Tuesday, October 12, 2010

Pencari Cinta - 1

TRANSIT

1. Pada suatu hari..
2. Peh, jenuh juga aku nak menghabiskan buku ni..
3. Eh, nak dekat Asar dah ni..
4. Makcik aku mesti dah tunggu..

SELEPAS SOLAT

Selepas solat dan berdoa Iman bingkas bangun, kepala otaknya terus berfikir untuk ke bilik. Mak Su tersenyum melihat gelagat si Iman. Maklumlah orang baru.., baru duduk Malaysia dua hari, sebelum ni di Australia suasanannya lain, kini di Malaysia sudah pasti ada kelainannya, " biasalah resmi orang merantau.." hati Mak Su berdetik.

Cuma Mak Su tak dapat lagi menemuramah Iman secara khusus apa perasaan dia tentang Malaysia, tentang kehidupan dia semasa di Australia dan lain-lain. Tapi bagi Mak Su biarlah Iman duduk seminggu dua lagi lepas tu barulah dia tanya Iman macam-macam. Cuma yang dia maklum ibu Iman yang juga merupakan kakak dia yang menetap di Australia, minta dia supaya diajar Iman cara hidup dan budaya orang Islam disini. -Tiba-tiba Mak Su yang menegur Iman yang sedang berjalan.

"Ha, Man, dari tadi asyik membaca, awak nak makan tak? " Iman tersentak sekejap dari lamunannya. Kerut dahinya macam memikirkan sesuatu.. Lama juga kemudian baru dia jawab..

" Minum jelah Mak Su, saya tak ada perasaanlah nak makan... " kemudian mak Su pula yang tersengih dengan jawapan Iman, " lawak juga anak saudara aku ni." Mungkin itu yang terdetik dalam hatinya. - Lama juga Mak Su tersengih kemudian baru dia menjawab.

" Bukan tak ada perasaan.., tak ada selera. "

" Oh, ye ke.., eh, Mak Su kita minum jelah o.k, saya pergi masak air. " Cepat-cepat Iman beredar. Agak berlagak juga gaya Iman.

DI DALAM BILIK

- Iman membuka pintu biliknya perlahan, masuk sahaja dia terus menutup pintunya kembali. Sempat dia meninjau sekeliling melihat pemandangan bilik barunya yang cantik bersih segala-galanya tersusun rapi. Biliknya nampak ringkas tetapi kemas dan bersih. Udara segar masuk melalui tingkap yang terbuka, langsirnya pula diikat kemas menyerlahkan lagi suasana bilik itu.
- Iman melabuhkan punggungnya dia atas katil. Dari kejauhan dia melihat tingkap-tingkap rumah pangsa yang lain melalui celah tingkap biliknya. Sayup-sayup terdengar riuh rendah suasana rumah pangsa diwaktu petang.

" Ah.., ini bukan bilik aku ni, bilik aku lain. " Tiba-tiba hati Iman memprotes dalam bahasa inggeris, kehadiran bilik yang bersih itu merupakan satu benda yang asing bagi dirinya.

Dia terpandang dinding bilik itu bergantungan lukisan-lukisan pemandangan dan ayat-ayat Al-Quran yang cantik-cantik, kemudian dia terbayang perbezaan bilik lamanya di Australia yang penuh ditampal dengan poster-poster dan gambar-gambar kesukaannya, lantai-lantainya pula penuh dengan pakaian-pakaian serta bau biliknya yang bercampur baur.

Tiba-tiba dia terpandang meja, terus dia teringatkan komputer ribanya, " Mak belikan komputer ni supaya awak belajar dan dapat ilmu. Tapi nampaknya awak dah salah gunakan kemudahan yang diberikan, apakah cita-cita awak nak jadi penggodam komputer? Mak tahu awak godam sistem sekolah, awak tukar maklumat keputusan peperiksaan awak. Awak sebenarnya gagal, tapi awak tukar awak lulus... Awak jangan ingat mak tak tahu guna komputer. Awak jangan ingat dalam dunia ni awak sahaja yang hebat. Ada banyak lagi ilmu yang masih awak tak tahu dan yang perlu awak pelajari. Mak tak bangga kalau anak mak seorang penipu. Awak boleh tipu semua orang, tapi awak tak boleh tipu Tuhan. Sekarang ni umur awak baru 16 tahun, kalau beginilah perangai awak mak tak tahu apa akan jadi dengan awak di masa akan datang nanti. Jangan awak ingat awak tu anak bongsu.. mak nak manjakan awak je setiap masa. Mulai sekarang awak dah kena belajar berdikari dan bertanggunggjawab. Mak tak mahu awak jadi jahat atas titik usaha keringat mak. Ingat sikit Man, ayah dah tak ada. "

-Kepala Iman menunduk sambil kedua tangannya menekup muka. Itulah antara kata-kata terakhir ibunya sebelum dia dihantar ke Malaysia. Dia sebenarnya akur dengan kata-kata maknya itu, memang benar, tak salahlah apa yang emak dia katakan.. memang macam-macam masaalah yang ditimbulkan menggunakan 'laptop' nya itu.. dia juga sebenarnya akur dengan keadaan bilik barunya, tapi.. entahlah dia pun tak tahu kenapa dia masih menolak, egonya masih mengatasi fitrahnya.

" Eh, ada juga kau kat sini.. aku ingatkan kau tak ikut. " Entah macamana tiba-tiba kakinya tersepak set radionya yang betul-betul diletakkan dibawah tepi katil. " Yes! " Sekali lagi dia menjerit spontan. Kali ni dia nampak c.d dia pula. Gembira sungguh dia melihat koleksi c.d nya yang di susun rapi di sebelah radio. Tanpa disuruh-suruh tangannya terus mencapai salah satu c.d, " hmm, Led Zap... " Serentak dengan itu juga sebelah tangannya menekan salah satu butang di radionya, tempat c.d pun terbuka, Iman memasukkan c.d dan menekan balik butang tadi, tempat c.d pun kembali masuk perlahan. Iman terus merebahkan badannya menghempas tilam.

Keluar sahaja bunyi Iman terus bangun dan menurunkan kadar bunyinya. " Wow!. kuatnya." Dahi Iman berkerut, kerana itulah kadar bunyi yang selalu keluar dari radionya. Tapi kali ni suasana berbeza, seolah-olah bunyi tersebut tak sesuai dengan bilik barunya itu.

Tiba-tiba telinganya menangkap satu bunyi halus tapi nyaring, " Eh, air aku. " Secara spontan dia terus melompat dari katil, dan meluru ke dapur tapi sempat juga dia menutup radionya.




MINUM PETANG


" Nah Man airnya. " Iman mengambil air tersebut. Mukanya selamba dan bersahaja melambangkan sikapnya.

“Dah lama kita tak jumpakan Man..? Awak ingat tak dulu Mak Su yang jaga awak masa awak kecik-kecik. Dari umur awak tujuh bulan sampai umur awak lima tahun.” Iman terkenang saat dia berpisah dengan makciknya kali terakhir. Dia meronta-ronta minta dilepaskan. Iman tersengih. Dia dapat rasakan apa perasaannya ketika itu. “Tapi itu dulu kan Man… Sekarang ni awak dah besar.” Mak Su menghirup airnya, Iman pula masih lagi teringat kenangan silam.

“Err.., Mak Su, ceritalah sikit tentang dajal " Iman mula mesra dengan makciknya.

" Eh, kan awak dah tahu?.. "

" Ala.. saje nak tahu lagi. "

" Hmm, apa kata kalau Mak Su cerita tentang syaitan?. "

" Syaitan ?! Hmm, bagus tu Mak Su. "

Iman terus merapatkan lagi kerusinya, minat sungguh dia, seolah-olah satu benda baru bagi dia. Iman mula terbayang wajah-wajah hodoh dan ngeri macam yang selalu dia tengok dalam t.v. Mak Su bertenang sebentar, menarik nafas, kemudian seolah-olah dia memikirkan sesuatu. Seketika kemudian pandangannya beralih kepada Iman.. suasana ' suspen ' pun terasa seperti memberi petanda cerita akan bermula.
" Baiklah Man.. " cerita sebenar pun bermula. " Semua orang dah tahu bahawa musuh pertama dan yang paling utama kepada manusia adalah iblis dan syaitan. Iblis ni sebelum dia menjadi ketua kepada syaitan dia merupakan ketua bagi seluruh malaikat. "

" Macamana dia boleh keluar dari syurga Mak Su? "

" Kerana sombong Man, kerana dia rasa diri dia baik, atau mungkin dia rasa diri lebih mulia.. kemudian Tuhan laknat dia dan buang dia.. maka jadilah dia ketua syaitan. Begitulah kuasa Tuhan, Dia boleh memuliakan sesiapa sahaja yang dia mahu dan Dia boleh menghina sesiapa sahaja yang dia mahu pada bila-bila masa sahaja dan tak terikat dengan sesiapa pun. Hebatkan Tuhan. Sebab tu kita kena sentiasa cemas dan bimbang, walaupun kita ni dah buat baik, kita yakin ke Tuhan terima kebaikan kita. Walaupun orang yang kat luar tu bergelumang dengan maksiat setiap hari, tapi belum tentu dia tu ahli neraka. Sebab memang ada ceritanya bagaimana seorang pembunuh yang sudah membunuh 100 orang, tapi akhirnya Tuhan masukkan dia kedalam syurga hanya kerana jiwanya yang ingin berubah. "

Iman hanya tunduk mendengar cerita makciknya itu. Dia faham bila orang cakap melayu dengan dia, cuma dia agak keliru sedikit bila nak menggunakan kembali bahasa tersebut, oleh itu dia perlukan sedikit latihan. Jiwanya seperti mengiakan sesuatu. Terasa olehnya yang Tuhan boleh mengubah dirinya bila-bila masa sahaja seperti kisah iblis dan pembunuh itu.

" Dan untuk syaitan menyelinap masuk ke dalam diri manusia bagi menyesatkannya, dia perlukan laluan... "

" Laluan.. ?! " Iman tercengang, tapi mukanya jelas menunjukkan minat untuk mengetahui kisah yang selanjutnya.

" Laluannya ialah nafsu yang sentiasa mendorong manusia kepada kejahatan, lagi jahat nafsu manusia.. lagi luaslah laluan syaitan, mungkin sampai jadi 'highway' " Mak Su terpaksa menterjemahkan dalam bahasa Inggeris supaya Iman mudah faham.

Kali ini Iman benar-benar telah memahami sesuatu. Ini merupakan satu ilmu yang telah berjaya membuka fikirannya yang selama ini tertutup. Iman tertunduk seperti menginsafi sesuatu. Dia mengaku yang selama ini dia memang tak pernah nak ambil peduli tentang perkara-perkara yang menyentuh tentang agama, atau apa-apa sahaja ilmu yang berbentuk panduan, padanya dia ada hala tujunya sendiri, walhal dia sendiri pun sedar, hala tuju yang sedang diikutnya terang-terang kabur, malap dan gelap. Tiba-tiba Mak Su menyambung lagi.

"Sebenarnya Man, syaitan itu adalah nama sifat dan bukannya sejenis makhluk seperti yang biasa kita dengar. Iman faham tak?" Sekali lagi Mak Su menerangkannya dalam bahasa Inggeris.

Terkulat-kulat muka Iman tatkala diajukan soalan tersebut. Kerut wajahnya mewakili jawapan manakala tangannya yang menggaru kepala semakin menguatkan lagi keadaannya. Mak Su tersenyum dengan keadaan Iman yang memang sudah dalam jangkaan.

" Baiklah begini, makhluk yang selalu Iman bayangkan itu sebenarnya jin, manakala sifat atau perangainya yang jahat itu disebut syaitan. Jadi disini iblis itu adalah ketua bagi seluruh jin-jin yang berperangai syaitan itu tadi. "

" Oh.. rupanya disini kalau macam orang yang mencuri itu disebut pencuri, orang yang membunuh pula dipanggil pembunuh betul tak Mak Su ?. "

" Sebab.. ? " Mak Su cuba mengumpan Iman.

" Sebab.. err.. " Iman cuba menjawab. " pencuri itu asalnya manusia dan manusia tu adalah sejenis makhluk, tapi mencuri itu adalah sifat atau perangai. Dan semua perangai yang jahat tu dipanggil syaitan. " Tiba-tiba Iman berhenti sejenak seperti memikirkan sesuatu.

" Kalau macam tu.. manusia pun boleh jadi setan lah kan Mak Su? "

" Eh, kenapa pulak macam tu. " Sekali lagi mak su buat-buat tak tahu.

" Ye lah mencuri tu kan satu perangai yang jahat, perangai jahat tu kan perangai setan.. jadi.. " Iman terhenti, memandang makciknya dengan kening terangkat dan senyumnya yang lebar. Sukar bagi dia untuk menerangkan. Satu benda baru.

" Hmm, betul lah tu, pandai awak ni... Cekap sungguh, baru sekejap awak dah dapat dah. " Mak Su membetulkan keadaan. Selepas menghabiskan kata-katanya, Mak Su mencapai cawan Iman dan menambahkan air kedalamnya.

(Kebanyakkan perbualan diatas berlangsung dalam bahasa Inggeris walaupun penulis sudah mengalih bahasa kerana Iman masih lagi kurang fasih berbahasa Melayu.)

" Eh, awak taknak ke jalan-jalan keluar tengok suasana? "

" Ya tak ya juga kan.. "

" Hmm, kat atas peti ais tu ada duit sikit, pakai kalau perlu. "

INTERNET

-Iman keluar dengan papan lunsurnya. Seronok dia melihat suasana sekeliling. Papannya melunsur laju tapi fikirannya masih teringat pelajaran baru yang diterimanya. Baru dia sedar kini bahawa setan tu rupanya adalah sifat atau sikap. Selama ni dia ingatkan setan tu makhluk, rupanya tidak, dan rupa-rupanya dia mempunyai sifat-sifat tersebut, " padanlah aku suka bilik aku macam tu... " Iman tersengih sendirian.

-Tiba-tiba datang setan menghasutnya. " Alah Man kau jangan layan sangat la apa yang makcik kau bagitau tadi tu. Macam ni, aku suka nak mencadangkan kau sesuatu... Kan makcik kau ada bagi kau duit sikit kan.. apa kata kau cari internet pastu kita lepak kat dalam tu 'down load' lagu ke, gambar ke, game ke.. kau kan suka 'down load' gambar yang pelik-pelik.. "

-" Walaupun 'laptop' kau dah takde, tapi 'thumb drive' kau tu 'power'.. Memori dia ada sebanyak '4 gig'... Wow, boleh isi satu cerita 'dvd'. " Iman terus menyeluk poket seluarnya untuk memastikan 'thumb drive' nya ada. Memang betul ada. Iman tersengih sendiri, cekap sungguh setan menghasut Iman hingga dia terlupa dengan apa yang baru dia pelajarinya tadi.

- Seronok betul setan bila tengok Iman membelokkan papan lunsurnya mencari tempat internet. Iman tiba di suatu tempat. " Wah..." suka betul dia bila melihat tempat tu ada internet. sebelum masuk Iman membaca dulu semua poster- poster yang tertampal di pintu masuknya.

" Aiseyman.. takde pulak.. " Iman tak puas hati. Dia masih tak jumpa dengan apa yang dicarinya. Dia melangkah masuk.. Dia lihat seorang perempuan cina menjaga kaunter, dia pun terus pergi ke kaunter.

" Akak sini awak pakai apa 'line' ( telefon )? " Tersenyum cina tu bila dia dengar loghat si Iman, sebiji macam orang putih cakap melayu. Kemudian cina itu pun menjawabnya dalam bahasa inggeris. Iman pula tersenyum, tapi dia rasa lega. Iman terus bertanya dalam bahasa inggeris, mereka pun berbual seketika.

Tidak lama kemudian Iman pun keluar dari situ. Dia dah dapat jawapannya, satu tempat di mana dia boleh men'down load' barang-barang yang diperlukan dengan cepat. Itulah yang sedang dicarinya dan dia dah tahu di mana tempatnya berpandukan panduan yang perempuan cina tadi bagitahu.

Iman tiba di tempat yang dituju. Dia rasa sungguh gembira. Dia memilih tempat yang agak tersorok. Dia pun membuka komputernya. Tapi dia rasa macam nak baca surat khabar, " orang jahat pun kena ambil perkembangan dunia.. " dia mengomel sendirian dalam hatinya. Dia membuka ruangan surat khabar. Dia berpuas hati kerana komputer nya memang laju seperti yang diharapkan.

Di bukanya satu-satu ruangan surat khabar itu macam dia menyelak helaian surat khabar. Tiba-tiba dia terhenti di suatu ruangan, dia membaca artikel yang tertera, kisah seorang ibu yang kesempitan wang dan terpaksa menjual salah satu matanya kerana ingin menyelamatkan anaknya. Iman membaca artikel tersebut hingga habis. Mata Iman terpejam, air matanya berlinangan, " ish, ish, ish.. dia sanggup korbankan mata dia demi melihat anaknya hidup. " Iman menangis hingga air hidungnya keluar sekali.. dikesatnya air hidung yang meleleh tadi dengan bajunya, dia dapat rasakan jiwa seorang ibu, betapa seorang ibu itu sangat sayangkan anaknya.

Iman pun membandingkan dirinya, " aku ni memang tak guna!.. " terasa Iman yang dia sepatutnya rasa bersyukur dengan keadaan dirinya yang ada sekarang. Terkesan dia dengan cerita tadi. Dia terus beredar dari situ, tak jadi dia nak men'down load' lagu-lagu dan gambar yang pelik-pelik.

Teresak-esak Iman ketika membayar di kaunter. Orang yang jaga kaunter pun jadi hairan dengan gelagat Iman, " e'eh dia ni biar betul baru masuk dah nak keluar, menangis pulak tu.. Apahal la agaknya dia ni.." Inilah kali pertama dia tengok orang gunakan internet sekejap dan menangis terisak-isak. Biasanya orang guna internet lama dan ketawa terbahak-bahak, ini lain pula jadinya. Iman meninggalkan tempat itu dengan seribu tanda tanya dan kemusykilan kepada penjaga kaunter tersebut.

-Iman melunsur laju dengan papan lunsurnya walaupun dia tidak tahu lagi arah tujunya tapi dia teruskan juga perjalanannya. Tak sangka dia petang ni macam-macam yang dia dapat, tak sangka dia baru sahaja sampai macam-macam yang dia belajar. Tiba-tiba dia tersenyum dan hati dia terdetik, " terima kasih mak.. " dia pun mengesat lebihan air mata yang masih keluar.


No comments:

Post a Comment