Thursday, November 4, 2010

Masih Jua Kupendamkan Perasaan Ini - 10

Terkadang, peluang berada di kampung dalam tempoh yang agak lama digunakan pula untuk mencuba pelbagai resepi yang ku cedok dari beberapa buah majalah keluarga dan wanita yang sengaja ku langgan. Dapat juga umi merasa hasil masakanku, spaghetti bersos, nasi tomato, tomyam campur dan pelbagai makanan lain yang lebih bercirikan kemodenan. Malah, pernah juga aku cuba membuat pizza sendiri yang dilapisi dengan beberapa hirisan daging atau ketulan ayam yang
dihiris halus. Seronok pula bila melihat umi tersenyum semasa menikmati hasil masakanku, dan terhambur juga pujiannya hingga membuatkan pipiku merona merah mendengar kata-katanya.

"Umi ke jeti tadi. Cari sotong dan udang. Teringin nak rasa tomyam pulak hari ni....boleh ke?", aku mendongak, melirik wajah umi yang tersenyum penuh makna. Aku segera menganggukkan kepala. Untuk umi, apa saja akan kulakukan. Kasih sayangnya untukku tidak terhitung, tidak ada insan lain yang dapat memberikan aku merasai nikmat kasih sayang seperti yang umi tunjukkan padaku.

Selepas solat Asar dan membaca Al-Quran, aku mula masuk ke dapur. Daun limau purut di belakang rumah, ku ambil dua tiga helai. Ayam kampung yang baru disembelih Pak Sudin segera dibersihkan dan di potong kecil-kecil, malah udang dan sotong juga dibersihkan, segala perencah dan bahan-bahan masakan seperti bawang dan cili juga aku sediakan terlebih dahulu.

Masakan yang aku rasakan cukup mudah, mana tidaknya, setelah disiapkan semua bahan-bahan tersebut, aku cuma perlu memasukkannya ke dalam periuk dan dikacau, dan dibiarkan mendidih. Mulanya, risau juga kerana bahan-bahan itu kurasakan banyak, sedangkan umi dan aku sahaja yang ada di rumah tersebut. Nanti siapa pula yang akan menghabiskannya. Namun, bila umi memberitahuku yang Mak Long Timah dan keluarganya hendak berbuka puasa bersama-sama kami, aku akur juga, walau rasa sangsi kerana sudah lama tidak berjumpa dengan
keluarga abang Amirul.

Kalau waktu zaman persekolahan dulu, selalu juga aku berkunjung ke rumahnya bersama abang Hakimi. Malah, semasa umi menjaga abang Hakimi di hospital sewaktu abang Hakimi terlibat dalam satu kemalangan sewaktu aku di tingkatan dua, rumah itulah yang menjadi tempat aku menginap selama hampir seminggu. Hendak menolak, bimbang juga duduk di rumah seorang diri. Sementelah umi juga risaukan diriku waktu itu, kerana itu aku bersetuju untuk tinggal di rumah abang Amirul semasa waktu-waktu ketiadaan umi.

"Takkan baju kurung labuh dengan kain batik aje. Cuba pakai baju kurung yang Datul tunjuk pada umi dua hari lepas.....", terpempan aku seketika. Semangkuk tomyam yang sedang ku tatang segera aku sorongkan ke bawah tudung saji, dan segera aku menghampiri umi yang sedang meletakkan nasi dari periuk ke dalam sebuah mangkuk.

"Kenapa umi?", pelik aku mendengar kata-katanya. Takkanlah....dan hatiku mula tercuit dengan permintaan umi. Nampak janggal dan berlainan dari umi yang biasa ku kenal. Takkanlah bulan Ramadhan macam ni pun, ada orang yang nak masuk merisik, dan rasa bimbang mula meneroka segenap ruang hati, menerbitkan rasa gundah yang tidak terkawal. Malah, sebelum ini pun, kalau ada keluarga-keluarga lain yang hendak berbuka puasa bersama-sama kami di Ramadhan sebelum ini,
tak ada pula umi membuat permintaan begitu.

Takkan umi tak memberitahuku apa-apa, sekadar menyuruh dan meminta sahaja, tanpa menghiraukan perasaan anak gadisnya ini. Sedikit kesangsian mula timbul, pun aku memujuk umi untuk membenarkan aku berpakaian seperti itu sahaja. Pakaian biasaku di kampung, baju kurung labuh berjahit tangan dan berkain batik, dengan alasan bahawa aku lebih selesa apabila berpakaian begitu. Lega hatiku apabila umi tersenyum dan menyentuh bahuku, lembut.

No comments:

Post a Comment