ini alamat tetap yang akan memudahkan orang mencariku di sini, walhal aku tidak gemar ketenanganku di daerah yang penuh keamanan ini diganggu gugat. Aku lebih gemar melupakan kesibukan bandar saat berada di sini, tempat kelahiran yang membawa pelbagai kenangan pahit dan manis dalam sebahagian besar ruang hidupku.

Perlahan-lahan aku menanggalkan kain sembahyang yang menyaluti kepala. Kukuakkan sedikit anak rambut yang jatuh menutupi pandangan, dan segera menyandarkan tubuh di sofa di ruang tamu utama. Umi pula entah ke mana, selepas solat Zohor berjemaah bersama-samanya tadi, cepat sahaja dia mencapai tudung labuhnya dan segera menuju ke arah jeti. Tidak pula aku bertanya, kerana umi akan memberitahu jika dia merasakan wajar aku tahu ke mana dia pergi. Pasti ada sesuatu yang mahu dilakukannya di luar pengetahuanku.

Kain telekung kuletakkan di atas ribaanku, dan surat tadi segera ku capai. Sebaik sahaja aku membuka surat tersebut, sekeping kad hari raya berlatarkan warna biru air laut dan sepucuk surat berlipat kemas jatuh ke ribaanku. Cepat-cepat aku membuka kad hari raya tersebut, terkeluar gelak halus memikirkan baru masuk hari ketiga di bulan Ramadhan, sudah ada yang mengutuskan kad ucapan selamat hari raya pula. Entah siapa agaknya, Cuma mengucapkan selamat hari raya, dengan
initial halus AM di hujung penjuru kanan bahagian bawah muka kedua kad tersebut.

Cantik pula kad yang dipilih, dengan kata-kata ucapan yang menarik, menyebabkan perasaan ingin tahuku membuak-buak tentang pengirim kad tersebut. Surat yang dikepilkan bersama kad tersebut segera aku buka, menyerlahkan suatu susunan indah sebuah tulisan tangan yang begitu kemas.

Assalamualaikum Datul...

Di kesempatan ini abang memohon maaf andai kehadiran warkah ini akan mengganggu situasi Datul sekarang. Dapat abang rasakan, sengaja Datul bercuti panjang di kampung kerana kesilapan abang yang selama ini mengabaikan kewujudan Datul dalam hidup abang. Mungkin, secara zahirnya, nampak kita tidak rapat, malah jarang berbual bersama, walau pada hakikatnya, hati ini sentiasa mengingati Datul.

Walaupun begitu, abang harap Datul tidak bimbang dengan keadaan seperti ini, kerana ada masa dan tugasan yang membataskan kehendak diri untuk mengakui Datullah yang paling utama di fikiran abang sekarang. Pun, sengaja abang menjarakkan hubungan untuk memberi peluang kepada diri untuk menilai perhubungan yang telah terjalin ini, walau hakikatnya perhubungan kita tidak seperti perhubungan orang lain.

Harapan abang, Datul dapat menenangkan diri dan menghayati Ramadhan ini dengan segala keupayaan minda untuk memperoleh sebuah keimanan yang sempurna. Semoga Syawal yang bakal menjelma akan membawa sejuta keceriaan kepada diri abang dan Datul, dan semoga kita akan sentiasa dilimpahi kasih sayang dan rahmatNya. Percayalah, abang tak akan tinggalkan Datul lagi....SELAMAT HARI RAYA...

Wassalam...

Initial halus AM di penghujung surat tersebut, tanpa nama penuh sedikit menyentakkan mindaku. Siapa ni? Pandai-pandai hantar surat pada aku, meluahkan rasa hati, tanpa memberitahu identiti sebenar, cukup tidak aku gemari. Segera aku meletakkan surat dan kad tersebut di atas meja tulisku di dalam bilik sebaik sahaja mendengar bunyi pintu dapur dibuka. Umi terjengul di muka pintu, dengan dua buah beg plastik di kiri dan kanan tangannya. Wajahnya tersenyum, tenang sedikit hatiku memandang wajah umi walau kelihatan sudah dimamah usia
tuanya.

Segera aku mencapai beg-beg plastik tersebut. Nampak umi menyeka dahinya, membuang keringat yang mengalir. Nampak letih umi, dan segera pula aku mengambil gulungan tikar di penjuru dapur dan kuhamparkan untuk umi segera merehatkan dirinya. Tersenyum dia padaku, senyum keibuan yang cukup mengharukan aku. Cepat sahaja aku merapatkan diri padanya, dan bersandar di bahunya, dan seperti biasa, tangan dengan urat-urat halus yang mula menampakkan diri itu mula mengusap-usap kepalaku. Aku rasa tenang dan disayangi dalam keadaan seperti itu, kasih sayang ikhlas yang lahir dari hati seorang ibu yang pernah mengusungku di dalam rahimnya selama hampir sembilan
bulan sepuluh hari.

"Nak buka puasa apa hari ni?", memang itu saja pertanyaannya kalau aku ada di kampung. Sebut apa sahaja, segala makanan kampung kegemaranku pasti akan disediakannya. Memang tidak sukar, kalau setakat nasi berlauk sambal belacan berhiris limau kasturi dengan masak lemak nenas dan ikan masin, ditambah pula dengan sayur campur goreng bercili, bukanlah suatu perkara yang sukar buat umi. Terlebih, aku jua akan menolongnya memasak, dan bebanan tugasnya akan
berkurang, malah aku lebih suka mengambil alih tugas memasak darinya. Sudah cukup rasanya tempoh dua puluh tiga tahun menyediakan segala keperluanku selama ini, sudah tiba masanya untuk dia berehat pula. "Umi cuma memberikan cadangan...jangan jadikan kata-kata umi sebagai satu paksaan yang mesti ditunaikan...", hebat sungguh umi. Tahu saja gerak hatiku, walau aku jarang memberitahu segala keresahan dalaman yang mendiami diri. Memang dia ibuku yang unggul, aku bangga menjadi anaknya, mengisi kekosongan hidupnya setelah pemergian arwah ayah.

Lebar senyuman Mak Long Timah apabila aku tunduk bersalam dan mencium tangannya. Haji Lokman pula hanya tersenyum padaku sambil menganggukkan kepalanya. Jam di dinding sudah mula menunjukkan ke angka tujuh, walau hari masih lagi agak cerah. Dua orang gadis sunti berbaju kurung hijau dan merah serta bertudung rapat sahaja pada Mak Long Timah. Cepat sahaja aku teringat pada si kembar yang masih kecil saat aku di bangku sekolah. Sudah besar mereka berdua, seiring dengan peredaran masa yang sentiasa berubah, menambah usiaku, mematangkan diri menghadapi rencah dan ujian hidup.

"Ada jumpa Amirul di Kuala Lumpur?".

Aku sedikit tersentak. Haji Lokman tersenyum lembut memandangku. Tadi, sewaktu solat Maghrib berjemaah dengan dia sebagai imamnya, aku jadi senang mendengar suaranya mengalunkan ayat-ayat dan beberapa surah di dalam Al-Quran. Kini, suara yang sama itu membuatkan perasaanku sedikit terusik.

"Ada juga...tak kerap sangat..", perlahan saja aku menjawab. Terasa semua mata memandangku, menuntut penjelasan yang lebih. Pun, ayatku terhenti di situ sahaja. Apa perlunya abang Amirul yang sudah tidak sama dengan insan yang aku kenali satu ketika dulu. Puas menganyam rindu untuknya, dia cuma ambil mudah dengan segala kesetiaanku. Memanglah dia tidak tahu yang aku sesetia ini, tapi apa salahnya jika dia hanya setia pada seorang gadis yang disukainya sahaja.

Mengingati perbualan Khaizan dan abang Amirul sewaktu majlis doa selamat itu, hatiku jadi sedikit memberontak, cuba menafikan yang masih ada rindu untuk lelaki yang gemar mempermainkan perasaan gadis-gadis lain itu. Entah sudah berapa ramai gadis yang dipelawanya untuk keluar bersama-samanya, aku sendiri tidak pasti. Walaupun dia tidak menyimpan perasaan terhadap mereka, apa salahnya dia menghormati kehendak dan perasaan seorang wanita, terlebih aku yang sebelum ini pernah mengenalinya.
Pun begitu, hatiku cukup yakin, aku memang tidak ada apa-apa makna dihatinya. Kalau tidak, takkan dia menunjukkan sikap yang begitu dihadapanku, mengusung kekasih orang lain, duduk rapat-rapat dengan wanita itu, dan kemudiannya mendekatiku dan menyatakan wanita itu kekasih orang dan bukan gadis yang disukainya. Wajarkah aku menyukai lelaki begitu?

"Dia sibuk agaknya...semalam ada juga dia telefon Mak Long..".

Aku hanya tersenyum mendengar kata-kata itu. Mak Long Timah juga kemudiannya menyambung cerita tentang abang Amirul bersama-sama umi. Aku hanya tunduk menyambung suapanku, sedikit pun tidak berminat pada intipati perbualan itu. Pun, sesekali aku menyampuk juga, sekadar berbahasa dengan wanita yang sudah ku anggap seperti salah seorang saudara rapat kami juga. Terlebih, usianya yang agak sebaya dengan umi menyebabkan aku rasa tidak wajar untuk menunjukkan kelakuan yang tidak elok di hadapannya. Sensitifnya insan seusia mereka, aku tidak mahu ada yang terasa hati dengan lakuku yang tidak menyenangkan untuk
dilihat.

Sehabis makan, si kembar berdua itu menolongku mengangkat lebihan hidangan dan pinggan-pinggan kotor ke dapur. Segera aku mencuci pinggan mangkuk yang kotor sebelum bersama-sama umi dan Mak Long Timah beserta si kembar melangkah menuju ke masjid kampung. Haji Lokman, ayah abang Amirul sudah awal-awal lagi pergi ke sana. Terlebih pula, biasanya dia yang mengimami jemaah kampung melakukan solat Isya' dan solat Terawih di bulan Ramadhan itu.

Di saat melihat anak-anak kecil berlari-larian sewaktu berjalan perlahan-lahan pulang ke rumah bersama umi menghadirkan semula kenangan lama sewaktu aku dan abang Hakimi di usia begitu. Malah, saat itu, sewaktu di bulan Ramadhan, aku dan abang Hakimi akan mengikut umi pergi ke masjid. Boleh dikatakan setiap malam kami akan berada di masjid, tapi masa kami bukannya dihabiskan dengan bersolat
sebaliknya mengambil kuih-muih yang disedekahkan oleh orang-orang kampung.

Saat itu, kuih kegemaranku tentu saja kuih sagu yang disalut dengan kelapa dan diwarnakan dengan warna kuning kemerah-merahan. Selalunya, isteri ketua kampung memang gemar meletakkan kuih sagu di antara dua tiga jenis kuih yang dibawanya. Kuantitinya yang sedikit sering mengecewakan aku, tapi biasanya abang Hakimi akan memastikan yang aku akan berjaya juga memperolehi kuih tersebut.

Caranya, tentu saja agak melucukan. Mana tidaknya, sebaik sahaja para jemaah mula bersolat Isya', meninggalkan kami anak-anak kecil bermain sendiri, abang Hakimi akan mula mencapai tual kayu sebesar pemeluk kanak-kanak di bawah tangga masjid kampung yang waktu itu dibina dari kayu cengal hasil gotong royong orang kampung. Kanak-kanak lain hanya memerhati apabila abang Hakimi menyandarkan batang kayu itu pada dinding berdekatan dengan rak yang meletakkan kuih-kuih tersebut.

Dan, hebatnya abang Hakimi waktu itu, boleh pula dia memanjat kayu tersebut tanpa sedikit pun tergelincir. Hasilnya, tentu sahaja aku berjaya menikmati kuih kegemaranku itu dengan tenang. Cuma, baiknya kami waktu itu, hanya sepotong kuih tersebut yang akan diambilkannya untukku.

Selebihnya, abang Hakimi akan membiarkan kuih tersebut untuk dinikmati bersama jemaah dewasa yang lain sehabis bersolat nanti. Malah, bila aku ceritakan hal itu pada umi, merah juga telingaku dipulas umi kerana berkelakuan nakal ketika di masjid. Akhirnya aku akur jua, cara tersebut tidak elok digunakan kerana mengambil hak orang lain tanpa kebenaran merupakan salah satu sikap yang tidak
diredhai Allah. Ahh, kenangan lama yang cukup indah untuk diingati semula.

No comments:

Post a Comment