Wednesday, October 20, 2010

Pencari Cinta - 9

DAIF

Malam semakin pekat, sejuknya mula terasa, sementara bahang kota pula semakin kabur seolah-olah sedang memberi ruang kepada sang embun untuk mengambil alih tempatnya.

Muhkriz mula berjalan sambil memasukkan kedua-dua belah tangannya kedalam kocek seluar. Sesekali dikeluarkan salah satu tangannya menggosokkan-gosok sebelah tangannya yang satu lagi. Ianya berlaku berulang kali secara selang seli. Memang sejuk betul hingga memaksa dia mengenakan butang baju atasnya kembali. " Ah, tak kisahlah, nak jadi 'hero' besok-besok pun boleh.., asalkan aku tak sejuk. "

Mukhriz terus melangkah menyusuri celah-celah lorong kawasan perumahan mewah. Dia kini agak jauh meninggalkan bandar dan keadaannya agak selamat kerana tiada kelibat orang mengejarnya lagi. Dia tiba di sebuah taman permainan. Dia pun melabuhkan punggungnya diatas sebuah bangku panjang yang agak tersembunyi dan jauh dari pandangan orang. Jelas dia melepaskan keletihannya disitu.

" Aduh.. suwey betullah hari ni.., " Mukhriz duduk bersandar sambil menepuk dahinya " dah la nak kena baling dengan botol, nampak orang kena tembak mati, lepas tu tak pasal-pasal mulut aku bengkak. Aku pun bodoh jugak, yang aku pergi pilih jalan tu buat apa.. kan dah salah jalan.. nasib baik tak kena cekup. Tapi yang paling tak guna.. barang aku.. " suara hatinya tergantung setakat itu, perlahan-lahan kepalanya ditongkatkan, dia duduk sambil mendagu dengan kedua belah tangannya. "Itu jelah pun stok aku yang masih ada.., aku pun tak tahu besok aku nak cekau mana. Nak kena cari duit barang lagi.. hai la nasib, nasib.."

Mukhriz teringat balik dadah yang baru dibuangnya sebentar tadi kerana dikejar polis. Dia pun mula mengira-ngira cara untuk mendapatkan stoknya kembali sambil itu dia pun merebahkan badannya ke atas kerusi panjang, walaupun kelihatan tidak selesa, tapi seolah-olah dia buat tak tahu.

" Hai.. macamanalah aku nak cari stok ni besok, apebenda lagi yang aku boleh rembat ni. Nak pecah rumah, rumah siapa, Nak curi, apa barang aku nak curi, Dadah, dadah.., kau betul-betul dah menyusahkan hidup aku. Apa aku nak buat ni.. sampai bila aku nak jadi macam ni, Dulu aku kata nak berubah, tapi aku buat juga, dah hampir sepuluh tahun aku kena benda ni, dan tiap kali lepas aku kena, aku kata nak berubah.., tapi sampai hari ni pun aku masih lagi tak berubah. Apa aku nak jadi ni.. " Mukhriz bingkas bangun dan mengorak langkah. Fikirannya bercelaru.

" Kenapa aku jadi macam ni, macamana aku boleh nak jadi macam ni, Sampai bila aku nak jadi macam ni. " jiwa Mukhriz terus menyoal dirinya sendiri, seperti seorang ibu yang meratap anaknya yang ditimpa kemalangan. Langkah Mukhriz longlai, kedinginan malam terus mencengkam hingga memaksa Mukhriz memeluk badannya sendiri, rumput padang yang dilalui terasa basah dek air embun menambahkan lagi kesejukkan malam.

" Macam ni tak boleh jadi ni.. aku mesti buat sesuatu, kalau tak.. sangap aku besok." Mukhriz berkata dalam hatinya. Langkahnya laju menuju ke deretan rumah teres kos mewah di hadapannya. Kebetulan lampu jalan pula tidak terpasang atau barangkali rosak agaknya, membuatkan Mukhriz terasa sungguh yakin.

" Aku harap kalau aku masuk rumah-rumah ni.. adalah sesuatu untuk aku jual besok.., kalau tidak.. sakit aku. Pecah kepala pun aku mesti dapatkan barang untuk besok. "

Suasana gelap gelita. Mukhriz pun mula memanjat pagar di salah satu buah rumah. Tiba-tiba seluarnya tersangkut pula di gerigi besi pagar rumah itu, " pulak dah.., apahal ni, " dicubanya untuk tarik keluar tapi tak berjaya. Dia pun tak tahu bagaimana bentuk besi yang mencangkuk seluarnya, kalau tahu dapat juga dia mengagak cara untuk melepaskan seluarnya, tetapi keadaan gelap menyukarkannya untuk mengenal pasti bagaimana ia tersangkut.

Mukhriz masih lagi tergantung diatas pagar, manakala sebelah lagi kakinya terjuntai masuk ke kawasan rumah. Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi sesuatu, Diperhatikannya betul-betul arah bunyi itu datang. Ditenungnya dalam-dalam. Walaupun kepekatan malam menyukarkan penglihatannya, namun atas dasar pengalaman.. dia dapat mengagak benda apakah yang sedang menderu laju meluru ke arahnya.

Mukhriz pun cepat-cepat cuba melepaskan kakinya yang tersangkut. tetapi kali ini bukan untuk lepas masuk ke dalam, tetapi kearah untuk keluar dari rumah itu. Bilamana Mukhriz berjaya melepaskan kaki seluarnya, dia pun terus melepaskan diri lalu jatuh bedebuk ke atas bumi.

Serentak dengan itu juga, ' gedegang ' bunyi besi pagar dirempuh kuat hingga bergoyang besi pagar yang kukuh itu. Tepat sekali jangkaan Mukhriz, rupanya benda meluru tadi ialah seekor anjing hitam yang besar datang untuk menangkap si Mukhriz. Jantung Mukhriz berdegup kencang, nafas lega masih tidak teratur lagi. Dari pengalamannya, anjing jenis ini biasanya dilatih khas hingga boleh mencedera dan juga boleh membunuh mangsanya. Kerana fizikalnya dengan manusia hampir sama besar.

Anjing itu tidak menyalak tetapi dia terus merempuh-rempuh pagar besi itu hingga bagai nak roboh dibuatnya. Dia seolah-olah tidak puas hati dengan Mukhriz, dia mula melompat-lompat pagar ingin keluar untuk mendapatkan Mukhriz, wajah Mukhriz kelihatan sangat cemas, anjing itu terlalu agresif.

" Fuh, nasib baik aku lepas.. kalau tidak mati aku dibuatnya. "

" Gedegang! " sekali lagi pagar besi dirempuh ganas, Mukhriz terkejut hingga terlompat ke belakang dan secara spontan dia pun melarikan diri, lari selaju-lajunya menuju balik ke padang permainan tadi. Entah macamana dalam keadaan kelam kabut dan laju berlari, dia telah tersandung dengan satu benda yang keras.

" Aduh! " tergolek-golek Mukhriz hingga akhirnya terseret. " Apalah malangnya nasib aku ni.. " Hatinya menderam sedih. Dia pun bingkas bangun.

" Aduh tangan ni.. pedih pulak, ni mesti dah berdarah ni.. Ah, takpe la.. apa-apa hal selamatkan diri dulu. " Dia pun berlari menuju ke bawah papan gelunsur sambil terjengkit-jengkit.

Keadaan kembali terkawal, namun cungapnya masih belum reda. Badannya disandarkan ke atas papan gelunsor. Matanya terpejam, wajahnya menghadap ke langit. Setelah beberapa nafas lega dihela, tiba-tiba dia rasakan ada air jatuh setitik demi setitik ke atas wajahnya.

" Ah sudah, hujan pulak.. " semakin lama semakin lebat. Dia pun bingkas bangun sambil memeluk lutut. Mukanya dihimpit ke pehanya.

" Apa aku nak buat ni.. Kenapa nasib aku macam ni..! " Mukhriz bangun sambil menjerit " Ya Allah tolong aku..! " Jeritannya seiring dengan hujan lebat yang secara tiba-tiba. Tidak semena-mena berlaku pancaran kilat dihadapannya, terperanjat Mukhriz. Kemudian berlaku lagi kali kedua, Mukhriz terlihat sesuatu melalui cahaya dari kilat itu. Kemudian kali ke tiga barulah Mukhriz melihat jelas sebuah kubah masjid yang besar tersergam dihadapannya. Tanpa berlengah lagi Mukhriz pun segera berlari ke sana.

No comments:

Post a Comment