Friday, October 22, 2010

Pencari Cinta - 11

SUBOH


" Nak, nak, bangun nak.. dah nak dekat Suboh dah ni.. " Lembut suara seorang pakcik mengejutkan Mukhriz. Mukhriz yang masih tertidur sambil terduduk ditiang masjid tiba-tiba terjaga. Tiba-tiba dia menyambung kembali zikirnya, penuh khusyuk sambil terangguk-angguk.. " Ya Allah ampunkan aku, ya Allah ampunkan aku.." Pakcik itu hanya memandangnya pelik, agak lama juga baru Mukhriz sedar ke alam nyata. Diangkatnya muka dilihat seoarang pakcik sedang tersenyum memandangnya.

Mukhriz bingkas bangun sambil tersipu-sipu.. dia terus menuju ke bilik air untuk membersihkan diri.. Tidak lama kemudian kedengaran orang membaca Al Quran dan bertahrim.. Mukhriz pun naik ke dalam masjid semula.

Semasa sedang duduk menunggu waktu Suboh masuk, Mukhriz pun menhayati susana.. air matanya bergenang dan mengalir perlahan-lahan.. suara bacaan Al Quran mengingatkan dia kembali pada ibunya. Suara itu menusuk-nusuk hingga menyentuh perasaannya.. dia pun meratap hiba didalam hati..

" Mak, Mukhriz tahu Mukhriz bersalah dengan mak.. Mukhriz sedar Mukhriz dah banyak menyusahkan mak.. Mak, Mukhriz harap kali ni Mukhriz akan berubah mak, Mukhriz nak tebus semua kesalahan-kesalahan Mukhriz yang lepas-lepas.. Mukhriz berjanji mak.. nanti bila Mukhriz balik nanti Mukhriz akan jaga mak.. Mukhriz taknak menyusahkan mak lagi. Dah lama sangat Mukhriz abaikan mak.., kali ni Mukhriz akan jaga mak, Mukhriz akan kembali mak.. Mukhriz berjanji. "

Azan pun berkumandang, semua jemaah khusyuk mendengar laungan azan. Seorang pun tidak ada yang bercakap-cakap. Suara kebesaran Ilahi itu benar-benar menusuk ke jiwa bagi sesiapa yang menghayatinya. Selepas azan dilaungkan semua jemaah berdiri mengerjakan sembahyang sunat dua rakaat. Selepas itu iqamat pula dilaungkan, Semua jemaah bangun dan berjalan menuju ke saf.

Ramai orang yang bersembahyang jemaah di masjid, tetapi semuanya dipelopori oleh golongan lanjut usia. Mukhriz menjadi tumpuan pagi itu, tetapi dia tidak sedar kerana jiwanya sedang menerawang ke alam lain. Jiwanya sedang memohon ampun dengan Allah atas segala dosa-dosanya yang lalu.

Selepas habis sembahyang, Mukhriz masih lagi duduk di masjid. Tekadnya untuk tinggal diam di masjid hingga dia berubah bermula hari ini. Tapi dia bukanlah duduk saja, dia pun mentelaah buku-buku agama yang banyak tersusun di rak-rak masjid. Setelah habis satu buku dibaca, diambilnya satu lagi.. begitulah seterusnya. Dia kelihatan lebih tenang, jiwanya tidak lagi gelisah seperti sebelumnya. Habis mentelaah buku, Mukhriz mula duduk bertafakur sesekali dia menangis, Kemudian diambilnya tasbih lalu dia pun berzikir.

Mukhriz tak sedar bahawa gerak gerinya sedang diperhatikan dari jauh oleh seorang pakcik yang sedang mengemop lantai. Pakcik itu jugalah yang telah mengejutkannya pagi tadi.

" Hairan aku dengan tingkah laku budak ni. Dari tadi dia membaca, kemudian menangis, kemudian duduk berzikir. Tentu ada sesuatu yang berlaku padanya. Nampak macam budak-budak liar, tapi tak sangka pula jiwanya begitu. Suka juga aku nak tahu.. dari mana dia datang, selama aku kerja kat masjid ni tak pernah pula aku nampak dia.. Ah, tapi nanti dululah, elok biarkan sahaja dia dulu buat masa sekarang ni.. nanti kalau aku tegur nanti.. hilang pula ' mood ' dia. Budak remaja zaman sekarang memang susah nak ke masjid. Tak sangka pula aku, budak ni macam ni. " Hati pakcik itu berkata-kata.

Pakcik itu meneruskan kerja-kerjanya yang lain. Mukhriz masih lagi khusyuk membilang tasbihnya. Lama-kelamaan dia mula tersengguk-sengguk, kemudian dia pun terlelap dengan menyandar di tiang masjid. Jam sudah pun menunjukkan pukul 11.30 a.m, pakcik tadi yang baru selesai kerja sekali lagi terpandang Mukhriz yang sedang tertidur sambil tangannya memegang layu biji-biji tasbih.

" E'eh, dari pengamatan aku.. budak ni bukan budak biasa. Dia ni sedang dalam perhatian Tuhan. Lihatlah cara dia tidur, duduk, dengan tasbih ditangan.. waktu dia tidur pun waktu kailullah, biasanya tidur begini.. tidur para-para wali. Subhanallah.. Siapa dia ni sebenarnya. Tapi nampak macam dia ni budak terbiar. Siapa mak bapak dia, dari mana dia datang. " Hairannya diluahkan didalam hatinya, namun dia tetap membiarkan Mukhriz tidur dengan lena ditiang masjid.

Persoalan terus menerpa bagi sesiapa sahaja yang baru melihat Mukhriz. Memang sebelum ini Mukhriz tidak pernah kesini, tapi hari ini tiba-tiba dia muncul. Dengan satu watak yang berbeza. Sungguh misteri. Tetapi ia merupakan rahsia Ilahi, yang mana rahsia ini tak semua orang tahu dan dapat mengagak kesudahannya.

Mukhriz masih lagi terkulai layu dibalik tiang. Sesekali jari jemari bergerak-gerak seolah-olah masih lagi berzikir sambil membilang tasbih walaupun dia sekarang sedang berada dialam yang lain. Entah apa yang sedang dia mimpikan hingga terbawa ke alam nyata.

Jam menunjukkan sudah pukul 12.45 pm, tiba-tiba Mukhriz terjaga. Dia pun beristighfar beberapa kali " Ya Allah.. Astaghfirullahalla'dzim.. aku tertidur rupanya, " secara spontan Mukhriz melihat jam besar didinding masjid " eh, 12.45 dah.. kejap lagi masuk waktu ni.. lebih baik aku siapkan diri. "

Dia terus ke bilik air, mandi, kemudian dia pun mengambil air sembahyang. Baju semalam dipakai balik. Mukhriz bergerak tanpa arahan, dia seolah-olah sudah tahu apa yang harus dibuat. Dia pun naik semula ke atas masjid. Duduk bersimpuh menunggu waktu sembahyang sambil tangannya membilang tasbih berzikir mengingati Allah yang selama ini dilupakan. Fitrahnya kembali segar. Dia terpandang tahi cicak lalu dibersihkannya. Khusyuknya dia hingga tidak perasan kehadiran orang lain, tiba-tiba dia ditegur oleh pakcik yang mengejutnya semalam.

" Assalamua'laikum.. "

" Wa'laikummussalam.. "

" Dah makan ? "

" Belum lagi pakcik. "

" Elok juga tu, lepas ni jemputlah makan di rumah pakcik.., rumah pun dekat tu je ha, kat depan tu. " Memang betul rumahnya memang betul-betul mengadap ke masjid. Tapi sayangnya ia terletak diluar masjid. Mukhriz tergamam sebentar. " Aku tidak akan keluar dari masjid ini selagi aku belum betul-betul berubah. " Dia teringat kembali janji-janjinya.

" Eh, tak apa lah pakcik. Saya o.k, lagipun saya masih belum lapar lagi. "

" Oh.., kalau begitu tak apalah. Tapi kalau anak nak makan.. dekat sebelah sekolah tu ada kantin, ha, makanan kat situ pun sedap-sedap. Tapi kalau nak pergi, elok sebelum waktu pejabat rehat... Kalau tak melepaslah.. Sebab orang-orang pejabat ramai yang suka makan di situ. "

Mukhriz mendengar sambil matanya meninjau. Memang ada sebuah kantin tidak jauh dari situ bersebelahan dengan sekolah agama, kebetulan pula ianya berada di dalam kawasan masjid. Nasib baik dia kat dalam masjid..

" Ya Allah terima kasih ya Allah.. " berbisik Mukhriz didalam hatinya.

" Baiklah nak, waktu dah nak masuk ni, pakcik kena azan, pakcik pergi dululah ya."

" Baik pakcik. " Mukhriz pun berhenti. Diletaknya kembali tempat sapu habuk. Kemudian dia pun duduk mendengar azan. Khusyuk dan sayu hatinya bagaikan bendang yang hampir kering tiba-tiba dilimpahi hujan. Bergenang air matanya, dihayati setiap bait-bait kalimah yang berkumandang. Perasaannya telah tiba ke kemuncaknya, dia tidak dapat menahan sebak didada lalu dia pun menangis dalam diam. ditekup mukanya dengan kedua belah tangan.

" Maafkan aku Tuhan kerana aku mengabaikan Kau selama ini.. Aku sungguh menyesal. Aku harapkan pimpinanMu.. jangan biarkan aku tersalah lagi. Pandulah aku, pimpinlah aku menujuMu. "

Mukhriz cuba mengawal perasaan sebak supaya perilakunya tidak ketara. Dia tidak mahu menjadi tumpuan. Tengahari masjid semakin ramai orang yang datang bersembahyang. Mungkin orang-orang yang berkerja di sekitar sini yang datang bersembahyang.

Selesai sembahyang Mukhriz masih lagi dengan tasbihnya. Kemudian dia pun ke rak buku lalu mengambil sebuah kitab ' Mutiara Hadis '. Dia pun menyelak sekali lalu tanpa meneliti indeksnya terlebih dahulu. Dia pun terbaca Hadis yang pertama..

" Selangkah kamu menuju Allah, Allah akan menuju kepadamu sepuluh langkah. "
Mukhriz menyelak lagi..

" Barangsiapa berusaha dia pasti akan mendapat ( berjaya ).. "
Dia membaca lagi..


" Sesungguhnya rintihan orang yang berdosa itu lebih Tuhan dengar dari tasbih para-

para wali. "

Sekali lagi perasaannya bagai dilanda ombak dan taufan... Jiwanya menjerit didalam. Dia pun menangis semahu-mahunya. Dia faham semua sekali yang baru dibacanya. Dia rasakan rohnya tersentuh. Berbagai-bagai rasa yang datang berkunjung ke dalam jiwanya waktu ini hinggakan tangisan merupakan terjemahan yang terbaik bagi segala ungkapan jiwanya sekarang. Sukar untuk diungkapkan.

" Ya Allah.., aku tak tahu selama ini Kau sedang menunggu aku. Walaupun pelbagai kerenah yang telah aku lakukan, bermacam-macam ragam yang telah aku buat.., namun Kau tetap juga sudi menerima aku kembali. Setelah aku tiada tempat untuk pergi, Kau berikan aku tempat, setelah aku tiada tempat mengadu, Kau sudi mendengarnya. Aku percaya jika seluruh dunia tidak menerima diri ini.. hanya satu zat sahaja yang sudi menerimanya.. zat itu adalah Kau ya Allah.., kerana Kau adalah Tuhan, manakala aku adalah hamba. Walaupun Kau telah mencipta aku.., tetapi kau tidak pernah mensia-siakan aku.. tetapi akulah yang telah memusnahkan diri aku sendiri. Aku zalim ya Allah, aku derhaka.. Terima kasih kerana Kau masih lagi memberikan aku peluang. "

Mukhriz tidak sedar dia sedang diperhatikan. Setelah tangisannya reda dan keadaannya stabil, tiba-tiba dia ditegur dari belakang.

" Assalamualaikum.. " Seorang lelaki pertengahan 40an menegur Mukhriz.

" Wa'laikummussalam.. " Mukhriz sedikit terkejut. Lelaki itu memakai serban dan jubah putih yang sudah agak lusuh. Bau minyak atarnya menyengat ke dalam deria bau Mukhriz, namun ia agak selesa juga. Janggutnya panjang, wajahnya tenang.
" Adik, boleh bagi abang pinjam buku ni? "

" Ha, boleh. "

" Eh, tapi adik dah habis baca ke? "

" Err.. sudah bang. "

" Hmm, kalau nak baca sekali, jom lah dengan kami. " Abang itu menunjukkan sekumpulan orang berjubah putih dan berserban sedang duduk ditengah-tengah masjid. Kumpulan itu nampak berbeza sedikit dari orang ramai. Kelihatan mereka sedang menunuggu sesuatu. Pakaian dan cara mereka kelihatan agak serupa.

" Nak ke.., saya bacakan awak semua dengar.. "

" Eh, boleh juga.. " Mukhriz terus bersetuju dengan pelawaan orang itu. Dia pun bangun dan jalan bersama orang itu menuju ke kumpulan tadi. Sebelum duduk Mukhriz bersalaman dengan semua orang didalam kumpulan itu. Mereka semua membalas salaman Mukhriz dengan ramah mesra.

Mukhriz pun mengambil tempat, orang tadi pun membaca kitab Hadis tadi sambil yang lain semua mendengar dengan penuh khusyuk. Ada terangguk-angguk, ada yang tergeleng-geleng. Semua Hadis-Hadis yang telah dibacakan menyentuh hati dan perasaan Mukhriz. Hanya Mukhriz seorang sahaja yang menitiskan air mata. Setiap patah perkataan Hadis itu sungguh bermakna bagi Mukhriz, dia rasakan jiwanya hidup semula, dia seperti mendapat satu kekuatan, dia rasa Rasulullah dekat dengan dia, dia rasa Rasulullah sangat sayang padanya, hingga di akhir hayat pun, Rasulullah masih lagi teringatkan umatnya.. Inilah diantara 'bait' perkataan yang sangat menyentuh hati Mukhriz.

" Aku memanglah seorang umat yang tidak mengenang budi.. Aku telah mengecewakan dan membuatkan Rasulullah sedih. 'Ibarat madu dibalas tuba'. Aku mesti tebus segala yang telah aku lakukan. Semoga dengan perubahan aku ini, akan mengembirakan hati Rasulullah. Aku akan cuba lakukannya. " Mukhriz bertekad didalam hati.

Tiba-tiba semasa orang itu membuat ulasan tanpa kitab, Mukhriz dah mula keliru dan gelisah. Rupanya Mukhriz dijemput untuk bersama-sama dengan mereka untuk keluar beberapa hari pergi ke masjid-masjid, pergi ke rumah-rumah untuk berdakwah kepada masyarakat.

" Eh, aku tak boleh keluar. Aku masih belum bersedia lagi. " Hati Mukhriz berbisik mengingatkan dirinya sendiri.

" Macamana tuan yang budiman, boleh ke? Insyaallah tuan, tiga hari saja. Pahala besar tuan Allah jamin. " Orang tadi mengajukan tawaran kepada Mukhriz. Yang lain semua memandang ke arah Mukhriz dengan wajah yang yakin Mukhriz akan menerima tawaran itu, kerana orang tadi tu memang pandai bercakap dan kata-katanya berbentuk pujukan, berserta dalil, nas, fadhilat-fadhilat dan alasan-alasan yang kukuh.

" Minta maaf bang, saya tak boleh. " Mukhriz pun bingkas bangun dan meninggalkan yang lain dalam keadaan terpinga-pinga. Mereka tidak tahu apa yang sedang bergolak didalam jiwa Mukhriz, mereka tak tahu apa yang sedang Mukhriz hadapi, satu peperangan dalaman yang menentukan nasib hidupnya selepas ini.

Mukhriz kembali semula ke tempat duduk asal, duduk bersandar sambil membilang biji-biji tasbih. Dia duduk sambil menyaksikan suasana. Dia lihat ramai orang datang dan pergi. Kemudian dari jauh dia lihat seorang tua sedang memunggah banyak kerusi-kerusi sekolah turun dari lori. Dia pun berasa sungguh kasihan kerana orang tua itu hanya seorang. Dia pun bangun menuju kearah orang tua itu.

" Nasib baik ini masih lagi kawasan masjid.., kalau tak, aku pun tak boleh nak buat apa-apa, sebab itu adalah perjanjianku. " Berkata Mukhriz didalam hatinya. Tiba dekat dengan pakcik itu Mukhriz pun menegur..

" Asslammua'laikum.. " Dia lihat pakcik itu sungguh tekun walaupun dia seorang diri, sedangkan kelihatan umurnya lebih daripada separuh abad.

" Wa'alaikummussalam.." Jawab pakcik itu ramah, namun dia tetap tidak menoleh kerana fokusnya kepada kerusi-kerusi berat yang perlu diturunkan.

" Eh, pakcik.. takkan pakcik buat seorang semuanya ni? " Mukhriz tanpa segan silu terus menolong, lagaknya seperti dia dah biasa dengan pakcik tu.

" Apa boleh buat.., kelindan pakcik tu tiba-tiba pulak anak dia sakit, jadi pakcik bagilah dia cuti.. "

" Takkan pakcik nak suruh dia datang pulak, ye tak? " Mukhriz menyampuk.

" Iya lah.., tak patut lah kalau kita suruh dia kerja, anak sakit. Dia ayah.. dia kena bertanggungjawab. Pakcik faham perasaan dia. Pakcik ni pun ayah juga. Umur dah 55, anak dah sembilan orang, semua dah besar-besar. Eh, yang kamu ni pulak datang daripada mana? "

" Takde lah pakcik, saya tengah duduk-duduk kat masjid tadi nampak pulak pakcik tengah memunggah sorang-sorang, takkanlah saya nak biar.., zalimlah saya kalau saya biar. Betul tak pakcik? " Pakcik itu tersenyum mendengar gurauan Mukhriz.

" Tapi, tak terganggu kerja-kerja yang lain nanti. "

" Takpe pakcik, hari ni kerja-kerja saya semua dah beres. Eh, lepas kita turunkan kerusi-kerusi ni kita nak bawa dia pergi mana? "

" Oh, lepas turunkan kerusi, nak bawa masuk ke dalam kelas-kelas pula. Tapi takpa lah, yang itu nanti pakcik selesaikan sendiri pun tak apa. Kau dah tolong pakcik turunkan kerusi ni pun dah kira bersyukurlah pakcik. "

" Nak bawak masuk ke dalam semua kelas-kelas ni pakcik?! "

" Ha'ah, kenapa tak percaya ya? "

" Takpa pakcik saya tolong sampai siap. "

" Eh, kau biar betul.. takpa ke, takut mengganggu kau pulak."

" Takpa pakcik, tentang saya pakcik jangan risau. " Mukhriz terus membantu, dia bekerja dengan penuh semangat. Pakcik tu baru hantar ke satu kelas, dia dah hantar dua kelas. Tenaga mudanya memang terserlah. Dalam masa satu jam setengah sahaja mereka dah selesaikan semuanya.

" Eh, pakcik tak boleh lama ni, sebab ada urusan lain. Pakcik minta maaf sangat sebab tak dapat nak minum dengan kau. Suka juga nak berbual-bual dengan kau tapi.., nampak gayanya keadaan pula tak mengizinkan, " tiba-tiba pakcik itu mengeluarkan sesuatu daripada beg duitnya " nah, ini ada sikit duit untuk minum-minum, ambillah. "

" Eh, banyaknya pakcik. "

" Takpe, biasalah.. kalau dengan kelindan aku pun aku bagi segini juga... Tapi dengan kau.. aku bagi lebihlah sikit.., sebab dengan kau aku kira hadiah, bukan upah. "

" Hmm, bolehlah pakcik, tapi ni banyak sangat ni. "

" Takpa lah yang lebih kau boleh simpan.., untuk belanja kahwin ke.. kan kau kata kau nak kahwin, kan? " tergelak Mukhriz dengan usikan pakcik itu.

" O.klah aku pergi dulu, Assalamua'laikum.. "

" Wa'alaikummussalam. Terima kasih banyak pakcik. "

" Sama-sama. " Mukhriz melihat pakcik itu pergi hingga hilang dari pandangan. Kemudian dia pun mengira duit tadi.

" Ya Allah, banyaknya. RM 250, tiba-tiba perutnya berbunyi " ya Allah.. laparnya perut aku. " Mukhriz terus pergi kekantin sekolah melihat juadah yang tinggal.

" Padahal aku pun tak tahu macamana nak makan, sebab aku memang tak ada satu sen pun dalam kocek aku tadi. Tapi sekarang ni aku ada RM 250 dengan cara yang halal. Kalau aku keluar, belum tentu aku boleh dapat RM 250 dalam masa dua jam, kalau dapat pun bukan dengan cara halal.. tapi kat sini.., satu benda yang diluar lojik akal pula berlaku. Pelik tapi benar. "

Lepas makan Mukhriz kembali ke masjid. Dia pun melepaskan penatnya ditiang masjid tadi sambil tangannya memegang tasbih. Selang tidak lama selepas itu masuk pula waktu Asar, kali ni budak-budak sekolah agama pula menguasai masjid menggantikan orang-orang pejabat.

Mukhriz bersembahyang dengan dikelilingi kanak-kanak berbaju putih.

" Eh, abang ni siapa tak pernah nampak pun. " Seorang budak menegur Mukhriz yang duduk termenung ditepi tangga selepas sembahyang. Lepas sembahyang Mukhriz berjalan duduk ditepi tangga melihat gelagat budak-budak sekolah memakai kasut untuk pulang kerumah. Budak itu berdiri di sebelah Mukhriz bersama dengan empat lagi rakan sebayanya.

" Abang baru sampai dik. "

" Bila? "

" Semalam. "

" Oh, semalam ya. "

" Adik ni nama siapa? "

" Johan. "

" Umur berapa? "

" Tujuh tahun. "

" Oh, baru tujuh tahun, sekolah agama darjah berapa? "

" Darjah satulah.. apalah abang ni... "

" Adik dah besar nak jadi apa? "

" Nak jadi doktor.

" Kenapa nak jadi doktor? "

" Kalau jadi doktor nanti boleh selamatkan orang. Tapi ayah kata nak jadi doktor boleh.., tapi jangan lupa Tuhan. "

" Eh, kenapa pula macam tu? "

" Sebab ayah kata.. bila orang lupa Tuhan, orang tu akan jadi orang jahat. "

" Orang tu akan buat jahat ke, atau orang tu akan jadi orang jahat? " Budak itu hanya tersenyum melihat Mukhriz, seolah-olah dia tidak faham apa yang Mukhriz katakan.

" Abang pula, dah besar nak jadi apa? Kenapa abang jadi macam ni? Kenapa baju abang tak cantik? " Mukhriz terkedu dengan soalan budak itu. Kemudian budak itu terus pergi meninggalkan Mukhriz keseorangan dengan jawapan yang masih belum terjawab. Ternganga Mukhriz sambil melihat budak itu berlalu, sebenarnya dia pun tak tahu apa yang hendak dijawab.

" Kenapa aku jadi macam ni..? Kenapa soalan itu terlalu berat pada aku. Sebenarnya aku memang tidak ada cita-cita.., sebab tu aku jadi macam ni. " Mukhriz terpandang sampah di tong sampah, kemudian dia melihat sendiri dirinya, " Kau dengan sampah lebih kurang je Mukhriz. Tapi aku rasa sampah lagi baik sebab sampah tak hisap dadah, sampah tak mencuri, sampah tak merompak, tak menyusahkan orang. Tapi.. betul jugaklah kata budak tu.. " Mukhriz termenung sejenak. " Sebenarnya yang menyebabkan aku jadi macam ni sebab aku dah lupakan Tuhan... " Mukhriz memandang kembali ke arah sampah tadi. " Kan bagus kalau aku jadi sampah. Walaupun orang pandang hina, tetapi sebenarnya semasa dia hidup, dia berjasa. Memberi manfaat pada manusia. " Mukhriz berjalan menuju ke arah tong sampah. Dia pun mengutip sampah-sampah yang banyak bertaburan di atas lantai. Sambil mengutip hatinya berbisik.. " Sebenarnya aku ni lebih hina dari kau sampah, mulianya aku bila aku dapat memuliakan engkau. Aku lebih jijik dari engkau, sekurang-kurangnya kau berjasa.. tetapi aku tak pernah.. Oleh itu biar aku kutip kau sendiri menggunakan tangan aku. Aku rasa bangga dapat berkhidmat dengan benda yang selama ini telah berkhidmat untuk manusia. Semoga dengan usaha aku sikit yang ni, aku dapat tebus semua dosa-dosa aku. "

Waktu Asar dihabiskan dengan memungut dan membersihkan sampah. Habis semua sampah-sampah dipungutnya, sampai ke longkang-longkang punya sampah pun habis dibersihkan. Sambil membersihkan sampah jiwanya merintih.. " Ya Allah aku buat ni semua aku harap Kau nilailah ya Allah.. Aku harap Kau ampunkanlah aku dan semua apa yang aku buat ni dapat menebus segala dosa-dosa aku. "

1 comment:

  1. tersentuhnya bila sampai bab ini....terasa hina kita melebehi sampah jika kita lupakan Allah..tq..

    ReplyDelete