Saturday, October 23, 2010

Masih Jua Kupendamkan Perasaan Ini - 4

Seharian juga aku cuba menghabiskan beberapa kerja yang tertangguh kerana cuti lima hari itu. Perit juga tekanan fikiran kerana semuanya menuntut minda berfungsi semaksimum mungkin. Puas juga meminta Nizam dan Najihah menyelesaikan beberapa tugasan yang lebih mudah. Kalau
tidak, sudah pasti semuanya perlu difikirkan semula. Terasa lega apabila tinggal dua tugasan sahaja setelah seharian berhempas pulas.

"Tak balik lagi ke?", petang itu, di kala pejabat sudah mula sunyi, tiba-tiba sahaja terjengul wajah Encik Muzaffar di pintu bilikku yang memang sentiasa terbuka. Aku hanya tersenyum, dan menunjukkan dua fail di dalam tray di hadapanku.

"Sikit aje lagi. Dah nak habis pun. Umi berkirim salam..." Encik Muzaffar hanya tersenyum dan melangkah masuk ke bilikku. Ditariknya kerusi, dan segera dia duduk. "Hebat. Pak Uda rasa ada hampir sembilan fail projek. Boleh habiskan tujuh dalam masa kurang dari lapan jam.....hebat...memang
hebat........", dan senyumannya makin lebar.
"Tak juga...Nizam dan Najihah pun ada menolong. Kalau nak harapkan Datul, satu pun belum tentu siap agaknya.......", aku segera menyatakan hal sebenar. Pun begitu, aku tahu yang Encik Muzaffar tahu bahawa semua tampuk tugasanku memang di lunaskan dengan cara pemikiran yang cemerlang. Nizam dan Najihah pula menjadi penggerak kepada idea-idea bernas yang telah difikirkan. "Free malam ni? Atau....ada date dengan sesiapa? Dah lama Datul tak datang rumah. Mak Uda ada tanya.....Fikri pun ada tanya......Murni pun ada juga tanya pada Pak Uda dua hari lepas....". "Boleh....date apa pula. Kalau sungguh-sungguh ada date, dah tentu
Pak Uda orang pertama yang akan tahu...", hatiku terasa menggeletek mendengar kata-kata Encik Muzaffar. Takkanlah orang seperti aku ada teman lelaki, getus hatiku sendiri, dan di ruangan minda,mula terbayang wajah abang Amirul.

"Kalau macam tu elok juga. Pukul lapan nanti singgah-singgahlah ke rumah. Nanti Pak Uda minta Mak Uda masak lebih sikit. Datang tau, jangan tak datang pula.....", aku hanya mengangguk-anggukkan kepala sebagai menjawab pelawaan itu. Encik Muzaffar segera berlalu ke luar pejabat. Aku segera melirik jam di pergelangan tangan. Dah hampir pukul 6 petang rupa-rupanya, dan aku segera memasukkan beberapa kertas dan fail penting ke dalam beg. Lap-top yang selama ini hanya digunakan di pejabat atau dibawa balik ke kampung juga aku kemaskan. Rasanya, tuntutan kerja semakin berat, dan aku perlu meluangkan lebih masa untuk menyelesaikan tugasan yang agak penting. Walaupun aku sendiri tidak gemar membiasakan diri untuk membawa kerja pejabat
pulang ke rumah, sesekali pengorbanan prinsip seperti itu perlu juga dilakukan. Sementelah, aku bukannya ada keluarga yang perlu difikirkan.

Aku hanya balik ke rumah untuk mandi dan menunaikan solat Maghrib. Marina dan Sharifah Zalinda, dua orang rakan serumah memandangku
dengan pandangan yang agak tajam apabila melihat aku mencapai sepasang kebaya labuh berwarna hijau pucuk pisang berbunga kecil berwarna kuning cair dan dipadankan dengan tudung hijau cerah tanpa bunga. Pasti mereka hairan, kerana aku jarang keluar malam. Kalau ada pun, hanyalah beberapa function yang turut dihadiri oleh Marina
selaku rakan sepejabat.

"Ada date ke?", tegur Zalinda tiba-tiba. Dia yang memang sedang menanti tunangnya untuk makan malam bersama hanya tersenyum-senyum melihat aku yang sedang menyarung stokin di kaki. Aku hanya tersengih, sambil menggelengkan kepala.

"Pak Uda ajak aku makan malam di rumahnya. Sejak bila pulak aku ada pakwe ni?", aku segera mencuit hidungnya sebelum berlalu menuju ke kereta. Marina hanya memerhati dari pintu dapur. Senyumnya juga tidak putus, malah sempat melambaiku sebelum aku mengundurkan kereta keluar dari pagar rumah. Malam Khamis, jalan memang agak lengang. Mudah saja aku menyusur Jalan Mahameru, dan masuk ke Jalan Bangsar. Tidak sampai setengah jam, aku sudah berada di hadapan rumah Encik Muzaffar. Sinaran lampu jalan cukup untuk memberitahuku yang aku tidak
keseorangan apabila melihat sebuah Proton Waja dipandu masuk dan diletakkan di belakang keretaku. Siapa pula agaknya, getus hatiku pantas, namun cepat-cepat aku melangkah ke pintu utama. Mak Sinah, pembantu rumah sudah sedia menungguku.

"Assalamualaikum...apa khabar Mak Sinah?", wanita separuh abad itu cepat-cepat mencapai tanganku dan ditarik ke dalam rumah. Senyumnya tidak lekang dan wajahnya selalu ceria, agaknya itulah sebabnya dia masih berupaya untuk melakukan kerja-kerja rumah walaupun sudah mempunyai beberapa orang cicit.

"Lamanya tak jumpa Datul. Sibuk sangat ke hingga tak ada masa nak datang ke sini..?", memang begitu Mak Sinah dengan sikap ambil beratnya. Diusap-usap bahuku sambil mendorong aku ke bahagian dapur. Aku hanya mengikut tanpa membantah. Dulu pun, semasa aku sedang bercuti semester, ada juga aku menghabiskan masa cutiku di sini beberapa hari sebelum berangkat pulang ke kampung.

"Eh..kak Datul rupanya.....", Murni, sepupuku yang sedang menuntut di tahun dua di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan TESL. Aku segera memeluknya kerana dialah satu-satunya adik sepupu yang memang agak rapat denganku.

"Murni apa khabar? Cuti ke?", segera kami berdua duduk di meja dapur sambil memerhatikan Mak Sinah yang segera menyambung tugas Murni menyediakan minuman sebelum aku masuk ke dapur sebentar tadi.

"Haah...cuti 4 minggu. Selepas tu kami ada program ke sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Masuk semester kedua, pack sikit la...sebab kena cari tempat untuk praktikal...", laju sahaja dia menjawab. Dia memang banyak cakap, kalau tidak pasti sahaja aku tidak betah dengannya. Maklumlah, aku yang agak pendiam juga memerlukan komunikasi dari orang-orang yang mempunyai pelbagai idea yang agak bernas untuk memulakan sesuatu perbualan. Lainlah kalau bercerita tentang kerja dan prospeknya, tentu sahaja agak mudah kerana perkara-perkara
seumpama itu memang menjadi sebahagian dari kehidupanku.

"Seronok la ya.....teringat zaman muda....".

"Itulah....masa ni asyik teringat nak kerja aje. Nanti kalau dah kerja, mesti busy sampai tak ada masa nak rest kan....", aku hanya tersenyum mendengar kata-kata Murni. Memang ada kebenaran dalam kata-katanya. Zaman belajar dulu, aku selalu berangan-angan untuk bekerja, tanpa memikirkan implikasi kerja kepada golongan-golongan yang melibatkan diri dalam bidang kerja seperti aku. Kesibukannya sahaja sudah lebih dari cukup untuk berfikir dua tiga kali tentang sebuah
perkahwinan. Tapi, bila sudah bekerja, baru sedar pada kesibukan yang tak terhitung. Kadang-kadang, sehingga buntu minda kerana sering digunakan untuk berfikir. Saat-saat begitu, pasti sahaja aku akan mengambil cuti, dan menetap di kampung dua atau tiga hari.

"Ehh...Datul ada rupanya. Patutlah riuh rendah dapur ni dengan suara Murni.....", tiba-tiba bahuku ditepuk agak kuat. Aku segera tersengih apabila melihat Murni yang sudah memuncungkan bibirnya. Puan Salbiah, Mak Udaku yang sedikit berisi badannya hanya tergelak melihat perilaku anak keduanya. Cepat-cepat pula aku bangun dan mencapai tangan Puan Salbiah untuk bersalam.

"Apa khabar Mak Uda? Minggu lepas Datul balik kampung...Umi berkirim salam..".
Mak Uda hanya mengangguk-anggukkan kepalanya sambil segera menuju ke arah sebuah periuk yang sedang menggelegak isinya di atas dapur. Dicapainya senduk dan segera dikacaunya isi di dalam periuk tersebut.

"Umi sihat? Lama juga Mak Uda tak jumpa dia......", sambil menjawab kata-kataku, tangannya mencapai sebuah mangkuk besar dari kabinet dapur sebelah kanan ruang memasak.. Aku hanya tersenyum kepada Murni yang sudah mula mahu bergerak ke ruang makan. Anak gadis yang sedang meningkat dewasa itu memang lebih gemar menghidang dan mengemas meja makan daripada duduk di dapur.

"Alhamdulillah....sihat. Macam biasa juga. Bila Mak Uda nak ke sana? ",aku segera mencapai mangkuk besar yang diserahkan pada Mak Sinah. Laju sahaja tangan Mak Sinah menceduk kuah tomyam campur di dalam periuk besar tersebut. Aroma daun limau purut menusuk deria bauku. Segera pula seleraku tiba-tiba hadir. Rasa lapar mula menyerbu, tambahan pula aku tidak teringat untuk mengambil makan
tengahari tadi.

"Raya Puasa ni rasanya. Raya yang lepas Datul bawa Umi ke sini. Raya kali ni biarlah Mak Uda dan Pak Uda ke sana pula.....", didorongnya aku perlahan ke ruang makan. Mangkuk besar tersebut juga perlu ditatang dengan hati-hati. Ditambah dengan berat mangkuk dan isinya, bimbang juga kalau-kalau berlaku sesuatu yang tak diingini. Tambahan, aku agak sedikit phobia dengan barangan kaca. Bimbang pecah.

Sebaik sahaja aku meletakkan mangkuk tersebut di bahagian tengah meja makan, aku dikejutkan dengan suara Encik Muzaffar. "Haa....silalah. Rasa-rasanya semuanya dah tersedia...".

Segera aku mendongakkan kepala. Aku cukup terkejut apabila melihat Khaizan dan seorang rakannya tersenyum memandangku, sambil berjalan mengekori Encik Muzaffar yang juga tersenyum lebar memandangku. Tiba-tiba sahaja aku terasa sedikit gugup, dan tanpa ku sedar, Murni sudah mendorong tubuhku untuk duduk di sebuah kerusi. Kalau tidak, pasti sahaja aku sudah tumbang di situ.

"Apa khabar, cik Nadratul? Saya ingat kita akan jumpa esok pagi, tak sangka dah jumpa dulu malam ni....", suara Khaizan bersahaja menegurku. Tanpa kekok, terus sahaja dia menarik kerusi di hadapanku dan segera duduk. Encik Muzaffar dan Puan Salbiah juga mula duduk, dan sahabat Khaizan juga mula duduk di hadapan Murni. Aku pula, masih dengan perasaan terkejutku yang tidak putus. Kalau insan lain, mungkin aku masih boleh berlaku biasa, tapi lelaki ini seperti mengikat diriku dengan senyum sinisnya. Aku rasa dikawal dengan perilaku dirinya yang seolah-olah mengongkong setiap tindakanku tika dihadapannya.

"Mama....Afi nak makan juga....", suasana yang agak tertekan di mindaku itu tiba-tiba dikejutkan oleh suara Fikri, anak Encik Muzaffar yang berusia tujuh tahun. Rapat sahaja dia memegang tangan Puan Salbiah, dan cepat pula dia menuju ke arahku apabila melihat aku juga ada di meja tersebut.

"Kak Datul.......nak duduk....", dan aku segera menarik kerusi kosong di sisiku untuknya. Dia memang agak rapat denganku, sementelah aku sering memanjakannya jika datang ke rumah Encik Muzaffar. Malah, sikap dan lakuku yang memang sukakan kanak-kanak memudahkan dia menerimaku. Tergoyang-goyang kakinya sambil tangannya tidak lepas dari peganganku. Terasa semua mata melihat kelakuan Afi, dan aku hanya tersenyum sambil mengusap-usap kepala kanak-kanak petah dan comel itu.

"Ehh...mari makan. Nanti sejuk pula makanan ni....", suara Encik Muzaffar menusuk telingaku. Aku segera mencapai piring makanan Fikri dan menyendukkan sedikit nasi putih ke dalam piring tersebut. Setelah itu, aku mengambilkan beberapa lauk-pauk yang terhidang dan kemudiannya meletakkan piring tersebut di hadapan anak kecil itu. Sebaik sahaja aku melabuhkan punggung ke kerusi, Khaizan tiba-tiba
menghulurkan sebuah mangkuk kecil berisi tomyam campur kepadaku. Aku
segera memandang Encik Muzaffar dan Puan Salbiah bersilih ganti. Mereka berdua hanya tersenyum seolah-olah memberi keizinan kepada Khaizan.

Dengan perlahan, aku segera mencapai mangkuk tersebut.

"Terima kasih...", aku merasakan seolah-olah suara itu terlekat di celah kerongkongku. Tapi, Khaizan hanya menyungkingkan senyum sinisnya, dan segera pula mengambil mangkuk tomyam yang lain untuk dirinya. Murni pula, tiba-tiba mengutil sedikit pahaku. Aku menjegilkan mata ke arahnya sebelum melayan Fikri pula apabila anak kecil itu mencuit pergelangan tanganku.

Akibat kejadian itu, aku hanya mendiamkan diri sahaja sepanjang makan malam. Terasa bersalah pula kerana terlupa untuk menanyakan pada Encik Muzaffar tentang tetamu-tetamunya petang tadi. Kalau aku tahu dia ada, sudah pasti aku akan menjauhkan diri dari rumah Encik Muzaffar sejauh yang boleh. Pada awalnya, aku menjangkakan hanya aku seorang sahaja yang dijemput, pertemuan saudara dengan saudara, tak aku sangka lelaki itu juga dijemput sama.

Keesokannya, perasaan hambar dan tertekan dengan kejadian semalam masih wujud. Namun aku cuba menahan rasa dengan menyibukkan diri dengan pelbagai kerja yang mula menghambat. Teringat temujanji dengan Khaizan pada pukul 11 pagi seolah-olah membantutkan mindaku untuk bergerak. Aku berdoa supaya masa itu tidak tiba, namun jarum saat di pergelangan tanganku tetap bergerak. Beberapa kali ditilik, masih serupa itu juga. Setiap pergerakan itu seolah-olah menghambat keseluruhan ketenanganku. Fikiranku jadi tak keruan, walau aku cuba
menenagkan suasana. Dalam setengah jam menghampiri pukul 11 pagi, baru aku menarik beberapa fail penting di atas meja untuk membuat perbincangan dengan Khaizan.

No comments:

Post a Comment