Monday, October 18, 2010

pencari Cinta - 7

MAKAN MALAM


Inilah makan malam Iman di Malaysia untuk kali yang pertama. Dihadapannya ada gulai ikan merah masak lemak cili api, sayur kangkung goreng telur masin dan ada lagi juadah-juadah lain yang menyelerakan.

Selesai Mak Su menghidang makanan, Pak Su pun membaca doa. Semasa membaca doa Pak Su memandang Iman. Mata Iman tak berkelip-kelip melihat juadah yang berada di atas meja.

Selesai membaca doa, seperti sudah dijangka, tangan Iman tangkas mencapai sudu setelah agak lama bersabar. Pak Su dan Mak Su saling berpandangan tersenyum dengan gelagat Iman. Berselera sungguh Iman dengan menu malam itu.

" Pak Su dengan Mak Su nak tahu tak, kenapa saya makan menggunakan tangan? " Tiba-tiba Iman memecah kesunyian. Tetapi matanya tetap juga menatap makanannya didalam pinggan, seolah-olah ia sesuatu yang sukar dilepaskan.

" Hmm, boleh juga.. kenapa Man? " Mak Su menjawab spontan sambil tersenyum.

" Senang je.., sebab 'sunnah' lah... " Pak Su dan Mak Su hampir tergelak dibuatnya, mereka tak sangka jawapan itu yang keluar. Yang kelakarnya muka Iman pula tetap bersahaja. Dia menjawab serius sambil matanya tetap fokus kedalam pinggan. Dia tak sedar yang jawapannya berunsur humor, Pak Su tersenyum hingga nampak barisan giginya yang dihadapan.

" Ada sekali tu masa kat Australia, " rupanya Iman ada cerita " masa kat sekolah ada dua orang ' mat saleh ' gelakkan saya sebab saya guna pakai tangan. " Loghat Iman masih lagi tebal. Tapi semangatnya kuat.

" Masa tu kat mana Man? " Mak Su mengambil perhatian.

" Masa tu kat mana? Oh ya, masa tu kita orang tengah makan di kantin sekolah... Mereka duduk menghadap saya sambil ketawa... " Iman pun mula bercerita.

(Iman bercerita secara imbasan)

- " Kau tahu tak semalam aku cuci kereta aku pakai tangan.. "

- " Orang gaji aku pulak cuci tandas pakai tangan.. " Dua-dua tergelak.. Mereka tergelak kuat sesekali menjeling Iman yang sedang makan dihadapannya. Iman sedar akan gelagat mereka. Setelah agak lama mereka tergelak-gelak, tiba-tiba Iman pun menyampuk..

= " Oh.. korang ni dari kelas sains ya.. " Kedua-duanya membuat muka sombong.

" Baiklah aku nak tanya kau orang sikit.., apa yang engkau tahu tentang hormon? "

Salah seorang menjawab, " trakea merembeskan hormon tiroid. "

" Adrenal pula merembeskan hormon adrenalin. " Rakannya yang kedua pula mencelah.

" Wah! Hebatnya, bagus, bagus.. ada lagi? Takkan tu je.. " Kedua-dua mereka terdiam. Iman menunggu beberapa ketika sambil makan.

" Baiklah, kalau begitu biar aku pulak cerita apa yang aku tahu tentang hormon. Aku ni taklah tahu banyak, lagipun aku bukan pandai macam kau orang, aku bukan kelas sains, tapi aku tahulah serba sedikit tentang hormon ni. "

Mereka berdua terdiam dan berpandangan sesama mereka. Namun mereka tetap duduk menunggu, seolah-olah ingin tahu apa yang hendak Iman sampaikan atau pun mungkin mereka rasa tercabar. Kemudian Iman pun menyambung.

" Biar aku cerita sikit apa yang yang aku tahu tentang hormon adrenalin. "

" Kau tahu ke adrenal tu apa? " Salah seorang dari mereka cuba hendak menguji Iman dengan angkuh.

" Adrenal itu sebenarnya buah pinggang, betul tak? " Mereka terdiam dan saling berpandangan. " Sebenarnya sebelum keluarnya adrenalin, badan kita akan mengalami beberapa proses. Dan semua proses itu berlaku dalam masa yang sangat singkat. Baiklah kamu semua mesti nak tahu apakah dia proses yang aku maksudkan. " Mereka berdua tersengih dan tergelak kecil tanda mengejek. Tetapi Iman tetap buat tak peduli dan meneruskan apa yang ingin disampaikannya.

" Begini, secara ringkasnya apa yang kita faham.. hormon adrenalin kebiasaannya hanya akan dikeluarkan ketika kita sedang berasa takut. Contohnya apabila ada seekor anjing yang garang dihadapan kita, seluruh anggota badan kita akan lebih aktif seperti biasa.., mata akan menjadi lebih memerhati, kaki akan bersedia untuk berlari sekiranya anjing itu menyerang, kesimpulannya seluruh anggota badan akan diaktifkan untuk menyelamatkan diri walaupun ketika itu kita berasa letih. Contoh yang lain pula, kamu berasa terlalu letih selepas membuat sesuatu kerja lalu kamu pun berhenti berehat di bawah sebatang pokok kelapa, sedang kamu berehat-rehat tiba-tiba jatuh sebiji buah kelapa nak hempap kepala kamu, jadi apa yang akan kamu lakukan? "

" Mestilah kami akan mengelak. "

" Jadi dari mana tenaga itu semuanya datang, sedangkan kamu sedang keletihan? "

" Itulah fungsi hormon adrenalin, memberikan tenaga tambahan ketika saat-saat genting. Itu semua kami dah tahu, malah kami lebih tahu daripada awak. " Dengan sombongnya mereka memperlecehkan Iman.

" Baiklah saya akan ceritakan lagi tentang apa itu adrenalin. " Mereka hanya tersengih mengejek, namun mereka tetap juga menunggu dan mendengar apa yang ingin disampaikan oleh Iman.

Iman tersenyum, kemudian dia pun menyambung.

" Mungkin kamu dah tahu.. bahawa semua proses tersebut dipanggil 'fight or flight response'. " Wajah mereka mengukir kerut kehairanan, Iman pun menyambung lagi.

" Secara umumnya semua jenis haiwan juga mengalami proses yang sama dan tahukah kamu apa itu 'fight or flight response'? " Kedua-duanya mula menggeleng perlahan sambil berkerut dahi.

" Baiklah ada dua proses yang berlaku dalam 'fight or flight response' ni. Yang pertama dipanggil 'high road' dan yang kedua dipanggil 'low road'." Apa itu 'high road' dan apa itu 'low road'..? " Kali ini tanpa segan silu lagi mereka menggelengkan kepala. Jelas kelihatan infomasi Iman menarik perhatian mereka. Sekali lagi Iman tersenyum, kemudian dia pun menyambung.

" Yang dikatakan 'high road' itu ialah.., kita akan mengalami proses yang lebih panjang, kerana kita akan berfikir terlebih dahulu sebelum bertindak. Contohnya seperti contoh yang telah saya sebutkan mula-mula tadi. Saya akan ceritakan sedikit dengan lebih jelas supaya kita lebih mudah faham... Baiklah, kita sedang berjalan balik dari bermain bola, dalam keadaan letih tiba-tiba muncul seekor anjing yang garang dihadapan kita menghalang jalan. Dalam situasi itu badan kita akan aktif secara tiba-tiba, penat kita akan hilang entah kemana, otak kita akan ligat berfikir samaada ingin berlawan atau melarikan diri sekiranya anjing itu mengejar. Proses ini disebut 'lawan atau lari' ('fight or flight response ). Sedang kita berfikir-fikir tiba-tiba kita terjumpa sebatang kayu, kemudian kita ambil kayu itu untuk dijadikan senjata. Proses berfikir ini disebut 'high road'. " Manakala 'low road' pula prosesnya lebih singkat kerana kita tidak perlu berfikir untuk bertindak. Contohnya seperti contoh kedua yang telah saya sebutkan tadi. Ataupun elok saya berikan satu contoh yang lain. " Iman berhenti seketika, dia mencapai cawan dan meminum air didalam cawan itu.

Kedua budak itu hanya memerhatikan gelagat Iman. Tiba-tiba Iman menyimbah air ke arah kedua budak itu, terperanjat mereka dengan tindakan Iman dan serentak dengan itu juga mereka terus bangun kelam kabut, manakala tangan mereka pula cuba menepis air yang kemungkinan akan menimpa mereka sambil mata mereka tertutup rapat.

Setelah keadaan terasa stabil mereka pun membuka mata dan ternyata tiada air yang disimbah. Rupanya baru mereka tahu bahawa cawan itu sebenarnya tidak air dan Iman hanya berlakon.

" Maafkan saya. Jangan takut cawan ini tak ada air pun. Mari duduk balik. Saya cuma nak tunjukkan satu contoh yang lebih praktikal tentang apa itu 'low road' dan bagaimana prosesnya. " Dengan tersipu-sipu kedua budak itu pun kembali duduk ditempat masing-masing.

" Jadi itulah dia 'low road' dan begitulah prosesnya berlaku. Kamu akan bertindak tanpa perlu berfikir panjang untuk menyelamatkan atau mempertahankan diri. Contoh yang lain pula, apabila kamu terpegang sesuatu yang panas seperti besi, tanpa berfikir panjang, kamu akan cepat-cepat menarik tangan kamu supaya tangan kamu tidak melecur, betul tak? Berbeza dengan 'high road', kamu akan bertenang dahulu sebelum bertindak, sambil itu otak kamu akan ligat berfikir tentang apa yang harus dilakukan. " Iman berhenti seketika. Iman memandang keduanya sambil tersenyum. Kedua-duanya tersipu-sipu malu.

" Adakah kamu berdua berminat untuk mengetahui yang lebih lanjut lagi? " Iman berlagak seperti profesor yang sedang mengajukan soalan kepada anak muridnya. Kedua-dua mereka mengangguk.

" Baiklah tadi saya dah ceritakan bagaimana proses ini berlaku dari sudut luaran, kali ini saya akan ceritakan pula bagaimana proses ini berlaku dari sudut dalaman. Melalui semua proses berikut yang saya faham.. ianya bermula dari otak kita. Baiklah saya akan ceritakan disini secara ringkas.. apakah bahagian-bahagian otak yang terlibat dalam 'fight or flight response'. "

Kelihatan keduanya kelam kabut mengeluarkan buku nota dan pen, ternyata mereka begitu berminat dengan apa yang ingin disampaikan oleh Iman.

" Minta pen dan sehelai kertas. " Mereka terus memberikannya kepada Iman. Iman pun melukis gambar otak.

" O.k, ini ialah otak, ini namanya 'thalamus', kerja dia memutuskan kemana hendak dihantar data-data yang telah dikesan oleh mata, telinga, mulut, kulit. Biasanya ia akan menghantarkannya kepada 'sensory cortex' kerana 'sensory cortex' akan menterjemahkan apakah makna data yang telah dikesan itu dalam bahasa otak. 'Hippocampus' kerjanya menyimpan memori-memori yang pernah terjadi, 'amygdala' penyimpan memori-memori perasaan seperti sedih atau takut, dia akan memberitahu apakah jenis perasaan yang perlu dikeluarkan dan akhirnya apabila semua keputusan telah dibuat, mereka akan menghantarkannya kepada 'hypothalamus'. 'Hypothalamus'lah yang akan meluluskan semua dan mengarahkan 'adrenal cortical system' supaya mengeluarkan hormon adrenalin. "

" Eh, 'adrenal cortical system' tu apa? " Mereka ingin tahu yang selanjutnya.

" Hmm, sebenarnya proses yang ni pun agak panjang juga.., tapi saya akan cuba ringkaskan lagi. " Kemudian Iman pun melihat jam tangannya..

" Alamak.., aku ingat tak sempatlah nak terangkan sekarang, sebab waktu rehat dah nak habis ni. Kita sambung lain kali jelah ya. "

" Eh, nantilah dulu. Ceritalah pada kami sedikit. "

" Iyalah, dapat sedikit pun jadilah. " Yang seorang lagi memujuk. Nampaknya Iman seolah-olah satu barang yang berharga sekarang, hilang keegoan mereka ketika memujuk Iman.

" O.k, sekejap je tau. " Mereka mengangguk setuju. Kedua-dua tangan bersedia untuk menulis. Iman pun menyambung.

" Baiklah, sebenarnya yang terlibat dalam proses ni bukan adrenalin sahaja, malah ada lebih kurang tiga puluh jenis hormon yang lain. "

" Fungsi dia. "

" Banyak. "

" Antaranya.. "

" Menegangkan otot-otot kita hingga badan terasa kuat untuk mempertahankan diri, mempercepatkan degupan jantung, paru-paru juga akan mengembang, mata menjadi awas dan lain-lain. "

" Jadi kesimpulannya disini bukanlah adrenalin sahaja yang berperanan dalam proses ini, tetapi ada lagi hormon-hormon yang lain membantu, begitu? " Mereka cuba membuat analisa.

" Betul. "

" Dan 'hormon' tersebut mempunyai nama-namanya yang tertentu. " Seorang lagi inginkan kepastian.

" Itu sudah pasti. "

" Hmm.., macamana awak boleh tahu ni semua, sedangkan awak bukannya pelajar dari kelas kami. " Mereka mula tersedar sesuatu.

" Sebab saya makan menggunakan tangan."

" Maksudnya? "

" Di setiap hujung-hujung jari kita ni ada 'enzim-enzim' yang boleh mempercepatkan sistem penghadaman makanan dalam badan kita melalui perut. "

" Buktinya? "

" Apa jadi kalau kita pegang makanan yang dah masak? "

" Dia jadi cepat basi. "

" Ha, itulah buktinya. " Mereka terdiam sambil terangguk-angguk tanda setuju tentang apa yang Iman katakan selaku profesor mereka yang tidak rasmi hari ini.

" Baiklah saya nak tanya kamu semua, mengapakah kamu makan menggunakan sudu dan garfu? Apakah kelebihan dan kebaikkannya? Tapi itu nantilah kita bincangkannya, saya rasa saya dah lewat dah ni, jadi saya minta diri dululah ya. "

(Tamat imbas kembali)

" Mereka senyap Pak Su, Mak Su.. mereka tak dapat jawab soalan saya. Mulai hari itu, mereka tak pernah gelak atau perlecehkan saya lagi. "

" Iya ke Iman?" Mak Su melayan.

" Dia orang tu berlagak pandai je Mak Su.. sebenarnya tak ada apa pun... Eh, Mak Su, tolong tambahkan nasi.. " Selamba sahaja Iman menghulurkan pinggannya.

" Err.. Pak Su, cuba Pak Su sebutkan apalagi Sunnah Nabi tentang makan yang Pak Su tahu.. "

" Eh, banyak juga.. Hmm, apa ya, oh ya Rasulullah kalau makan dia akan guna tangan kanan, dia akan mendahulukan menjamah makanan menggunakan tiga jarinya dengan tiga kali suap, sebelum tu dia akan jamah sedikit garam dahulu, makan tidak pernah seorang sentiasa berjamaah, Beliau akan makan ketika lapar dan akan berhenti sebelum kenyang, tidak pernah menghina makanan walaupun makanan itu tak sedap. Beliau akan makan hingga habis makanan itu dan tidak membazir sedikit pun, banyak lagi cara Rasulullah makan, hinggalah Rasulullah akan mendoakan setiap orang yang terlibat dengan makanan tersebut, dari orang yang menanam.. hinggalah kepada orang yang menyediakannya. " Iman terdiam sejenak, seperti sedang memikirkan sesuatu...

" Selain itu semua, ada lagi ke cara Rasulullah makan? "

" Ada.." Mak Su pula mencelah.

" Macamana Pak Su tahu semua tu? "

" Sebab pakcik awak mengamalkannya. " Mak Su menjawab secara bersahaja sambil menyuap makanan ke mulut.

" Oh, ye ke... " Perlahan sahaja bicara Iman mengakhiri perbualan di meja makan pada malam itu.

No comments:

Post a Comment