Sunday, November 7, 2010

Masih Jua Ku Pendamkan Perasaan Ini - 13

Terbayang kemesraannya dengan beberapa gadis yang berlainan menimbulkan rasa tidak puas hatiku semula, menghilangkan rindu yang mula hendak bersemi memikirkan kata-katanya padaku tadi. Nampak seperti ada sesuatu yang hendak disampaikannya, sesuatu yang mungkin aku harapkan selepas pertemuan yang pertama dulu, walaupun saat ini aku cuba menghindari perasaan seumpama itu hadir.

Pertemuan itu tidak berakhir seperti yang aku jangkakan. Tanpa sedar, abang Amirul sudah mula menghubungiku di pejabat, samada mempelawaku untuk berbuka puasa bersama-samanya atau mengatur pertemuan lain selepas waktu pejabat. Aku menganggap ia hanyalah pertemuan dengan sahabat lama, pertemuan tanpa menerbitkan rasa keintiman yang terlalu rapat, terlebih jauh di sudut hati, aku tidak tahu apa yang ada di fikirannya. Ada juga sekali dua terserempak dengan Khaizan, tapi cepat-cepat pula abang Amirul akan menyuruhku mengelak dari kami bertentang mata dengan anak muda itu.

Perasaan bersalah, pelik dan tertekan mula berkepuk dalam diri. Tidak suka menjadi alat dalam hidup orang lain, berselindung seolah-olah aku telah melakukan kesalahan yang teramat besar. Kalau Khaizan atau sesiapa pun tahu, apa salahnya, dan perasaan tidak puas hati itu terluah juga setelah hampir dua minggu aku mengikut sahaja setiap cadangan dan ajakan abang Amirul.

"Kenapa kita mesti mengelakkan diri dari Khaizan? Besar sangat ke kesalahan yang kita ada, hubungan kita ni akan dipertikaikan ke?", sungguh, setelah puas mengatur ayat, memikirkan kata-kata yang sesuai, akhirnya ia terluah jua. Terdiam abang Amirul, memakukan pandangannya pada anak mataku, hingga aku menundukkan wajah, cuba lari dari pandangannya yang agak tajam.

Mungkin, setelah hampir setahun kami merahsiakan hubungan ini di hadapan Khaizan, dia tidak menyangka aku akan bertanya begitu padanya. Mulanya, memanglah aku tidak endah, tapi bila fikiranku disogok dengan rasa tidak puas hati yang keterlaluan dengan tindakannya yang terlalu berahsia, ingin juga aku bebaskan diri dari kemelut yang menghantui perasaanku. Bukan mudah hendak bertanya pada diri, berfikir dan terus berfikir walhal setiap masalah itu ada jalan
penyelesaiannya sendiri. Aku cuma perlu berusaha agar beban itu terlerai, mewujudkan semula ketenangan dalam diri yang hampir sahaja hilang.

"Bukannya abang tak nak bagitau dia, tapi nanti apa pula yang dikatanya pada Datul. Macam mana dia nak terima hakikat gadis yang dia suka berkawan dengan abang yang memang dia kenal ramai kawan-kawan perempuan, walaupun sebenarnya tak pernah abang berjanji apa-
apa dengan gadis-gadis tu..... abang tak nak pandangan dia pada Datul berbeza dari apa yang dia sangkakan, hanya kerana Datul dan abang agak rapat...", sungguh tidak aku jangkakan, ayat itu meruntun segenap ruang jiwaku, menerbitkan rasa ingin tahu yang teramat. Mataku tunak memandang abang Amirul, serasa tidak percaya dengan apa yang baru ku dengar seketika tadi. Khaizan sukakan aku? Terasa tercuit hatiku, menerbitkan rasa yang agak melucukan, sesuatu yang tidak pernah aku fikirkan dan aku jangkakan langsung. Dan, tiba-tiba
sahaja terhambur gelak halusku, dalam tawa yang agak terkawal.

"Gelak pulak...apa Datul tak percaya dengan apa yang abang ceritakan ni? ", berkerut dahinya melihat lakuku, masih dengan gaya di zaman remaja, gelakku pasti terhambur jika ada ayat sebegitu diajukan padaku. Bukannya dia tidak tahu, sukar benar hatiku untuk jatuh cinta, malah bukan mudah pula untuk suka pada seseorang, walau serapat mana pun hubungan itu terjalin. Memang itu peelku, suatu sikap yang aku rasakan normal ada pada seorang wanita seusiaku.

"Abang ni kelakar la..ada ke si Khaizan tu sukakan Datul? ", dan tawaku terhambur semula, sedikit pun tidak menghiraukan lirikan matanya padaku. Sangkaku, dia akan terasa hati dengan tindakanku, tapi perlahan-lahan sebuah senyuman terukir jua di wajahnya.

"Mula-mula abang tak percaya juga, tapi dia bersungguh-sungguh bagitau abang...dah le abang tau dia tu bukan jenis yang mudah suka dengan perempuan, walaupun ramai yang memang sukakan dia.....". Terpana aku mendengar kata-kata itu. Di awal perkenalan dengan Khaizan lagi, aku sudah tidak sukakan perlakuannya. Lirikan matanya saja sudah cukup untuk membantutkan segala tindakanku, apatah lagi untuk menyukainya dengan lebih serius, tidak pernah terlintas di fikiranku langsung.

Tindakanku mendiamkan diri bila berhadapan dengannya, bercerita hal-hal kerja sahaja walau sudah bertemu dengan ibunya, sudah cukup rasanya menjadi bukti yang aku tidak mahu perhubungan yang lebih serius dari itu akan wujud. Mungkin dia tidak pernah terfikir yang aku sedikit pun tidak menyukainya, ditambah dengan ketampanan dan kekayaan yang dimilikinya, pasti dia merasakan mudah saja aku akan jatuh hati dengannya. Masalahnya, aku bukan wanita seperti itu, bukan sikap seperti itu yang aku tatang sejak dulu.
Sedikit pun aku tidak memikirkan hal Khaizan selepas pertemuan dengan abang Amirul. Lelaki itu juga, walau bercerita tentang akrabnya perhubungannya dengan Khaizan, hebatnya Khaizan sewaktu pengajian di universiti dahulu, ramainya gadis yang ingin menjadi temannya, tidak pernah pula disogokkan padaku supaya menerima Khaizan menjadi tugu utama perasaanku, beraja di hati agar mendapat tempat yang paling istimewa dalam hidupku.

Yang selalu diucapkannya, agar aku lebih berhati-hati, fikiran lelaki sukar dijangka, dan keseriusan perhubungan yang terkadang tiba-tiba menjadi renggang dengan kehadiran orang ketiga yang sering wujud dalam sebuah perhubungan kasih sayang antara lelaki dan wanita. Pun, nasihat itu aku pendamkan begitu sahaja. Masih belum tiba masanya untuk aku luahkan, insan bagaimanakah yang menjadi pilihanku, dan siapa yang akan bertakhta di hatiku, hinggalah tiba satu saat yang
dirasakan sesuai. Saat ini, biarlah semuanya kurahsiakan, memikirkan terlalu banyak konflik dalam diri, melibatkan perasaan beberapa insan yang ku kenal, mewujudkan rasa tidak enak untuk diceritakan meluah rasa yang kusimpan selama ini.

"Lamanya Datul tak datang ke sini...Khaizan kata Datul bercuti...balik kampung ke?", ibu Khaizan, ramah menegurku sewaktu aku berkunjung ke rumahnya di suatu petang selepas melawat tapak projekku berhampiran Pelabuhan Kelang. Tiba-tiba saja rasa rindu terdetik di hati, memikirkan umi di kampung, menjejakkan kakiku di rumah itu. Mujur saja Khaizan atau Aqil tiada di rumah waktu itu, kalau tidak pasti apa pula anggapan mereka agaknya.

"Datul saja bercuti panjang....rindu dengan umi di kampung...", sambil membelek-belek beberapa kuntum ros pelbagai warna yang berkembang mekar, aku tersenyum memandang wanita itu. Terasa rapat benar perhubungan kami, walau aku dan dia jarang berjumpa. Ada keintiman yang sukar untuk dihuraikan dengan kata-kata, yang pastinya aku sering teringatkan dia di kala rindu membuak-buak pada umi.

"Buka puasa di sini ya...", tanpa sedar, aku sudah menganggukkan kepala pada pelawaannya. Malah, Marina dan Linda pun maklum, aku jarang berbuka puasa di rumah bersama-sama mereka. Kalau tidak ke rumah Pak Uda, dua tiga orang kakak-kakak sepejabat juga sering mengajakku berbuka puasa bersama keluarga mereka.

Sikapku yang sukakan kanak-kanak terutamanya, memudahkan aku untuk merapatkan diri dengan kakak-kakak yang sudah berkeluarga itu. Mana tidaknya, terkadang sampai juga ke telingaku rungutan anak-anak mereka jika aku sudah lama tidak ke rumah mereka. Sudahnya, rasa kasihan itu timbul, menarik diriku untuk bersua dengan mereka, dan selebihnya melayan kerenah mereka yang cukup menenangkan mindaku. Sukar benar untuk aku hampakan permintaan anak-anak kecil itu.

Encik Shahir, ayah Khaizan pulang agak awal dari biasa dari hari-hari sebelumnya, itu kata Puan Rahimah. Terasa tenang menatap pasangan itu, walau sudah berusia, hubungan mereka sungguh intim, dilimpahi dengan kasih sayang yang tidak terungkap. Malah, sewaktu sedang berbuka puasa juga, sikap mereka berdua cepat saja menarik perhatianku.

Nampak benar yang hubungan mereka terlalu murni, terlalu suci hingga aku rasakan aku ingin jadi seperti mereka, mengecap nikmat bahagia hingga ke akhir hayat. Namun kesangsian tetap bertapak di hati, memikirkan perlakuan golongan muda di zaman sekarang yang sukar diterka maksudnya. Hendak mencari yang sejati, yang setia, redha padaNya bukanlah semudah yang disangkakan.

Abang Amirul sendiri, satu-satunya lelaki yang aku percaya setakat ini, sudah mula menunjukkan sedikit kelemahan yang aku sendiri pertikaikan hingga menyingkirkan sedikit demi sedikit rindu yang mahu bertapak di sudut hatiku. Bukannya aku mengutuk tingkahnya, tapi rasa itu hadir tanpa dipinta. Hendak ditegur, aku rasa dia sendiri maklum dengan apa yang dilakukannya.

Sudahnya, aku hanya memendam rasa, menyimpan keinginan hati dengan harapan Allah akan mengurniakan yang terbaik untukku, malah keinginan itu sudah tertancap, tanpa rasa aku sudah tidak berkeinginan untuk mengecap nikmat dunia yang sementara ini. Wajarnya aku berperasaan begitu, terasa minda semakin tenang tanpa bebanan yang amat memeritkan.

Bukan mudah untuk membina diri, melatih minda agar tidak terlalu memikirkan hal tersebut, tapi itu juga yang aku hadapi, dan aku terima dengan rasa syukur yang tidak terhingga padaNya. Mungkin ada hikmah di sebalik segala pemberianNya, hikmah yang tidak datang dalam sekelip mata dan memerlukan penantian dalam jangkamasa yang entah bila akan hadirnya. Aku hanya berharap agar Allah meredhaiku dalam setiap tindakanku. Sesekali, perlu juga akur, ada tanggungjawab yang belum aku lunaskan sepenuhnya di sini, di dunia ini.

"Susahnya nak jumpa Datul...sibuk sangat ke sekarang ?", terhambur tawa halusku mendengar kata-kata lelaki itu. Entah apa mimpinya, di saat azan Subuh baru sahaja berkumandang, aku sudah menerima panggilan darinya. Yang paling bagus, dia mengajakku berjogging, sesuatu yang jarang aku lakukan di pagi minggu begitu. Tapi, memikirkan sudah lama juga aku tidak bersua dengannya, aku akur juga dengan ajakan Aqil. Bukan mudah untuk berjumpa dengannya, dia juga punya kesibukan tersendiri yang tidak pernah aku tahu.

Kami menyusuri laluan pejalan kaki sambil berlari-lari anak. Sesekali saja track-suit biru tua itu menyaluti tubuhku, pun aku terasa cukup selesa bila memakainya. Aqil di sisiku pula dengan pakaian biasanya, track-suit dan t-shirt berkolar, kali ini berwarna maroon membalut tubuhnya. Tidak ramai orang yang berjogging pagi itu, maklumlah, bulan puasa begini, mana mungkin ada yang mahu membasahkan badan dengan peluh walhal waktu untuk berbuka puasa masih jauh. Namun,
kedamaian dan ketenangan pagi itu sudah cukup untuk membangkitkan rasa selesa yang sukar benar untuk hadir.

"Berbuka puasa dengan saya hari ni?", habis satu pusingan sahaja, kami berdua mengambil keputusan untuk merehatkan diri di tepi tasik, duduk-duduk di atas rumput yang dijaga elok. Usulannya aku sambut dengan sebuah senyuman.

"Boleh juga. Lagipun Datul memang tak ada program apa-apa hari ni...", mudah saja aku menerima ajakannya. Sesuatu yang jarang aku lakukan dengan orang lain. Entah kenapa, caranya yang tidak terlalu mendesak, tenang dalam setiap perlakuan sedikit sebanyak menarik perhatianku. Dia jarang meminta, dan disebabkan itu setiap permintannya senang untuk ditunaikan.

"Dah lama kerja di company tu?", perbualan kami mula berkisar tentang kehidupanku, sesuatu yang paling tidak aku gemari. Namun, caranya menangani suasana perbualan tersebut cukup unik, hingga tanpa sedar banyak juga hal-hal peribadiku yang selama ini tidak pernah kuceritakan pada sesiapa, dapat diperolehinya hari itu. Malah, pemergian arwah ayah dan kesedihan yang aku alami, corak kehidupanku di kampung hampir semua menjadi santapan mindanya.

Cara apa yang dia gunakan untuk memperolehi semua maklumat tersebut, sukar untuk diterka. Yang pasti, aku mula gemar untuk bercerita selagi terdaya, menghuraikan segala kemelut diri yang menghantuiku. Walhal, aku dan dia bukanlah rapat, tidak seperti aku dan abang Amirul yang memang punya hubungan yang agak intim. Cuma, entah kenapa, dia bijak melayani setiap kata-kataku, hingga tidak sedikit pun perasaan bimbang terbit di hatiku yang dia akan terasa hati
dengan setiap kata-kataku.

"Sabarlah...mungkin ada alasan dia buat begitu..yang pasti, Datul tak salah dan dia pun tak salah...", sewaktu bercerita tentang Khaizan dan perlakuannya sewaktu dia membawaku bertemu dengan ibu Khaizan. Hebat, wajahnya tenang tanpa sedikit pun kerutan nampak di dahinya.

"Entahlah...Datul harap tak ada apa-apa yang akan berlaku. Antara dia dan Datul bukannya ada apa-apa hubungan selain dari hubungan rakan sekerja....", aku menyuarakan rasa tidak puas hatiku pada Aqil. Wajar atau tidak, aku tetap merasakan dia ibarat seorang kaunselor yang baik, teman yang selama ini ku cari untuk meluahkan pelbagai kemelut yang menghantui kehidupanku.

Bukan mudah sebenarnya untuk bercerita tentang masalahku dengan orang lain, tapi berbeza pula dengan dia. Aku jadi bebas, tanpa kongkongan perasaan yang menjerut mindaku untuk teragak-agak meluahkannya. Selalunya, aku lebih suka menyimpannya sendiri, mungkinkah aku sudah berjumpa dengan dia, insan yang kucari selama ini, walau tidak sedikit pun terdetik di hatiku untuk memilikinya. Cukuplah dia menjadi pendengar setia, memberikan pendapat semampunya, menjadi seorang `abang' seperti yang pernah aku harapkan sebelum ini.


No comments:

Post a Comment