Saturday, October 16, 2010

Pencari Cinta - 5

BALIK

"Ha, Man, macamana hari ni. Hari pertama kat Malaysia?"

"Macam-macam Mak Su..."

"Ai, lain macam je bunyinya. Macam tak seronok je.."

"Takde la mak Su.., macam-macam yang saya belajar.."

"Oh.., kalau macam tu eloklah.. Mak Su ingatkan kau tak suka." Mak Su tersenyum lega dan menyambung kembali kerjanya.

"Mak Su.."

"Ya."

"Terima kasih ya Mak Su."

"Hmm, ye lah tu. Err.., Iman.."

"Ya Mak su."

"Pastikan sebelum awak masuk rumah awak cuci dulu tangan."

"Baiklah Mak su.." Selepas mencuci tanngannya Iman pun masuk ke dalam rumah.

"Assalamu'alaikum.."

"Wa'alaikumussalam.." Kedengaran suara Pak Su menjawab salam dari dalam.

Iman lihat Pak su sedang sibuk dengan kertas-kertas yang banyak dan meneliti sesuatu di atas meja. Iman tidak mahu mengganggu Pak Su, tetapi sifat ingin tahu mendorongnya mendekati Pak Su.

"Apa pula yang Pak Su buat tu agaknya.." berkata Iman didalam hatinya sambil berjalan mendekati Pak Su.

" Hai, Man, baru balik ke? Macamana hari ni? " Pak Su menegurnya tanpa sempat menoleh ke arahnya.

" O.k.. Eh, Pak Su buat apa tu? " Melihatkan Pak sunya sudah mula menegur, Iman pun mengambil peluang untuk bertanya.

" Oh.., ni ha, " sambil menunjukkan beberapa keping gambar dan pelan " Pak Su cuba nak buat air soya, tu yang tengah dok mengkaji bahan-bahan dan cara nak membuatnya. Ni pula gambar-gambar mesin dan pelan untuk menyusunnya kat dalam kedai nanti. "

' Pak Su nak buka kilang ke? "

" Kira-kira begitulah Man.. " Tepat sungguh tekaan Iman.

" Eh, Pak Su dah ada pekerja ke? "

" Belum lagi, tu yang tengah sibuk mengkaji ni.. Pak Su ingat elok Pak Su belajar dulu, lepas tu Pak Su cuba buat sendiri, kalau perlu pekerja besok baru kita ambil.., tak begitu Encik Iman.. "

" Eh, apa tanya Iman pula, Iman lagi tak tahu apa-apa. "

" Eh man, awak tahu tak besok hari pertama awak ke sekolah. "

" Eh, ya ke Pak Su? "

" Iya lah.. Barang-barang semua Pak Su dah uruskan. Baju pun Pak Su dah beli. Jadi besok awak tinggal pergi sahaja ke sekolah. "

" Aduh!... "

" Eh, macam tak suka ke sekolah je? "

" Eh, tak bukan macam tu, sebenarnya.. hmm.., takpa lah Pak Su. Esok pergi sekolah ya? " Iman serba salah. Pak Su hanya tersenyum melihat gelagatnya. Kemudian matanya beralih kearah jam dinding.

" Eh, Man dah pukul 6.30 pm dah tu, apa kata kita siap-siap mandi kemudian kita sembahyang sama, o.k? " Pak Su memberikan cadangan sambil tersenyum kepada Iman.

" O.k. "

SOALAN

" Awak dah siap Man? "

" Dah.. "

Pak Su yang sedang duduk di kerusi terus mencapai kunci kenderaannya yang sengaja diletakkan diatas meja. Kemudian dia pun bangun dan terus menuju ke arah pintu. Iman yang sedang terpinga-pinga terus juga mengekor dari belakang.

Berjalan di belakang Pak Su merupakan satu pengalaman baru untuk Iman.. bau Pak Su harum semerbak, pakaiannya cantik dan kemas. Kalau dari depan pula mukanya nampak putih bersih dan seolah-olah ada cahaya yang bersinar-sinar, Pak Su kelihatan sungguh berseri, macam nak pergi berjumpa dengan raja. Kemudian ada satu persoalan yang timbul dalam kepala Iman.

Mereka berdua menaiki kenderaan. " Eh, Pak Su kita ni pergi mana..? "

" Kita nak pergi masjid Man. "

" Oh.. " Iman pun bersandar ke belakang. Barulah dia boleh duduk dengan selesa. Beberapa nafas lega di hela tiba-tiba dahi Iman berkerut, dia pun menoleh pak Sunya yang sedang memandu disebelah.

" Err.. Pak Su,"

" Ya Man. " Jawab Pak Su tanpa menoleh.

" kenapa sembahyang tu penting Pak Su..? " Tiba-tiba Iman mengajukan satu soalan yang pendek tetapi seolah-olah sukar untuk pak Sunya menjawab. Beberapa ketika Pak Sunya terdiam.. Jari jemarinya beralun-alun sambil memegang steering kereta, mukanya sesekali berkerut sambil keningnya terangkat-angkat. Nampak macam Pak Su sedang menyusun sesuatu dalam kepalanya.

" Err.. berat soalan tu, nampak macam mudah tapi sebenarnya berat.. " Tiba-tiba Pak Su terperasan seperti Iman serba salah.. " eh, tapi sebenarnya soalan tu.. soalan yang bagus.. " keadaan kembali terkawal. Kemudian Pak Su pun memulakan jawapannya.

" Hmm, macamana nak mula ya, jawapannya ada macam-macam, cuma kena pilih satu jawapan yang tepat " Pak Su masih lagi memikir. " Hmm, baiklah.. macam ni, kebaikan seseorang hamba itu bermula apabila dia membaikkan sembahyangnya.. sebab dari sembahyanglah titik tolak segalanya-galanya.. Apabila sembahyang itu sempurna lahir batinnya, khusyuk, khuduk, tadharuk dan faham apa yang dibaca, maka rahmat daripada Tuhan pun datang mencurah-curah. Kemudian Allah Taala akan membersihkan jiwanya, Tuhan akan masukkan hidayah ke dalam jiwanya.., maka cinta, takut, kasih sayang, pemurah, bertimbang rasa, sabar, redha, tawakkal, pemaaf pun berbunga.., kelihatan pula pada peribadinya.. syariat sangat dijaga, akhlaknya mulia, displin peribadinya ketara.., sebab itulah sembahyang sangat penting Man, kita kena betulkan sembahyang kita, hayati sembahyang kita hingga terasa kita menyembahNya. Janganlah kita anggap bahawa jiwa kita ini boleh dibersihkan tanpa sembahyang, atau ia boleh dimurnikan dengan sembahyang yang lebih kurang. Sembahyang itu adalah ibu ibadah Man.., sembahyang adalah sumber kebaikkan. Di dalam Islam sembahyang sangat diambil perhatian. Apabila baik sembahyang, maka segala-galanya akan menjadi baik.. Tapi jika sembahyang itu dicuaikan, atau sembahyang tanpa penghayatan.., maka seluruh pintu kebaikkan akan tertutup. Kalau ada juga orang boleh buat kebaikkan tanpa sembahyang.., ini adalah kebaikkan yang bukan bertunjangkan iman. Boleh jadi kebaikkan itu secara kebetulan, atau ikut-ikutan.. haraplah diambil perhatian. "

Suasana diam, Pak Su terus memandu tetapi Iman bercakap sendirian didalam hatinya sambil itu badannya disandarkan ke belakang.

" Wow! Macam tu ke jawapannya.. Tak sangka pula aku jawapannya selengkap itu. Patutlah pakcik aku ni betul-betul serius bab sembahyang. "

" Kenapa Man.., tak betul ke jawapan Pak Su tu, ke Man ada jawapan lain? " Pak Su menegur Iman yang kelihatan diam.

" Eh, takda lah Pak Su.. cuma seumur hidup saya itulah pertama kali saya dengar jawapan yang macam tu."

" Kenapa? Salah ya.. "

" Eh, taklah.. terlalu lengkap. "

" Iman faham ke? "

" Faham. " Jawapan Iman mengakhiri perbualan. Kenderaan terus meluncur ke destinasi.




MASJID


Iman tiba di masjid. Turun dari kenderaan dia terus mengikut Pak Sunya berjalan menuju ke Masjid. "Wah.. besar juga masjid ni.. " Iman menaiki tangga dan masuk kedalam masjid, " Wah.. cantiknya.. " sekali lagi dia terpesona dengan keindahan khat dan ukiran yang terdapat didalam masjid itu. Beliau pun terus duduk sambil menikmati panorama dan keindahan masjid tersebut.

Tiba-tba dia terperasan pakciknya sedang bersembahyang. Kemudian ada dua tiga orang yang baru datang pun sembahyang juga macam pakciknya. Selesai pakciknya bersembahyang dia pun menghampiri dan bertanya,

" Err.., Pak Su, tadi Pak Su sembahyang apa? " Pak Su nya tersenyum.

" Oh, tadi tu dipanggil sembahyang sunat masjid. Sebenarnya kalau kita masuk masjid.. mula-mula sekali kita kena niat ' i'ktikaf ', " Pak Su pun menunjukkan Iman niat beriktikaf didalam masjid, sepotong ayat yang ditulis dengan tulisan khat yang cantik berserta maknanya dalam bahasa melayu tertulis dibawahnya dan semuanya berada didalam sebuah papan tanda yang digantung di setiap pintu-pintu keluar.

" Alamak, tulisan jawilah.., macamana aku nak baca ni.. Ish, tak faham aku. Kemudian makna pun dalam bahasa melayu pulak tu. " Terdetik Iman didalam hatinya. Rupa-rupanya dia tak boleh membaca tulisan jawi.

" kemudian sebelum duduk kita kena sembahyang sunat ' Tahiyyatul masjid '.

" Habis Pak Su, saya ni macamana? "

" Eh, kenapa? "

" Sebab saya tak buat tu semua.. saya masuk-masuk je saya terus duduk. "

" Hmm.., takpa Man.. Itu semua ' sunat ' je hukumnya, bukan wajib. Kalau Iman buat dapat pahala, kalau tak buat tak berdosa. "

" Oh.. " Iman tersenyum lega. Selang beberapa minit tiba-tiba wajahnya berubah.

" Eh, Pak Su saya minta diri sekejap ya, saya ada hal lah. " Pak Su hanya tersenyum, dia seolah-olah tahu apa yang sedang berlaku.

Iman berjalan laju, seolah-olah ada sesuatu yang ingin dikejarnya. Dia mencari satu tempat yang agak jauh dari orang. " Aduh.., nak terkentut pulak. " Rupa-rupanya dia nak terkentut. Iman ternampak satu selekoh dan dia yakin memang orang jarang menggunakan kawasan itu, lalu dia pun.. melepaskan gasnya perlahan-lahan. Lembut dan halus sekali bunyinya, ternyata tiada seorang pun yang tahu.

" Ish, busuknya. Lebih baik aku cabut cepat sebelum orang lain tahu. "

Iman mempercepatkan langkahnya, dia ingin pergi mengambil wudhuknya kembali. Semasa dia sedang berjalan menuju ke arah tempat mengambil wudhuk, azan pun berkumandang. " Aduh.., aku dah agak dah.." Iman mengomel dalam hatinya. Lalu dia pun berwudhuk dengan keadaan tergesa-gesa disebelahnya ada seorang pakcik yang baru selesai berwudhuk.

Selesai berwudhuk Iman pun bergegas. Iman mula berlari-lari anak. Iman nampak pakcik yang baru mengambil wudhuk disebelahnya tadi, jalannya tenang tak tergopoh-gapah, Iman memotongnya dengan muka yang terukir persoalan.

Jarak antara tempat berwudhuk dengan tempat sembahyang boleh dikatakan agak jauh juga kerana keluasan masjid itu, jadi Iman pun semakin pantas berlari. Iman terlewat, Iman masuk ketika surah di baca.

Iman sempat menghabiskan Fatihah nya, kemudian imam pun rukuk. Tiba-tiba pakcik yang lewat tadi pun baru sampai, kebetulan disebelah kiri Iman pula tak ada orang.. dia pun terus masuk dan terus rukuk sekali disebelah Iman. Iman berasa musykil lalu berkata didalam hatinya..

" E'eh, dia ni dah la lambat.. orang rukuk dia pun rukuk juga ke? Biar betul.. " Iman tak faham, tapi diteruskan juga solatnya hingga selesai. Habis sembahyang Iman lihat pakcik tadi pun habis juga. Mukanya bersahaja, Iman semakin keliru. Kemudian disebelah pakcik itu ada pula orang yang masih bersembahyang lagi. Ini menambahkan kemusykilan didalam hati Iman..

" Aduh, kenapa orang dah habis sembahyang tapi dia masih lagi sembahyang? Ke aku yang tak tahu.. Ye lah mungkin sebab selama ni aku selalu sembahyang seorang dan jarang pula sembahyang jemaah, mungkin banyak benda yang aku masih lagi tak tahu. " Iman cuba memujuk hatinya.. Tapi dia masih lagi keliru, cuma dia tahu ini bukanlah masa yang sesuai untuk bertanya.

Lepas Maghrib ada pengajian. Iman lihat Pak Su duduk mengikut pengajian tersebut, dia pun duduk sekali tetapi Iman duduk jauh sedikit. Iman duduk di tiang supaya dia dapat bersandar. Pengajian hari itu juga berkenaan dengan ibadah tetapi ada hubung kaitnya dengan sembahyang. Ada beberapa kata Ustaz itu menarik perhatian Iman..

" ibadah adalah satu penyembahan kepada Tuhan.. Menyembah ertinya memuja, membesarkan, mengagungkan, menyanjung, meminta, mengharap, memuji, berbual, munajat, berbisik - bisik, bermanja-manja dan meminta-minta. Ini bermaksud beribadah kepada Tuhan, akan ada berbagai-bagai perasaan yang akan dirasai oleh jiwa. Kalau ibadah tidak dihayati, jiwa tidak mungkin akan merasai rasa-rasa tersebut. Ibadah yang tidak dijiwai sudah tentu tidak merubah perangai manusia. Oleh itu ibadah kenalah tertib, mutmainnah, tenang dan faham. Tidak boleh tergopoh-gapah. Kalau sembahyang tu, waktu sujud atau rukuk kena berlambat-lambat supaya kita dapat merasai kehebatan Tuhan, rasa keagunganNya, kasih sayangNya, rasakan juga kuasa dan IradahNya, Qahar dan JabbarNya, rasakan Dia mendengar, mengetahui dan melihat.. Begitulah jika kita beribadah kepada Allah. Bukan setakat fizikal yang bergerak, bukan setakat lidah yang melafaz.. tapi yang penting hati dan jiwa yang bergerak hingga mempengaruhi fikiran dan sikap kita, hingga membangun peribadi dan akhlak. Begitulah kesan dari ibadah yang dijiwai.. sangat mempengaruhi peribadi dan kehidupan kita. "

No comments:

Post a Comment