Tuesday, November 9, 2010

Bisikan kasih

Dia menutup telinga dengan tapak tangannya tetapi tidak mampu menghalang bunyi bising itu dari menerjah masuk ke gegendang telinganya. Dia geram.

Sesekali melirik dinding yang mencantumkan rumahnya dengan rumah di sebelah itu. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia memarahi penghuni rumah sebelah itu. Biar penghuni itu tahu, bukan mereka sahaja yang menyewa rumah di situ. Ingatlah sikit,mereka bukannya tinggal di rumah banglo atau rumah persendirian. Inikan rumah flat. Atas, bawah, kiri, kanan, semuanya ada orang. Buat bising akan mengganggu semua penghuni flat itu dan termasuk dia. Setahu dia penghuni rumah sebelah itu terdiri daripada budak-budak perempuan yang menyewa kira-kira sebulan yang lalu. Dia sendiri tidak pernah bersua dengan budak-budak perempuan itu. Iye lah, pergi kerja, balik kerja terus lepak dalam rumah. Malas dia nak keluar. Penat!

Ah, perempuan memang macam tu. Kalau sehari tak memekak, menjerit memang tak sah. Semua sama. Tak ada yang baik. Semua jahat. Hipokrit!


Dia sendiri tidak tahu adakah dia memarahi penghuni di sebelah rumahnya atau memarahi Maya, gadis yang pernah disayanginya. Itu dulu. Sekarang nama itu tidak wujud lagi dalam hatinya. Malah perasaan sayang yang pernah ada terhadap gadis itu bertukar menjadi benci tatkala dirinya dipermainkan. Dia rasakan dirinya begitu bodoh kerana tidak dapat menilai gadis itu. Sudah puas rakan-rakannya memberitahu yang Maya bukanlah gadis yang baik untuknya. Maya curang, Maya keluar dengan lelaki lain dan macam-macam lagi dia dengar tentang Maya tetapi dia tidak percaya. Bila dia bertanyakan pada Maya, Maya akan menafi kan semua itu. Kata-kata yang keluar dari bibir Maya sangat manis sehinggakan dia terus mempercayai gadis itu sehinggalah peristiwa malam kelmarin.

Malam itu, dia dan empat orang rakan sekerjanya bercadang untuk makan malam di sebuah restoran. Kata Haris, tom yam di situ sedap. Jadi, mereka bercadang untuk mencubanya. Lagipun gaji baru masuk. Dia sendiri tidak menyangka semua yang berlaku malam itu adalah dirancang.

Makan malam itu pun dirancang Haris dan rakan-rakan sekerjanya. Haris mengajak dia ke restoran malam itu untuk membuka mata dia tentang kecurangan Maya. Haris kerap bertemu Maya di restoran itu setiap hujung minggu. Patutlah dia rasakan tom yam di situ tidaklah sesedap yang diwar-warkan oleh Haris. Dia diajak ke mari bukan kerana tom yam tetapi kerana Maya. Dia tidak sedih dengan apa yang dilihatnya, tetapi marah, geram dan macam-macam perasaan yang melanda ketika itu. Dia tidak marah pada rakan-rakannya tetapi marah pada diri sendiri kerana tidak mempercayai kata-kata rakan-rakannya tentang Maya. Marah pada diri sendiri kerana terlalu bodoh mempercayai sahaja kata-kata Maya dan yang paling utama, dia marahkan Maya! Sejak malam itu, dia tidak berhubung lagi dengan Maya walaupun Maya beberapa kali menghubunginya. Telefon bimbit dimatikan. Dia malas hendak melayan lakonan gadis itu. Semuanya sudah jelas. Kalau berpegang tangan, berpeluk-pelukan, takkan Maya nak beritahu lelaki itu ayah dia? Adik dia?

“Aah..”

Lamunan dia terhenti apabila jeritan itu berulang lagi. Tidak boleh jadi ni, dia betul-betul hilang sabar. Segera dia melangkah ke rumah sebelah. Pintu rumah itu diketuk beberapa kali. Kuat. Beberapa saat selepas itu, kelihatan seorang gadis membuka pintu. Sebenarnya, dia akui itulah kali pertama penghuni rumah sebelah itu membuat bising tetapi kemarahan dia terhadap Maya membuatkan dia hilang pertimbangan dan gadis itu menjadi mangsanya. Sebenarnya dia bukanlah begitu. Dia tidak suka memarahi orang apatah lagi perempuan tetapi mood dia benar-benar tidak baik hari ini.

“Ya, boleh saya bantu,” gadis itu tersenyum ramah.

“Ya, saya nak minta tolong ni. Tolong senyap boleh tak? Tahu tak, ni kan flat. Kalau nak terpekik ke terlolong ke, pergilah buat rumah sendiri.” Entah kenapa dia menghembuskan segala kemarahannya terhadap gadis itu. Dilihat wajah manis yang tersenyum tadi segera berubah.

“Saya minta maaf atas apa yang saya buat tetapi kalau awak tegur dengan cara yang lebih baik tentu lebih elok kan,” ujar gadis itu lalu terus menghempas pintu dengan kuat. Dia mengetap bibirnya menahan marah. Mana tidaknya, dia masih lagi tercegat di situ dan gadis itu telah menghempas pintu dan yang paling dia bengang, batang hidungnya menjadi mangsa apabila terkena pintu tersebut.

Keesokan harinya, dia ke pejabat seperti biasa. Dia cuba berlagak biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku. Dia tidak mahu orang mengatakan dia berubah kerana kehilangan Maya. Ah, dia tidak kesal pun kehilangan gadis itu cuma perasaan marah masih membara di hatinya.

“Lan, aku minta maaf kalau kau marah aku tentang malam tu. Aku tak sepatutnya bawa kau ke restoran tu,” ujar Haris seraya menepuk bahunya.

“Tak de lah. Sepatutnya aku berterima kasih kat kau. Kalau tak, sampai sekarang aku tak tahu kebenarannya,” balasnya sambil tersenyum. Haris turut tersenyum. Mungkin berpuas hati dengan kata-kata Azlan, kawan yang dikenalinya sejak di bangku sekolah lagi.

“Tapi Haris…” sengaja dia membuat ayat tergantung agar Haris tertanya-tanya

“Apa?”

“Tom yam hari tu tak sedap sangat. Apa kata kau belanja aku lunch nanti.”

“Kau ni Man, ada-ada je lah.”

Dia tersenyum lagi. Saja dia mengenakan Haris. Haris memang baik terhadapnya sejak di sekolah lagi. Dari sekolah sampai kerja mereka ditakdirkan bersama. Kerja yang dia dapat di syarikat itu pun, Haris yang bantu. Entah kenapa dulu dia tidak dengar cakap Haris tentang Maya. Mungkin waktu itu dia tengah kemaruk cinta. Tak ‘nampak' apa yang mungkin orang lain ‘nampak'.

Kerja berjalan seperti biasa. Walaupun moodnya masih tidak baik, tetapi dia teruskan jua. Dia tidak mahu mencampuradukkan tugas pejabat dengan masalah peribadi.

“Woi Lan, termenung je. Jom lunch,” sergahan Haris mematikan lamunannya. Sedar tidak sedar, jam menunjukkan angka 12.30 tengah hari.

“Budak lain mana?” Soal Azlan. Selalunya mereka makan tengah hari berempat. Pelik pula melihat ketiadaan Kamal dan Fendi.

“Dia orang pergi bank tadi. Bayar duit kereta,” terang Haris.

Mereka berjalan berdua menuju ke warung Pak Mat. Kebiasaannya di situlah mereka berempat makan tengah hari. Masakan Mak Munah, isteri Pak Mat memang sedap. Langkahnya terhenti sebelum sempat dia melangkah masuk ke warung Pak Mat. Matanya tertumpu pada seseorang. Tiba-tiba seleranya terbantut.

“Haris, kau pergilah makan dulu. Perut aku ni buat hal lah,” dia cuba berdalih.

“Nanti kau datang tak?” soal Haris.

“Tengoklah, tapi jangan tunggu aku,” katanya lagi. Dia terus melangkah laju meninggalkan tempat itu. Kemunculan gadis itu benar-benar membantutkan seleranya. Hatinya tertanya-tanya kenapa gadis itu ada di situ. Marah tentang hempasan pintu yang mengenai batang hidungnya pun belum habis lagi dan gadis itu tiba-tiba muncul di hadapannya hari itu.

Akhirnya masa makan tengah hari berlalu begitu sahaja dan perutnya masih belum terisi. 15 minit sebelum balik, pekerja-pekerja syarikat telah bersiap sedia mengemas barang. Mereka duduk bersembang sementara menunggu jam menunjukkan angka 5.30 petang. Selepas makan tengah hari tadi, Haris sibuk bertanya kenapa dia tidak datang ke warung Pak Mat. Dia mencipta alasan sendiri dengan memberitahu yang dia terserempak dengan saudaranya dan berbual panjang hingga lupa akan Haris. Sebaik sahaja jam menunjukkan angka 5.30 petang, bergegas pekerja-pekerja syarikat meninggalkan pejabat.

Dia segera menghidupkan enjin kereta dan terus berlalu. Hasrat di hati untuk singgah di warung Mak Cik Peah, satusatunya warung yang ada di flat tempat tinggalnya. Setengah jam selepas memandu, kereta di letakkan di tempat letak kereta yang di sediakan. Bunyi perut yang minta diisi menyebabkan langkahnya semakin laju.


“Bungkus ke Lan?” Soal Mak Cik Peah.

Dia tersenyum. Walaupun tidak selalu ke gerai Mak Cik Peah tetapi wanita tua itu tahu apa yang dia mahukan. Tanpa bertanya, Mak Cik Peah menyendukkan ikan tilapia masak lemak cili api, lauk kesukaannya. Setelah membayar harga makanan itu, dia menuju ke rumah flat blok E.

Kakinya laju melangkah masuk ke kawasan rumah flat blok E. tiba-tiba dia terlihat gadis itu sedang menunggu di luar lif. Entah kenapa dia malas untuk bertembung dengan gadis itu. Sebelum ini dia tidak pernah bersua dengan gadis itu tetapi entah kenapa sejak dia memarahi gadis itu, mereka kerap bertembung. Di warung lah, di lif lah, pendek kata, ke mana dia pergi, pasti akan terlihat gadis itu.

Kerana keegoan seorang lelaki, dia membatalkan sahaja hasrat menaiki lif. Dengan perlahan, dia memijak satu persatu anak tangga menuju ke tingkat empat. Sudahlah perutnya lapar, kena pula menaiki tangga. Bengang betul dia pada gadis sebelah rumah itu. Nasib baiklah tingkat empat, kalu tingkat lapan alamatnya, dia terpaksa berkhemah di atas tangga menikmati gulai lemak cili api Mak Cik Peah.

Sudah seminggu dia tidak makan tengah hari di warung Pak Mat. Haris sibuk bertanya. Akhirnya dia terpaksa memberitahu Haris setelah didesak beberapa kali. Apa lagi, tergelak besar Haris apabila mendengarnya.

“Kau seksa diri kau semata-mata kerana perkara kecil macam tu?” Haris ketawa lagi.

Sememangnya dia akui, tiada faedah dia berbuat demikian. Gadis itu tetap sama menjalani rutin hariannya tetapi dia yang terseksa. Mana tidaknya, biasanya dia makan tengah hari di warung Pak Mat tetapi sekarang dia terpaksa menapak jauh sedikit untuk makan tengah hari. Malah dikatakan hampir setiap hari dia menggunakan tangga untuk sampai ke rumahnya. Semuanya hanya kerana tidak mahu melihat wajah gadis itu. Tetapi dia hairan, kenapa gadis itu terus muncul di hadapannya sejak kali pertama bertemu dulu. Sebelum ini, tidak pernah nampak pun.

“Lan, sampai bila kau nak macam ni? Kau menyeksa diri kau je. Entah-entah dia tak perasan langsung sikap kau. Kau je yang nak tunjukkan kebencian kau dekat dia” ujar Haris lagi.

Betul kata Haris. Kadang-kadang dia sendiri tidak tahu kenapa dia buat semua itu. Kenapa dia terlalu benci akan gadis itu. Mungkin kerana marah terhadap Maya masih menebal di hati dan mungkin sebab itu, secara tidak sengaja dia melemparkan kemarahannya pada gadis yang dia sendiri tidak kenal.

Petang itu seperti biasa selepas membeli makanan di warung Mak Cik Peah, dia menapak lagi. Entah apa nasibnya setiap kali balik kerja, pasti dia akan bertembung dengan gadis itu. Kadang-kadang dia berdoa agar tiada bayang gadis itu di depan lif. Penat juga berhari-hari naik tangga. Tapi, entah kenapa gadis itu tetap muncul. Sedang dia menaiki tangga, tiba-tiba dia terdengar suara orang meminta tolong. Dia berlari ke arah suara itu. Kelihatan seorang wanita berusia lebih kurang 35 tahun menjerit.

“Kenapa mak cik?” Soalnya.

“Pencuri itu larikan beg mak cik. Tolong nak, barang-barang berharga dalam tu,” ujar mak cik itu seraya menunjukkan arah pencuri itu melarikan diri. Sebagai seorang lelaki. Dia pun pergi mengejar pencuri yang di maksudkan. Dia menuruni tangga dengan cepat apabila ternampak seorang lelaki berlari dengan beg sandang di tangannya. Dengan lagak hero, dia melompat ke arah lelaki tersebut. Mujur dia dapat menangkap lelaki itu, kalau tidak tentu dia sudah tersembam di atas lantai. Pergelutan berlaku. Dengan berbekalkan tali pinggang hitam tae kwan do, dia berusaha menumpaskan pencuri itu. Tiba-tiba dia rasa pedih di tangannya. Entah bila pencuri itu mengeluarkan pisau, dia tidak pasti. Yang dia tahu di saat itu, dia terduduk dan pencuri itu pula hilang dari pandangan. Mujur beg wanita itu dapat di selamatkan. Darah mula mengalir dari lengan kirinya. Dia menekap lengannya. Pedih. Belum sempat dia bangun, kedengaran bunyi tapak kaki menghampirinya. Dia rasa lega. Sekurang-kurangnya ada orang untuk dia meminta pertolongan.

“Awak tak apa-apa?”

Dia terdiam tatkala terpandangkan wajah itu. Kenapa mesti gadis itu yang datang?

“Awak ok? Biar saya tolong?” Ujar gadis itu.

“Tak pe lah. Saya ok.” Dia masih jual mahal.

“Awak jangan degil. Tengok tu darah dah banyak keluar,” nada suara gadis itu tinggi sedikit. Kemudian, gadis itu mengeluarkan sapu tangan dari beg yang di bawanya dan terus membalut lengannya yang berlumuran darah. Kemas. Dia hanya diam memerhati sahaja tindakan gadis itu.

“Dah siap,” gadis itu tersenyum menampakkan lesung pipit di pipi kirinya. Manis. Belum sempat dia berkata apa-apa, kelihatan wanita tadi menghampiri mereka.

“Anak tak apa-apa?” Soal wanita tersebut.

“Eh, tak de apa-apa. Ni beg makcik,” ujarnya sambil menghulurkan beg tangan kepada wanita itu. Tangannya yang cedera disorokkan ke belakang. Tidak mahu menimbulkan rasa bersalah dalam diri wanita itu.

“Ni ambil lah sedikit duit ni,” wanita itu menghulurkan beberapa not wang kertas ke arahnya.

“Tak pe lah makcik, saya tolong ikhlas,” dia tersenyum sambil menolak lembut pemberian wanita itu.

“Mak cik tak tahu macam mana nak balas budi awak. Kalau ada apa-apa nak minta tolong, boleh hubungi mak cik,” dia menyambut kad huluran wanita itu sebelum wanita itu menghilangkan diri.

“Jom,” gadis itu berkata tiba-tiba selepas lama mendiamkan diri.

“Nak pergi mana?” soalnya pelik.

“Klinik,” jawab gadis itu ringkas.

“Tak pe lah, saya ok,” dia cuba menolak.

“Hei, awak tak nampak darah tu?”

“Tak pe… saya…” belum sempat dia menghabiskan ayatnya, gadis itu terlebih dahulu menarik tangannya. Dia cuma menurut sahaja. Di dalam kereta, dia cuma mendiamkan diri sahaja. Tidak berkata apa-apa. Begitu juga gadis itu, terus memandu tanpa berkata apa-apa.

Setelah sampai di klinik berhampiran, gadis itu terus mendaftar dan menguruskan segala-galanya dan dia cuma duduk memerhatikan gadis itu. Dia masuk ditemani gadis itu setelah namanya dipanggil. Setelah semuanya selesai, gadis itu terus membayar di kaunter.

“Tak pe lah. Saya belanja,” ujar gadis itu sebelum sempat dia membuka mulutnya.

Dia semakin tidak mengerti tentang gadis di hadapannya itu. Kenapa gadis itu terlalu baik padanya sedangkan dia bersikap dingin terhadap gadis itu selama ini.

“Kita nak ke mana ni?” Soalnya apabila melihat kereta yang di pandu gadis itu tidak menghala ke rumah flat mereka.

“Makan,” ujar gadis itu selamba.

“Saya tak lapar. Saya nak balik,” dia masih berkeras hati walaupun dia terlalu lapar kerana tidak sempat makan tadi. Tiba-tiba gadis itu memberhentikan keretanya secara mengejut. Dia hampir terhumban ke hadapan.

“Kenapa ni?” soalnya lagi.

“Kalau awak nak balik, saya turunkan kat sini je. Saya nak pergi makan. Lapar.” ujar gadis itu sambil tersenyum. Dia terpinga-pinga. Mahu tidak mahu, dia menuruti sahaja kemahuan gadis itu.

Tengah hari itu, buat kali pertamanya dia melangkah ke warung Pak Mat sejak sekian lama dia tidak menjejakkan kaki ke warung itu. Dari jauh dia nampak gadis itu sedang menjamu selera dengan rakan-rakannya. Seperti biasa dia menjamah makan tengah hari di situ. Rindu rasanya pada masakan Mak Munah. Kadang-kadang matanya melirik kepada gadis itu. Manis. Memang cantik. Entah kenapa dia rasa lain sejak peristiwa semalam. Gadis itu begitu sukar untuk ditafsirkan. Semalam semasa makan, gadis itu cuma mendiamkan diri dan terus menikmati makanan di hadapannya seolah-olah dia tidak wujud di situ. Beberapa minit selepas itu, gadis itu dan rakan-rakannya beredar. Dia sempat menjeling ke arah kumpulan itu. Selang beberapa minit kemudian, Haris pula mengajaknya beredar.


“Kau pergi dulu lah Haris. Aku nak lepak sekejap.”

Mungkin Haris sudah malas melayan kerenahnya. Tadi, semasa ke warung Pak Mat, sibuk Haris bertanya kenapa sedangkan selama ini dia selalu mengelak ke tempat itu. Dia hanya menjawab rindu masakan Mak Munah dan Haris cuma tersenyum.

“Lama tak nampak Lan,” tegur Pak Mat.

“Sibuk sikitlah Pak Mat. Macam mana bisnes?” Dia sengaja bertanya sedangkan lain sebenarnya yang dia ingin tahu.

“Macam biasalah Lan,” jawab Pak Mat pendek.

“Pak Mat, siapa yang ramai-ramai tadi?” Dia mula memancing.

“Kau nak tanya yang mana satu ni?” Pak Mat seolah-olah dapat membaca fikirannya.

“Yang pakai baju kebaya biru laut tadi,” terangnya jujur.

“Oh… Atikah.”

“Atikah?”

“Dia kerja bahagian pentadbiran kat kilang depan tu,” terang Pak Mat.

“Kenapa kau tanya ni Lan? Berkenan ke?”

“Eh, tak de lah. Saja tanya,” dia berdalih.

“Alah, kalau ya pun, apa salahnya. Solo lagi tu Lan,” Pak Mat tersenyum.

“Mana Pak Mat tahu?”

“Selalu juga Pak Mat berborak dengan dia kalau tak ramai pelanggan. Baik budaknya. Kalau Pak Mat ada anak lelaki, boleh ambil jadi menantu,” Pak Mat seakan-akan mempromosikan gadis itu kepadanya.

“Tak pernah nampak pun sebelum ni?”

“Mana kau nak nampak, asyik berkepit dengan Maya je. Perempuan lain kau tak pandang,” sinisnya kata-kata Pak Mat.

“Pak Mat jangan perli saya?”

Pak Mat cuma tersenyum. Lelaki tua itu memang tahu hubungan dia dengan Maya. Lelaki tua itu tidak pernah memberi rumusan tentang hubungan mereka cuma dari pemerhatiannya, Pak Mat tidak suka akan hubungan itu. Ah, dia malas nak fikirkan tentang Maya. Yang pasti hari itu, dia mendapat banyak maklumat tentang gadis yang bernama Atikah!.

Dia sendiri tidak faham perasaan dia sekarang ini. Entah kenapa dia asyik teringatkan gadis bernama Atikah itu. Senyumannya, gayanya, lirikannya, semuanya dia ingat. Tapi, sejak akhir-akhir ini dia pelik. Dia jarang tertembung Atikah. Rindu? Rindukah dia?

Sudah seminggu dia tidak nampak Atikah. Dia rasa resah. Semuanya serba tak kena. Kadang-kadang dia sengaja duduk di depan pintu menunggu Atikah pulang dari kerja namun hampa. Gadis itu tetap tidak muncul. Dah pindahkah? Akhirnya dia menceritakan segalanya pada Haris. Haris cuma tersenyum. Geram juga dia pada senyuman Haris itu.

“Kau nak jumpa dia? Aku boleh aturkan.” Kata-kata Haris membuatkan dia terperanjat.

“Aku nak cakap apa?”

“Kau cakaplah apa-apa.”

Akhirnya dia bersetuju untuk berjumpa Atikah atas pertolongan Haris. Dia sendiri tidak tahu bagaimana Haris mengaturkannya tetapi yang pasti dia akan bertemu dengan Atikah.

Malam itu seperti dirancang, Atikah berada di hadapan matanya. Gadis itu masih seperti dulu. Tersenyum sahaja. Ah, dia tenang melihat gadis itu.

“Apa yang awak nak cakap?” soal Atikah lembut.

“Saya nak minta maaf.”

“Tentang apa?”

“Saya marah awak.”

Atikah senyum.

“Boleh awak maafkan saya? Sebenarnya, saya nak jadi kawan awak,” dia memberanikan diri.

“Sebelum tu, saya nak beritahu awak sesuatu. Saya minta maaf.” Ujar Atikah.

“Tentang apa?”

“Azlan, semua yang berlaku adalah dirancang.”

“Dirancang?” dia semakin tidak faham.

“Biarlah saya berterus-terang. Saya kenal awak melalui Haris. Saya dengan Haris pernah kenal semasa satu kursus dulu. Sejak itu, saya selalu perhatikan awak tapi awak langsung tak sedar kehadiran saya. Entah macam mana suatu hari tu awak datang rumah saya marah-marah. Mula-mula saya sedih juga tetapi apabila dengar cerita Haris tentang awak dengan Maya, saya tak ambil hati atas sikap awak. Lepas tu Haris terus plan nak kenakan awak.” Atikah terhenti.

“Sebenarnya, saya balik kerja pukul 4.30 petang. Sebab itulah awak jarang tertembung dengan saya sebelum ni. Tapi selepas awak marah saya, Haris suruh saya turun setiap kali awak balik. Itulah sebabnya awak selalu tertembung dengan saya hanya selepas kejadian itu.”

Dia ternganga mendengar penjelasan Atikah. Tak sangka Haris terlibat dengan semua ini.

“Maaf, saya tak bermaksud nak mainkan awak, cuma…”

“Atikah, awak sudi kawan dengan saya?” Dia tidak mahu lagi mendengar cerita Atikah. Itu dan tak penting. Apa yang penting, semua yang berlaku merapatkan dia dengan Atikah dan dia sepatutnya berterima kasih pada Haris kerana menemukan dia dengan Atikah.

“Cuma satu je yang tak dirancang,” ujar Atikah tiba-tiba.

“Apa?”

“Pencuri itu”

Dia tersenyum. “Awak tak jawab lagi soalan saya” dia menanti jawapan dari bibir gadis itu.

“Apa?” soal Atikah manja.

“Awak sudi kawan dengan saya? Dan kalau boleh…” dia membiarkan ayat itu tergantung begitu sahaja dan mengharapkan agar Atikah mengerti maksud hatinya.

Dia lihat Atikah tunduk lalu tersenyum dan senyuman manis Atikah memberikan jawapan pada semua persoalan.

No comments:

Post a Comment