Thursday, October 14, 2010

Pencari Cinta - 3

TANGGA

Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, Iman berhenti di satu tempat, direnungnya anak tangga dihadapannya. Tinggi, lebih sepuluh anak tangga semuanya.

Pandangannya fokus kedepan. Kemudian dia pun duduk di pinggir anak tangga yang mula-mula. Di hujung anak tangga, di bawah sekali.. kelihatan seorang ibu sedang duduk rancak melayan kerenah anak-anaknya. Ada tiga orang semuanya. Yang kecil sekali sedang menunggu si ibu membukakan plastik gula-gula yang ada pemegang. Tak sabar sungguh si anak hingga merengek-rengek manja, menarik-narik tangan si ibu. Manakala si ibu berupaya segera membuka plastik tersebut sambil cuba menenangkan si anak yang sebenarnya hanya inginkan perhatian dari ibunya.

“Masakan si ibu tidak faham. Sememangnya itulah sifat si ibu.. memang inginkan si anak bermanja dengannya, mengadu, meminta, kerana itulah sebenarnya hiburan bagi seorang ibu. Risau hatinya jika si anak itu tidak lagi mengadu dengannya, malah hati si ibu akan terasa jika si anak mengadu dengan orang lain.." Iman mula belajar sesuatu.

Begitu sekali rapatnya hubungan seorang ibu dengan anaknya. Iman hanya merenung sayu dari kejauhan, manakala mereka memang tidak sedar akan kehadiran Iman yang sedang memerhatikan mereka. Si ibu memakai tudung yang sudah nampak lusuh, warna bajunya juga tidak sepadan dengan tudung yang dipakainya. Pakaian anak-anaknya juga begitu. Anak-anaknya comel, cuma agak comot sedikit. Mereka seolah-olah tidak peduli tentang fesyen, seolah -olah mereka ini tak 'up to date'.

Dari apa yang Iman perhatikan, mereka ini mungkin tergolong dari golongan keluarga yang susah. " Mungkin mereka baru balik dari membeli belah agaknya. " kerana kelihatan beberapa barang runcit disisinya, kemudian setelah kepenatan mereka pun singgah sebentar. Manakala dua orang lagi anaknya sedang bermain 'kejar-kejaran'. Kemudian secara tiba-tiba Iman berkata didalam hatinya.

"Dia miskin ke, kaya ke, walau siapa pun dia.., dia tetap juga hamba Tuhan." Bentak Iman di dalam hatinya, seolah-olah menerangkan sesuatu kepada dirinya sendiri suatu hakikat situasi. Iman mula menundukkan kepalanya memandang lantai tangga.

Kemudian otaknya pun menerima logik. Perlahan-lahan jiwanya pula merasai, mengakui dirinya hanyalah sekadar seorang hamba disisi Tuhan. "Ya, benar.. aku pun hanya seorang hamba. Selama ni aku cuma berlagak pandai tapi sebenarnya banyak lagi yang aku tak tahu... Kepandaian yang aku ada hanya menyusahkan orang lain, aku hanya pandai menipu. Kalaulah bukan sebab mak aku hantar aku ke sini.., entah apa akan jadi pada aku."

Terasa hina, kerdil, lemah, tak mampu, berdosa dan berbagai-bagai lagi rasa kehambaan silih berganti terlintas di dalam hatinya. Iman mengangkat kepalanya kembali, pandangan dan fikirannya berbalik ke kerenah keluarga tadi..

Tiba-tiba terlintas lagi didalam fikirannya, "kalaulah yang sedang menghiburkan anak-anak dia sekarang ini adalah 'orang kaya'.., mesti sekarang ini mereka sedang berhibur di tempat-tempat yang mewah. Mungkin pakaian-pakaian mereka dari pakaian-pakaian yang berjenama mahal. Anak-anak mereka dipelihara dan diberi pendidikan yang secukupnya. " Kemudian Iman tergelak kecil didalam hatinya. Teringat dia akan kisah silamnya.

"Ceh, aku dulu pun macam tu juga... Mungkin begitu rupanya cara orang kaya menghiburkan anaknya, mungkin anaknya akan rasa terhibur.. tapi belum tentu anaknya akan berterima kasih padanya. E'eh bunyinya macam aku je.."

Kemudian tiba-tiba datang perasaan sayu didalam hatinya, dia lihat si ibu bersusah payah mengajar anaknya yang kecil itu membaca doa makan, anaknya seperti acuh tak acuh, tetapi ibunya seolah faham akan perangai anaknya yang masih kecil itu, dia tetap juga mengajar anaknya itu dengan penuh kasih sayang.

Sekali lagi Iman terbayang akan dirinya. "Betapa sabarnya ibu bapa aku mendidik aku mengenalkan aku dengan Tuhan.., walaupun selama ini perangai aku 'sebiji' macam budak kecik yang didepan mata itu, tapi masih juga mereka bersabar sepertimana ibu itu bersabar dengan anaknya. Tapi sekarang ini aku sedang belajar sesuatu, betapa susah payahnya seorang miskin dalam hendak menghiburkan anaknya, mungkin inilah hiburan yang terbaik dapat diberikan kepada anaknya. Tapi jelas dalam pandanganku betapa mereka ini sebenarnya bahagia. Kalau beginilah keadaannya, apalah guna lagi harta benda atau wang ringgit, kalau benda yang dicari sudah dapat, bukankah manusia bersusah payah selama ini hanya ingin mencari kebahagiaan. Yang merasa bahagia itu adalah hati. Tapi yang menjadi ukuran kebahagiaan masa kini ialah dengan harta benda. Syaitan pun 'meransang' mereka mengejar 'dunia' ini sehingga mereka abaikan segala 'syariat' yang telah pun Tuhan gariskan. Mereka pun tertipu. Padahal jiwa mereka sebenarnya tidak bahagia pun, kerana mereka abaikan Tuhan. Tetapi sekarang bila aku melihat ibu itu mengajar anaknya membaca doa makan, Baru aku terasa betapa mereka sangat menghargai pemberian Tuhan yang sedikit itu, betapa mereka bersyukur dan betapa bahagianya mereka walaupun miskin. Kini jelas sekali lagi padaku, sebenarnya kebahagiaan itu berpunca dari Tuhan."

Tiba-tiba tidak jauh di tepi jalan kelihatan sebuah van berhenti dan membawa ramai pekerja. Mereka kelihatan seperti pekerja buruh 'kontrak'. Tiba-tiba dua anak kecil yang sibuk bermain itu berlari kearah seorang pekerja yang baru turun dari van. Selepas itu van itupun bergerak meninggalkan lelaki tersebut sedang lelaki itu melambaikan tangannya kepada rakan-rakannya yang berada didalam van.

Sementara itu dua orang anak itu memeluk kaki lelaki itu dengan penuh mesra. "Diorang ni satu keluarga agaknya." Manakala isterinya si ibu tadi sudah pun bingkas bangun dari duduknya. Rupanya dia sedang menunggu suaminya pulang. "Wah.., seorang isteri yang setia. Memanglah patut mereka sebuah keluarga yang bahagia." Iman pun mengukir senyuman.

Si ayah mendukung sikecil yang merengek tadi, manakala si ibu membawa barang-barang sambil memimpin anak-anaknya yang dua lagi. Kemudian Iman berkata didalam hati... "Aku harap kamu semua jadi anak yang berguna bila besar kelak, jangan jadi macam aku. Jangan lawan mak dan ayah, faham." Menangis Iman didalam hatinya namun tak seorang pun yang mendengar. Dia sedar siapa dirinya. Kemudian dia pun menadah tangan mendoakan kesejahteraan kedua orang tuanya. Kalau sesiapa yang melihat gelagat Iman ketika itu pasti hairan, pelik, tiba-tiba sahaja tadah tangan berdoa di tepi tangga.

"Ya Allah aku akur dengan ketentuanMu, memang betul, dengan keadaan aku yang macam ni, belum tentu aku boleh jadi 'orang'.. Tuhan terima kasih kerana bagi aku sedar, terima kasih kerana memberikan orang-orang yang sabar untuk mendidik aku." Kini Iman semakin bijak dalam menilai kerja dan peranan Tuhan dalam dirinya.

Tiba-tiba fikirannya terbayang kembali mimpi ngerinya. Dia memegang kepalanya dan cuba untuk menenangkan badan dan fikirannya kemudian dia bingkas bangun dari duduknya. Di renung tangga didepannya, sekarang lengang tidak ada orang. Pandangan yang macam tu biasanya, dia akan buat sesuatu dengan tangga tu. Dipegangnya tembok curam pemegang tangga, ditepuknya beberapa kali. Kemudian dia pun pantas mencapai papan lunsurnya dan berundur mengambil lajak.

"Aku mesti cuba!." Begitulah perangai Iman, dia suka buat perkara-perkara yang mencabar, kerana itu adalah hiburan buat dia. Begitulah cara dia mengisi kekosongan jiwanya. Kemudian dia pun mengayuh papan lunsurnya, sepuas hati dan selaju mungkin.

- Tapi tiba-tiba dia berhenti mengejut, papan lunsurnya terseret hingga ke tebing tangga.. lalu Iman pun tercampak ke bawah, badannya terpusing dan jatuh ke atas pemegang tangga, mantul, berguling dan akhirnya jatuh ke bawah.. Macam nangka busuk.., tapi kenapa dia buat macam tu?

No comments:

Post a Comment