Wednesday, October 13, 2010

Pencari Cinta - 2

PASAR

" Ah..! Kau ni tak habis-habis nak aku payung kau, payung kau. Kau pegi la cari duit dulu lepas tu barulah kau datang jumpa aku ! "

" Tolonglah aku Dollah.., aku dah tak tahan dah ni.. Aku baru je keluar (penjara).., mana sempat nak cari projek… Tolonglah, sekali ni je…"

" Sudah la.. tak payah la kau nak main wayang pulak dengan aku. Aku ni dah ada anak bini dah Mukhriz.., umur aku dah 35 tahun dah. Aku dah masak sangat la dengan perangai budak-budak macam kau ni.. Hari ni kau cakap sekali ni je, besok pun kau cakap sekali ni je, lusa pun sama jugak, esok punya lusa pun sama jugak, tak payahlah kau nak bodoh-bodohkan aku... Kau jangan ingat aku ni macam adik-adik kau... Dah lah aku malas nak layan budak macam kau ni, kau pegi cari duit dulu, lepas tu baru kau datang jumpa aku faham!. Kau nak merompak ke, kau nak tipu orang ke.. malah kalau kau nak pergi bunuh orang pun aku tak peduli, yang penting kau ada duit. Ada duit ada barang, takda duit kau boleh ‘blah’! Aku ni jual dadah, aku bukan pusat kebajikan faham! Hisap tahu, cari duit tak tahu. Dah la.. blah la, kau tunggu apa lagi?! "

Mukhriz memejamkan mata. Jiwanya bagai dihiris sembilu kerana dihalau sebegitu rupa. Tapi itu merupakan fenomena biasa bagi seorang penagih dadah. baginya penghinaan merupakan sesuatu yang mesti diterima jika ingin menjadi seorang penagih, walaupun dihina oleh orang yang dianggap sebagai kawan, seolah-olah dunia penagih tiada wujud istilah kawan, kerana bila-bila masa kawan boleh makan kawan.

- Langkah mukhriz longlai ketika meninggalkan gerai ikan Dollah. Orang di kiri kanan tidak diendahkan lagi, jiwa terasa sunyi dan kosong, fokusnya sekarang ialah bagaimana caranya dia hendak mendapatkan duit seberapa pantas yang boleh dan seberapa banyak yang boleh supaya dia dapat membeli dadah untuk menghilangkan dan menampung giannya yang semakin hari semakin tidak terkawal itu.

- Langkahnya terhenti di tangga pintu masuk pasar. Dilabuhkan punggungnya di atas salah satu anak tangga, mukanya selamba tapi fkirannya menerawang. Lagaknya seolah-olah dia sudah biasa dengan keadaan tersebut seolah-olah perasaan malu atau sedih tidak wujud lagi dalam dirinya.

Dari jauh dia lihat sepasang anjing kurap tua sedang bertungkus lumus mendapatkan rezekinya di longgokan sampah sarap, bersamanya beberapa ekor anak-anaknya yang masih kecil sedang bermain berhampiran mereka.

Sedang mereka sibuk mencari-cari makanan, datang seorang pemuda ingin membuang sampah. Entah macamana tiba-tiba pemuda itu menjadi berang melihat anjing-anjing kurap itu menyelongkar sampah-sampah yang telah dibungkus dan diikat hingga terburai dan bersepah-sepah.

"Bodoh punya anjing. " Dia pun memungut beberapa ketul batu dengan perlahan-lahan tanpa anjing-anjing itu sedar.

"Nah, kau rasakan! " Kemudian dia pun merejam seketul batu tepat mengenai salah seekor, apabila seekor lagi tersedar dan ingin melarikan diri, direjamnya lagi seketul batu sekali lagi tepat mengenai sasarannya.

Menjerit-jerit dua ekor anjing itu kesakitan apabila batu yang sebesar separuh penumbuk itu tepat mengenai badan-badan mereka.

Kini pemuda itu menghampiri anak-anak anjing yang masih lagi leka bermain. Mereka memang tidak faham apa yang sedang berlaku kerana mereka masih terlalu kecil. Mereka tak faham erti keganasan. Sambil berjalan pemuda itu mencapai sebatang kayu sebesar lengan yang panjangnya semeter.

"Kau dengan mak bapak kau sama sahaja! " Kemudian dirembatnya anak-anak anjing itu satu persatu macam memukul bola hoki tanpa perasaan belas kasihan. Terkial-kial anak-anak anjing itu hendak menyelamatkan diri sambil menjerit-jerit seperti minta pertolongan.

Mukhriz melihat penzaliman itu didepan matanya. Sifat perikemanusiaannya timbul, kemudian menangis dia didalam hati. Dia seolah-olah melihat masa depannya sendiri.

"Apalah nak jadi dengan aku ni. Umur baru 25 tahun, tapi hidup aku macam ni. " tiba-tiba dia mengomel sendirian. " sampai bila aku nak jadi macam ni.. Kenapa dadah yang aku pilih.. kalau aku terus macam ni, macamana masa depan aku nanti. Sial betullah kau ni dadah, kau punya pasallah hidup aku hancur, porak peranda. "

Tiba-tiba dimakinya dadah. Geram betul dia dengan. Dia seolah-olah menjadi hamba kepada dadah. Setiap hari dia terpaksa bekerja keras mencari sekitar RM80 untuk menampung perbelanjaan dadahnya. Hidupnya musnah di usia yang muda.

Dia sedar perkara tersebut, dia sedar orang sedang menghinanya, dia sedar dia telah menganiaya ramai orang, Lebih-lebih lagi ahli keluarga dia sendiri. Tong gas, barang kemas dan apa sahaja barang berharga yang boleh dijadikan duit habis semua dikebasnya, malah duit simpanan mak dia untuk pergi haji pun habis dicurinya juga.

Mulutnya mula menguap luas, matanya pula mula berair. Kedua tangannya memegang kepala. Kepalanya mula terasa sakit bercampur bengang..

"Sial betullah..!!" Tiba-tiba dia menjerit kuat, terkejut orang dikiri kanan melihat gelagat Mukhriz. Mereka tidak tahu apa yang sedang Mukhriz rasakan, kemudian mereka buat-buat macam tak nampak, macam tidak ada apa-apa yang berlaku. Badan Mukhriz pula mula terasa sakit dan sengal-sengal, menunjukkan giannya sudah sampai di tahap yang kemuncak.

Matanya mula meliar mencari sesuatu. Tiba-tiba dia terpandang sebuah tong ikan yang ditinggalkan sementara tanpa penjaga, "Ah, tong ikan pun bolehlah, dapat tukar barang dengan Dollah pun jadilah.." Tanpa berfikir panjang Mukhriz pun bangun dan bergerak pantas menuju kearah tong ikan tersebut.

Tong ikan itu memang berat. Mukhriz terus menarik tong ikan itu sekuat tenaganya, mukanya selamba seolah-olah macam tong ikan itu dia punya. Orang ramai pun tak peduli dengan apa yang sedang dilakukannya.

Tiba di suatu tempat yang mana dia agak keadaan sudah selamat, jauh dari tuan punya tong.. dia pun mula mengangkat tong ikan itu naik keatas bahunya. Berbekalkan semangat yang kuat.. digagahi juga untuk mengangkat tong ikan yang berat itu. Pada dia kalau dia dapat menaikkan tong ikan itu ke atas bahunya segala-galanya akan menjadi lebih cepat dan pantas.

Terhoyong-hayang dia ketika cuba menaikkan tong ikan yang berat itu keatas bahunya. Setelah bertungkus lumus dan besusah payah akhirnya berjaya juga dia menaikkan tong ikan itu ke atas bahu. Berbekalkan semangat yang kuat dia pun mula berjalan, selang beberapa langkah perjalannya mula menjadi sukar kerana kesesakan orang ramai. " Woi! tepi, tepi.. tak nampak ke orang nak lalu ni. " Mukhriz mula terjerit-jerit macam orang gila.

Mukhriz tiba di suatu kawasan yang penuh dengan air, oleh kerana pandangannya sibuk ke depan dia tak sedar yang lantai itu licin. Entah macamana dia pun tergelincir, dia tidak dapat mengawal keadaan dan mula nak rebah kebelakang. Dia dapat melihat dengan jelas tong yang sedang dibawanya sedang berada diatas kepala dihadapan mukanya, ini bermakna kalau dia jatuh tong itu pasti akan menghempap kepalanya.

Tiba-tiba ada sesuatu yang menampungnya dari belakang. Mukhriz dapat rasakan ada sepasang tangan yang menahan badannya dari jatuh dan menolak kembali badannya hingga dia dapat berdiri. Selepas itu dengan pantas tangan tadi terus kedepan menampung tong ikan yang hampir terlepas dari tangan Mukhriz.

Setelah selesai semuanya barulah Mukhriz tahu bahawa yang membantunya adalah orang tua. Umurnya dalam lingkungan 50an, wajahnya tenang seolah ada cahaya yang terpancar, sejuk mata sesiapa yang memandangnya, kepalanya berkopiah.

"Terima kasih pakcik, nasib baiklah ada pakcik kalau tidak saya pun tak tahu apa akan terjadi kat saya.."

"Alah biasalah tu.. ni semua kerja Tuhan. kalau bukan pakcik orang lain pun akan buat benda yang sama juga. Emm.., nama saya Sulaiman, nama awak siapa ?" Sambil menghulurkan tangan.

"Oh, nama saya Mukhriz." Mukhriz pun menyambut tangan tersebut.

"Minta maaaflah kalau pakcik tanya, Mukhriz ni sebenarnya nak kemana? Kenapa angkat tong ni sorang-sorang? kan bahaya.. Kenapa tak ajak kawan tolong angkat sama?"

"Er.., sebenarnya saya ada masaalah pakcik, eh, bukan kawan saya yang ada masaalah, eh.., bukan sebenarnya saya tak ada kawan. Maksud saya.. tak ada orang yang nak tolong saya angkat tong ni."

Mukhriz serba salah, dia terperangkap dengan soalan itu. Dia lihat orang tua itu tersenyum melihat gelagatnya. Mukhriz tak faham kenapa kali ni dia susah nak berbohong, selalunya dia pakar dalam menipu orang, tapi kali ni dia rasa lidahnya kelu dan susah dia nak berbohong, dia rasa lain macam pula bila berhadapan dengan orang tua ni.

"Aduh!.. apa kena dengan aku ni.." Mukhriz berdialog dalam hati.

"Hmm, takpa lah Mukriz," orang tua itu mengeluarkan sebatang pen dan menulis sesuatu diatas sehelai kertas. " Nah, ini nombor telefon saya, apa-apa hal 'call' saya.” Mukhriz pun mencapai kertas tersebut, selepas itu dia lihat orang itu mengeluarkan sesuatu dari beg duit dia.

"Nah ni hadiah daripada saya.. ambillah." Sekeping not RM100. Hampir nak menangis Mukhriz kat situ. Orang tua itu seolah-olah tahu bahawa Itulah yang sedang dicarinya dan yang sangat diperlukan ketika ini. Ibarat orang yang baru terlepas dari mulut harimau..

"Terima kasih Pakcik Sulaiman.." Mukhriz terus mengambil duit itu dan diciumnya berkali-kali. Bersyukur sungguh dia.

"Err.., lagi satu.." Mukhriz terhenti sebentar dan terus memandang orang tua itu.. "panggil saja saya Pak Su."

No comments:

Post a Comment