Sunday, October 24, 2010

Masih Jua Kupendamkan Perasaan Ini - 5

Kuala Lumpur masih tetap dengan kesibukannya, walau belum menjangkau ke waktu makan tengahari. Aku menyusuri Jalan Ampang perlahan-lahan, tidak mahu terkejar-kejar seperti biasa. Entah sudah berapa puluh kali aku cuba melegakan nafas dan minda, dan aku harap segala-galanya berjalan lancar seperti pertemuan dengan client-client yang lain. Perasaan yang berdebar-debar, cuba aku elakkan seupaya mungkin.

Aku melirik jam di pergelangan tangan sewaktu keluar dari kereta. Baru pukul 10.48 minit pagi. Masih awal, walhal antara tempat meletak kenderaan berhampiran Jalan Binjai dan Hotel Nikko bukanlah jauh sangat. Sesekali mataku terpandang beberapa pasangan remaja berjalan berdua-duaan sambil berpegangan tangan dengan agak erat. Fikiranku mula berlegar mengingati Murni dan beberapa orang anak-anak gadis yang sebayanya. Perasaan sedikit bimbang mula beraja di hati. Otakku mula berfikir tentang gejala dan pemikiran zaman moden yang jarang dititik beratkan. Namun, aku masih jua melangkah perlahan di laluan
pejalan kaki menuju ke Hotel Nikko.

"Assalamualaikum....".

Terasa begitu dekat ucapan salam tersebut di pendengaranku. Cepat-cepat aku menoleh ke belakang. Bimbang juga kerana suasana Kuala Lumpur yang sering mewujudkan insiden-insiden berbahaya dan diterapkan di dada-dada akhbar untuk bacaan pelbagai lapisan masyarakat. Walau berada di tempat umum, perasaan untuk selalu curiga dengan keadaan sekeliling membuatkan aku lebih berhati-hati, terutama apabila berjalan berseorangan begini.

"Ehh......Encik Khaizan......", lega sedikit hatiku apabila melihat lelaki itu tersenyum memandangku. Lagaknya bersahaja, dan kolar bajunya tidak dibutangkan. Tanpa tali leher, dia kelihatan lebih berkarisma. Mungkin imej santai lebih bersesuaian dengan dirinya. Atau, sikapku yang memang tidak terlalu sukakan imej-imej korporat yang dirasakan terlalu berbeza dengan diriku yang lebih gemar berada
dalam keadaan yang tidak formal.

"Jalan macam tak pandang orang. Tunduk aja.....".

Tegurannya membuatkan aku sedikit tersenyum. Bukan dia orang pertama yang menegur begitu, malah sejak aku meningkat remaja, teguran itu seolah-olah sudah sebati dalam diriku. Kuhayun langkah di sisinya, dan dia masih dengan senyumannya yang tidak putus.

"Saya ingatkan saya dah lewat tadi. Tiba-tiba saya nampak Cik Nadratul sedang berjalan di depan saya.....tapi, kiranya saya terlambat juga la kan.....", dia ketawa kecil sebaik sahaja menghabiskan ayatnya. Aku masih jua dengan senyumku. Terlihat sahaja signboard ke hotel tersebut dihadapanku, barulah aku bersuara kepada Khaizan.

"Saya jarang buat appointment di hotel.....", perlahan saja suaraku.
"Habis tu, biasanya buat discussion di mana?", pantas saja Khaizan menyambung pertanyaan. Nampak dahinya sedikit berkerut, dan langkahku sengaja kulajukan apabila sudah memasuki Cafe Serena Brasserie, salah satu kafe yang terdapat di hotel tersebut. Kebanyakan meja masih kosong sewaktu aku melabuhkan punggung di suatu sudut yang agak terlindung berhampiran tingkap. Mungkin kerana kafe tersebut baru dibuka pada pukul 11.00 pagi, masih belum ada pengunjung yang berkunjung untuk menikmati makan tengahari.

"Biasanya di pejabat sahaja. Lebih mudah, lebih selesa......", dahinya berkerut lagi memdengar kata-kataku. Dah sah, dia mudah terasa kalau ada orang yang mengkritiknya. Cepat-cepat aku menyambung, untuk menjernihkan semula keadaan
sediada,"tapi...sesekali macam ni, bagus juga....cuma, saya tak biasa pergi tempat-tempat eksklusif macam ni......". Pantas sebuah senyum tersungking di wajahnya. Aku sedikit lega, tidak mahu `perang dingin' itu meletus semula.

"Tak apalah.....saya faham. Lain kali kita buat appointment kat tempat tak eksklusif ya.....", bibirnya sengaja dicebirkan, mengajuk aku pastinya. Hakikat itulah yang harus diterima, walau berlawanan dengan tugas yang aku jalankan, berdampingan pula dengan golongan-golongan korporat, sebolehnya aku tidak mahu terlibat dalam rencah kehidupan dan gaya mereka. Aku tidak betah, malah sebagai anak
kampung yang dilahirkan dan dibesarkan bersalut lumpur dan pasir pantai, aku masih ingat asal-usul itu, walau dihadiah dengan sebuah mahligai emas berlantaikan berlian di tengah bandaraya ini.

"Saya tak kata macam tu..", cepat-cepat aku cuba menafikannya.
"I pun tak maksudkan macam tu. I cuma kata lain kali sahaja....", dan dia tersenyum lagi, malah lebih lebar dari sebelumnya. Aku berasa sedikit lega untuk kesekian kalinya, dia memang lelaki yang mudah diajak berbincang, dan mudah menceriakan semula suasana hambar yang hampir wujud. Perbincangan kemudiannya berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Beberapa item tambahan yang hendak dimasukkan dapat dipersetujui dalam masa yang agak singkat. Malah, seleraku tiba-
tiba sahaja hadir sebaik sahaja makanan yang dipesan tiba. Dan, buat pertama kalinya, aku makan dengan agak berselera di hadapannya.

"Dah lama kerja di Utama Berkat ?", aku segera melihat wajah Khaizan. Di tanganku, masih ada sesudu makanan yang hendak dimasukkan ke mulut. Dia tetap dengan senyumnya, dan ada tawa yang mahu dihamburkan, mungkin apabila melihat wajahku yang agak terkejut dengan pertanyaan yang tidak disangka-sangka itu.

"Tak lama juga. Baru nak masuk tahun kedua....", cepat-cepat aku menyudukan makanan ke mulut. Terdetik di hatiku, mungkin dia hendak mewujudkan kemesraan antara kami. Yalah, mungkin selama ini jurang itu agak ketara.

"Dulu grad dari universiti mana?".

Hampir-hampir aku tertelan butiran nasi yang sudah menerjah ke kerongkongku. Mana tidaknya, tiba-tiba sahaja aku ternampak kelibat abang Amirul di hadapanku. Dia mengatur langkah bersahaja menuju ke arah meja yang sedang aku duduki. Pakaiannya, kot hitam yang menyaluti tubuhnya, tali lehernya dan lagaknya benar-benar berlainan dari dia yang pernah aku kenali. Senyumnya juga tidak putus apabila melihat aku agak tekejut dengan kehadirannya.

"Assalamualaikum.....", masih bersahaja tingkahnya, dia menarik kerusi di sebelahku dan mula duduk. Khaizan tiba-tiba tersenyum lebar, terlupa seketika pada soalannya yang masih tidak berjawab. Aku pula, masih mendiamkan diri, hanya melihat perilaku dua insan di hadapanku.

"Waalaikumussalam......ingatkan kau tak jumpa tempat ni.....", Khaizan tiba-tiba bersuara ramah, sambil menepuk bahu abang Amirul. Dia masih dengan senyum bermaknanya yang ditujukan untukku. Aku sedikit terpana, nampaknya ada sesuatu yang tidak sempat aku tanyakan padanya sewaktu di kampung. Namun, rasa rindu membuak yang hadir untuk dirinya cepat-cepat melahirkan sinar gembira di wajahku. Aku hanya tersenyum memandang abang Amirul yang kini berada di hadapanku.

"Well....aku pun tak sangka officer yang kau nak jumpa ni seorang gadis cantik....", ayat spontan itu tiba-tiba sahaja menimbulkan rona-rona merah di wajahku. Cepat-cepat aku menundukkan muka, dan menyambung semula suapan yang terhenti tadi.

"Ohh.....ini Cik Nadratul Hidayah, dari Utama Berkat......Hidayah, ini rakan sepejabat saya, Muhamad Faris Amirul.....merangkap rakan seuniversiti dahulu......".

Aku melihat wajah abang Amirul yang bersahaja, masih jua dengan senyum kecilnya yang sukar untuk ditafsirkan. Dah sah Khaizan tidak tahu yang kami saling mengenali antara satu sama lain. Aku pula yang jadi serba salah, rasa gusar kerana bimbang perkenalan abang Amirul dan Khaizan bukanlah setakat rakan sepejabat dan kenalan semasa belajar sahaja. Apakah yang aku bimbangkan agaknya? Perasaan yang beraja di hati itu tetap jua wujud, kerana abang Amirul agaknya, atau kerana bibit-bibit rasa itu sudah mula mengisi benakku semula, sejak
pertemuan pertama itu berlangsung, walau dalam keadaan yang tidak aku jangkakan. Pertemuan kedua ini pula, masih dalam suasana hambar yang agak suram. Kenapa dia tidak memberitahu Khaizan yang kami saling mengenali, hatiku tertanta-tanya sendiri. Musykil dengan situasi dan perilaku yang ditunjukkan dihadapanku, dan mindaku terus berfikir, mencari jawapan yang masih belum pasti.

"Assalamualaikum...".

"Waalaikumussalam......mari masuk. Kak Datul ingat Murni tak jadi datang tadi. Yalah, semalam cakap dalam pukul 12 tengahari.. sekarang dah pukul 2 petang pun.......Ehhh......yang dua orang lagi tu pun, mari masuk.....rumah bujang aje ni.....", aku segera memeluk Murni dan bersalaman dengan dua orang rakannya.

Menurut Murni, mereka bertiga mahu meminta pendapat aku berhubung dengan sektor pembangunan dan perindustrian serta perkembangan bandar di sekitar kawasan yang berhampiran. Mulanya aku menolak juga, tapi bila diberitahu yang ia hanyalah point kecil untuk presentation mereka dalam bilik kuliah, aku jadi seronok pula. Kalau untuk pemarkahan yang agak tinggi,
aku seperti tidak berkemampuan pula untuk memberikan point bermakna kerana terasa masih ada orang lain yang lebih berilmu dengan pengalaman yang lebih banyak berbanding dengan aku yang baru setahun jagung dalam kerja sebegini.

"Naik apa tadi ke sini?", tanyaku pada Murni sambil mencapai remote untuk mengecilkan bunyi suara sebuah rancangan komedi di televisyen yang sedang ku tonton sementara menantikan Murni tiba tadi. Kebetulan pula Marina pulang ke kampung, manakala Zalinda pula keluar untuk membeli persiapan perkahwinan katanya, jadi kekosongan hari minggu begitu terisi juga dengan kedatangan tiga orang gadis tersebut.

"Naik teksi aje, kak Datul...mula-mula ayah nak hantar juga, tapi Fikri nak ikut. Faham-faham aje la kalau dia ikut........", sambut Murni sambil tangannya membuka zip beg dokumennya untuk mengeluarkan buku catatannya.

"Kak Datul.....yang pakai tudung biru ni namanya Khuzaimah, yang sebelah Imah tu pulak Nur Afida......korang, nilah kakak sepupu aku, kak Datul......", seperti biasa, Murni masih dengan mulutnya yang petah bersuara. Aku hanya menganggukkan kepala kepada rakan-rakan Murni sambil tersenyum. Mereka membalas senyuman aku dengan begitu mesra, walau masih dengan wajah yang tersipu-sipu.

"Sekejap ya.....", secepat itu pula aku segera beredar ke dapur. Air mangga yang memang sentiasa tersedia dalam jag dan diletakkan di dalam peti sejuk segera aku keluarkan. Empat biji cawan seramik yang dibeli sewaktu aku ke Johor tahun lepas diatur di dalam talam berbunga merah dan biru. Bekas kuih yang sentiasa penuh berisi beberapa jenis makanan kering aku buka tutupnya. Sebuah piring berbunga ros sederhana besar aku capai dari rak pinggan mangkuk. Lantas, aku isikan beberapa ketul halwa betik dan coklat pelbagai jenis yang memang sentiasa tersimpan di rumah.

"Susah-susah aje kak Datul ni.......", Murni cepat-cepat bangun dan menatang talam yang sedang kubawa. Aku hanya membiarkan. Dia memang bagitu, ringan tangan dan peramah. "Sikit aje....air bujang aje tu......ha, Khuzaimah....Afida.....minum dulu....tentu dahaga kan?....", cepat-cepat aku mempelawa kawan-kawan Murni yang masih lagi kelihatan agak malu-malu.

Cepat-cepat mereka mencapai cawan seramik yang telah berisi air, dituangkan oleh Murni. Perlahan pula mereka menghirup air tersebut, sambil mata memerhati sekitar rumah sewa tersebut. Aku hanya memandang, dan fikiran cepat saja terbayang zaman-zaman semasa di universiti dulu. Pelbagai cara dilakukan untuk mendapat maklumat, sementelah tidak mengenali tokoh-tokoh yang berpengalaman.
Alhamdulillah, berjaya juga pengajianku ditamatkan dengan nilai CGPA yang agak membanggakan juga.

"Kak Datul, sebenarnya kitorang nak tanya tentang kemajuan pembangunan sedia ada sekarang ni..tak faham lagi apa tu developer, contractor, engineer.....dan tak tahu skop2 kerja mereka....malah, kami nakkan sedikit penjelasan tentang kerja-kerja pembinaan sekitar Kuala Lumpur ni......". Aku hanya tersenyum mendengar pertanyaan adik sepupuku itu. Khuzaimah dan Afida pula tunduk menulis sesuatu di dalam buku catatan masing-masing. Nampak macam sebarisan wartawan
yang sedang mewawancara seorang tokoh politik pula.

"Actually akak pun masih baru melibatkan diri dalam bidang ni. Tak banyak yang akak tahu, setakat basic info tu bolehlah akak bagi. Engineer tu person yang in-charge on drawing sesuatu structure tu...contractor pulak company yang menjalankan kerja-kerja bagi sesuatu pembinaan, manakala developer pulak ialah sesuatu company yang menguruskan pembangunan bagi sesuatu kawasan perumahan misalnya....".

Laju sahaja tangan mereka menyalin bulat-bulat setiap kata-kataku. Panjang juga penerangan yang harus diberikan bagi memuaskan setiap pertanyaan mereka, namun begitu aku merasa sedikit puas kerana dapat membantu anak gadis-anak gadis tersebut menyiapkan tugasan mereka. Lega rasanya apabila melihat senyum lebar yang dipamerkan sambil masing-masing menyimpan buku catatan ke dalam beg sandang mereka.

"Dah hampir pukul 6 petang kak. Rasa-rasanya kitorang kena beransur dulu ni....Khuzaimah dan Afida ni tinggal kat Serdang. Jauh juga diorang nak balik....", ujar Murni, sambil melirik jam di pergelangan tangannya.

"Lagipun, ayah dan mama tak ada di rumah malam ni, ada majlis makan malam di Hotel Century....kalau Murni tak balik sekarang, Fikri tinggal sorang-sorang dengan Mak Sinah aje nanti....", sambung Murni lagi.

"Ehh...kalau macam tu, apa kata kita pergi rumah Murni dan ambil Fikri, lepas tu kita hantar Afida dan Khuzaimah balik. Tak ada la jauh sangat kan...Serdang aje.....", tiba-tiba sahaja ayat itu meluncur laju dari mulutku. Murni memandang Afida dan Khuzaimah silih berganti. Nampak seperti mereka berdua agak serba salah.

"Tak apa, lagipun akak nak jumpa Fikri jugak....rindu....", sambungku lagi menyedapkan hati mereka berdua. Murni hanya tersenyum memandang rakan-rakannya. Dia sudah faham dengan peelku yang gemar memastikan tetamu-tetamu yang hadir pulang ke rumah dengan selamat, dan kalau tidak sejauh mana, pasti saja aku akan bersedia untuk menghantar tetamu-tetamuku pulang.
"Tak apa....kak Datul ni ikhlas....aku dah kenal dia. Nilah kakak sepupu aku yang paling best..",Murni menguatkan lagi pernyataanku yang masih samar-samar pada pemikiran rakan-rakannya. Nampak sahaja air muka mereka yang sedikit senang hati setelah mendengar kata-kata Murni, cepat-cepat aku meminta diri untuk menukar pakaian dan mengenakan tudung di kepala. Sebaik sahaja selesai bersiap, aku segera mengarahkan Murni dan rakan-rakannya masuk ke dalam kereta, sementara menantikan aku mengunci pintu dan jeriji rumah.

Jalan tidak terlalu sesak kala ini. Mudah saja bila kenderaan sudah membelok di hadapan Bangsar Shopping Centre. Kawasan itu yang biasanya sesak hujung-hujung minggu begini, sudah sedikit lengang, mungkin kerana ramai yang lebih gemar untuk mengambil cuti panjang pulang ke kampung di musim-musim cuti sekolah begini.

Fikri melonjak-lonjak keseronokan bila kukatakan pada Mak Sinah yang aku hendak membawa dia keluar berjalan-jalan. Puan Salbiah yang masih belum balik dari saloon rambut pastinya tentu sahaja bersetuju dengan hasratku untuk membawa Fikri keluar berjalan-jalan. Seharian di rumah tanpa aktiviti yang menyeronokkan sudah pasti membosankan anak kecil itu. Murni pula sempat mencapai beberapa helai pakaian dan keperluan hariannya dan disumbatkan ke dalam beg sandang kecilnya.Aku tidak tahu apa perlunya barang-barang tersebut, dan hanya mengerutkan dahi kepadanya apabila dia mengenyit mata nakalnya kepadaku.

Sewaktu membelokkan kereta di Plaza Tol Besraya, aku tersentak apabila terlihat kelibat abang Amirul di dalam sebuah kereta dari jenis Proton Wira berwarna hijau lumut bersama-sama seorang perempuan yang kukira agak cantik di sisinya. Aku hanya memerhati kereta itu dipandu laju di hadapanku setelah melepasi kaunter tol, namun masih sempat mengingati nombor plat kereta tersebut, WJU7788. Mujurlah
Murni dan rakan-rakannya tidak nampak perubahan air mukaku kerana insiden itu berlaku dalam masa yang amat singkat, namun jantungku mula berdegup laju, seiring dengan mindaku yang semakin laju berfikir tentang apa yang telah aku perhatikan seketika tadi.

"Rumah kitorang kena naik kat traffic-light tu, kak Datul....", tiba-
tiba sahaja aku dikejutkan dengan suara Khuzaimah yang meminta aku membelokkan kereta ke simpang di sebelah kanan. Aku segera memberi isyarat ke kanan, dan berhenti di simpang tiga berlampu isyarat, di mana isyarat lampu dihadapanku menunjukkan perubahan dari warna kuning ke merah.

"Kalau ayah, mesti ayah terus aje jalan...kan kak Murni kan..", suara petah Fikri tiba-tiba sahaja terdengar dari bahagian belakang. Aku melirik wajah comel itu melalui cermin pandang belakangku, dan nampak dia sedang menghisap gula-gula, sambil kepalanya disandarkan di tubuh kakaknya, Murni. Sedikit pun dia tidak tertidur walau perjalanan yang hampir memakan masa dua puluh lima minit itu agak membosankan. Radio yang sengaja kupasang agak perlahan hanya mengalunkan lagu-lagu nasyid bermelodi rendah yang agak menenangkan.

"Kak Datul baru belajar memandu la Afi....ayah kan dah lama memandu...", sambung Murni, sambil menjenguk melihat kawasan sekitar Serdang dengan penuh minat. Nampaknya seperti dia tidak pernah memasuki kawasan tempat tinggal sahabat-sahabatnya itu.

"Apartmen depan tu aje kak Datul....", Khuzaimah menunjuk ke arah sebuah apartmen yang baru siap dibina, sejurus melepasi lampu isyarat tadi. Seingatku, belum pernahlagi aku melihat binaan itu di situ, nampaknya bangunan tersebut merupakan bangunan yang baru dibina. Beruntunglah mereka, kerana ada sebilangan pelajar yang masih lagi menyewa di rumah-rumah lama walaupun harga rumah lama dan rumah baru hampir sama kadar sewaannnya.

Aku menghentikan keretaku di bahagian tempat meletak kereta berhampiran bangunan kediaman lima tingkat tersebut. Kawasan sekeliling kelihatan agak lengang, yang kelihatan cuma sebuah dua kereta melintas untuk lalu di kawasan tersebut.

"Jemput masuk dulu kak Datul, Murni dan Fikri...minum-minum air dulu ke...", Khuzaimah mempelawa, agak ramah. Aku menoleh memandang Murni, meminta pendapatnya. Nampak Murni hanya menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tersenyum kepada dua rakannya.

"Sorry la....aku nak bawa kak Datul tengok UKM la...dia kan dah lama tak ke sana...", aku cukup terkejut mendengar kata-kata Murni, namun aku hanya menganggukkan kepala dan tersenyum kepada dua anak gadis tersebut sebelum mereka meminta diri untuk naik ke rumah mereka. Sebaik sahaja Murni melabuhkan punggungnya di sebelahku, cepat-cepat aku menepuk pahanya.

"Ehhh....akak ada cakap dengan Murni kita nak terus ke UKM ke?"

Murni hanya tersengih-sengih dengan wajah yang cukup selamba. Dia
mengarahkan aku segera memandu apabila melihat sebuah kereta polis lalu di sebelah keretaku. Telunjuknya yang begitu ketara menyebabkan salah seorang pegawai polis yang duduk di bahagian tempat duduk belakang kereta tersebut menoleh dua tiga kali untuk memastikan yang keadaan sekitar adalah selamat.

"Murni nak tunjukkan sesuatu pada kak Datul....",dia masih dengan senyuman yang penuh dengan teka-teki. Aku hanya mengangguk-anggukkan kepalaku, walau kepalaku masih sarat dengan pelbagai persoalan yang tidak terjawab. Pemanduan diteruskan jua walau dalam keadaan yang agak lesu. Serasa kelibat abang Amirul bersama seorang wanita cantik seketika tadi menerbangkan separuh dari semangatku untuk terus melakukan apa-apa aktiviti bersama Murni dan Fikri tika itu.

No comments:

Post a Comment