Wednesday, October 27, 2010

Masih Jua Kupendamkan Perasaan Ini - 8

Banyak juga pertanyaannya yang tidak mampu aku jawab. Kalau tentang kerja, elok juga. Tapi, bila menyentuh tentang peribadiku, tentang teman hidup, tentang lelaki pilihanku, tersentuh hatiku, dan mula menghadirkan wajah abang Amirul semula. Namun, dia seperti tahu rasa hatiku, akhirnya dia akur juga yang aku perahsia orangnya. Sudahnya, dia bercerita pula tentang dirinya, kemalangan yang menimpanya hingga menyebabkan dia menjadi seorang pengguna tetap kerusi roda tersebut, malah kemalangan yang memisahkan dia dengan dua orang anak kesayangannya, menjadikan Khaizan anak tunggal dalam keluarga tersebut.

Aku jadi sayu, tabah sungguh hatinya meneruskan kehidupan, aku rasa aku tidak mampu untuk menjadi setabah itu. Dan, hari itu juga, baru ku tahu, Khaizan merupakan pewaris tunggal Shahir Holdings, sesuatu yang tidak pernah aku jangkakan, malah tidak pernah aku fikirkan. Sangkaku dia cumalah pekerja biasa seperti aku. Ahhh, banyak benar yang masih belum ku tahu tentang anak muda tersebut.

Sehabis bersarapan, Zairul mengajak aku menemaninya melihat pokok-pokok bunga ros yang menghiasi bahagian sisi rumah. Ros pelbagai warna itu menyemarakkan perasaanku, bukan perempuanlah namanya kalau tidak sukakan bunga. Khaizan, yang agak terkejut dengan kehadiranku sewaktu dia baru pulang tadi, hilang entah ke mana. Cuma, senyuman sinisnya mengiringi setiap suapanku ketika di meja makan tadi, walau aku cuba menghindarinya.

"Maaflah...ibu memang panggil saya Aqil. Nama saya dan Khai hampir sama, kerana kami menyambut hari lahir pada tarikh yang sama, cuma tahun sahaja yang berlainan. Boleh tak Datul panggil saya Aqil sahaja....lebih mudah kalau berbual dengan ibu lain kali.....", aku mendongak melihat dia. Tajam matanya memandang wajahku, apa reaksinya agaknya kalau aku katakan yang aku mahu balik waktu itu juga. Aku rasa cukup bersalah kerana hadir ke rumah itu waktu itu. Terbayang
semula wajah Khaizan yang agak murung seketika tadi. Apa mahunya mereka dariku agaknya.

Pun, segala jawapan itu tetap tidak terjawab. Aku sahaja yang semakin memendam rasa dengan perilaku mereka terhadapku. Terlebih dengan anak muda bernama Muhammad Zairul Aqil itu, aku jadi panik dengan setiap tindakannya. Malah, usulannya untuk melawat ibuku di kampung cepat-cepat aku tolak kerana masa yang masih tidak mengizinkan. Itu kataku, padahal kemelut rasa yang menjeruk hatiku hanya aku sahaja yang tahu. Hebatnya rasa gundah itu, ingatan pada Amirul tetap jua utuh. Ahh, aku sukakan seseorang yang langsung mengabaikan aku. Dapat aku rasakan, aku hanya bertepuk sebelah tangan. Pun, aku masih meyakini kuasa Tuhan agar memberi aku peluang untuk menjadi suri di hati Amirul.

Layar kenangan pertemuan yang agak panjang itu masih lagi bertamu di birai mata sewaktu aku menghadap kerja-kerja di pejabat keesokannya. Sesekali tersenyum juga bila mengingati Aqil, ahh, pelik sungguh untuk memanggil begitu. Tapi, aku harus akur juga, lagipun setakat panggilan biasa tanpa ada kesan sampingan yang lain. Itu yang terdetik di mindaku.

"Cik Nadratul, En. Khaizan nak berjumpa....", tersentak aku bila tiba-tiba sahaja Najihah meluru masuk ke bilikku. Di belakangnya, Khaizan tersenyum dengan begitu sinis. Ada ciri-ciri menyindir di balik senyumnya itu. Aku segera menganggukkan kepala kepada Najihah yang kelihatan serba salah, dan mempersilakan Khaizan duduk. Lakunya lambat, tunak sahaja matanya memandang wajahku. Cepat-cepat aku menarik beberapa buah fail yang sedang digunakan di hadapanku dan menyusunnya di sisi meja sebelah kanan. Lantas, aku menyandarkan kepala di kerusi, dan segera melemparkan sebuah senyuman bersahaja untuk anak muda tersebut. Cepat-cepat dia merapatkan kerusinya ke
hadapanku, sambil jua tersenyum.

"Well, macam mana dengan pertemuan semalam? Seronok? ". Pertanyaan itu mematikan niatku untuk melayan perlakuannya hari ini secara biasa. Dari cara senyumannya saja aku sudah dapat mengagak ada sesuatu yang hendak ditempelaknya tentang kejadian semalam. Pun, aku cuba tersenyum semanis mungkin. Tidak terdetik pun hendak membalas kata-katanya yang sedikit berupa sindiran padaku. Dia masih lagi tunak memandang anak mataku, mencari jawapan yang aku pasti dia sendiri tidak tahu apa yang hendak diketahuinya.

"Seronok juga. Banyak yang dapat saya belajar semalam...terutama bila diberi peluang untuk berjumpa dengan ibu En. Khaizan...", sengaja aku tekankan nama ibunya sedikit keras. Dia agak tersentak, namun memang dia tidak mudah gelabah. Wajahnya tenang tanpa ada riak terkejut. Mungkin dia menyangka yang aku merasa bangga dapat keluar dengan Aqil, nampaknya dia masih belum mengenali diriku sepenuhnya. Wajar aku katakan yang aku tidak suka hal-hal peribadiku dicampur aduk dengan kerja-kerja seharianku di pejabat. Terlebih dalam keadaan yang aku sendiri tidak tahu untuk apa hal itu perlu dibincangkan tika itu.

"Baguslah. Abang Aqil pun agak rapat dengan ibu....", suaranya sedikit hambar, dan bersama wajahnya yang kian suram, dia membuka fail projek yang dibawanya tadi. Aku cuba memahami maksud air mukanya dan gayanya, namun dia bijak menyembunyikannya. Sudahnya, perbualan seterusnya hanya berkisar tentang hal projek yang hendak dijalankan sahaja. Sedikit pun tidak terusik dengan masalah `perang dingin' yang tiba-tiba sahaja meletus semula antara aku dan dia.

Terlukis di peta minda, apa pula yang telah aku lakukan agaknya. Adakah perlakuanku semakin mengeruhkan keadaan yang sudah kembali jernih, atau sebaliknya. Pun, aku hanya membiarkan hal itu berlalu begitu sahaja. Hendak memikirkannya cuma menambah deraan perasaanku yang kian sesak, ditambah dengan abang Amirul yang kian jauh, hatiku jadi gundah semula. Dan, rasa bersalah itu wujud semula, berkepuk dalam diri, mencari ruang untuk menuturkan ucapan maaf untuk meleraikan segala kemelut rasa yang aku alami tika ini. Tapi, pada siapa agaknya kata-kata maaf itu perlu kuucapkan, aku sendiri jadi
tidak keruan untuk memikirkannya. Sudahnya, aku biarkan segala-galanya berterusan begitu sahaja. Aku jadi leka dengan tugasan harianku, walau sesekali perasaan rindu dan bersalah silih berganti mengisi ruang hatiku yang selama ini tenang tanpa gangguan.

Bulan Syaaban yang sudah hampir sampai ke penghujung menyungkingkan sedikit senyum merawat hatiku yang sedikit terusik. Teringat Ramadhan dua tahun lepas, di saat aku menyambutnya bersama umi di kampung. Saat itu, aku masih lagi menganggur, dan sebulan Ramadhan aku lalui bersama umi yang sentiasa menghadiahkan nasihat dan panduan yang tidak putus-putus untukku. Kalau di bulan-bulan Islam yang lain, umi tidak terlalu memerhatikan lakuku, mana yang terlebih tetapi masih boleh diterima, hanya didiamkan, dan kalau ditegur pun, hanya dengan tepukannya di bahuku, selebihnya yang akan membawa aku menyandarkan diri di bahunya, dan dia akan memelukku, kejap dan erat.

Berlainan dengan bulan Ramadhan, dia sentiasa memerhati lakuku waktu itu. Entah sudah berapa kali aku disogokkan dengan kata-kata nasihat yang bulan itu membawa sejuta keberkahan dan rahmat untuk semua umat Islam. Bulan itu juga bulan pengampunan dosa dari Allah, dan di bulan itu juga diwajibkan berpuasa selama sebulan. Malah, setiap malam, aku dan umi akan bersama-sama menapak ke masjid kampung untuk sama-sama berjemaah solat Isya' dan bersolat Terawih. Saat itu, kalau ada lebihan rezeki kami berbuka, atau ada lebihan kuih atau makanan yang dibuat, pasti saja menjadi rezeki anak-anak kampung yang masih kecil yang kebanyakannya dari keluarga yang serba kekurangan, sama ketika
waktu aku dan abang Hakimi kecil-kecil dahulu.

Yang paling menyeronokkan juga, umi akan mengajakku bertadarus Al-Quran selepas solat Asar, menghayati tafsiran setiap ayat yang akan mendekatkan diriku kepadaNya. Kadang-kadang, seperti tahun-tahun sebelumnya, mampu juga Al-Quran itu dikhatamkan sehingga tiga kali bacaan. Umi memang mendidik aku dan abang Hakimi selengkapnya, pun kealpaan yang kadang-kadang hadir membuka hatiku untuk mengingatiNya semula. Mana tidaknya, sesekali, alpa juga aku apabila terlalu asyik pada kerja dan tugasan hingga terlupa padaNya, padahal aku sendiri
maklum yang setiap kerja dan perbuatan itu satu ibadah dan mesti dimulakan dengan namaNya yang Maha Besar dan Berkuasa.

"Termenung lagi....ingatkan dah ok dah.....", tepukan lembut dibahuku menyebabkan aku segera berpaling. Mengimbau kenangan Ramadhan, memuhasabah diri untuk bertemu Ramadhan kali ini dalam keadaan yang lebih tenang dari tahun-tahun sebelumnya, menarik seketika pemikiranku dari alam nyata. Aku hanya tersenyum kepada Marina yang sudah duduk di sisiku. Sebuah majalah wanita yang memang sengaja ku langgan untuk mencari resepi-resepi menarik sudah berada di tangannya. Dia membelek-belek majalah itu, dan dari gayanya, aku tahu ada sesuatu yang hendak diceritakannya padaku.

"Tak keluar? Linda mana?", aku sengaja membuka cerita. Nampak air mukanya sedikit rusuh, tapi wajah yang ada iras-iras seorang pembaca berita di sebuah stesen televisyen tempatan itu tetap cantik walau tidak berseri sepenuhnya.

"Entah...keluar rasanya. Tadi nampak dia menggosok blouse, masa kau keluar untuk jemur baju....", majalah ditangannya diletakkan di atas meja. Tangannya mencapai pula remote-control, mencari siaran yang sesuai untuk dilihat. Namun, pagi-pagi begitu, tambahan pula cuti hujung minggu, yang ada hanyalah cerita kanak-kanak, rancangan komedi yang langsung tidak bersesuaian dengan seleranya. Pantas pula, punat off ditekan dan dia menyandarkan tubuhnya ke sofa. Sesekali, rambutnya dikuakkan ke belakang, dan keluhan halus menyinggahi deria pendengaranku, mewujudkan satu perasaan halus yang tidak terkawal.
Segera, aku menyentuh pergelangan tangannya dengan lembut.
"Kenapa ni? Kau ada problem? Boleh aku tau?". Wajahnya dihalakan ke arahku, dan tiba-tiba sahaja air matanya merembes keluar, tidak dapat ditahan-tahan. Pengalaman menghadapi keadaan sebegitu, malah ketika bersama teman-teman serumah semasa di universiti dulu, tidak memudahkan untuk mewujudkan perasaan panik di hatiku melihat insiden itu. Aku segera memeluk Marina, dan kepalanya kuusap lembut. Aku biarkan dia menangis sepuasnya. Pasti dengan cara itu dapat meredakan perasaan yang sedang berkecamuk di mindanya. Dan, dia mengeratkan pelukannya, dengan air mata yang masih terus mengalir, melepaskan resah yang entah sudah berapa lama disimpannya.

Mungkin sewaktu aku selalu melamun dulu pun, sudah disimpannya perasaan sedih dan tertekan, hingga tidak mampu dia mengawalnya lagi. Kasihan, aku terlalu mementingkan diri, tanpa sedar ada orang yang memerlukan bantuanku. Rasa bersalah kerana mengabaikan teman-teman serumah mula hadir, terlalu taksub dengan keperluan diriku sahaja. Aku minta maaf sahabat, dan kata-kata itu cuma tersekat di kerongkongku, tidak mampu aku luahkan dalam situasi sebegitu.

"Maafkan aku. Aku tak dapat kawal diri.....aku terlalu sedih tadi....", sebaik sahaja dia merenggangkan pelukannya, dia menyapu-nyapu kesan air mata di matanya dengan tisu. Aku jadi kasihan melihat perlakuannya. Nampak dia begitu tertekan.

"Tak apa..aku tak kisah. Yang penting, aku sentiasa ada di sisi kalau kau perlukan aku...", seupaya mungkin aku cuba mencari ayat yang sesuai. Saat seperti itu, hati sesiapa pun mudah tersinggung. Aku tidak mahu keadaan bertambah buruk dengan kata-kataku nanti. Nampak dia menyungkingkan sebuah senyuman yang agak hambar. Wajahnya suram, dan ada sisa tangisan yang mahu dihamburkan, namun, sedayanya aku melihat dia cuba menahannya.

"Mungkin kau pernah bercinta kan? Tapi, pernah putus cinta tak? ", pertanyaan spontan itu sedikit mengejutkan aku. Sesaat pula, ia menghadirkan semula wajah abang Amirul yang sekian lama hampir aku lupakan. Bercintakah aku dengannya? Putus cintakah aku dengannya, dan semua pertanyaan itu memenuhi semula ruang pemikiranku. Pun, aku hanya menggelengkan kepala sebagai menjawab pertanyaan Marina. Dia hanya menggelengkan kepalanya, dan senyum tawar itu sekali lagi menghiasi wajahnya.

"Baguslah Hidayah...tak payahlah bercinta. Perit dan memedihkan....aku ni contoh orang yang putus cinta...macam ni la jadinya...", terhinggut-hinggut semula bahunya menahan tangisan yang masih bersisa. Aku jadi kasihan semula, pun tangisan itu cuba dikawalnya semampu mungkin. Seboleh mungkin dia mahu menyampaikan luahan rasanya kepadaku.

"Kau pun tahu macam mana aku sayangkan Izham tu, siang malam aku mengingati dia, mengharapkan dia bahagia, bantu dia, bagi sokongan pada dia......dan, kalau kau ingat masa motor dia hilang hari tu, aku yang bagi dia separuh pembayaran untuk dia beli motor baru. Tentu kau ingat kan?"

Aku terkesima mendengar kata-kata Marina. Terbayang perilaku Marina melayan Izham yang sudah masuk tahun keempat dikenalinya, meminta pendapatku jika ada masalah yang tidak dapat diselesaikan, membantu dan memberi dorongan kepada lelaki itu sewaktu lelaki itu menyambung pengajiannya di sebuah kolej swasta, malah aku juga pernah beberapa kali berjumpa dengan Izham, melihat perlakuannya dan Marina, dapat aku rasakan yang mereka akan bahagia hingga ke akhir hayat.

Malah, aku mengenali Izham sebagai seorang anak muda yang baik, akhlaknya sempurna, solatnya juga mencukupi, dan tutur katanya sopan tidak melampaui batas yang sepatutnya. Kasih sayangnya untuk Marina pula, bukan tidak pernah dia menelefonku hampir ke pukul empat pagi kerana Marina tidak mahu bercakap dengannya, malah sudah diusulkan padaku yang dia akan menyunting Marina untuk dijadikan isterinya yang sah. Dapat aku rasakan, dia memang menyayangi Marina.

"Dia akan berkahwin selepas hari raya ni, dengan gadis pilihan ibunya. Pernah dia bagitau aku yang dia tak begitu sukakan gadis tu, tapi...dah beberapa kali aku nampak dia dengan seorang gadis, siap berpimpin tangan lagi. Mana satu yang aku nak percaya? Semalam aku tanyakan pada dia, kau tahu apa yang dia kata...itu urusan dia dan aku tak boleh masuk campur....".

Kasihan aku mendengar cerita Marina. Dia juga seorang gadis yang baik, kekasih yang setia dan teman yang akrab. Kenapa agaknya Izham sanggup buat dia begitu? Terbayang semula abang Amirul di layar ingatan, bersilih ganti dengan wajah Khaizan, Aqil dan Izham, otakku mula merumuskan perkara-perkara yang negatif. Pun, aku cuba menafikannya. Kalau asyik disogokkan dengan yang negatif saja, nanti aku jadi seorang wanita yang anti pada kaum lelaki pula.

1 comment: