Tuesday, November 2, 2010

Masih Jua Ku pendamkan Perasaan ini - 9

Khaizan pula, sejak kejadian aku bertemu ibunya, sudah memulakan perang dinginnya semula. Aku hanya membiarkan, pun mengharapkan yang dia akan berubah. Setahu aku, dia bukanlah jenis pendendam orangnya. Takkanlah kerana Aqil membawa aku bertemu dengan ibunya, sudah ada bibit-bibit kerisauan di hatinya. Padahal, aku dan Aqil tidak ada apa-apa hubungan istimewa, hanya sekadar dua sahabat yang agak rapat. Malah, sesekali sahaja anak muda itu menghubungiku, menanyakan perihal diri dan kesihatanku. Pun, aku menganggap itu hanyalah rencah sebuah kehidupan, anugerah Allah untuk aku berfikir tentang gelagat dan perlakuan manusia, untuk dijadikan iktibar dan panduan hidup.
Yang penting, aku harus bersabar dan tidak cepat melatah menghadapi situasi sebegini.

Aku menasihati Marina supaya bersabar, dan bercerita perihal jodoh dan kuasa Tuhan, malah menyematkan di fikirannya yang semuanya ujian dariNya untuk melihat ketabahan seorang insan yang lemah, hambaNya yang disayangiNya, dan setiap yang diuji itu, petanda Allah juga sentiasa mengingati kita. Sempat juga aku selitkan yang itu semua adalah penyeri hidup, masalah yang akan melatih diri untuk berfikir, dan yang paling utama kehidupan di dunia ini hanyalah sebuah
kehidupan sementara yang amat singkat dan penghujungnya tidak terlalu
jauh. Apa yang perlu, bekalkan diri dengan segala amalan yang mencukupi dan ibadat yang sempurna untuk bertemuNya dalam keadaan khusnul khatimah, beriman sepenuhnya untukNya.

Marina akur dengan nasihatku, dan ketenangan dari air mukanya selepas itu, mewujudkan suatu perasaan yang cukup indah di hatiku. Pun, aku tetap cuba berusaha sebaik mungkin untuknya. Lantas, kuatur sebuah pertemuan dengan Izham selepas waktu pejabat. Kuajukan padanya tentang hubungannya dengan Marina, dan nampak iras wajah yang sayu walaupun kata-katanya menafikan yang dia juga sedih dengan setiap apa yang berlaku.

Aku tak nak dia bersedih, Hidayah. Memang, sengaja aku tunjukkan kemesraan antara aku dan gadis tu di hadapannya, supaya dia tak akan bersedih dengan perpisahan kami nanti. Walhal, aku terlalu sayangkan dia hingga aku merasakan aku telah melukakan hati dia lebih dari yang sepatutnya. Tapi, apa yang boleh aku lakukan. Ibu dan ayahku berhutang janji dan aku sendiri, sepanjang tempoh persekolahanku, semuanya ditanggung oleh keluarga gadis tu. Aku terpaksa akur,
walaupun hati aku menolak sepenuhnya perkahwinan ni. Entahlah, aku cuba untuk menolak, tapi mungkin jodoh aku bukan dengan Marina.....".
Aku terpaku mendengar pengakuan itu. Tindakannya yang tidak menolak untuk bertemu dan berbincang denganku menyatakan yang dia ikhlas dalam setiap tindakannya. Akhirnya, aku akur yang dia bukanlah jodoh Marina. Apa yang aku harapkan, Marina akan berjumpa dengan insan yang lebih baik dari Izham selepas ini. Pun, tidak aku nafikan, riak kekesalan itu tampak jua di wajah Izham sebelum dia berlalu meninggalkan aku. Berulang-ulang juga pesannya agar aku membantu
Marina selepas ketiadaannya nanti. Nampak yang dia agak risau jika Marina tidak mampu menangani kekecewaan itu seorang diri. Kasihan, tapi itulah hakikat kehidupan yang kadang kala terpaksa dipatuhi walau tanpa kerelaan sepenuh hati.

Kisah itu terpahat kemas di ingatanku. Seiring dengan itu, menghadirkan semula wajah gadis yang pernah ku lihat bersama abang Amirul satu ketika dulu. Terfikir aku, jika gadis itu juga insan istimewa dalam hidupnya, takkanlah aku tergamak untuk memutuskan hubungan suci itu. Sudah tentu kekecewaan yang sama akan dialami oleh gadis tersebut seperti yang dialami oleh Marina. Memikirkan hal itu,
aku jadi sangsi dengan mainan perasaanku, dan aku memikirkan semula antara kehendak diri dan keperluan orang lain.

Alunan irama nasyid kumpulan In-Team yang mendamaikan jiwa tiba-tiba sahaja memecahkan lamunanku petang itu, sejurus aku melihat paparan telefon bimbitku yang diletakkan di atas meja tulis di dalam bilikku. Nama `Khaizan' terpapar, dan tanpa sedar keluar keluhan halus dari dalam diriku.

"Assalamualaikum", salam ku ajukan, walaupun agak sukar untuk menerima hakikat yang Khaizan sudah bertindak luar biasa jika menghubungiku di luar waktu pejabat.

"Waalaikumussalam. Datul apa khabar?", hampir dua minggu melarikan diri darinya, malahan meminta Nizam menguruskan beberapa hal penting berkaitan projeknya, selama tempoh itu jua aku tidak berhubungan dengannya. Mendengar suara lembutnya, aku jadi sedikit tenang, mengharapkan yang dia tidak akan membangkitkan lagi hal aku mengikut Aqil bertemu ibunya.

"Alhamdulillah. Encik Khaizan apa khabar?", masih aku seperti itu, terasa janggal untuk berbicara dengannya. Bukannya aku tidak biasa, tapi aku sedikit gentar jika matanya tajam melirikku, dan senyum sinisnya tidak pernah putus mengiringi setiap bicaranya. Sudah jadi tabiatku sejak dahulu, tidak gemar dengan lirikan dari insan
berlainan jenis. Tak aku sangka akan berurusan dengan lelaki seperti itu. Pun, aku tidak menyalahkan Khaizan. Pasti sudah begitu gayanya, mana mungkin aku berupaya menangkisnya. Dah tentu itu jua anugerah Allah untuknya.

"Baik. Ibu jemput Datul ke rumah. Baba...ayah saya baru balik dari mengerjakan umrah. Kami ada buat sedikit kenduri doa selamat. Boleh kan? Nanti abang Aqil akan menjemput Datul......", aku jadi terkejut mendengar kata-kata Khaizan. Permainan apakah ini, tapi cepat-cepat pula aku menenangkan diri. Niatnya baik, sangkal hatiku yang saat itu cepat saja berfikiran negatif, dan secepat itu juga aku
menghindarinya.

"Boleh ajak kawan-kawan saya sekali? Ada dua orang ni....", terfikir aku pada Marina dan Linda, elok juga jika aku mengajak mereka, mengurangkan rasa sangsi dan tidak enak yang akan timbul jika aku berdua-duaan dengan Aqil nanti, terlebih dari Khaizan sendiri. Senang hatiku apabila Khaizan bersetuju dengan usulku, dan memastikan yang Aqil akan mengambilku seawal pukul enam petang nanti. Pada Marina dan Linda, berkali-kali aku mengingatkan mereka agar bersedia untuk berkunjung ke rumah kawan Encik Muzaffar, itu kataku pada mereka.

Lagipun, tidak pernah aku ceritakan hubunganku dengan Khaizan dan Aqil. Malah, nama abang Amirul juga tidak pernah singgah di pendengaran mereka. Kalau ada pun, cuma sekali aku pernah bercerita dengan Marina tentang pertemuanku dengan sahabat lama dari kampung yang sama denganku. Selebihnya, aku lebih suka menyimpannya sendiri. Tidak mahu berkongsi masalah dengan orang lain, menyesakkan pemikiran teman-teman rapatku. Walaupun begitu, aku tidak kisah jika mereka mahu meluahkan masalah mereka padaku. Sudah jadi tanggungjawabku, malah sejak aku di bangku sekolah lagi, kebiasaan menjadi pakar rujuk dan kaunselor tak rasmi seolah-olah sudah sebati dengan diriku.

"Saya ada kat depan rumah Datul ni....", kata-kata di talian telefon itu membuatkan aku menjengukkan kepala ke hadapan rumah. Nampak kereta dari jenis Honda berwarna kuning keemasan itu, cepat sahaja aku menggamit Marina dan Linda yang sedang duduk menunggu untuk pergi ke rumah ibu Khaizan bersama-samaku petang itu. Elok pula, kebetulan sahaja kedua-duanya tidak keluar ke mana-mana hari itu. Biasanya, kalau ada Marina, Linda pula tiada. Kalau ada Linda, Marina pula yang tiada. Macam berjanji sahaja yang kedua-dua teman serumah akan
menemaniku hari ini.

"Assalamualaikum...", Aqil, nampak berbeza hari ini. Dia berbaju melayu berwarna hijau tua. Nampak tampan dan segak pula, tambahan bila songkok juga disarungkan di kepala. Tidak pernah aku melihat dia sesegak itu. Aku menjawab salamnya dan segera melabuhkan punggung di sisinya. Marina dan Linda hanya tersenyum-senyum, sesekali berbisik halus, menerbitkan rasa ingin tahu di hatiku. Pun, aku hanya mampu mendiamkan diri setelah mengenalkan mereka berdua kepada Aqil.

Rancak juga perbualan antara Aqil dan dua sahabatku itu, walaupun sesekali aku menyampuk jua. Maklumlah, Marina dan Linda memang pandai bercerita, ada sahaja yang hendak dibualkan. Tambahan pula, aku rasa bersyukur dengan perubahan dalaman Marina. Dalam masa yang agak singkat, dia dapat menerima hakikat akan kehilangan Izham, walaupun aku benar-benar tahu bagaimana bersungguhnya perasaannya untuk anak muda itu. Nampaknya sedaya upayanya dia cuba melawan kemelut perasaan yang menghantui dirinya, menolak kesedihan yang wujud dalam diri dan menerbitkan rasa tidak endah walau bukan itu yang diinginkannya.

Linda pula, khabarnya akan melangsungkan perkahwinannya awal tahun hadapan. Segala persiapan hampir sempurna, hanya menunggu beberapa urusan lain yang perlu diselesaikan. Malah, kad undangan perkahwinannya telah diserahkan kepada aku dan Marina, memastikan yang kami berdua akan mengambil cuti untuk menghadiri majlis perkahwinannya nanti. Tambahan, Linda anak kelahiran Melaka itu sudah berkali-kali menegaskan padaku yang kampungnya tidak sejauh mana. Hanya dua jam perjalanan, itu yang diberitahunya, mengharap sungguh aku dan Marina akan hadir. Dan, jauh di sudut hati, muktamad sudah
keputusanku untuk tidak akan mensia-siakan undangannya itu.

"Ehh...Datul, mari masuk....ajak kawan-kawan tu sekali....", penuh penghormatan dari ibu Khaizan, tanganku ditarik supaya mengikutnya menuju ke ruang dapur. Marina dan Linda menurut langkahku dari belakang. Kelihatan meja makan telah ditolak ke tepi untuk meluaskan ruang. Beberapa orang wanita sedang duduk berbual-bual. Dari gaya pakaian mereka sahaja, aku tahu mereka bukan orang sebarangan. Pasti kebanyakannya bergelar datin atau puan sri, memikirkan kedudukan keluarga Khaizan di mata masyarakat umum.

Walaupun begitu, cepat sahaja aku tunduk dan menyalami setiap tetamu yang hadir. Memang itu yang selalu umi ajarkan padaku, dan tabiat itu seperti sudah sebati dalam diriku. Tiba sahaja di sisi Puan Salbiah, Mak Udaku, aku segera duduk di sisinya, mengisi ruang kosong yang agak luas berhampiran dengannya. Puan Salbiah hanya tersenyum kepadaku, maklum yang aku juga dijemput sama. Malah, melihat kemesraanku dan ibu Khaizan tadi, Puan Salbiah seperti akur yang aku sudah mengenali keluarga itu. Ada juga aku bertanyakan Murni, cepat sahaja Puan Salbiah memberitahu yang Murni sedang menjalani latihan praktikal di sebuah sekolah di Kodiang, nama sebuah tempat di negeri Kedah. Entah dari mana agaknya dia mendapat idea untuk menjalani latihan praktikal jauh dari keluarga begitu.

Majlis malam itu berjalan lancar. Ramai juga tetamu yang hadir, pun semuanya mendapat layanan yang agak istimewa. Juadah yang dihidangkan merupakan hasil masakan dari sebuah caterer terkenal di ibu kota, caterer yang memang selalu mengambil tempahan untuk keluarga tersebut jika ada majlis yang agak besar yang diadakan. Pelbagai jenis juadah memenuhi ruang makanan, tapi seleraku tumpul tiba-tiba. Mungkin sahaja, tanpa aku sedari, hatiku diulit rasa cemburu apabila melihat kemesraan abang Amirul dengan seorang gadis di hadapan mataku.

Gadis itu, yang pastinya bukan gadis yang pernah ku lihat sebelum ini, hanya mengekori abang Amirul sebaik sahaja bacaan yassin dan doa selamat telah tamat. Pandangan mataku mengekori setiap langkah mereka tanpa disedari, pun aku hanya mampu menelan setiap kesedihan yang mula hadir. Aku tidak mahu ada yang menyedari perasaanku terhadap anak muda itu, walau sudah sahih yang tidak ada sesiapa pun di situ tahu yang aku dan abang Amirul saling mengenali di antara satu sama lain, kecuali jika saja hal itu pernah dihebahkan oleh abang Amirul sendiri.

"Macam mana perjalanan ke sini tadi?", serasaku, aku sudah duduk sejauh mungkin dari tetamu-tetamu lain. Sengaja menjauhkan diri agar tidak menjadi perhatian sesiapa, tapi cepat pula Khaizan perasan kewujudanku. Bersahaja dia duduk di sisiku sambil menatang sebuah piring kecil berisi beberapa potong buah-buahan pelbagai jenis.

Marina dan Linda entah di mana, aku sendiri tidak pasti. Menjenguk bilik hiasan yang menempatkan pelbagai cenderamata dan kenangan dari luar negara milik keluarga Khaizan agaknya. Aku juga turut kagum sewaktu kali pertama menjejakkan kaki ke rumah ini dahulu, mana tidaknya, dengan ruang yang agak luas, bilik hiasan itu dilengkapi beberapa rak barangan pelbagai rupa dan bentuk yang cukup menarik. Rasa tidak puas untuk membelek setiap satu barangan tersebut, kerana semuanya cukup unik, menunjukkan citarasa pembelinya juga tinggi, seiring dengan gaya yang melingkungi corak kehidupannya.

"Ok aje..macam biasa. Cuma, jalan agak jammed bila melepasi tol batu tiga tadi...", ujarku perlahan, dan cepat-cepat aku menundukkan muka menyambung suapan apabila ternampak Aqil menghalakan muka memandang wajahku dari kejauhan. Namun, sedikit pun dia tidak bergerak dari tempat duduknya, hanya memerhati perlakuanku dan Khaizan sahaja. Entah apa yang ada di fikirannya saat itu, aku tidak mahu ambil tahu. Aku harap dia sendiri maklum yang Khaizan cuma rakan sekerja dalam projek yang sama. Tidak gemar dia berprasangka yang lain.

"Macam mana majlis ni, ok? Baba saya tu...yang duduk di sebelah abang Aqil. Abang Aqil memang agak rapat dengan baba dan ibu, malah ada sebuah bilik untuk dia di rumah ni...", apa maksud dia bercerita tentang hal itu, aku sendiri tidak pasti. Pun begitu, mataku melirik jua melihat seorang lelaki tinggi berkulit putih kuning dan berkopiah putih yang sedang duduk dan berbual di sisi Aqil. Bualannya nampak
rancak, dan kelihatan agak peramah dan mudah mesra. Air mukanya cukup tenang, setenang alunan air di dalam kolam renang di belakangku.

Kalau itu ayah Khaizan, rasanya sudah lengkap sebahagian hidupnya dilingkungi dua insan yang cukup istimewa. Ditambah dengan segala kekayaan yang dimiliki sebagai pelengkap kehidupan, rupa yang agak tampan, budi bahasa dan akhlak yang sempurna, dapat aku rasakan Khaizan benar-benar insan yang bertuah dalam hidupnya. Seharusnya dia sentiasa bersyukur, kerana tidak semua orang dapat mengecap kenikmatan seperti yang dirasakannya.

"Ayah dan ibu Aqil tak ada di sini. Mereka di Korea, ayahnya berkursus selama sebulan di Seoul. InsyaAllah, minggu depan, mereka akan kembali ke Malaysia....". Aku hanya mengiyakan setiap patah ayat yang keluar dari mulut Khaizan. Hendak membalas, tidak tahu apa yang hendak disuarakan. Sudahnya, aku hanya mengambil keputusan untuk sesekali bertanya apa yang perlu sahaja pada Khaizan.

"Wah...dari tadi kau kat sini...", suara itu, cepat-cepat aku menoleh ke sisi Khaizan. Abang Amirul tersenyum padaku sambil menepuk-nepuk bahu Khaizan. Aku membalas senyumannya, dan cepat-cepat tunduk semula, membiarkan Khaizan dan abang Amirul berbual berdua. Lagipun, seupayanya aku hendak menghabiskan makanan di dalam pingganku secepat mungkin. Jarum pendek jam di tanganku sudah menunjuk hampir ke angka sepuluh, sudah menghampiri masa untuk aku mengajak Marina dan Linda pulang ke rumah. Secara rutinnya, aku jarang pulang lewat dari pukul sebelas malam, walaupun majlis yang kuhadiri terkadang tamat lewat dari waktu itu.

"Siapa yang datang dengan kau tadi. Aku tengok diikutnya kau ke hulu ke hilir, tak nak lepas...", pertanyaan Khaizan, walaupun dalam nada yang perlahan, mencuit sedikit perhatianku untuk mengikuti perbualan mereka berdua. Terdengar abang Amirul tergelak halus, dan ditepuk bahu Khaizan berulang kali.

"Kau berminat ke? Aku boleh usulkan pada dia...", entah mengapa, jawapan serupa itu sedikit menyenangkan hatiku yang tidak keruan sejak tadi. Suapanku menjadi sedikit lambat, menanti perbualan tentang gadis itu ditamatkan.

"Tak adalah, just aku nak tau...setau aku yang datang ke office dulu mencari kau bukan budak tu...", kata-kata Khaizan menyentakkan mindaku semula. Ramai benarkah wanita yang mendampingi abang Amirul, getus hatiku sendiri, sekaligus melayarkan semula ingatan mengingati wajah gadis berkebaya kuning yang pernah aku nampak suatu ketika dulu. Mungkinkah itu pun salah satu gadis yang mendampinginya? Kenapa lain benar abang Amirul dari dia yang pernah aku kenali sebelum ni?

"Itu anak Tan Sri Rahmat, Nurlisa. Kan dia berkawan dengan aku sebaik sahaja kita third year. Tapi, macam itu saja, mana ada apa-apa yang istimewa. Yang ini pula, kau tentu ingat pada Radhuan, kawan kita masa kita menjelajah seluruh France dulu, ini kekasih dia..dia sekarang ada di Tokyo seminggu. Ada maklumat yang diperlukan untuk projeknya yang terkini, tu aku bawak Adilah tu bersama-sama aku sebab dia kata dia bosan malam-malam minggu ni duduk di rumah....kau jangan buat fitnah pulak Khai....".

Dari tutur kata abang Amirul, dapat aku simpulkan yang dia mengambil mudah sahaja setiap gadis yang diusungnya ke hulu dan kehilir. Nampaknya, walau siapa pun yang dibawanya keluar, dia tidak pernah ambil kisah langsung tentang perasaan gadis-gadis tersebut. Seolah-olah setiap gadis boleh keluar dengannya sesuka hati, tanpa berperasaan dan menganggap setiap dari mereka adalah istimewa di sudut hati abang Amirul.

Hatiku mendesah, sekaligus aku segera meminta diri dari lingkungan kelompok perbualan mereka berdua. Tidak mampu rasanya mindaku menadah maklumat yang aku sendiri tidak senang untuk menyimpannya. Aku jadi hampa dengan sikap abang Amirul yang selama ini aku sanjungi dalam diam.


Langkah sengaja kulajukan, sambil mataku meneroka ke segenap ruang yang terjangkau oleh pandangan mata, mencari kelibat Marina dan Linda. Nampak dari jauh Encik Muzaffar, Pak Udaku sedang berbual dengan beberapa orang kenalannya. Sempat juga dia mengangkat tangannya padaku dan aku membalasnya dengan menghadiahkan sebuah senyuman untuknya.

"Datul nak balik ke? Tak nak jumpa ibu dan baba dulu?", tiba-tiba sahaja, Aqil sudah berada di hadapanku. Dia menggamitku supaya mengikutnya, dan cepat-cepat aku menuruti langkahnya yang agak pantas. Sejurus, tiba sahaja di ruang hadapan rumah berhadapan dengan ruang meletak kereta, aku melihat ibu dan baba Khaizan. Tersenyum sahaja mereka berdua melihat aku dan Aqil. Nampak jelas dua wajah yang cukup tenang di hadapanku, menerbangkan ingatanku mengingati umi dan arwah ayah suatu ketika dahulu.
"Ibu...baba...Datul ni, dah nak pulang....".

Ibu Khaizan hanya tersenyum dan segera menyentuh pergelangan tanganku. Ditariknya aku rapat ke sisinya, serapat yang boleh.

"Abang..inilah Nadratul Hidayah, yang Khai dan Aqil pernah ceritakan pada kita dulu. Datul, ini pakcik Shahir, baba Khaizan.....". Cepat sahaja aku tersenyum kepada lelaki yang agak berusia itu. Terdetik di hatiku, inilah pemilik Shahir Holdings, salah sebuah syarikat yang berurusan dengan Utama Berkat. Cukup tak aku sangka, setenang wajah lelaki itu, lembut dalam gerak dan percakapannya, dia sudah mampu membina sebuah empayar perniagaan yang mampu menjamin keseluruhan kehidupan keluarganya.

"Oh....inilah anak gadis yang hebat tu. Pakcik pernah dengar dari Muzaffar, bukan ke Datul ni anak saudara dia, kan?", merona merah wajahku apabila ayah Khaizan menuturkan ayat sebegitu. Cepat-cepat aku menafikan yang aku tidak sehebat mana, malah masih baru dalam bidang tersebut. Masih banyak yang perlu dipelajari, dan masih banyak kesilapan yang perlu dibetulkan. Tersenyum sahaja dia, mungkin akur dengan segala kata-kataku.

Namun, pertemuan dengan keluarga itu tidak tamat di situ sahaja. Berulang kali ibu Khaizan, Puan Rahimah menyuarakan hasrat agar aku datang menjenguknya jika ada kelapangan. Malah, sesekali apabila berurusan dengan Khaizan juga, disogokkan lagi telingaku dengan undangan yang sama. Entah apa cara yang perlu digunakan untuk mengelak dari selalu berkunjung ke rumah itu, aku sendiri tidak
pasti. Sudahnya, aku mengambil keputusan untuk menyambut awal Ramadhan bersama umi di kampung. Sengaja aku ambil cuti yang agak panjang, menghamburkan segala rindu yang selama ini berkepuk tanpa dapat diluahkan.

No comments:

Post a Comment