Sunday, October 24, 2010

Pencari Cinta - 13

MUAK

Mukhriz kelihatan sungguh cergas pagi hari yang keempat. Seperti biasa dia memungut sampah dengan niat penebusan dosa. Pakcik penjaga masjid hanya melihat dari jauh, tersenyum dengan gelagatnya.

" Ya Allah, habis semua sampah dipungutnya, sampai dalam longkang pun habis bersih. " Pakcik penjaga masjid menggelengkan kepala.., kemudian dia pun meneruskan kerjanya mengemop lantai masjid sambil tersenyum seorang diri.

Segar pagi masih lagi terasa walaupun matahari semakin kelihatan, waktu masih lagi di awal pagi.

Namun tiba-tiba sahaja mukhriz menguap, dia pun menutup mulutnya yang ternganga luas dengan tangannya, dia cuba melawan ngantuknya dengan menggeleng-gelengkan kepala beberapa kali, ternyata formulanya berjaya. Keadaannya kembali asal.

Tapi tiba-tiba tidak lama selepas itu kejadian yang sama berulang, kali ini nguapannya lebih hebat lagi hingga memaksanya duduk mencangkung.

Matanya mula berair, dia pun memicit-micit kepalanya seperti orang yang sedang sakit kepala yang amat sangat. Matanya bertukar kemerah-merahan, air mata pun keluar ketika dia memejamkan matanya.

" Aduh!.. " Mukhriz mengerang didalam hatinya. Dia pun mula bangun sambil berjalan terhoyong-hayang menuju ke masjid.

Tiba ditepi longkang tiba-tiba saja Mukhriz terus muntah, kemudian dia terus ke bilik air. Selepas membersihkan diri, Mukhriz terus naik ke masjid dan merebahkan dirinya. " Aku tak boleh kalah kali ni, aku mesti lawan. Walau apa pun yang terjadi.. aku mesti berjaya. " Tidak lama selepas itu Mukhriz pun terlelap.

Lama juga dia terlelap. Dia kelihatan seperti orang yang sangat letih. Jam 12 tengahari Mukhriz pun terjaga dari tidur.

" Aduh sakitnya badan aku ni.. Bisanya sampai ke kepala, aduh.. macam nak pecah kepala aku ni. " Mukhriz memicit-micit kepalanya dengan kedua belah tangannya. Mata dan hidungnya mula berair, tiba-tiba muncul lintasan-lintasan bayangan dadah di dalam kepalanya. " Arghh!! " Mukhriz pun mengerang kesakitan sambil memegang kepalanya, setiap kali bayangan itu muncul, ketika itu juga kepalanya sakit.

" Aduh, gian aku dah datang ni, apa aku nak buat ni, badan dah mula sakit, kepala otak dah mula teringat ubat. Tapi aku tak peduli.. pecah kepala pun aku aku kena juga duduk sini sampai aku sihat. Apa nak jadi, jadilah.., kali ni aku nekad. "

Mukhriz bangun untuk menuju ke bilik air, langkahnya lemah-longlai dan terhoyong-hayang. Dia menggunakan khidmat dinding dan pemegang-pemegang besi untuk membantunya berjalan. Perjalanannya menuju ke bilik air kelihatan begitu menyeksakan, tetapi dia tetap juga melangkah.

ZOHOR

" Ya Allah, aku memang tak berdaya sekarang ni. Aku sebenarnya sudah tak tertahan lagi ni ya Allah, semakin aku terbayangkan dadah.. semakin kuat kemahuan aku kepadanya... Ya Allah Kau tolonglah aku, berilah aku kekuatan. Aku hampir tak mampu ni. Kali ni kalau aku tak berjaya juga, aku pun tak tahu macamana nasib aku lepas ni.. oleh itu Tuhan, berikan aku kekuatan, semangat dan jiwa.. supaya aku tetap dan teguh di jalanMu. Tolonglah Tuhan, aku merayu padaMu."

Mukhriz merintih sambil duduk menyandar ke dinding. Kemudian azan zohor pun berkumandang. Selepas itu semua orang berdiri mengerjakan sembahyang sunat. Mukhriz pun sembahyang juga, tapi dia hanya sembahyang duduk kerana dia tidak mampu berdiri.

Qamat pun berkumandang, semua orang menuju ke saf. Pada Mukhriz perjalanan menuju ke saf pun cukup menyeksakan. Sambil berjalan terhencut-hencut, dia cuba juga menutup kesakitannya dengan tersenyum supaya semua orang tidak tahu yang dia sakit. " Ya Allah sakitnya kepala aku ni. " Mukhriz merintih didalam hatinya.

Mukhriz benar-benar tak dapat berdiri, masuk sahaja rakaat yang kedua dia pun terus sembahyang duduk. Selesai sahaja sembahyang, beberapa mata tertumpu kepadanya, ternyata cara Mukhriz bersembahyang telah menarik perhatian mereka, lebih-lebih lagi mereka-mereka yang sering memerhatikannya.

` Mereka telah memberikan pandangan yang kurang menyenangkan. Setelah semua bersurai mereka masih lagi duduk berbincang sambil sesekali mata mereka mencuri pandang kepada Mukhriz, tetapi Mukhriz tetap bersahaja, walaupun dia menyelesaikan sembahyang sunatnya dengan cara duduk.

Kemudian Mukhriz pun bangun sambil terhencut-hencut, tetapi mukanya tetap manis tanpa menunjukkan riak kesakitan sedikit pun. Tiba-tiba salah seorang daripada pakcik-pakcik yang duduk memerhati Mukhriz itu pun memanggilnya. Dengan bersusah payah Mukhriz datang menuju kepada mereka. Tiba dekat mereka Mukhriz pun menyapa sambil tersenyum.

" Ya pakcik, ada apa-apa yang boleh saya tolong..? "

" Eh, kau ni betul-betul sakit ke? " Agak kasar juga Pak Seman menegur Mukhriz.

" Ye lah pakcik saya rasa tak berapa sihat. " Tutur Mukhriz lembut. Mukhriz terpaksa berterus terang walaupun bukan niatnya untuk meraih simpati. Tetapi muka-muka yang ada disitu semuanya seolah-olah nak mencari salah Mukhriz.

" Kalau kau tak sihat pergilah jumpa doktor. " nada nasihatnya agak keras, dia berkata tanpa memandang Mukhriz " Bukannya apa.., sejak kebelakangan ni duit masjid semakin berkurang.. aku harap kau faham-faham je lah. Jangan sampai menyesal dibelakang hari. " tajam sungguh kata-kata terakhir Pak Seman walaupun nadanya perlahan. Kata-katanya seperti menuduh Mukhriz sesuatu tetapi bentuknya masih lagi tersirat.

" Err, pakcik saya minta maaflah ya.., saya minta diri dulu.., saya nak berehat kejap. "

" Hmm.., hati-hati berjalan. " Sekali lagi Pak Seman mengeluarkan kata-kata terakhirnya yang agak pedas. Tetapi Mukhriz tetap bersahaja dan sebelum dia pergi sempat dia menjawab,

" Terima kasih pakcik. " kemudian dia terus berlalu. Sedang dia mengorak langkah hatinya berdetik..

" Ya Allah.., begini rupanya ujian untuk mendapatkan Kau. Aku tahu mungkin mereka tuduh aku curi duit masjid, sebab dengan tidak bekerja aku dapat menampung kehidupan aku tanpa aku keluar dari sini. Tapi aku masih menganggapnya satu perkara yang kecil, sebab masaalah gian aku sekarang ni lebih hebat lagi, memanglah kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku keluar dari sini, tetapi apakan daya.., kalau aku masih lagi gian tak mungkin aku dapat bersamaMu Tuhan. " Mukhriz pun melabuhkan punggungnya dan terus bersandar ke dinding.

" Tuhan, Kau telah memberikan aku satu jalan untuk berubah. Tetapi didalamnya terdapat pelbagai ujian dan rintangan yang terpaksa aku tempuh. Aku tidak pasti Tuhan adakah aku berjaya atau tidak. Tetapi Tuhan.., Kau pun tahu apa yang aku inginkan, Kau pun tahu apa yang seorang hamba itu inginkan.., aku hanyalah seorang hamba yang inginkan Kau, kalau ditakdirkan aku masuk neraka, biarlah jiwaku tetap bersamaMu, kerana ia adalah hiburan bagiku, bahkan aku akan terasa indah walau dimana sahaja aku berada, selagi bersamaMu, walaupun didalam neraka. Aku sedar aku memang tak layak untuk ke syurga kecuali dengan pimpinanMu. Oleh itu Tuhan satu sahaja yang aku pinta.. kekalkan jiwaku sentiasa bersamaMu setiap saat dan ketika, berikan aku pimpinan bukan untuk syurga, tetapi agar aku dapat sentiasa bersamaMu. " Mukhriz memejamkan mata. Air mata mengalir perlahan dan menitik beberapa titis jatuh ke bumi. Tidak lama kemudian Mukhriz pun tertidur.

Sementara itu pakcik-pakcik tadi masih lagi memerhatikan gerak-geri Mukhriz. Mereka masih lagi duduk berbincang.

" Eh, Pak Seman lain macam je bunyinya bahasa Pak seman tu. " Salah seorang dari mereka seolah terperasan sesuatu sedang berlaku.

" Eh, ye lah pak Seman, apa ke halnya. " Seorang lagi seolah-olah merasai sesuatu yang sama. Pak Seman tersenyum sombong, kemudian dia pun melirikan matanya memandang kawan-kawannya yang memang ternanti-nanti akan ceritanya. Sambil mendengus dia pun bercerita.

" Huh, kalau kau nak tahu, sebenarnya duit dalam tabung masjid ni dah semakin berkurang. " Sambil menjelingkan matanya ke arah Mukhriz.

" Eh, betul ke ni Pak Seman.., mana Pak Seman tahu. "

" Alim yang bagitahu aku.., dia kata minggu ni duit kutipan masjid berkurang sebanyak RM5000, banyak tu. Sebab sebelum ni duit kutipan tak pernah kurang dari RM15000, tapi minggu ni macam ada kekurangan pula..hish.., ni yang pelik ni.... "

" Eh, apa kata kita intai dia malam ni? " Salah seorang memberikan pendapat.

" Ha, bagus juga cadangan kau tu. " Bersemangat Pak Seman.

" Tapi takkan kamu nak ajak kami ramai-ramai pergi mengintai budak tu. " Salah seorang seolah-olah keliru.

" Eh, apa salahnya.., aku sanggup je, asalkan perompak tu dapat ditangkap. " Pak Seman melepaskan geramnya sambil menjeling ke arah Mukhriz yang sedang tidur.

" Tapi Pak Seman lebih baik kita pasang cctv, kerja lebih mudah. Tapi modallah sikit. " Seorang lagi mengusulkan pandangannya.

" Ah.., tak kisahlah apa pun, asalkan 'malaun' tu kena tangkap. Tentang duit kamu jangan risau, aku boleh uruskan dengan En. Alim nanti, berapa pun harganya kami tak kisah, lagipun duit tabung masjid memang pada En. Alim. Kami berdua memang dah sepakat nak keluarkan budak-budak yang merempat tak tentu pasal dari masjid ni. Kami taknak masjid ni kotor. " Pak Seman meluahkan rasa hatinya.

" Baiklah Pak Seman, hari ni juga saya uruskan hal ni. "

" Ha, bagus. Jadi besok nanti kita tengok sama-sama. Tapi kau jangan buat sampai budak tu sedar pula kita tengah nak intai dia. Kenalah cerdik sikit buat kerja. "

" O.k Pak Seman, jangan risau.., itu saya faham. " Mereka telah mencapai kata sepakat, lalu masing-masing pun beredar dari situ. Pak Seman merupakan orang yang paling ceria sekali, jelas diwajahnya mengukir senyuman. Sebelum beredar sempat dia berdiri sambil merenung Mukhriz yang sedang tidur sambil hatinya berkata,

" Padan dengan kau budak, habislah kau kali ni. Kau takkan terlepas lagi. Berlagak baik konon kau ingat aku tak tahu apa yang kau buat. Kali ni aku akan dedahkan macamana cara kau mencuri duit dari tabung masjid. "

No comments:

Post a Comment