Tuesday, October 19, 2010

Pencari Cinta - 8

BENGKAK

" Aduh.., tak guna betullah budak tadi tu.." Mukhriz mengomel sendirian dalam hatinya. Dirabanya bengkak dimulut, terasa seolah-olah semakin membesar, berdenyut-denyut dirasakannya. Perlahan-lahan disuap nasi goreng kampung kegemarannya kedalam mulut. Tiba-tiba mukanya berkerut, dipegangnya kembali bengkak dimulutnya itu, kemudian diusapnya perlahan-lahan seolah-olah memujuk bengkaknya supaya memberi peluang kepadanya agar dia dapat menikmati makan malam.

" Aduh sakit.. " jiwanya mengerang dan merintih, " hilang selera makan aku dibuatnya. Inilah bahana 'mabuk'.. jahanam betullah budak tu, tu lah tak reti mabuk, nak mabuk, bila dah mabuk menyusahkan orang pulak. Menyesal aku ikut jalan tadi tu. Kalau aku tahulah begini jadinya, mati pun aku tak akan ikut jalan tu. Sakitnya hati aku, macam ni apa guna aku makan.. sedap pun tak guna." mengomel dia didalam hati. " Ah.. bedal je la, daripada aku kebulur.. " Diteruskan juga suapannya, walaupun seribu kerut kelihatan diwajahya. Sesekali suapannya disulam dengan air mangga agar sakitnya tidak berapa terasa.

Memang Mukhriz tak dapat nak habiskan makan malamnya dengan sempurna, makanan dalam pinggannya masih lagi berbaki ketika dia memanggil pelayan untuk kira. Kemudian disedutnya air mangga laju-laju, hanya itu sahajalah yang mampu dia habiskan.

Setelah mengambil baki duitnya Mukhriz pun mula mengorak langkah berjalan di tengah-tengah kesibukan kota. Mukanya bersahaja berjalan dicelah-celah orang yang banyak. Jalannya sedikit mendada, dengan gaya bajunya tanpa butang ditengah, memang dia sengaja tidak mengenakan butang tersebut supaya dadanya akan jelas kelihatan, sekali pandang lagaknya seolah-olah dialah wira di kawasan itu. Tapi sayangnya dia tak sedar yang bengkak dimulutnya semakin jelas kelihatan.

Mukhriz berjalan dan berjalan lagi. Dia melewati jalan-jalan yang baru dilaluinya sebentar tadi. Tiba disuatu simpang tiba-tiba langkahnya terhenti. Tangan sebelah kirinya mencekak pinggang manakala tangan kanannya pula mengusap-usap dagu.

" Aku ni nak lalu ke.. taknak jalan ni ya, kang aku lalu kang kena debik lagi nanti aku, tak berbaloi pulak. " Tangan kanannya mula meraba bengkak dimulutnya. " Tapi kalau aku tak lalu.. jauh pulak aku nak kena pusing. Ah! ikut jalan lainlah.. "

Mukhriz pun mengambil keputusan muktamad. Tak berani dia mengambil risiko, biarlah berjalan jauh asalkan pisang tak berbuah dua kali.

" Eh, barang aku.. " Tiba-tiba Mukhriz teringat sesuatu, dia pun menyeluk kocek seluarnya. Terasa dia bungkusan dadahnya masih disitu. Dia pun meneruskan perjalanan sambil tersenyum simpul walaupun bengkak bibirnya jelas membonjol. Selang tidak berapa lama selepas itu..,

" Eh, apahal pulak tu.." Tiba-tiba langkahnya terhenti. Dari jauh dia nampak ramai polis berkeliaran, kemudian matanya tertumpu pada sekelompok manusia yang sedang mengerumuni sesuatu, Kebanyakkan mereka adalah polis dan beberapa orang juru gambar.

" Aduh, ni pasal kes tadilah ni. Orang kejar-kejar, baling botol lepas tu kena tembak. Aiseyman.. silap jalan lagi aku. Macam ni lebih baik aku kena tumbuk dari kena tangkap, bodoh betullah. " Mukhriz pun berpatah balik. Tiba-tiba bahunya dipegang dari belakang. Suasana kelihatan kecoh.

" I.C mat.." Terkejut Mukhriz, ditolehnya seorang pegawai polis sedang meminta kad pengenalan darinya.

" Hah, I.C? Kat pajak gadai... " Mukhriz pun terus memecut tanpa menoleh kebelakang dengan selaju-lajunya. Barang dalam kocek pun dicampak ke bawah sambil melarikan diri.

" Hoi! Jangan lari! " Mukhriz pun menoleh sambil menjerit " Jangan kejar! " Tapi dia lihat beberapa orang polis tetap mengejarnya, dia pun terus melarikan diri dengan sekuat-kuat hati tanpa menoleh kebelakang lagi. Tiba-tiba satu tembakan diudara dilepaskan. Suasana bertambah kecoh, tapi Mukhriz seolah-olah tidak mempedulikan semua itu lagi. Dia seolah-olah lebih rela ditembak dari ditangkap.

Mukhriz terus sahaja melarikan diri, dia nekad melintasi jalan raya yang penuh sesak demi menyelamatkan dirinya. Hampir sahaja dia dilanggar, tapi dia tetap tak peduli, tekadnya bulat untuk melarikan diri walau apa pun yang terjadi. Akhirnya dia sampai juga ke seberang dengan selamat, dia pun terus membelok masuk dicelah-celah lorong kaki lima yang sibuk dengan orang membeli belah, sementara itu polis-polis tadi masih lagi tercari-cari jalan untuk melintasi jalan raya tersebut.

No comments:

Post a Comment