Monday, October 25, 2010

Pencari Cinta - 14

BUKAN

Sambil menaiki kereta Pak Seman memandang keluar tingkap. Ketika keretanya membelok tiba-tiba hatinya terdetik, "e'eh, banyak pula budak-budak berkumpul di kedai aku hari ni. "

Dari jauh nampak sebuah warung kedai makan di tepi jalan, kelihatan juga ramai budak-budak muda sedang berlepak-lepak sambil minum-minum. Pak Seman pun membelok perlahan dan akhirnya 'volkswagon beatles' warna merah itu pun berhenti dibawah pokok berdekatan dengan warung makannya.

Pak Seman keluar kereta, baru sahaja pintu keretanya ditutup budak-bdak itu menegurnya,

" Assalamua'laikum Pak Seman. "

" Wa'laikumussalam.."

Agak mahsyur juga nama Pak Seman dikalangan mereka. Sempat juga Pak Seman menjeling ke dapur, kelihatan isteri dengan anak perempuannya sedang sibuk memasak.

Agak ramai juga pelanggan di kedainya hari ini dan Pak Seman terus menuju ke meja budak-budak yang menegurnya tadi.

" Eh, apa cerita hari ni. " Pak Seman memulakan bicara.

" Fuh.., Pak Seman kita ada cerita baru ni. "

" Ha, apa ceritanya? " Pak Seman semakin nak tahu.

" Semalamkan kita ada perjumpaan antara seluruh beliawan dan beliawati.."

" Beliawan dan beliawati? " Pak Seman tak faham.

" Perjumpaan orang-orang muda lelaki dan perempuan lah bang.. " Isterinya menyampuk tiba-tiba. " ish.., apalah orang tua ni, itupun tak tahu. " Sambil meletakkan secawan kopi.

" Oh.., baru aku faham. Ha, sambung la cerita lagi. "

" Lepas tu.. masa baru nak mula, tiba-tiba je ramai polis datang serbu Pak Seman!.. "

" Ia Pak Seman. " Salah seorang mengiakan.

" Dia ni lah yang jadi hero kami semalam Pak Seman. " Sambil menunding jari ke arah kawannya.

" Apa yang kau buat? " Pak Seman bertanya. Dengan bangganya dia pun menjawab.

" Saya pun apa lagi Pak Seman, saya pun ke depanlah tanya dia apa hal?! Dia tak berani jawab Pak Seman... "

" Habis tu dia buat apa kat kau? "

" Saya kena masuk lokaplah Pak Seman. "

" Habis tu yang lain-lain? " Pak Seman minta kepastian.

" Tak kena apa-apa Pak Seman, depa suruh balik je. "

" Macam tu je? " Mata Pak Seman mula terjegil. " Ini sudah tak betul. Apa hak dia nak suruh kita balik tanpa sebab pulak. " Sempat juga Pak Seman menepuk meja melahirkan rasa tidak puas hatinya. " Mereka kata ini negara demokrasi, sistem kerajaan, siapa dia kerajaan? Kita semualah kerajaan. Tanpa kita apa makna negara ni, kalau kita dah tak dibenarkan bersuara, maknanya mereka dah salah gunakan kuasa. Ini dah wujud satu konspirasi terancang. Demokrasi, konspirasi, wang kasi, kopi kasi.. " Mereka tertawa kecil dengan lawak spontan yang Pak Seman buat.

" Wah, hebatlah Pak Seman. Macam ni bolehlah Pak Seman masuk bertanding pilihanraya nanti. "

" Ye lah, sebiji macam wakil rakyat berucap.

" Kami sokong Pak Seman, hidup Pak Seman..! " Tiba-tiba salah seorang bersuara.

" Allahuakhbar !! " Tiba-tiba juga disambut oleh suara ramai.

Kembang kempis hidung Pak Seman mengawal keadaan. Keadaan warung seperti berada dalam situasi pilihanraya. Semua orang bersembang tentang politik. Tiba-tiba telefon Pak Seman berbunyi. Pak Seman pun menjawab telefonnya.



REMPIT


Sekumpulan mat rempit sedang berehat di depan bengkel motor kawannya. Ada yang duduk diatas motor, ada pula yang sedang sibuk menetul-betulkan motornya.

Tiba-tiba datang sebuah motor dengan laju dan berhenti secara mengejut dihadapan mereka. Beberapa orang agak terkejut dengan tindakan orang itu, tetapi hanya seorang sahaja yang tenang dengan kelakuannya. Dia sedang separuh baring diatas sebuah kerusi malas dengan lagak topinya yang separuh menutup mukanya.

" Woi boy, kau dah gila ke hah..?! " Salah seorang dari mereka yang sedang membaiki motor terperanjat lalu dia pun mengherdik Boy.

" Aku cari motor kuat kat sini. " Boy menyampaikan maksudnya.

" Mana ada motor kuat kat sini." Budak yang sedang duduk dikerusi malas itu menjawab.

" Lu nak test dengan gua ke?! Jomla.! " Tiba-tiba seorang budak yang sedang diatas motor pula menyampuk.

" Ah..! kau jangan nak berangan la.., bawa motor pun tak ' pas ' lagi." Kawannya yang sedang membaiki motor pula menjawab sambil tangannya masih memegang sebatang 'spanar'.

" Apa pulak, kau ingat aku ni tak reti bawa motor ke? "

" Apa pulak, apa pulak..!! Tahu bawa motor konon.., itu hari motor Bob kau bantai 'gear' dua dekat sebatu, apa cerita? "

" Ala.. masa tu aku tak pandai lagi, sekarang ni aku dah pandai."

" E'eh, pandainya kau... Kes kau tu baru je tiga hari.., takkanlah baru tiga hari kau dah pandai bawak? " Kawan-kawannya yang lain mula gelakkan telatah mereka berdua kecuali Boy dan budak yang sedang duduk dikerusi malas.

" Hei, kau pergi jadi pelakonlah lagi baik... Tak payahlah berangan nak jadi mat rempit pulak. " Salah seorang dari mereka cuba menambahkan keriuhan suasana.

" Ok, dah cukup..! Aku taknak dengar apa-apa lagi. Aku datang sini cuma satu je aku nak... " Sambil memandang tepat ke arah budak yang sedang duduk dikerusi malas itu. " Aku cuma nak test mesin baru aku ni. " Sambil menepuk motornya. " Itu hari motor aku tak boleh 'blah', hari ni kita 'test' tengok siapa yang menang."

" Mana ada motor kuat kat sini. " Perlahan sahaja budak itu menjawab.

" Tak payahlah lu nak main wayang pulak kat sini. Itu hari lu 'titik' gua, ini hari kita tengok motor sapa lagi 'power' dan pandai 'jocky'."

" Itu hari gua menang pasal nasib je... Adatlah berlumba.., ada menang, ada kalah. Takkan tu pun lu nak terbakar. "

" Apa? Lu dah jaga ayam bapak lu?! " Sambil menghidupkan enjin motor. " Lu berani lu ikut... Kalau takut, lu balik rumah tolong bapak lu bela ayam. "

" Kalau lu kalah lu jaga bapak gua punya ayam..! " Dengan pantas budak itu bangun mendapatkan motornya dan terus menghidupkan enjin.

Kini kedua-dua motor sedang hidup enjinnya. Kedua-duanya menunggu saat untuk berlepas sambil menderum enjin motor masing-masing. Jiwa muda berkobar-kobar. Masing-masing menunggu di gigi jalan.

Di hadapan mereka terbentang jalan raya yang juga merupakan jalan utama. Kenderaan bersimpang siur, simbolik kepada cabaran.., jalan yang bakal mencipta sejarah baru untuk mereka.


Budak kelakar yang diatas motor tadi pun datang kehadapan sambil mengangkat tinggi tangan kanannya yang memegang sehelai kain putih. Ini juga menunjukkan bahawa 'gadis' litar pun sudah bersedia. Kini pertandingan untuk merebut kejuaraan akan bermula sebentar lagi.

No comments:

Post a Comment