Tuesday, October 26, 2010

Masih Jua Kupendamkan Perasaan Ini - 7

Hari-hari yang kulalui mula kurasakan suram. Walaupun segala tugasan dapat disiapkan dengan sempurna, namun sesekali Marina atau Najihah menegur juga perilakuku yang sering melamun tidak kira waktu. Asal saja tiada kerja, mulalah mereka nampak aku termenung di tepi tingkap, merenung di kejauhan. Aku pun pelik dengan perasaan yang menghantuiku tika ini, tapi itulah hakikat cinta agaknya.

Malah, ketika memandu pergi dan pulang dari kerja juga, seringkali aku dihon kerana alpa dengan warna lampu isyarat yang dirasakan cepat benar berubah. Lamunanku cukup panjang, hingga ada juga Marina dan Linda terpaksa mengingatkan tentang makan malam yang seringkali aku lupakan. Di benak mindaku cuma terbayang-bayang wajah abang Amirul dan gadis berkebaya kuning air itu sahaja.

Kring....kring.....

Pagi minggu yang sepi itu membawa lamunanku makin jauh dibawa khayalan minda dan lautan kenangan yang pernah kusimpul bersama abang Amirul. Tertancap pula fikiran pada seraut wajah gadis manis yang tidak aku tahu namanya. Hatiku mendesah, dan serasa fikiranku berputar ligat. Pasti mereka keluar bersama hari minggu begini, desis hatiku, berfikir yang tidak enak sahaja.

"Hidayah....call untuk kau....hissshhh, duduk sebelah telefon pun boleh tak dengar...", Linda mengomel sendiri sambil menyerahkan gagang telefon kepadaku. Aku hanya tersenyum malas, sedar pada kealpaan diri yang semakin teruk. Segera aku mengambil gagang tersebut dan dilekapkan ke telinga.

"Assalamualaikum....", suaraku sedikit hambar,tanpa keinginan untuk bersuara.

"Waalaikumussalam....", suara lelaki di hujung talian menyentakkan fikiranku. Siapa agaknya? Suara itu cukup asing di mindaku.

"Ini Datul kan?", panggilan itu sahaja sudah cukup mengenalkan aku kepada pemanggilnya. Hanya ada dua insan yang kukenal yang memanggilku Datul. Satu, abang Amirul, yang dah pasti tidak akan menelefonku waktu pagi begini. Malah, bertanya perihal nombor telefonku jauh sekali. Ada pun sekali dua berpapasan sewaktu aku ke pejabat Shahir Holdings untuk berurusan dengan Khaizan. Itupun hanya bertanya khabar dan senyum sedikit untuk mengelakkan Khaizan tahu
yang kami memang cukup kenal antara satu sama lain. Dua, Khaizan sendiri yang mula telah menggunakan panggilan itu untukku. Dan, dah sah itu suara Khaizan, kerana iras suara itu memang aku kenal betul.
"Mana awak tau phone number rumah saya ni?", cepat-cepat aku menjerkahnya. Terdengar dia tergelak, kuat.

"Amboi.....garangnya anak dara orang ni. Kalau tengok sekilas, wajah tu penuh ciri-ciri kelembutan. Tak sangka pulak garang macam ni....", iras suara Khaizan hilang. Itu bukan gaya Khaizan bercakap. Selalunya, Khaizan sukar untuk mengusikku. Kalau dia menyindir pun, dengan bahasa yang sinis. Bukannya direct begini.

"Senyap pulak....well, saya nak ajak awak keluar hari ni. Boleh?"

Pertanyaan itu, sahih ini bukan Khaizan. Hatiku berkocak tiba-tiba. Pantas pula sebuah keluhan aku lepaskan. Aku menarik nafas, menyedut sisa-sisa udara yang masih ada untuk kukumpulkan bagi meneruskan percakapan dengan lelaki tersebut.

"Awak ni siapa, senang-senang aje nak ajak anak orang keluar?", ternyata aku masih mampu mengukirkan sebuah pertanyaan, mengumpul kekuatan untuk berbicara. Saat itu, kemelut yang beraja di hati memikirkan abang Amirul juga telah hilang, digantikan dengan rasa serba salah kerana tidak bertanya perihal lelaki di talian itu terlebih dahulu.

"Kita pernah berjumpa, sekali. Masa kat Bangi....ingat tak?". Sejurus, ingatanku segera berputar. Kejadian dua minggu lepas itu segera bertamu semula di hadapan mataku. Kenangan manis dan pahit pada hari yang sama silih berganti. Dan, sekilas ingatan kepada abang Amirul hadir semula. Aku memejamkan mata, kembali mengumpul kekuatan dalam diri. Kenapa perlu aku memikirkan dia yang sentiasa menghadiahkan sebuah kesedihan di birai hatiku? Dia tak pernah ambil
tahu tentang aku, dia bukan Khaizan, atau abang Hakimi, malah bukan juga Pak Uda, Mak Uda atau Murni, dan juga bukan lelaki yang sedang menelefonku tika ini.

"Ohh....En. Zairul...saya ingatkan siapa tadi. Tentu Murni yang berikan phone number ni ya? Maafkan saya kerana berkasar tadi. Saya ingatkan siapa la tadi....", suaraku kembali hambar, malu pun berkepuk dalam diri, tersedar pada kesilapan diri yang menghamburkan kata-kata yang agak kasar seketika tadi.

"Alhamdulillah..ingat juga Datul pada saya. Actually Murni selalu memanggil Datul dengan nama tu, jadi tak salah kiranya saya menggunakan panggilan yang sama kan?", aku hanya mengangguk, lemah. Entah kenapa, serasa mulutku terkunci semula, walau lelaki itu masih lagi menunggu butir-butir kata dariku.

"Tak...tak apa....", aku sedikit teragak-agak.

"So, boleh saya ajak awak keluar hari ni?", sekali lagi, pertanyaan itu diajukan kepadaku. Sukar juga untuk kuterima pelawaannya. Jarang benar aku keluar berdua dengan lelaki yang tidak aku kenali, malah selama melalui zaman remaja hinggalah menginjak ke alam dewasa sekarang, aku hanya pernah keluar dengan abang Amirul sahaja. Itupun sesekali, abang Hakimi akan sama-sama menyertai kami.

Malah, semasa di universiti pun, aku tidak pernah menerima pelawaan sesiapa untuk keluar berdua-duaan. Ingatan pada abang Amirul menyebabkan aku menolak ajakan teman-teman rapat, terutama Hakim yang sering juga mengajakku menemaninya pulang ke kampung neneknya di Labu, sebuah tempat di Negeri Sembilan. Yang pastinya, abang Amirul saja yang tidak tahu betapa setianya aku menanti kepulangannya, walau kata-kata itu tidak pernah terucap. Mungkinkah aku hanya bertepuk sebelah tangan, hatiku bertanya sendiri.

"Datul.....boleh ke?", suara itu mengembalikan semula diriku ke alam nyata. Terasa wajahku merona merah, menyerbu rasa panas naik ke muka. Aku malu sendiri, alpa yang aku sedang bercakap di talian telefon.

"Err.......", ayatku tersekat-sekat. Apakah yang perlu aku jawab agaknya? Menerima ajakan lelaki ini seolah-olah memberikan harapan kepada dirinya. Menolak ajakannya pula, aku akan tenggelam semula dalam lautan kenangan mengingati abang Amirul yang sahih langsung tidak mengingati aku.

"Kalau awak nak keluar dengan saya, tak payahlah saya nak start enjin kereta ni. Boleh saya tunggu awak terus kat sini....", aku terkesima. Kata-kata itu memungkinkan yang dia sudah berada berhampiran dengan rumahku. Segera aku menjengukkan kepala, melirik ke jalan di hadapan rumah. Memanglah aku tidak mengenali keretanya, tapi mungkin aku boleh pastikan yang dia tidak menipuku. Aku tak nak dia sengaja mengugutku dengan cara yang begitu, mengatakan dia berada di hadapan rumahku, dengan harapan aku akan segera bersetuju dengan ajakannya.

Segera aku ternampak sebuah kereta berwarna kuning keemasan jenis Honda kukira, diletakkan bersetentang dengan pagar rumahku. Di bahagian pemandu, nampak kelibat seorang lelaki yang sedang bercakap di telefon bimbitnya. Gayanya seperti Zairul, dan tanpaku sedar, keluar keluhan kecil dari dalam diriku. Apa perlunya dia ke sini agaknya? Tentu Murni juga yang memberikan alamat rumahku. Murni...Murni.....apa perlunya dia membantu lelaki itu hingga sebegitu agaknya. Terbayang wajah manis anak gadis itu yang agak keletah dan peramah.

"Maaflah...saya mengganggu awak agaknya. Kalau awak rasa keberatan, tak apalah..", terdengar suaranya di talian. Aku jadi gementar, dan tiba-tiba terasa ingin menerima ajakannya. Dia kelihatan terlalu baik untuk diperlakukan sebegitu rupa. Cepat-cepat aku meraup wajah dengan tangan kanan, aku tekadkan hati, pusatkan pemikiran, dan aku melepaskan keluhan yang amat berat.

"Awak boleh tunggu tak? Saya nak bersiap sekejap....". Laju sahaja ayat itu meluncur dari dua ulas bibirku. Dan, bila dia bersetuju, cepat-cepat aku bergerak ke bilik dan menyalin pakaian. Sepasang kurung polos berwarna biru air laut berbunga kecil berwarna kuning cerah aku padankan dengan tudung kuning yang sepadan. Agak simple, dan aku segera menyapu sedikit losyen di tangan dan di kaki, sebelum menyarungkan stokin berwarna coklat cerah. Beg duit yang jarang aku bawa, aku isikan dengan dua keping duit berwarna merah untuk tujuan
kecemasan. Telefon bimbit berwarna biruku segera kucapai, dan segera aku menghala ke bilik Marina.

"Aku nak keluar sekejap. Anything, call aku ya....", itu saja pesanku. Tambahan, nampak matanya yang letih, bahana tidur lewat malam tadi agaknya, ataupun kerana ada konflik antara dia dan teman lelakinya. Aku jarang masuk campur, cuma sesekali aku akan jadi kaunselor tak rasmi pada dia dan Linda.

Sebaik sahaja aku menarik pintu pagar, kereta kuning keemasan itu sudah bergerak menghampiriku. Aku segera membuka pintu kereta sebelah kiri, dan cepat-cepat masuk ke dalam kereta tersebut. Bimbang ada mata-mata yang melirik, aku tidak mahu dijadikan bahan tohmahan orang lain.

"Assalamualaikum....", tiba-tiba, aku terdengar suara Zairul. Aku hanya memandang pemandangan keliling, sambil dua ulas bibirku menjawab salamnya.

"Alhamdulillah...bertuah saya kerana Datul sudi keluar dengan saya......", terlalu formal, desis hatiku, tanpa sedar. Pun, aku hanya mendiamkan diri, sambil menghayati lagu nyanyian kumpulan nasyid Alarm Me yang sedang dimainkan di radio. Entah mengapa, tiba-tiba aku jadi selesa dengan suasana tersebut. Malah, bila kereta dipandu laju menuju ke tol Jalan Duta, aku masih lagi dengan diamku
yang tidak putus. Entah ke mana hala tujuannya, aku hanya menanti destinasi yang hendak ditujunya.

"Diam aje...tak selesa ke?", aku sedikit terkejut. Sewaktu melintasi laluan menghala ke Damansara, tiba-tiba sahaja dia menegur. Sangkaku, dia juga tidak akan bersuara apa-apa padaku. Aku memandang wajahnya, tenang, dan nampak bersih. Dia hanya berpakaian simple, t-shirt berkolar warna biru dan berseluar track. Mungkin memang itu trade-mark dia agaknya, atau dia baru balik dari berjogging, pagi-pagi Ahad begitu.

"Saya minta maaf, sebab saya rasa macam saya paksa Datul untuk keluar dengan saya pula.....", lembut sahaja ayat yang keluar dari mulutnya. Aku pula yang merasa bersalah. Mungkin dia menganggap diamku sebagai tanda protesku agaknya.

"Actually, saya memang pendiam. Mungkin Murni pun ada bagitau kan...?".

Dia tergelak. Sekilas dia melirik ke arahku. Tajam matanya memandang wajahku, sebelum memandang ke hadapan semula. Laluan yang tidak begitu sesak memudahkan pemanduannya. Nampak sahaja laluan sebelah kiri yang menghala ke Subang, dia segera memberi isyarat membelok ke kiri. Entah kemana dia hendak pergi, aku pun tidak tahu.

"Banyak yang Murni ceritakan pada saya tentang Datul. Tapi, janganlah risau, saya tak makan orang tau.....", kata-katanya, seiring gelak halusnya, menunjukkan yang dia seorang yang peramah. Aku sedikit lega, sekurang-kurangnya aku tidak tersekat dalam rasa serba salah yang amat hanya kerana mendiamkan diri tanpa ada idea tentang apa yang hendak dibualkan.

"Saya nak bawa Datul ke satu tempat. Tapi, harap Datul tak marah ya.....", masih jua dia dengan kata-katanya yang tidak putus. Pun, dia tidak kisah kalau aku tidak menjawab kata-katanya. Dibiarkan sahaja aku diam sendiri, walau hati berdebar juga, bimbang dia tidak selesa dengan kehadiranku seperti ini. Aku hanya menganggukkan kepala, dan masih mendiamkan diri. Berbeza semasa ada Murni, dia boleh menghangatkan suasana yang suram. Kalau aku sahaja, suasana
yang ceria pun jadi suram tidak bermaya.
Setibanya di penghujung arah ke Shah Alam, dia membelokkan keretanya ke lorong sebelah kiri. Perlahan saja pemanduannya, hinggalah aku nampak kawasan perumahan yang agak besar. Aku mula merasa tidak enak, malah rasa gusar dengan hala tuju yang dikatakan Zairul. Aku fikirkan dia cuma mengajakku keluar ke pusat membeli belah atau ke mana-mana pantai peranginan, seperti mana anak-anak muda zaman sekarang. Ternyata, dia berbeza dari apa yang pernah aku fikirkan.

Keretanya diberhentikan di hadapan sebuah rumah dua tingkat bercat biru air laut. Kawasan sekitar masih tenang, cuma sesekali ada sebuah dua kereta melintas. Pagi pun masih awal, jam di tanganku baru menunjukkan ke angka sembilan setengah pagi. Perlahan dia menekan salah satu butang di panel keretanya, dan pagar hitam ditinta warna kuning keemasan itu terbuka. Rumah siapa pula agaknya, namun aku tidak bertanya apa-apa. Rasa gusar sahaja yang beraja di hati, ditambah degupan jantung yang kian laju.

"Jom...nilah rumah family Mak Ngah saya.....rumah emak Khaizan. Datul kenal dengan dia kan....", aku tersentak sewaktu mendengar kata-
katanya. Kenapa aku dibawa ke sini? Saat itu, serasa air mataku mahu gugur. Aku jadi gugup, dan jadi takut. Pertama kali mengenalinya, aku sudah dibawa berjumpa ahli keluarganya. Apa mahunya dia dariku? Terasa seperti ingin segera melangkah keluar, cuba menyembunyikan rasa hati yang mula tidak keruan. Ternyata Zairul memang bijak, dia berjaya mengesan perubahan perasaanku.

"Jangan risau.....tak ada apa-apa. Khaizan pun selalu bawa rakan universiti dia, malah saya pun selalu bawa beberapa orang rakan melawat Mak Ngah saya. Dia lumpuh...".

Ohhh, desis hatiku sendiri. Aku hanya menurut langkah Khaizan masuk ke rumah tersebut. Khaizan segera menuju ke sudut rumah yang meletakkan satu ruang tanpa pintu. Berlatarkan sebuah taman kecil yang dihiasi dengan sebuah binaan air terjun buatan yang amat cantik, aku melihat seorang perempuan di atas sebuah kerusi roda dan duduk membelakangkan kami. Perasaanku semakin berdebar-debar. "Assalamualaikum Mak Ngah...". Sejurus, wanita itu memusingkan kerusi
rodanya. MasyaAllah, cantiknya dia, terdetik di hatiku. Wajah wanita itu ada iras-iras wajah seorang pelakon yang tidak aku ingat namanya. Yang membezakannya pun mungkin wajah di hadapanku lebih tenang, lebih berusia dan lebih menyejukkan mata memandang. Dia tersenyum memandangku dan segera menyambut tangan Zairul apabila anak muda itu menghulurkan tangannya.

"Ohh...Aqil....awal pula datang. Khai keluar, dia teringin nak makan nasi lemak kat gerai sebelah taman permainan kat belakang sana....ni, siapa pulak gadis manis ni?", ramah, cukup berbeza dengan apa yang aku fikirkan seketika tadi. Sangkaku, dia jenis pendiam, dan tidak akan menghiraukan kehadiran orang-orang di sekelilingnya. Maklumlah, biasanya kebanyakan filem melayu menonjolkan watak yang begitu. Cepat-cepat aku tunduk, bersalam dan mencium tangan wanita itu. Tangannya cukup sejuk, lembut dan dia mengeratkan lagi pegangannya dengan mencium pipiku.

"Ini...Datul. Nadratul Hidayah...".

Nampak wanita itu seperti cuba mengingati sesuatu. Dan tiba-tiba pula dia tersenyum semula. Aku gemarkan senyumnya, senyuman keibuan yang cepat sahaja mengembalikan ingatanku pada umi di kampung. Apalah yang dibuatnya pagi minggu begini, selain dari memberi ayam-ayamnya makan, membersihkan harmster kesayanganku, dan membersihkan habuk yang berkepuk di beberapa sudut rumah.

"Ohhh...Aqil ada beritahu ibu tiga bulan lepas kan. Gadis yang bekerja di syarikat kawan baba....yang berurusan dengan Khai tu ya? Khai pun ada beritahu ibu.....". Aku terkejut mendengar kata-kata wanita tersebut. Sangkaku, dia langsung tidak mengenaliku. Bagaimana pula anak muda ini boleh menceritakan tentang kewujudan seseorang yang belum pun mengenali dia. Aku mula sangsi, entah apa lagi agaknya yang dia tahu tentang aku, dan entah apa lagi halku yang sampai ke
pendengarannya. Aku mengetap bibir, dalam senyum paksa, aku melirik Zairul yang nampak serba salah. Pun, ibu Khaizan cepat sahaja menangkap telahan perasaanku. Dia segera mencapai tanganku, dan mendorong aku keluar dari bilik yang menenangkan itu.

"Mari, kita ke dapur. Rasanya sekejap lagi Khai balik la tu. Aqil, tolong tengokkan dahan bunga ros ibu kat tepi akuarium kat luar tu. Ada yang patah rasanya....", hebat, dia bijak mengatur suasana. Tanpa sedar, aku mula menyukai personalitinya. Ciri-ciri kelembutan dan keibuan yang ditunjukkannya memudahkan aku untuk lebih mesra dengannya. Malah, cara dia menangani suasana hambar tadi begitu hebat. Aku mula kagum dengan perempuan ini, walau baru pertama kali
berjumpa. Kenapa agaknya sikap Khaizan berlainan benar dengan perlakuan ibunya agaknya.

No comments:

Post a Comment