Monday, October 25, 2010

Masih Jua Kupendamkan Perasaan Ini - 6

Melepasi laluan ke tol Serdang di sebelah kiri, manakala laluan ke Universiti Pertanian Malaysia yang menghala ke sebelah kanan, aku seperti terbayang-bayang lagi insiden seketika tadi di layar mindaku. Siapa agaknya wanita itu? Isterinyakah? Hatiku seperti ditarik-tarik untuk menerka kehadiran wanita di sisi abang Amirul seketika tadi. Murni pula seperti leka dengan lamunan perasaannya, sedang Fikri pula lena di tempat duduk bahagian belakang. Nampak sahaja papan tanda menghala ke Kajang di sebelah kiri, aku segera memberikan isyarat
untuk membelok ke kiri. Jalan tersebut yang mempunyai tiga lorong memudahkan aku untuk memandu tanpa gangguan dari kenderaan-kenderaan lain.

Laluan masih lagi lengang di simpang empat berlampu isyarat yang menghala ke Sungai Merab Luar.Aku sedikit bersyukur, kerana azan Maghrib yang berkumandang di radio yang kupasang sedikit mengingatkan aku tentang solat Maghrib yang perlu dilunaskan tika itu juga.

"Nak solat di mana kak Datul?", tiba-tiba sahaja Murni bersuara. Aku hanya tersenyum memandang wajahnya yang sedikit suram. Kenapa agaknya dia? Apakah kemelut yang dihadapinya sama dengan tekanan perasaan yang sedang melandaku tika ini?

"Masjid Al-Hasanah saja la...nak ke UKM agak jauh juga. Sempat lagi kalau nak berjemaah....", aku menjawab, sambil memusing stereng kereta menghala ke sebelah kanan. Masjid Al-Hasanah, yang dulu sering menjadi tempatku menunaikan rukun Islam yang satu itu, masih lagi seperti dulu. Tidak ada perubahan yang ketara. Kalau ada pun, mungkin dengan pertambahan tempat meletak kenderaan di bahagian belakang masjid. Bilangan jemaah juga bertambah ramai, tidak seperti dulu di mana sukar benar untuk bersolat bersama jemaah wanita.

Aku segera menyuruh Murni bersolat dahulu, sedang aku menunggu Fikri yang masih lena di dalam kereta. Wajarnya, aku mengejutkan Fikri kerana umi sering berpesan tentang keburukan tidur pada waaktu senja-
senja begitu. Tetapi, aku batalkan niat tersebut apabila melihatkan Fikri yang tertidur pulas dengan lenanya. Kasihan pula aku hendak mengganggu lenanya.

Aku hanya memerhati sekitar kawasan yang lama tidak kukunjungi itu. Bilangan kereta agak banyak, ramai yang semakin sedar betapa beruntungnya dapat berjemaah beramai-ramai. Pahalanya saja menjangkau hingga 27 kali ganda, ukhuwah dan silaturahim yang berbekas dari pertemuan-pertemuan yang tidak disengajakan juga biasanya boleh mencerna minda ke arah ikatan persahabatan yang lebih baik. Bukan sedikit kenalanku di masjid ini, malah kebanyakannya orang kuat masjid dan kawasan sekitarnya yang terdiri dari pelbagai ragam dan
usia.

Tiba-tiba sahaja, aku terpandang nombor plat kereta Proton Wira hijau lumut yang diletakkan di bahagian bertentangan dengan keretaku. WJU 7788....sah, memang itulah kereta yang aku nampak di Tol Besraya seketika tadi. Kereta tersebut yang diletakkan bersetentang denganku memudahkan aku untuk memerhatikan bentuk dan keadaannya dengan lebih jelas. Warna metaliknya yang kelihatan agak berkilau disinari samar-
samar cahaya lampu di tempat meletak kereta tersebut memberi peluang untuk aku memastikan keadaan bentuk dan rupa kereta tersebut.

Sekujur tubuh tinggi lampai berbaju kebaya warna kuning cerah tiba-tiba sahaja menghampiri kereta tersebut. Rambut ikalnya beralun, dan tas tangan hitam disangkut di bahu kanannya. Dalam kesamaran senja yang kian kelam, aku dapat melihat wajah wanita itu dengan agak jelas juga dengan bantuan sinaran lampu sediada. Wajahnya agak cantik, hidung mancung terletak dan mukanya berbentuk sedikit bujur sirih. Kelihatan dia menguakkan sedikit rambutnya sambil bersandar di pintu kereta sebelah hadapan. Matanya berkali-kali melirik jam di pergelangan tangannya, dan sesekali matanya melingas ke arah laluan tempat solat lelaki yang berada di sebelah kiri masjid tersebut. Pasti abang Amirul yang ditunggunya, aku menerka sendiri.
"Ehhh...kak Datul....Fikri dah bangun ke?"

Aku begitu terkejut apabila Murni tiba-tiba sahaja berada di hadapanku. Nampak dia hanya menyumbatkan kain sembahyangnya ke dalam beg dengan agak kelam kabut, dan segera pula melabuhkan punggungnya di atas tempat duduk hadapan. Aku melirik sekilas ke arah wanita di sisi kereta tersebut, masih lagi tidak sedar yang aku asyik memerhatikannya seketika tadi.

"Belum lagi....akak nak solat dulu la....", sambil menarik beg berisi kain sembahyang yang memang sentiasa tersedia di dalam kereta, aku segera melangkah menuju ke laluan tempat bersolat wanita. Laluan terbuka itu memang luas dan memudahkan aku melangkah apabila sesekali berselisih dengan beberapa jemaah wanita lain yang sudah menunaikan solat Maghrib pastinya.

Sehabis menunaikan solat, cepat-cepat aku mencapai tudung dan menyarungnya di kepala. Langkah kulajukan sedikit dari biasa, dengan harapan kereta metalik hijau lumut itu masih berada di tempat meletak kereta. Aku teringin untuk melihat abang Amirul dan wanita itu dengan gayanya yang tersendiri. Selama ini, mungkin aku tertinggal beberapa perkara penting yang tidak pernah abang Amirul ceritakan padaku. Aku pula jenis yang tidak betah untuk bertanya, lagipun aku tidak mahu
pertanyaanku akan menjerat diriku sendiri pula. Namun, mindaku seperti memihak padaku supaya mendapatkan sedikit penjelasan tentang kewujudan wanita itu dalam hidup abang Amirul. Tidak tega rasanya hati ini hendak melihat orang yang kusayang menjadi pahlawan dalam hidup orang lain.

Hampanya rasa hatiku apabila melihat tempat meletak kereta tersebut telah kosong. Murni pula, kelihatan sedang melayan kerenah Fikri yang agaknya sudah bangun dari tidur sewaktu aku sedang bersolat tadi. Segera aku meletakkan beg berisi kain sembahyangku di tempat duduk belakang. Seat hadapan aku rapatkan, dan segera aku memasukkan gear reverse. Aku segera mengundurkan kereta untuk keluar dari kawasan masjid tersebut.

Suasana sekitar laluan menghala ke UKM agak sibuk juga. Murni yang beria-ia hendak menunjukkan `sesuatu' kepadaku masih dengan diamnya yang tidak putus. Masuk sahaja di pintu hadapan universiti tersebut, saat itu juga kenangan lama bertamu di layar minda. Saat-saat menerima ijazah di Dewan Canselor Tun Abdul Razak yang lebih sinonim dengan panggilan DECTAR di kalangan pelajar-pelajar UKM, mula membariskan nama-nama yang hampir tenggelam dalam kenangan lama.

Hisham, Nurliana, Nazirah, Hakim, Ridhuan, Solehah dan Siti Zariah dan beberapa wajah lain mula berbaris di layar mata. Entah di mana mereka semua sekarang. Pernah juga bersua dengan Ridhuan yang kini menjadi orang kuat di syarikat ayahnya, tapi tidak pula bersua dengan teman-teman lain yang lebih akrab. Hakim, yang dulu sering menjadi rakan tutoran yang paling akrab juga tidak aku temui. Dengarnya, dia sudah berjaya menghabiskan program sarjananya dan kini dalam proses untuk terbang ke Scotland menyambung pengajian doktor falsafahnya
pula. Ah, kenangan yang cukup indah untuk diputar semula, detik hatiku pantas sambil tersenyum sendiri mengingati memori lama yang masih subur di ingatanku.

Pun begitu, banyak juga perubahan yang berlaku di hadapan mata. Binaan baru pondok pengawal di hadapan pintu masuk utama, kini gah dengan beberapa orang pengawal berseragam biru tua berdiri mengawal laluan utama pintu masuk tersebut. Banyak juga pohon-pohon penyeri yang lama telah berganti baru. Bukan lama pun tempoh dua tahun, namun perubahan itu tetap ada.

"Kita ke Kolej Tun Hussein Onn la kak Datul....", ujar Murni, spontan. Aku hanya menganggukkan kepala dan segera membelokkan kereta mengikut laluan di tepi DECTAR. Beberapa orang pelajar perempuan kelihatan berjalan berbondong-bondong menuju ke perhentian bas di luar universiti pastinya. Memang perhentian bas itu juga yang sering menjadi tumpuanku dan rakan-rakan sekamsis terutama pada hari-hari Selasa dan Sabtu kerana ada pasar malam pada hari-hari tersebut.
Maklumlah, saat itu manalah ada kenderaan sendiri untuk bergerak ke mana-mana. Bas, teksi dan komuter sajalaah yang menjadi sumber pengangkutan utama waktu itu.

Tiba di hadapan kolej yang dahulunya dipanggil kamsis, aku segera meletakkan kereta di sebelah bangunan asrama pelajar kolej bersebelahan kolej tersebut. Murni pula, segera mencapai telefon bimbitnya dan segera mendail nombor telefon rakannya, pastinya.

"Awak kat mana ni?"

Tanpa salam, tiba-tiba sahaja pertanyaan itu lahir dari dua ulas bibirnya. Dia hanya tersengih sewaktu aku membisikkan perkataan `salam' di telinganya. Diangkat tangannya menunjukkan yang dia terlupa untuk memberi salam.

"Saya kat bawah ni. Boleh turun sekejap tak ?", dahi Murni sedikit berkerut-kerut, namun kemudiannya dia segera tersenyum lebar.

"WHW 4554....warna kelabu sikit.....jenis Proton Wira.....", dah sah dia sedang menerangkan tentang keretaku kepada sahabatnya. Aku hanya tersenyum membenarkan kata-katanya. Fikri pula sudah bergerak ke belakang kerusiku dan memeluk leherku dengan gaya anak-anaknya.

"Kenapa kita berhenti di sini, kak Datul...?"

Aku segera menarik Fikri ke atas ribaku. Sambil mengusap-usap kepalanya, aku menyentuh bahu Murni yang kelihatan diam sahaja sebaik sahaja habis bercakap di telefon seketika tadi. Dia hanya menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tersenyum lebar. Telunjuknya tiba-tiba sahaja menunjukkan ke satu arah di sebalik blok asrama. Aku ternampak kelibat seorang lelaki yang agak tinggi berbaju sejuk warna kelabu dengan seluar tracksuit hitam. Lagak santai sebegitu sedikit
menyenangkan aku.

Cepat-cepat Murni menolak pintu kereta dan melangkah keluar untuk bertemu sahabatnya itu. Dalam samar-samar cahaya lampu dari cafe berhampiran, aku mengamati sesusuk tubuh yang agak gagah dan tinggi juga. Senyuman anak muda itu segera mengingatkan aku kepada pelakon melayu lama yang agak aku minati, iaitu Nordin Ahmad.

"Ni kakak sepupu saya, kak Datul. Actually saya rasa awak lebih tua dari dia kot. Dia baru nak masuk 23 tahun...", Murni segera memperkenalkan aku kepada anak muda tersebut. Pelik juga aku, bagaimana pula dia masih di universiti dengan umur yang lebih tua dariku. Tapi, pertanyaan itu hanya tersekat di kerongkongku, tak
mampu aku meluahkannya. Aku tidak seramah Murni, yang petah bercakap dan bertanya.

"Saya....Zairul...nice to meet you....", gaya sebegitu segera mengingatkan aku kepada Khaizan, tapi cepat-cepat kubuang ingatan pada lelaki itu. Dia bukanlah insan penting yang perlu menjadi tugu di mindaku. Pun begitu, aku akui yang anak muda di hadapanku memang benar-benar berkarisma. Sepanjang menikmati makan malam dengannya di sebuah restoran di luar kawasan universiti, gaya seorang lelaki sejati terserlah pada setiap perlakuan dan tutur katanya. Malah, tanpa rasa serba salah, bersahaja dia mencempung Fikri yang terlena beralas badanku sewaktu di meja makan dan diletakkan ke dalam kereta. Patut pun Murni terpikat, desis hatiku tanpa sedar.

"Ok kan dia...kak Datul?"

Pertanyaan itu menyentakkan mindaku, menghilangkan terus bayangan Amirul yang mula mahu bertamu di birai mata. Laluan yang agak lengang ketika itu cepat sahaja membawa lamunanku mengingati kejadian petang tadi. Segera aku menoleh sekilas ke arah Murni, senyum nakalnya membuatkan aku merasa agak hairan.

"Memang ok......tak ada kurang satu apa pun. Tapi, kena hayati jugak......lelaki ni banyak muslihatnya...", suaraku tenang menasihati anak gadis yang sedang meningkat naik itu. Usianya tidak jauh berbeza denganku, tapi sifat keanak-anakannya agak ketara bila dia mendampingiku.

"So.....boleh la akak proceed. Tak ada kurang kan pada dia...?"

Aku terkesima mendengar kata-kata Murni. Apa maksud di sebalik kata-katanya itu? Aku hanya mendiamkan diri, menanti butir-butir selanjutnya keluar dari mulut Murni. Malah, tumpuanku beralih semula kepada jalan raya yang agak sesak kala itu.

"Actually, dia lecturer Murni untuk subject English for Global Science and Technology....sekarang sedang buat Master of Engineering dengan UPM Serdang......tapi, dia lecturer masa first year...dah macam kawan pulak bila jumpa......".
Aku agak terkejut mendengar penerangan Murni. Lelaki yang hanya gemar bertrack suit itu seorang pensyarah? Berbeza benar personaliti dan imej yang dibawanya dengan jawatan yang sedang disandangnya. Pun, aku hanya mendiamkan diri tanpa sebarang komen. Aku pasti Murni akan menyambung semula kata-katanya.

"Dia pernah tanyakan Murni pasal Nadratul Hidayah.......", ayat itu terhenti di situ. Tunak mata Murni memandang reaksiku. Aku sedikit terkejut, tetapi cuba berlagak setenang mungkin. Apa pula kaitan hidupku dengan lelaki itu. Setahu aku, sedikit pun aku tidak mengenalinya.

"Dah lama dia bertanya, tapi Murni diamkan aje...mula-mula Murni fikir tak nak ganggu akak....tapi, lama kelamaan dia makin mendesak. Murni ambil keputusan untuk bawa akak berjumpa dengan dia......maaf....", suara Murni semakin perlahan. Nampaknya dia merasa amat bersalah dengan tindakannya seketika tadi. Patut pun aku tidak diberitahu langsung tentang `sesuatu' yang dikatakannya itu.

"Dari mana dia tau pasal akak?"

Suaraku begitu hambar, walaupun hatiku melonjak-lonjak ingin tahu keseluruhan cerita tersebut. Mengenali lelaki itu pun tidak, dari mana pula dia memperolehi maklumat tentang aku. Tentu ada kawan-kawan yang membocorkan rahsia tentang diriku kepada orang yang tak dikenali. Tapi, bagaimana pula dia tahu tentang Murni, persoalan-persoalan itu mula berlegar di mindaku, memenuhi ruang-ruang kosong yang tidak dipenuhi dengan persoalan tentang Amirul.

"Sebenarnya, dia tu abang sepupu pada Encik Khaizan, rakan sekerja dan pelanggan ayah tu. Kalau tak silap Murni, dia ada datang masa perasmian projek pertama Shahir Holdings dan Utama Berkat tahun lepas. Sejak tu, dia mula bertanya pada Murni tentang akak.....", penerangan anak gadis itu semakin merancakkan mindaku berfikir. Terbayang majlis perasmian projek itu yang terpaksa kuhadiri atas permintaan Encik Muzaffar sendiri. Serasaku, aku masih lagi baru waktu itu, dan hanya mendiamkan diri sahaja tanpa cuba untuk
menonjolkan diri di tengah orang ramai, bagaimana pula dia boleh mengenaliku? Khaizan pun belum tentu ingat yang aku menghadiri majlis tu.

"Alaaa.....dia tu baik la akak....ramai student minat pada dia tau.... Murni pun tak sangka dia berminat sangat dengan kakak sepupu Datul ni....rasa bertuah pulak....", Murni sengaja menjolok perasaanku untuk jatuh hati pada anak muda tersebut. Dan, di layar minda, mula terbayang wajah abang Amirul dan wanita berkebaya kuning air itu. Hatiku merintih sedih semula, kenapa orang yang aku sayang tidak sukakan aku, insan lain yang tidak aku senangi pula cuba
menarik perhatianku?

Malam itu, Murni tidur di rumahku. Patutlah dia bersedia dengan beberapa helai pakaian dan keperluan asasnya. Puas dia menyogokkan aku supaya menerima saja pemuda itu dalam hidupku. Jenuh juga dia mengungkapkan pelbagai pujian untuk anak muda itu, dah sah anak muda itu menggunakan Murni untuk memikat aku. Pun begitu, tiada sekelumit pun pujukan itu berkesan di hati batuku. Hatiku telah keras, pergi bersama abang Amirul dan gadis berkebaya kuning air itu.

No comments:

Post a Comment